BBB, 19 Rabiul Awwal 1436 = 10 Januari 2015 (Sabtu):
Insaf dengan kedudukannya `Antarah terkenal sebagai seorang
yang baik, lembut hati dan pemurah dan
sering menyampaikan pertolongan. Kehalusan jiwa ini memupuk dirinya kemahiran
mengungkapkan puisi, disebalik dari itu
dia pula seorang yang berani. Semua sifat terpuji ini selagi `Antarah tidak
dizalimi. Di dalam hal ini dia berpuisi:
Mereka memuji diriku kerana mereka tahu
Aku pemaaf, bergaul menjaga batas, tapi jangan dizalimi.
`Antarah bangkit dari jiwa hamba kepada tokoh yang cekal
dalam peperangan dan pemimpin yang membawa kepada kemenangan (Bagi menunjukkan
kemampuannya). Dia memimpin dalam peperangan yang dikenali sebagai `Perang
Dahis` dan `Ghabra` yang meletakkannya sebagai tokoh pahlawan. Melihat kepada
kepahlawanannya, ayahnya baru memberinya kata-kata rangsangan, sedangkan dalam
jiwa `Antarah` penuh dendam oleh perlakuan ayahnya terhadap dirinya sebelumnya.
Dari segi perpuisian dia mempunyai kemampuan mengungkapkan
puisi dengan penuh kelembutan, kehalusan jiwanya bertambah oleh cintanya
terhadap sepupunya bernama ``Ublah`` binti Malik bin Qurad yang tidak
kesampaian, antaranya turut ditentang keluarga dengan kedudukan tarafnya yang
rendah dan menjadi tema yang menghaluskan puisinya dan cerita antara mereka
menjadi buah percakapan lisan di tengah masyarakat. Antara puisi
Mu`allaqatnya berkenaan:
Berterusan kuteguk minuman selepas
Lama kumenjenguk
dalam pencariian
Kemabukanku sesungguhnya membawa
Kerosakan harta dan maruahku tanpa gantian
Apabila ku bersuara tiada lantunan gema
Sebagaimana kauketahui di mana tarafku
Berterusan kehinaan berlemparan padaku
Tapi tiada ruang pelarian dan tiada keselamatan !
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-Arabiyy, tt: 59).
Bahawa adalah diakui dalam kehitaman dan kehuduhan wajah
`Antarah tersimpan kehalusan jiwa dan kehalusan rasa. Alam sekeliling dan
masyarakat menekankan kejiwaannya. Walaupun dia cuba mengatasi tekanan jiwa
dengan menunujukkan keberanian dan kejayaan-kejayaan di dalam peperangan-peperangan,
tetapi semuanya tidakl dapat mengubat kelukaan jiwanya lantaran mata masyarakat
melihatnya begitu hina dan harapan untuk mengubat jiwanya dengan yang diharap
menjadi temannya – Ublah, sepupunya pun
melihatnya sebagaimana masyarakat keliling melihat padanya. Kata `Antarah lagi:
Terkumpul dari permulaan segala kebimbangan
Sehingga jadilah aku terpinggir di pengasingan
Aku memujuk diriku mengadapi segala secara santai
Lebih senang kuteguk minuman menghilang ingatan
Tika itu fana dari segala rasa ketahui olehmu
Seseorang itu mati walau tidak dibunuh tangan
Cita-cita jika dipasang di angan-angan terbayang
Memberi ruang
menyusuri arah ditujukan.
(Ahmad Hassan al-Zayyat, tt: 60).
Berbagai pendapat mengenai pengakhiran hayatnya, kata Ibn
Habib dan Ibn Kalbi, `Antarah berperang ke atas Bani Nabhan daripada turunan
Ta`I, ketuaannya menolaknya kepada kekalahan, sehingga dia mengungkapkan:
Telah menang Bani Nabhan yang kutentang
Seolah-olah kesannya menyekat ku ke depan
Kesan kezaliman di kawasan keasingan.
Berkata Ibn Kalbi di dalam peperangan berkenaan dia dibunuh
oleh seorang bernama al-Asad – Singa Garang. Tetapi kata Abu `Ubaidah, oleh
kerana ketuaan usianya , dia keluar dengan unta untuk menemui kenalan dari Bani
Ghatafan, dia dihujani ribut padang pasir yang membawa kepada kematiannya.
Semasa itu umurnya melepasi usia 90 tahun.
`Antarah meninggalkan puisi antara yang terkenal, ialah
Al-Mu`allaqatnya. Menjadi kajian dan keasyikan bagi peminat-peminat puisi dan
cerita-cerita mengenai cinta `Antarah terhadap sepupunya `Ublah`. Temanya
bersifat megah dan semangat, cinta dan kemanusiaan dan masyarakat dan status
kedudukan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment