January 19, 2015

Islam Dan Puisi


BBB, 27 Rabiul Awwal 1436 = 18 Januari 2015 (Ahad):



Ungkapan puisi adalah penglahiran bahasa yang merupakan pancaran minda, rasa dan nilai masyarakat. Di dalam hal ini tidak ada bahasa yang kosong dari ciri estetika yang dikenali dalam bahasa tersebut. Misalnya pantun bagi bahasa Melayu dan syair di dalam bahasa Arab. Sebagaimana telah diperkatakan bahawa, sebelum dari Islam lahir di kalangan orang-orang Arab penyair-penyair yang menjadi kemegahan bagi kabilah-kabilah yang melahirkan penyair-penyair. Bahkan dikatakan bahawa:
``Poetry: Diwan of the Arab``
(Cantarino, Vicente, Arabic Poetics In The Golden Age, E. J. Brill, Leiden, 1975: 20).
Pada hakikatnya semua bahasa, apa lagi prosa dan puisinya merupakan arkif bagi bahasa dan bangsa yang memiliki bahasa tersebut.
Islam sebagai sebuah agama yang merupakan cara hidup bagi penganutnya, juga tidak terpisah dari bahasa-bahasa dan bangsa-bangsa yang mendukung bahasa tersebut. Bahasa terawal yang menjadi medium agama Islam, ialah bahasa Arab. Bahasa tersebut sebenarnya mewarisi bahasa dan sastera bahasa Arab dan mendepani perkembangannya, di samping bahasa-bahasa yang lain yang trurut menjadi medium bagi perkembangan Islam, termasuklah bahasa Melayu.
Apakah sikap Islam terhadap bahasa, khususnya sastera, terutama bahasa Arab sebagaimana bahasa terawal bagi penerimaan agama Islam ?
Al-Imam Abi Ali al-Hasan bin Rashiq al-Qayrawani (390-456H.) seorang pengkaji puisi (syair) dan sastera Islam terkenal di dalam bukunya yang berjudul `Al-`Umdah fi Mahasin al-Shi`r wa Adabihi, membicarakan antaranya tentang Puisi Di dalam Islam.
Beliau antaranya memetik sabda Nabi s.a.w. berhubung dengan puisi. Antaranya sabda Baginda bermaksud:
`Bahawa daripada syair itu mengandungi hikmah`.
Hadith dikeluarkan oleh Bukhari, Abu Daud, Ibn Majah dan Tirmidhi.
(Al-Qayrawani, Abi Ali al-Hasan. Al-`Umdah, Jil I.  Dar Al-Ma`rifat, Beirut, Lubnan, 1408/1088: 69). Rasulullah s.a.w. juga Bersabda mengenai puisi bermaksud:
``Sesungguhnya syair itu kalam yang tersusun. Apa yang menepati kebenaran daripadanya dia adalah baik dan apa yang tidak menepati kebenaran, maka tidak ada kebaikan padanya.``
Baginda juga bersabda, bermaksud:
`Sesungguhnya syair itu kalam. Daripada kalam itu ada yang buruk dan baik`.
(Al-Qayrawani, Jil. I,:85).
Berhubung dengan puisi juga Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab berkata bermaksud:
``Senikmat apa yang dipelajari orang Arab ialah bait-bait berhubung dengan syair``
(Al-Qayrawani, Jil. I: 69).
Berkata Sayyiduna Ali k.w. bermaksud bahawa,
`Syair ialah timbangan kata`.
(Al-Qayrawani, Jil. I: 86).
Dan Saydatuna Aishah Ummul Mu`minin r.a.(ha) berkata:
``Sesungguhnya syair itu percakapan. Padanya ada keelokan dan keburukan.. Ambillah yang elok dan tinggallah yang buruk.
(Al-Qayrawani, Jil. I: 85).
Adapun berhubung dengan ayat-ayat Al-Qur`an yang menempelak para penyair (Al-Shu`ara`: 224-227) menurut Al-Qayrawani, ialah dituju kepada penyair-penyair musyrikin yang tidak menerima dakwah Rasulullah s.a.w., bahkan mempersendakan Rasulullah s.a.w. dan melakukan perkara yang boleh mebahayakan Rasulullah s.a.w. Tanya beliau, bukankah di dalam ayat berkenaan (Al-Shu`ara`: 227) mengecualikan penyair-penyair yang beriman dan beramal salih ?
Adapun berhubung dengan Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
``Dengan memenuhi rongga salah seorang daripda kamu muntah sehingga hilang dahaga lebih baik dari dipenuhi syair``.
Menurut Al-Qayrawani, ianya merujuk kepada sesiapa yang dimabuki syair pada hatinya dan menguasai dirinya sehingga melalaikan dirinya dari agamanya,lalai dari menunaikan kewajipan fardu, menegahnya dari mengingati Allah dan dari tilawah al-Qur`an.``
(Al-Qayrawani, Jil. I, 91-93).
Puisi adalah mekanisme pengucapan seni melalui bahasa. Ia bersifat berkecuali, jika diisi dengan nilai baik, maka baiklah dia, demikian sebaliknya.
Sesungguhnya di dalam perkembangan Islam, puisi banyak digunakan sebagai matan-matan puisi keilmuan seperti nahu, saraf, fiqh, usuluddin, tasawuf dan balaghah. Ianya sesungguhnya membantu memudahkan ingatan, kefahaman dan pembelajaran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment