January 27, 2015

Pembelaan Hassan Bin Thabit Terhadap `Uthman Bin `Affan Yang Terbunuh Secara Tragis


BBB, 05 Rabiul Akhir 1436 = 26 Januari 2015 (Isnin):
Dari segi peristiwa yang penting berlaku di dalam perkembangan Islam pada peringkat permulaan sezaman dengan Hassan bin Thabit, ialah peperangan Badar (Ramadhan tahun ke 2H.) yang begitu penting bagi perkembangan Islam di Madinah dan juga peperangan Uhud (Syawal tahun ke 3H.) yang menggugat dan menjadi pengajaran umat. Dari segi tokoh yang banyak disentuh dan menjadi tema kepuisian Hassan bin Thabit ialah `Uthman bin `Affan r.a. (579-656M.).


`Uthman dilantik menjadi khalifah yang ketiga selepas kematian Khalifah Umar bin al-Khattab. Khalifah `Uthman bin `Affan adalah Khalifah al-Rashidin yang lama memerintah (23 – 35H.). `Uthman dilihat begitu berlembut dan tidak tegas di dalam pemerintahan dan dilihat mementingkan kaum keluarganya. Misalnya terpengaruh dengan Abdullah ibn Said,, Marwan bin Al-Hakam, Mu`awiyah bin Abi Sufyan dan `Amr ibn al-`As yang mempunyai kaitan kerabat dari kalangan Bani Umayyah, sedangkan tokoh-tokoh sahabat penting seperti Ali bin Abi Talib, Talhah, Zubair, Sa`ad bin Abi Waqqas, Abdullah ibn Umar semacam dikesampingkan dan kurang ditanya fikiran dan tidak berunding. Beberapa sahabat yang senior seperti Abu Musa al-Ashari diberhentikan dari jawatan, begitu juga dengan Sa`ad bin Abi Waqqas. Dikatakan ia begitu boros dan memperkayakan turunan. Sifat Asabiyyah dan pentingkan kaum ini menyebabkan berlaku kemarahan sehingga orang dari Basrah mau menurunkan `Uthman dan mau menggantikannya dengna Talhah. Orang dari Kufah mau menggantikannya dengan Zubair dan orang dari Mesir mau menggantikannya dengan Ali. Tapi yang mau diangkat itu semuanya menolak. Tuntutan juga dibuat terhadap `Uthman supaya menggantikan govenor Mesir Abdullah bin Abi Sarah digantikan dengan Muhammad bin Abu Bakar. Tuntutan diterima dan semasa Muhammad bin Abu Bakar diiring oleh pengikut-pengikutnya ke Mesir, pasukan ini bertembung dengan satu perutusan membawa surat ke Mesir yang meminta apabila sampai  Muhammad bin Abu Bakar, dia hendaklah dibunuh. Surat berkenaan dirampas dan rombongan yang dalam perjalanan ke Mesir itu berpatah balik ke Madinah dan surat itu didedahkan kepada Ali, Talhah, Zubair dan Saad. Orang ramai mnyedari perkara tersebut dan gempar. Akibatnya rumah `Uthman dikepung. Meskipun `Uthman bersumpah tidak menulis surat dan copnya pada surat itu diambil di luar pengetahuannya, tapi kemarahan orang ramai yang membuak-buak itu tidak dapat dihalang, akibatnya rumah beliau diserbu dan beliau terbunuh semasa membaca Al-Qur`an. `Uthman dianggap mangsa kelembutan, tidak tegas dan memberi kedudukan kepada kaum kerabat dan turunan Bani Umayyahnya.
(Hamka, Sejarah Umat Islam, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1965: 142-149). Juga, Abdul Latip Talib. Khalifah-Khalifah Yang Benar, PTS Litera Utama Sdn. Bhd., Batu Caves, Selangor, 2010: 442-593).     
Mengenai peristiwa ini Hassan bin Thabit melahirkan sikap simpatinya terhadap `Uthman  bahkan mengecam pembunuhan dan meratapinya.
Wahai Manusia
Jika rumah Ibn Arwa sunyi kosong
Kini pintunya jatuh runtuh terbakar
Bertembung pencari kebenaran hajat
Kepadanya berkumpul berbagai lelaki
Wahai manusia lahir watak diri kamu
Tidak sama yang benar di sisi Allah dan dusta
Melainkan yang patuh perintah Allah kau ketahui
Merompak di gua secara rompakan di belakang
Padanya yang dikasih pahlawan perang kedepan
Ternyata di wajahnya  kemarahan.
(Catatan: Rumah Ibn Arwa ialah rumah ibu `Uthman).
(Diwan Hassan bin Thabit, 2012/1992: 30-31).
Berhunung dengan pembunuhan `Uthman kata Hassan:
Kamu Bunuh Orang Berkedudukan
Kamu tidak berdendam dengan pakaiannya
Tidak juga dengan kehambaan, emas harta
Kamu bunuh tempatnya perlu pengganti
Perjalanan berterusan tapi api menghanguskan
Segolongan binasa dari sengkita
Segolongan tak kisah begitu berlalu
Kau bunuh seorang jelas berkedudukan
Nyata di atas Sunnah dan nasab mulia jelas.
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 31-32).
Beberapa puisinya lagi mengatakan pembunuhan adalah kekejian terhadap pertunjuk dari seorang salih, bahkan Hassan menyifatkan pembunuhan adalah dilakukan terhadap wali Allah
Kamu membunuh wali Allah di ruang rumahnya
Kamu datang dengan kerja terkutuk jauh dari pertunjuk.
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 105-106).
Hassan juga mengecam para ahli al-Ansar yang dia sifatkan mereka tidak berpegang pada wasiat Rasulullah sedangkan Sayyiduna `Uthman dikasihi juga sebagai menantu bagi dua anak Baginda Rasulullah s.a.w.


(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 170-172).
Rasa tidak puas hati dan keciwa Hassan dicurahkan pertanyaan kepada Zaid bin Thabit al-Ansar dan Ketua Bani al-Najjar (Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 193-194). Dia juga menentang sikap memberontak terhadap `Uthman dengan judul:
Wahai Yang Memberontak Terhadap `Uthman:
Akan terus terngiang-ngiang kecaman di kediaman-kediaman
Allah Akbar ! Ingatlah yang memberontak terhadap `Uthman !
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 404-406).
Dan kekesalan Hassan dapat dihayati dari puisinya:
Wahai Laki-Laki
Wahai laki-laki yang mengalir air mata tergugah peristiwa
Aku hairan bagi yang menangisi tanpa rasa
Aku lihat Aminullah digugahgugat
`Uthman jadi gadaian hingga dirinya dikafan
Wahai kaum pembunuh - seteru Allah berkeadaan
Membunuh Imam yang amanah, muslim cerdas
Mereka tidak membunuh atas dosa dilakukan
Melainkan dari dusta cakap yang dia tak laku
Apabila ku mengenanginya mengalir empat jalan
Airmata mengalir di atas dua pipi berguguran.
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 406-407).
Demikian simpati Hassan bin Thabit terhadap `Uthman bin `Affan. Dia yakin `Uthman tidak menulis surat dan mengarah pembunuhan terhadap Muhammad Abu Bakar. Ada pihak yang tidak amanah mengambil kesempatan mencuri cop mohornya menyebabkan membawa fitnah dan `Uthman sendiri menjadi mangsa pembunuhan secara tragis.

Sekian.

No comments:

Post a Comment