January 3, 2015

Aras Utama Lengkap Dengan Berbagai Ruang Serta Elemen-Elemen Utama Bagi Masjid


BBB, 02 Januari 2015 = 11 Rabiul Awal 1436 (Jumaat):
Genap setahun pembinaan Masjid Al-Umm, jika aras bawah tanah telah siap dari segi ruang dan partition, maka demikian dengan Aras Utama, juga telah siap secara kasar dari segi ruang sebagaimana tertera di dalam plan.
Diandaikan kita datang kepintu masuk melalui gerbag utama ala Masjid Isfahan itu, maka  sebelum masuk ke dalam masjid, kita berdepan dengan tiang menara kiri kanan (sepasang), maka kita dapati setakat ini pembinaan tapak bagi kedua menara ini telah dilakukan, tetapi belum ada bahagian ke atas menara. Demikian juga dengan pintu gerbang untuk masuk ke ruang masjid, tapak bagi kedua-dua belah pintu gerbang ini juga telah siap dibina, tetapi belum ada bahagian `curve` yang melengkung ke atas.


Melangkah untuk masuk ke ruang utama bagi jamaah kita akan melalui jalan tengah selepas pintu gerbang – setakat ini masih bertanah dan belum berbumbung pada bahagian atas. Jalan tengah ini memisahkan bahagian kanan dan kiri yang bahagian-bahagian binaan hampir sama antara kedua belah pihak. Bermula dari kanan sebelum masuk ke aras utama, kita menemui `Bilik Jenazah`. Berada sedikit di luar untuk memudahkan kemasukan dan urusan jenazah dan tidak mengganggu jamaah. Selepas memasuki pintu gerbang, kita menemui `Bilik Pentadbiran` dan `Bilik Mesyuarat`. Manakala masuk ke dalam bahagian kanan ialah tempat mengambil wudhu` dan toilet. Dua buah kolah reserve air juga dipasang di bahagian kanan dan kiri sebagai sumber air jika kekurangan.  Terdapat juga  `Bilik Khas` dan `Mini Taman`. Manakala sebelah kri selepas pintu gerbang ialah `Bilik Tadika` bagi ibu-ibu yang membawa anak-anak mengikuti pengajian, solat dan kegiatan –kegiatan lain, maka anak-anak dijaga pada bahagian tadika tersebut. Di sebelah kiri ini terdapat juga `Bilik Khas`, di samping ruang ``Mini Taman` Sebagaimana di sebelah kanan sebahagian ruang ialah tempat wudhu` dan toilet, maka demikian juga di sebelah kiri. Pada sebelah kiri sebagaimana di sebelah kananada tangga untuk naik ke tingkat atas dari ruang utama ke aras (Muslimat), Cuma berhampiran tangga dan berdekatan dengan menara terdapat perkhidmatan lift (sekarang ada lobangnya) bagi kemudahan OKU Muslimat naik ke atas dan juga kemudahan menaik dan menurunkan barang-barang. Keseluruhan ruang kiri kanan disebutkan mengambil hampir separuh dari ruang aras utama. Selain daripada ruang kiri-kanan yang telah dibicarakan, maka yang lain adalah merupakan `Ruang Solat` yang merupakan ruang utama, termasuk keseluruhan jalan masuk selepas `Pintu Gerbang` yang akan ditailkan. Bagi jalan dan ruang utama adalah kosong hingga ke syiling dan  ke kubah.


Ruang utama yang luas terbuka akan detail dan kemudian dipasang dengan permaidani yang mudah alih dan boleh dibersihkan. Bagi ruang utama ini terdapat dinding cermin memisahkan  bahagian tengah dan bahagian `lempah`, bahagian luar kiri kanan yang sengaja dibuat partition dan tidak di air-cond, khusus bagi mereka yang  tidak mau berada di dalam air-cond. Ruang ini tidak dimasuki air jika hujan. Kini pada bahagian tengah yang kosongi penuh dengan tiang-tiang besi sebagai penahan dan pengukuh bagi pembinaan bulatan bagi kubah di tengah bahagian bangunan masjid yang merupakan sebagai puncak bagi masjid di samping menara pada kiri kanan.
Bahagian hadapan adalah bahagian yang penting, kerana pada bahagian inilah terletaknya elemen-elemen utama masjid. Pada bahagian hadapan ini adanya mihrab, mimbar, dua bilik dan dinding. Mihrab Masjid Al-Umm agak unik, pada asalnya mihrab yang berbentuk separuh bulat bujur adalah pada aras utama ke aras atas (satu), oleh kerana ianya semacam tong tergantung, maka dicadangkan bahawa mihrab disambung ke tingkat bawah tanah, jadi ianya memanjang dari atas ke bawah. Adalah dicadangkan hiasan bagi mihrab tidak begitu mewah. Ianya mungkin dari tile ganite. Pada awalnya mimbar dibuat dari semin dan besi. Tetapi tidak disetujui. Mimbar sewajarnya menggunakan kayu tempatan, sama ada dari kapur, kuin, cengal atau jati dengan bahagian atas diukir ayat Qur`an secara tebuk tembus, manakala bahagian bawah diukir hiasan dari flora dan fauna yang kedua-dua juga adalah secara tebuk tembus. Mimbar pada asalnya berada di dalam ruang mihrab sebelah kanan, tetapi tidak disetujui, kerana ianya merosakkan pandangan ruang dan mengganggu tempat imam. Sebab itu dicadangkan diletak pada bahagian kanan dan jangan dilindungi oleh tiang seri bagi kubah.
Dinding pada bahagian hadapan dicadangkan tidak diberi hiasan yang banyak untuk mengelak dan mengganggu konsentrasi jamaah, terutama semasa solat. Adalah dicadangkan ada dua lengkung bujur ke bawah di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri. Pada sebelah atas bagi lengkung di sebelah kanan dan kiri ada ayat Al-Qur`an yang sederhana panjang dan seimbang dan membawa persoalan yang berhubung dengan solat. Manakala pada lengkung pertama sebelah kiri dipasang screen LSD bagi maklumat dan waktu solat secara bergerak. Pada kaki dinding ada skating yang berlainan warna dari dinding. Pada hujung bagi dua lengkung kanan dan kiri terdapat tingkap yang pada asal tulang tingkap ini berbentuk `cross`, maka dicadangkan agar diubah secara lengkung  dan sebagainya yang tidak bersifat `cross`.


Selain dari mihrab, mimbar dan dinding, bahawa terdapat empat tiang seri utama di tengah ruang utama masjid. Keempet-empat tiang utama bahagian tengah masjid yang terbesar berbanding dengan tiang-tiang yang lain, adalah tiang seri yang menjunjung kubah. Perbincangan juga berkait dengan tiang ini adalah ianya berbentuk bulat semata-mata dari atas ke bawah ? Adalah disetujui bahawa tiang tidak bersifat kosong pada bahagian atas dan juga di bahagian bawah. Sebaliknya ianya hendaklah dihias berbentuk muqaranah sama ada susunan secara segi-segi atau bujur. Manakala pada bahagian kaki tiang hendaklah elak dari jadi tempat menyandar jamaah. Ada cadangan dibuat tempat letek Al-Qur`an untuk mudah  diambil,  tetapi ianya dibimbangi memakan ruang. Al-Qur`an wajar mempunyai ruang seperti almari dan sebagainya.
Walaupun pada ruang utama sudah lengkap dengan keperluan-keperluan ruang dan pengisian serta sebahagian cadangan dan keputusan telah diterima, tetapi ianya masih terbuka kepada cadangan dan pembaikan. Ruang utama adalah paling utama dan adalah diharapkan bahagian utama ini dilengkapkan dengan berbagai kemudahan yang paling  diberi keutamaan.

Sekain.

No comments:

Post a Comment