BBB, 12 Rabiul Awwal 1436 = 03 Januari 2015 (Sabtu):
Ruang solat muslimat disebut di tingkat atas bermaksud
tingkat atas bagi aras utama Masjid Al-Umm. Disebut juga sebagai tingkat satu
dikira dari aras utama, tetapi disebut juga sebagai tingkat tiga jika dikira
dari aras bawah tanah (bawah bagi aras utama). Persoalan bahagian hadapan dan
belakang masjid juga ada kekeliruan. Untuk mengelak dari kekeliruan, maka
disebut, Jalan Masuk Utama, ialah bahagian masuk melalui pintu gerbang yang
kiri kanannya terdapat dua buah (sepasang menara), manakala Bahagian Hadapan
Masjid, iaiah bahagian yang mempunyai mihrab yang mengarah ke Kiblat. Setengah
masjid, bahagian hadapannya, tidak merupakan kawasan penggunaan biasa, kerana
ianya rapat dengan pagar, tetapi Masjid Al-Umm dijangka bahawa bahagian depan
masuk ke masjid dan bahagian hadapan masjid akan berfungsi dan sentiasa
digunakan sebagaimana Masjid Salahuddin – Masjid Negeri di Shah Alam yang
kelilingnya merupakan ruang penggunaan.
Tingkat atas ini pada hakikatnya ruang lantainya tidak
seluas lantai aras utama, tetapi lebih luas dari aras bawah tanah, ruangnya mengambil tempat kiri dan kanan
saebelah atas dari aras utama dengan ruang kiri kanan ini disambung secara
jambatan di atas ruang tengah aras utama. Ruang secara jambatan yang
menghubungkan lantai atas kiri ke kanan yang agak luas ini menjadi tempat solat bagi
wanita (Ruang Satu). Terdapat dua tangga kiri dan kanan untuk naik ke aras atas
ini, di samping terdapat sebuah perkhidmatan lift sebelah kiri untuk OKU
muslimat dan juga mengangkat dan turun barang-barang. Sebenarnya dari ruang
atas ini ada tangga lagi kiri kanan untuk naik ke bumbung untuk pembersihan dan
pembaikan bahagian atas yang pada bahagian bumbung ini terdapat dua buah kubah
kecil yang menciri dan mengimbangi Kubah Besar dan Utama. Ruang Satu bagi
muslimat ini, diandaikan ruang utama penuh dengan jamaah pada hari Jumaat, maka
ruang atas bagi ruang muslimat dan ruang kosong bersebelahan dapat digunakan
sebagai ruang solat Jumaat – Jika tiada muslimat turut sama bersolat Jumaat.
Selain dari ruang (1) terbuka bagi muslimat terdapat pada
bahagian belakang kiri dua bilik – bersebelahan ruang tangga dan lift, iaitu
bilik (2) untuk mesyuarat (Muslimat ) dan IT (4) sebagaimana sebelah kiri,
demikian juga terdapat dua bilik di sebelah kanan berhampiran dengan ruang
tangga untuk Remaja dan untuk Bilik Sumber ( Perpustakaan). Perpustakaan lebih
mengutamakan keilmuan-keilmuan agama yang diajar di dalam pengajian di masjid,
termasuklah kitab-kitab rujukan yang berhubung dengannya. Bahan-bahan bacaan
dan rujukan bagi kelas Tahfiz juga disediakan. Adalah dijangka buku-buku yang
berhubung dengan pengajian di sekolah turut disediakan, bagi menarik minat
pelajar-pelajar persekolahan datang dan bermutalaah di masjid, di samping
mengikuti kelas-kelas bimbingan sekali sekala.
Pada kiri dan kanan bagi ruang atas, di atas bagi bilik air
di bawah terdapat bilik-bilik air untuk kegunaan oleh mereka yang di aras
atas.. Antara ruang solat muslimat kiri dan ke kanan ke bahagian hadapan. Pada
ruang atas paling hadapan (3) adalah ruangan-ruangan untuk kelas tahfiz dan
guru-guru. Kelas Tahfiz ini merupakan tawaran kepada pelajar-pelajar yang maju
di dalam bidang akademik, khususnya di dalam bidang Islam. Jumlah mereka tidak
ramai, iaitu dalam jumlah belasan orang. Keutmaan diberi kepada anak-anak
tempatan. Bagi mereka disediakan kemudahan kediaman (diubahsuai dari bangunan
Surau Al-Umm sekarang). Pelajar-pelajar ini mengikuti persekolahan biasa di
Bandar Baru Bangi dan mereka dididik untuk menghafal Al-Qur`an, di samping
menerima bimbingan pengajian-pengajian yang lain. Peluang juga dibuka kepada
pelajar-pelajar biasa yang datang mempelajari Al-Qur`an, terutama pada hujung
minggu. Masjid juga adalah bersifat mesra pelajar. Mereka digalakkan
menggunakan perpustakaan yang disediakan oleh masjid yang juga dapat digunakan
oleh jamaah. Pihak masjid dijangka akan mengadakan seminar-seminar yang
berhubung dengan pendidikan dan peperiksaan yang diikuti oleh pelajar-pelajar.
Kelas bimbingan IT juga akan diadakan
dari masa ke semasa.
Bagi muslimat, selain dari dapat mengikuti pengajian terbuka
yang dianjurkan oleh masjid. Muslimat juga mempunyai slot-slot khusus bagi
muslimat, terutama pada hujung minggu, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Mereka
boleh mengadakan pengajian-pengajian khusus bagi muslimat seperti pengajian
Al-Qur`an, tajwid dan bidang-bidang pengajian keagamaan yang lain dengan
menjemput guru-guru khusus mengajar dan membimbing mereka di dalam
biadang-bidang berkenaan. Kegiatan juga boleh melibatkan program-program yang
bersifat kemasyarakatan seperti kesihatan, keluarga bahagia, bimbingan masakan,
ekonomi rumahtangga, kaunseling dan
sebagainya.
Untuk mengimarahkan masjid, maka masjid tidak saja dapat
diimarahkan dengan kehadiran kalangan orang dewasa, tetapi juga dari kalangan
remaja. Sebab itu wajar juga diperuntukkan sebuah ruang pejabat pada bahagian
atas ini yang memang ada kekosongan untuk golongan remaja. Seeloknya ada wakil
remaja di dalam AJK Pentadbir masjid. Banyak kegiatan yang boleh disusun bagi
kelangan remaja. Misalnya.
1)
Menggerakkan remaja menyertai aktiviti masjid
seperti berbagai majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid
2)
Mengadakan kelas-kelas bimbingan dan motivasi
bagi pelajar
3)
Menganjur secara bersama dengan pihak-pihak yang
lain aktiviti gotong royong bukan saja membersihkan kawasan masjid, bahkan
kawasan kediaman penduduk.
4)
Mengadakan berbagai kegiatan kebajikan seperti
membantu fakir miskin, membantu mereka yang mengalami musibah seperti
kemalangan, kebakaran, banjir dan sebagainya.
5)
Mengadakan kegiatan sukan di kalangan remaja
setempat, di kalangan masjid-masjid dan juga pada peringkat seluruh Bangi atau
lebih luas dari itu.
Menyentuh berkenaan sukan ini, masjid mempunyai kemudahan,
kerana secara kebetulan di tepi masjid Al-Umm ada kawasan lapang (padang) yang
memang digunakan oleh remaja setempat menjalankan aktiviti sukan, khususnya
bola sepak pada setiap petang. Kegiatan sukan ini dapat diperluaskan kepada
bidang-bidang sukan yang lain. Pertandingan-pertandingan mencari johan di dalam
beberapa bidang sukan secara perwakilan dari seluruh Bangi bagi mencari johan
tahunan tentulah menarik minat remaja dan penduduk setempat. Selain dari
menggunakan padang yang sedia ada. Aras bawah tanah Masjid Al-Umm dapat
digunakan bagi sukan dalaman seperti pengpong, keram, congkak dan sebagainya.
Kita mau melihat Masjid Al-Umm menjadi pusat ibadat, pendidikan, pengajian dan
berbagai kegiatan kemasyarakatan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment