BBB, 21 Rabiul Awwal 1436 = 12 Januari 2015 (Isnin):
Salah seorang penyair di luar dari kajian di atas (Al-Mu`allaqat dan al-Sa`alik)ialah Al-Nabighah
al-Dhibyani (meninggal awal kurun ke 7M.). Nama penuhnya ialah Abu Umamah Ziyad
bin Muawiyah bin Dhibab bin Janab bin Yarbu` dan emaknya ialah `Atikah binti
Anis daripada Bani Ashja` al-Dhibyani. Kedua suami isteri dari turunan Dhibyan.
Beliau digelar sebagai Abi Umamah dan Abi Thumamah sebagai ayah bagi dua anak
perempuan yang bernama demikian. Beliau juga digelar Al-Dhibyan kerana ada
kaitan dengan puisinya. Jalur keturunannya memuncak hingga ke Ghayz bin Murrah dan kepada Dhibyan
dari turunan Ghatafan.
(Dr. Shauqi Daif, Tarikh al-Adab al-`Arabiyy – Al-`Asr
al-Jahliyy, Ji. 1,Dar al-Ma`arif, al-Qahirah, tt: 268).
Dipanggil sebagai
`Nabighah` - Curahan Ilham` lantaran dia tidak dapat mengungkapkan puisi sehingga dia jatuh pengsan. Dalam masa
dia antara sedar, maka diungkap dan dirakam daripadanya puisi-puisinya. Dalam
keadaan sedemikian ilham puisinya mencurah-curah. Jadi Dhibyan al-Nabighah, ialah
Dhibyan yang mempunyai ilham bagai larian air dari pancuran.
Menurut Ahmad Hassan al-Zayyat dia adalah salah seorang
tawanan bagi Bani Dhibyan. Oleh kerana kemampuan berpuisinya kerendahan
statusnya terangkat dan mendaki ke puncak kemasyhuran. Bakat dan
keistimewaannya dengan berpuisi membuka ruang baginya ke Istana Raja Al-Nu`man
bin al-Mundhir. Dia menunjukkan kesetiaannya dengan Raja Al-Nu`man, maka
melimpah ruahlah nikmat yang diterima oleh Al-Nabighah sehingga dikatakan dia
makan menggunakan peralatan mangkuk
pinggan dan sebagainya dari bahan diperbuat dari emas dan perak sebagai hadiah
yang diterima. Berterusanlah Al-Nabighah hidup dalam kenikmatan berlindung di
bawah bayang lindungan istana diraja menyebabkan ada kalangan yang merasa
dengki, maka kalangan mereka menyebarkan benih fitnah sehingga tumbuh subur
fitnah yang mengaitkan permaisuri Raja dengan Al-Nabighah. Fitnah sampai ke
telinga raja, maka naik merkalah baginda dan usaha menangkap Al-Nabighah
dilakukan. Panas api fitnah dirasai Al-Nabighah dan dia berkesempatan
melepaskan diri ke Sham dan berlindung di bawah Raja Amri bin al-Harith
al-Asghar al-Ghassani seteru bagi
Al-Nu`man bin al-Mundhir. Dengan perlindungan yang didapati menjadikan
Raja Al-Nu`man makin murka. Berterusanlah Al-Nabighah mendekati Raja dan
mendapat lempah kurnia dari baginda Amri
bin al-Harith sebagaimana didapati sebelumnya di bawah Raja Al-Nu`man.
Adalah dikatakan kemudiannya Raja Al-Nu`man jatuh sakit,
Al-Nabighah yang telah difitnah dan merasa dirinya tidak bersalah, berusaha
untuk mengunjungi Raja Al-Nu`man untuk sama
berusaha mendoakan kesihatan kembali kepada raja dan sembuh sebagaimana
sediakala. Beliau diterima raja
sebagaimana sediakala dan hidup sederhana dan waspada sehingga ke larut
usia. Beliau hidup ke tahun 18 sebelum
Hijrah (Tidak berkesempatan dengan zaman Islam). Antara puisi yang diungkap
berhubung dengan kehidupannya, katanya:
Tiap orang bercita-cita berumur panjang
Lama hidup banyak dugaan yang ditempuhi
Fana senyuman kekal kepahitan lepas kemanisan
Hari-hari mengkhianati diri hingga kelihatan
Tiada suatu mengiringi diri menyenangkan
Mereka berharap jatuh
musnah
Terbakar diri oleh fitnah.
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-`Arabiyy, tt: 49
– 50).
Menurut Muhammad Hassan al-Zayyat Al-Nabighah adalah salah
satu daripada tiga penyair yang kukuh kedudukannya sebaris dengan Imriul-Qays
dan Zuhayr. Dia mengatasi dari dua penyair berkenaan dari segi keindahan
kinayah, kehalusan isyarat, bersih hiasan dan ringan dari tekanan. Puisinya teristimewa
dari penyair Jahiliyyah dan menjelang Islam.
Tentang Al-Nu`man bin al-Mundhir kata Al-Nabighah:
Kataku pada Al-Nu`man hari ku menemuinya
Dia mau merapati Bani Hunnin secepat kilat
Jauhlah dari Bani Hunnin kerana pertemuan
Menyusahkan lebih baik tidak ketemuan.
(Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab., Dar Nazir `Abud,
Beirut, 1989: 187).
Sekembalinya mendekati Raja Al-Nu`man bin Al-Mundhir
Al-Nabighah memujinya:
meninggal sebelum
cahaya Islam menyinar.
Sekian.
Tidakkah engkau melihat sebaik manusia
Pemaaf dan prihatin terhadap seorang kelana
Kami disamping mendoa terus berkekalan
Pemerintahan aman penuh kemakmuran.
(Dr. Shauqi Daif, Tarikh al-Adaba al-`Arabiyy – Al-`Asr
al-Jahiliyy, Jil. 1< tt: 277).
Demikianlah Al-Nabighah Penyair yang menghampiri zaman
transisi antara Jahiliyyah dan Islam, tetapi tidak berkesempatan menerima
cahaya Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment