May 12, 2012

Melawat Dua Lokasi Gotong Royong & Ziarah Warga Emas Uzur

BBB, 14 Jamadil Akhir 1433 = 06 Mei 2012 (Ahad):

Antara tempat yang menjadi fokus lawatan pagi ini ialah ke kawasan Rumah Pangsa Blok A, B & C, Bukit Mewah. Kehadiran Adun Bangi disambut oleh Encik Taib Mahmud Pengerusi Persatuan Penduduk dan Encik Gunasundram Timbalan Pengerusi Persatuan. Pada masa kesampaian Adun ini penduduk sudah turun beramai-ramai bergotong royong membersih kawasan dan mengangkat sampah-sampah dari longkang ke atas dan membawanya ke tempat loggokan. Pihak MPKj memberi kerjasama dengan menghantar sebuah lori untuk mengangkat sampah-sampah.

Ketika Adun sampai mereka diminta berhenti sekejap dan datang berhimpun keliling Adun. Dalam percakapan ringkas dengan Adun, Encik Taib Mahmud memberi tahu,

Pemaju Perumahan di sini ialah Cekap Coporation, anak Syarikat Metro Kajang. Perumahan mulai dihuni pada tahun 2004. Jumlah penduduk seramai 1,500 orang. Bayaran pengurusan ditanggung penduduk 20%, manakala negeri 80%. Harga satu unit rumah pangsa dibeli pada 1995 ialah RM19,800. Kini harga sudah tentu bertambah. Ada satu iklan untuk dijual pada rumah pangsa 2 bilik seluas 540 square feet ini dengan harga RM25,000..

Penduduk mengadu berkenaan dengan anjing, kucing terbiar, motor bising dan pagar yang telah dibuang..

Adun berucap ringkas memuji semangat gotong royong penduduk. Masalah yang ditimbulkan diharap dapat diselesaikan oleh persatuan. Berhubung dengan pagar, nampaknya sebahagian sengaja ditiadakan untuk kemudahan pergerakan, tetapi pada bahagian bahaya – curam dikekalkan dan masih baik. Adun memaklumkan peruntukan dipohon telah diluluskan dan akan dibayar secara cek dari Pejabat Daerah.

Setelah bersalam dan mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dan penduduk Adun bergerak dengan saudara Azizi ke Taman Impian Putera, Seri Putera. Adun disambut oleh Tuan Haji Azmi bin Azizan Pengerusi Persatuan Penduduk dan En. Sharul Ketua Pemuda yang bekerjasama bergotong royong. Lebih kurang 100 orang keluar bergotong royong memotong rumput, mencuci longkang dan trim pokok. Manakala pihak kaum wanita bergotong royong memasak. Pihak MPKj juga memberi kerjasama bagi kegiatan gotong royong di sini dan turut menghantar sebuah lori.

Tidak ada majlis rasmi. Pihak pemuda memaklumkan (Adun tak ingat) baju yang dipohon sudah siap, tapi kesilapan saiz masa tempah dan sedang diurus kembali. Pada pertemuan itu Adun menyerahkan cek yang dipohon untuk gotong royong. Tetapi sebelum memohon diri Adun diminta bersama menikmati makan tengahari dan beratur menyenduk nasi dan memilih lauk sendiri.

Taman Impian Putera sebenarnya tidak jauh dari Pekan Bangi dan Kampong Bahagia Bangi. Kami sengaja mengatur program selepas ke Impian Putera ialah melawat warga emas dan mereka yang uzur di kedua-dua tempat ini. Sebahagian besar dari mereka yang dilawat adalah merupakan ulangan lawatan untuk mengetahui perkembangan mereka di samping menyampoaikan bantuan. Di Pekan Bangi Adun ditunggu oleh Tuan Haji Rushdi & AJK Kebajikan dan Ketua Kampong Tuan Haji Zakaria bin Bujang dan di Kampong Bahagia disertai Ketua Kg Tuan NorAzlan Nordin. Turut sama mengiringi ialah En. Ari Krishnan Wakil Penduduk India Dun Bangi dan saudara Sanusi Setia usaha JKKK Kg. Bahagia. Rumah dan Pesakit/Warga Emas yang kami lawat ialah:

Mangsa Ragut (Kg. Bangi)
  1. Masih terlantar dikatil, kini mulai kenal orang dan respond bila Adun sampaikan bantuan dan menyerahkan kepadanya sampul duit. Anak-anak bersama bapanya (OKU) bekerja di Rawang. Beliau dijaga Ibu dan Adik perempuan

2. Encik Abdul Aziz bin Alias (Kg. Bahagia, Bangi):

Pesara Bomba, sudah dua tahun uzur, ditemai isteri Puan Siti Rosnah.

  1. En. Hisham bin Aman (42) - (Kg. Bahagia)

Pengawal di Medi Top Bandar Baru Bangi. Mengalami stroke. Darah tinggi sudah 6 tahun sakit. Tinggal menyewa rumah RM300 sebulan. Ada 6 anak. Tidak mendapat Socso. Ada sedikit pencen elat. Isteri Puan Shimah bekerja sebagai Cleaner di Putera Impian BBB.

  1. Pak Cik Ishak bin Lasim (74) Kg. Bahagia

Bekas Pemandu truck X-Ray Hospital Besar Kuala Lumpur. Sakit sejak 2000 mempunyai 2 anak. En. Ishak dijaga isteri Puan Saudah. Mendiami tanah anugerah kerajaan Negeri Selangor. Selain dari menyampaikan bantuan kewangan dan makanan, kami menghadiahkan sebuah kerusi tandas.

  1. Encik Yunus Buyung Sidi (Kg. Bahagia)

Pesara Forest. Mengalami mini stroke 2011 kerana banyak makan ikan masin jeruk tenggiri. Beliau ditemani isteri Puan Khadijah binti Sidau. Rancak bererita – pengalaman menemui Komunis Melayu semasa bertugas dihutan, tapi tak diapa-apakan. Dapat tanah tapak rumah sekarang suku ekar masa Menteri Besar Dato` Abu Bakar Baginda bersama 90 orang yang lain. Semasa Adun memohon diri beliau menangis terharu dengan kunjungan kami.

Sekian.

No comments:

Post a Comment