BBB, 30
Rabiul Awwal 1436 = 21 Januari 2015 (Rabu):
Hassan bin Thabit (m. 674M.) bersama Ka`ab bin
Zuhayr adalah dua penyair tergolong sebagai penyair dua zaman (Al-Mukhadramun).
Ka`ab bin Zuhayr lebih banyak penghasilan puisi dan tema pada zaman Jahiliyyah
daripada zaman Islam. Istimewanya Ka`ab bin Zuhayr kerana berkesempatan dengan
Nabi s.a.w di Masjid Madinah, menerima Islam terus dari Nabi dan berpuisi
secara berdepan dengan Nabi dengan puisinya `Banat Su`ad`.
Hassan bin Thabit lebih daripada itu,
sungguhpun dia berkesempatan dengan zaman Jahliyyah, tetapi puisi-puisinya
lebih banyak dihasil dan merakamkan zaman awal Islam. Walaupun ada yang
berpendapat puisi-puisi Hassan dari segi mutu perpuisian zaman Jahiliyyahnya
lebih bermutu dari zaman Islam, tetapi Hassan baik secara langsung atau tidak
langsung merakam melalui puisi peristiwa-peristiwa zaman permulan Islam. Jika tokoh
Sirah Islam terkenal Muhammad bin Ishak bin Yasar (85-151H.) merupakan penulis
sirah terawal dan lengkap – tidak menyaksikan peristiwa dengan mata kepala,
tetapi melalui secara riwayat dan sanad sebagaimana Hadith, mencatat sejarah
pada zaman awal Islam, terutama tentang Rasulullah s.a.w. tetapi Hassan bin
Thabit menyaksikan peristiwa dan tanggapan semasa yang diperturunkan ke dalam
puisi mulai dari zaman akhir Jahiliyyah kepada zaman para Khulafa` al-Rashidin
yang puisi-puisinya tetap bermutu.
Dari segi latar namanya Abu al-Walid Hassan
bin Thabit bin al-Mundhir bin Haram daripada Bani al-Najjar dari Kabilah
al-Khazraj dan memuncak kepada keturunan Qahtan yang berpindah dari Yaman ke
Hijaz dan tinggal di Madinah bersama kaum Aus. Hassan dilahirkan di Madinah
lapan tahun sebelum lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. Hassan disifatkan orang
bandar (bukan badui) dari keluarga yang mempunyai kedudukan mulia dan
dihormati. Lantaran itu masanya dihabisi dalam kesenangan dan berpoya-poya.
Hasan tidak terlepas dari terseret sengketa kaum antara kaum Khazraj dan Aus
dan terlibat dalam `Perang Puisi`. Penyair Qays bin al-Hatim menyerang kaum
Khazraj dan membela kaum Ausnya dengan puisi. Demikian Hassan mempertahan dan
membela kaum Khazrajnya dan menyerang kaum Aus dengan puisi-puisinya.
Sebagai golongan atasan, Hassan mempunyai
hubungan dengan Raja di Ghassasanah dan berpeluang memadah puisi terhadap raja,
bermegah hubungan dengan kabilah dan kejayaan peperangan dengan musuh-musuh mereka.
Hassan berkongsi habuan dari raja bersama penyair-penyair semasa dengannya
seperti Al-Nabighah al-Dhibyani, `Alqamah al-Fuhli dan penyair-penyair istana
yang lain. Begitu juga Hassan berkesempatan bermadah puisi di istana raja di
Hirah, Abu Qabus al-Nu`man bin al-Mundhir dan berlaku pertembungan kepentingan
dengan penyair Al-Nabighah al-Dhibyani yang menyebabkan Hassan berundur diri
dan pulang ke Madinah.
(Diwan Hassan bin Thabit al-Ansar, Dar
al-Jayl, Beirut, 1412/1992: 5 – 6). Juga
(Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab fi
al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut,1989: 272).
Sejarah perpuisian zaman awal Islam bernasib
baik dan bersyukur kepada Allah mewarisi sejumlah besar puisi-puisi Hassan bin
Thabit sehingga dapat dihimpun dalam sebuah buku yang lengkap dan tebal 443
halaman, berbanding dengan penyair-penyair lain yang dibicarakan sebelum ini,
jika ada kumpulan puisi, maka agak nipis dan setengahnya tidak dapat
dikumpulkan sebagai kumpulan. Kumpulan puisi Hassan bin Thabit amat terkenal.
Menurut Dr. Yusof `Iid yang membuat kajian dan memberi huraian terhadap
kumpulan puisi Hassan bin Thabit:
``Dewan Hassan bin Thabit al-Ansari telah
diterbit-cetak berkali-kali sejak pertengahan abad ke 19M. Terbitan Tunis
(1864M.), Bombay (1865), Mesir (1904), London (1910) dan Beirut (1992). Menurut
Dr. Yusof `Iid Diwan Hassan bin Thabit yang dikaji ini mengandungi 229 qasidah
dan bahagian-bahagian berasingan. Tema yang dibawa masih membawa tema-tema lama
dan berterusan seperti kemegahan, madah (puji), gambaran alamiah dan soal cinta
dan kasih sayang. Walau bagaimana Dr.
Yusof `Iid mengingatkan, ``Bahawa di sana ada selitan-selitan puisi yang
diseleweng. Kerja seumpama ini dilakukan oleh seteru-seteru Islam, keadaan yang
sama berlaku pada kitab Sirah Ibn Ishaq dan tidak terkecuali perkara yang sama
berlaku pada Sirah Ibn Hisham (m.218H./833M.) sama ada pada Jami` al-Sirah,
Intisarinya dan tahdhibnya banyak berlaku kelainan dan penyisipan. Pengkajian
teliti dan hati-hati perlu dilakukan.
(Diwan Hassan bin Thabit al-Ansari, 1412/1993:
7).
Menurut Dr. Yusof `Iid, dengan kedudukan
Hassan sebagai penyair awal Islam dan berkesempatan zaman Nabi Muhammad s.a.w.
dan sahabat-sahabat, maka Hassan bin Thabit adalah permata penyair Islam yang
satu-satu dan tidak ada dua yang lainnya. Ia bukan saja berpuisi, tetapi
mewarisi dan mewariskan puisi. Dia tokoh penyair yang lahir dari rumpun
keluarga penyair dalam mana ayah, datuk dan moyangnya penyair, manakala anak
dan cucunya juga penyair dan Hassan adalah rumpun tengah dari keluarga penyair.
(Diwan Hassan bin Thabit al-Ansari, 1412/1993: 7).
Contoh sebuah puisi Hassan yang mengkritik Ibn
`Abd al-Dar di dalam peperangan Uhud. Sebelum daripada itu panji-panji tentera
Islam dikawal secara ramai dan terhormat, tetapi kemudian kerana tidak menurut
arahan seorang demi seorang tentera Islam terbunuh sehingga panji-panji
terpaksa dipertahan oleh seorang hamba bernama Suwab. Kritik Hassan:
Megah Yang Salah
Megah kamu dengan panji tidak menepati
Panji-panji terpaksa diserah kepada Suwab
Engkau letakkan kemegahan pada seorang hamba
Yang lambat bergerak mengambil tempat
Engkau jangka perahu saudara Zunun
Bukanlah di atas pelayaran yang betul
Ingat
pertemuan kita pada hari itu
Di Makkah berbaiah sepenuh hati di dada.
(Diwan Hassan bin Thabit al-Ansari, 1412/1992:
65).
Untuk memahami puisi di atas perlu memahami
sirah, terutama berhubung dengan peperangan Uhud dalam mana tentera Islam kalah
kerana tidak menurut arahan Rasulullah s.a.w. Kritik Hassan juga berhubung
dengan cara peperangan berjalan dan dipersoalkan di mana semangat jihad
sehingga panji-panji yang dimegah dan dipertahankan hanya oleh menurut Hassan
oleh seorang hamba. Pendapat Hassan juga boleh dipersoalkan, termasuk persoalan
fakta. Nampaknya Hassan masih berpandangan Jahiliyyah yang memandang rendah
seorang hamba.
Sekian.
No comments:
Post a Comment