Atas anggapan bahawa wacana di atas benar-benar bersifat ilmiah dan atas hasrat menyokong pemulihan imej DBP sebagai Pusat Ilmu, khususnya di bawah pimpinan Ybhg. Ketua Pengarah DBP Tuan Haji Awang Sariyan, memang penulis sejak menerima jemputan berazam akan hadir, maka itulah pagi ini penulis berada bersama khalayak intelek di Dewan Seminar DBP. Tujuan utama majlis diadakan ialah Pelancaran buku Rihlah Ilmiah buku nukilan dari Prof. Dr. Wan Mohd. Nor bin Wan Daud yang kini selaku Pengarah Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (CASIS) UTM.
Apa yang menggembirakan, sebahagian daripada universiti di Malaysia mewujudkan Pusat-Pusat Kajian Lanjutan Mengenai Islam seperti Istac di UIA, maka demikian UTM turut mengadakan CASIS, maka CASIS sebagai Pusat Penyelidikan, turut menerbitkan buku-buku kajian dan penyelidikan termasuklah buku Rihlah Ilmiah. Kehadiran Prof. Dato` Dr. Zaini Ujang Naib Canselor UTM ialah bagi melancarkan buku yang dihasikan CASIS ini.

Melihat kepada judul Rihlah Ilmiah mengingatkan kita pada buku Rihlah karangan Ibn Battutah. Adakah buku Rihlah Ilmiah ini tentang pelayaran Wan Mohd Nor sebagaimana Rihlah Ibn Battutah ?

Melihat kepada pembicara-pembicara, iaitu Datuk Dr. Mohd Ghazali bin Md. Noor Mantan Pengajian Perancangan Strategik Kumpulan Islamic Development Bank (IDB) dan Ketua Sekretariat Suruhanjaya Visi 1440H IDB, Profesor Dr. Mohamad Zaini bin Othman Koordinator Antarabangsa dan Penerbitan Casis Universiti Teknologi Malaysia dan Dr. Adian bin Hussain (Pelajar Wan Mohd Nor, Pewawancara dan Editor bagi Rihlah Ilmiah) mereka adalah kalangan pelajar di Istac bahkan pelajar dibawah penyeliaan Dr. Wan Mohd Nor sendiri. Dari satu segi mereka yang ada hubungan rapat, lebih-lebih lagi pelajar adalah lebih baik, kerana mereka benar-benar kenal Pengarang (Wan Mohd Nor), tetapi tidak baiknya, kerana mereka pelajar, pekerja setempat dan kenalan rapat menyebabkan penilaian mungkin tidak objektif, bias dan bersifat mengangkat. Inilah penulis rasakan semasa menghadiri wacana berkenaan, bahkan pembicaraan lebih kepada yang bersifat hubungan peribadi, bukan kepada kandungan dan pendekatan buku.
Sebenarnya dalam mendukung dan memperjuangkan Islam dapat dikategorikan kepada sekurang-kurangnya tiga kelompok hasil dari orientasi pendidikan dan perjuangan yang dilalui
1) Kelompok yang mendalami ilmu Keislaman secara turath dan agak tradisional misalnya hasil dari keluaran Universiti Azhar dan universiti tempatan yang membawa nama Islam. Mereka mendukung, mengamalkan Islam dan menyebarkannya.
2) Kelompok yang berpengajian Islam dan Am yang melibatkan diri dalam politik dan berjuang untuk menegakkan Islam melalui politik yang mementingkan kuasa dengan janji untuk melaksanakan Islam.
3) Kelompok yang mendapat pendidikan Islam dan secular yang berminat mengkaji Islam secara akademik dengan menghasilkan berbagai pendapat dan aliran serta mempunyai pengikut-pengikut yang mendukungnya.

Melihat kepada judul buku Rihlah Ilmiah Dari Neomodernisme Ke Islamisasi Ilmu adalah topic dominant yang dibicara oleh Syed Naquib. Syed Naquib membicarakan konsep moden di dalam beberapa buah bukunya, mempelopori Islam membawa perubahan positif baik dari segi pendidikan, politik, budaya dan keilmuan di Alam Melayu. Ini bercanggah dengan Winstedt sebelumnya yang menegakkan pengaruh Hindu mendominasi Alam Melayu.
Kita mencari apakan inti pemikiran dan wawasan yang asli dan jitu yang dibawa oleh Wan Mohd Nor, sebenarnya dia masih melanjutkan falsafah dan pemikiran Naguib, tetapi tidak dapat mendekati keunggulan Syed Naguib. Lantas buku Rihlah Ilmiah sebenarnya pengalaman pengarang dalam kehidupan mencari ilmu. Kita menunggu inti penemuan yang mau dipersembahkan!
Sekian.
No comments:
Post a Comment