July 17, 2011

Perlembagaan Malaysia: Masyarakat Perlu Memahaminya

Puri Pujangga, UKM, 14 Sya`ban = 16 Julai (Sabtu):

Program pertama pagi ini yang Adun susun menurut masa jemputan ialah Merasmikan Bengkel Perlembangaan Malaysia yang dianjurkan oleh Institute Democracy And Academic Affairs (IDEAS) dengan kerjasama Jaringan Siswazah Malaysia (JASA) bertempat di Puri Pujangga, UKM. Tokoh yang akan membentangkan kertaskerja ialah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Profesor berhubung dengan Perlembagaan Malaysia. Ada beberapa perkara yang menarik mengenai bengkel ini. Pertama ialah berhubung dengan IDEAS Penganjur Bengkel yang pertama kali bagi Adun mengetahuinya, Kedua kepentingan mengerti tentang undang-undang berhubung tentang isu semasa dan ketiga ialah pembicaraan tentang Perlembagaan Malaysia.

Dalam masa yang singkat sebelum Perasmian Bengkel dilakuakan Adun (Adun tiba lebih awal 15 minit sebelum jam 9.00 pagi) Adun sempat berkenalan dengan Saudara Wan Saiful Wan Jan Chief Executive IDEAS menerusi saudara Asrul Bin Mohd Nor, Timbalan Presiden JASA dan Zul Afza Setiausaha JASA. Menurut Wan Saiful IDEAS ditubuhkan pada Februari 2010. Ianya merupakan sebuah badan NGO. Sifatnya bukan persatuan, tetapi adalah sebuah Consultant. Tidak ramai keahlian, tetapi IDEAS menghimpunkan kalangan Intelektual Muda yang prehatin dan memberi tumpuan kepada situasi semasa negera dan perspektif masa depan. Setakat ini 7 bengkel seperti hari ini pernah diadakan. Menurut Wan Saiful. Di dalam kelompok exclusive ini terdiri dari siswazah UKM, UITM, UUM, UIAM, UNITEN dan lain-lain. Wan Saiful bersetuju bahawa IDEAS adalah lebih bersifat Ideological Perspectif. Beliau menyatakan, ``Kita lebih bersifat terbuka dan tidak berpihak kepada satu pihak, bahkan terdapat dalam IDEAS dari parti pemerintah dan juga dari Pakatan. Bila ditanya, Tidakkah mereka akan lebih dipengaruhi oleh pihak pemerintah (BN) ?, katanya, ``Kami berusaha mengelak dari terjebak di dalam kotak berpihak.``
Kehadiran pagi ini sememangnya terdiri dari pelajar-pelajar berbagai institusi. Mereka tidak ramai, Cuma lebih kurang 50 orang. Tapi sudah cukup bagi menghangat perbincangan.

Aspek kedua yang menjadi tarikan bagi Adun ialah kepentingan mengetahui dari segi undang-undang itu sendiri. Perkara ini cuba dicakapkan oleh Adun, walaupun bukan dari kalangan yang terdidik di dalam bidang undang-undang. Perasmian pembukaan adalah pada jam 9.00 pagi. Tapi Ajk masih menunggu Profesor Dr. Abdul Aziz Bari yang dikatakan dalam perjalanan. Kerana bimbang beliau tiba lewat, sedang Adun mempunyai beberapa program pada sebelah pagi ini sahaja, Adun meminta supaya Agenda perasmian diteruskan sahaja dan bila Profesor Dr. Abdul Aziz Bari tiba, beliau teruskan saja pembentangan. Cadangan Adun disetujui.

Adun berpendapat kehidupan kita memang di dalam peraturan dan undang-undang. Kita hidup pun menurut undang-undang Alam yang ditentukan Allah. Barangsiapa menentang aturan alam yang ditentukan Allah akan binasa. Misalnya mogik makan, tidak tidur dan sebagainya membawa kebinasaan pada diri. Tetapi dalam aturan tertentu bagi mengawal masyarakat dan untuk kebaikan masyarakat perlu diadakan aturan yang pada peringkat tertentu dikenali sebagai adat yang dilembagakan sebagai peraturan yang perlu dipatuhi seperti Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Bagi perjalanan sesebuah Negara perlukan undang-undang. Dalam pemerintahan moden undang-undang dicipta dan diluluskan melalui persidangan Dewan Negeri dan Parlimen. Ianya menjadi undang-undang.

Kita perlu memahami undang-undang supaya dapat menjaga dari kesalahan dan situasi mesyarakat teratur. Tetapi pada peringkat tertentu ada konflik perundangan dan pihak-pihak tertentu mengguna dan mempertahankan, tetapi pihak lain juga boleh mempersoal dan menggugat undang-undang bagi mempertahankan suatu pendapat dan pendirian. Hal ini berkait rapat dengan bidang professional undang-undang dan kita orang awam wajar mengetahuinya. Dalam hal ini relevensinya kita berbengkel pada hari ini tentang undang-undang yang dilembagakan di Malaysia yang kita panggil Perlembagaan Malaysia.

Di dalam konteks semasa kita wajar mengetahui misalnya peruntukan Perlembagaan Malaysia berhubung dengan kebebasan bersuaru, mengeluarkan idea dan kebebasan berhimpun. Kita juga wajar mengetahui, wajarkah Akta Polis digunakan bagi menghalang kebebasan rakyat berhimpun, bersuara dan mengeluarkan pendapat. Bagaimanakan boleh dikeluarkan undang-undang yang mengharam Pakaian Kuning Bersih ? Apakah kewajaran tangkapan-tangkapan dan kekasaran yang dilakukan. Berhujah mengenai aspek-aspek perundangan demikian di dalam bengkel seperti ini dan juga di mahkamah adalah sesuatu yang menarik. Ini sebagai contoh sahaja. Banyak lagi aspek perundangan yang dapat dibicarakan. Saya amat berminat untuk menyertai, tetapi tidak mempunyai masa. Saya berharap saudara-saudara dapat berbengkel secara akademik dan professional dan meningkatkan kefahaman tentang undang-undang dan perlembagaan. Demikian antara cetusan pendapat Adun.

Adun tidak berkesempatan mengikuti pembentangan yang dibuat oleh Profesor Dr. Abdul Aziz Bari. Tetapi Adun bernasib baik, selepas melakukan perasmian Adun dihadiahkan satu set ikatan kertas-kertas kerja yang antaranya kertas kerja Profesor Dr. Abdul Aziz Bari. Adun belum berkesempatan membacanya. Jika ada peluang akan dibicarakan pada masa yang lain. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment