July 1, 2012

Hari Ilmu & Pesta Buku Selangor 2012: Penghargaan Tokoh Pengarang Dan Pustakawan

SACC, Shah Alam, 10 Sya`ban 1433 = 30 Jun 2012 (Sabtu):
Pagi ini bertempat di SACC, Shah Alam YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim merasmikan Hari Ilmu (kali ke 3) dan Pesta Buku Selangor 2012 (kali ke 12).
Hadir bersama di Majlis Pelancaran ialah YB Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan yang juga selaku Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Puan Mastura Muhammad Ketua Eksekutif PPAS, YB Dr. Hj. Yaakob Sapari Exco Pemodenan Pertanian. Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, YB Puan Haniza Mohamed Talha Timbalan Speaker, YB Tuan Manoharan Ahli Lembaga PPAS, Puan Suziliana Pengarah Sambutan, Turut hadir Adun Bangi, Pegawai-Pegawai dan orang ramai.
Dalam ucapan Perasmian YAB Dato` Menteri Besar menyatakan (selepas 15 minit Reading Break) bahawa, ``Reading is an enjoyment, dia adalah muzik minda sebagaimana muzik is not just a sound, tetapi getaran jiwa.``
Tambah YAB, ``Hari Ilmu dan Pesta Buku meminta rakyat sama merasa dan menikmati keseronokan membaca. Jadikan membaca habit harian.``
Beliau mencadangkan agar dibuat penyelidikan kadar peratusan membaca rakyat Selangor.`` Bagi menggalakkan membaca, premis perniagaan dan tempat-tempat bersesuaian wajar menyediakan sudut bacaan.`` Menurutnya, ``Di Australia bagi sejumlah 400 kedai ada kedai buku, tapi tempat kita satu Bandar ada hanya satu dua kedai buku.``. Kita mesti tingkatkan masyarakat kita dengan budaya membaca yang dengan membaca meningkat asset modal insan yang menjadi faktor utama dari segi kemajuan..
Sebelum daripada itu YB Dr. Halimah berkata, ``Usaha meningkatkan pembacaan dan menambahkan keilmuan di Selangor, antaranya dengan persediaan sebanyak 96 perpustakaan. Hari Ilmu dan Pesta Buku salah satu parasarana meningkatkan ilmu.`` Menurutnya Pesta Buku tahun lepas menarik pengunjung 350,000 orang dan target tahun ini 450,000 orang. Semalam hari percubaan dihadiri 14,000 pengunjung.. Puan Mastura semasa berucap mengalu-ngalukan kehadiran menyatakan, pada kali ini jumlah booth meningkat kepada 163 dari 140 pada tahun lepas.. Pada hari ini 5 daerah sama melancarkan Hari Ilmu, iaitu Banting, Sepang, Kelang, Sabak Bernam dan Petaling Jaya.
Kata Puan Mastura, Tema Hari Ilmu dan Membaca tahun ini ialah, ``Library is my second home.``
Pada Hari Perasmian Hari Ilmu dan Pesta buku ini diwujudkan Hadiah Katagori Tokoh Pengarang dan Tokoh Pustakawan.
Tokoh Pengarang pada hari ini ialah Bapak Said Zahari (84) tokoh Wartawan dan Penulis tajam. Beliau memimpin penentangan terhadap Umno yang menguasai Utusan pada awal 1960an. Beliau disingkir ke Singapura. Di sana beliau menubuhkan Parti Rakyat Singapura. Beliau ditahan (1963) dan merengkok dalam penjara selama 17 tahun. Selepas dibebaskan, beliau kembali ke Malaysia dalam keadaan dicurigai pemerintah. Bio-data beliau disampaikan oleh Pak Shukor Haron – Penulis. Manakala Tokoh Pustakawan yang terpilih ialah Dato` Profesor Hj. Abdullah Yaacob.Tokoh Pustakawan yang banyak membina kemajuan perpustakaan, terutam di UITM. Bio-data beliau disampaikan oleh Puan Suziliana Ketua Pustakawan Negeri. Masing-masing tokoh diberi penghargaan wang tunai sejumlah RM10,000 satu I-Pad dan warqah pengiktirafan. Penghargaan dan Pengiktirafan disampaikan oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor. Hadiah-hadiah anak-anak yang masuk pertandingan juga turut disampaikan kepada pemenang-pemenang.
Selepas itu YAB Dato` Menteri Besar melawat pameran-pameran buku diiringi Exco dan pegawai-pegawai. Buat makluman bahawa Pameran dan jualan buku adalah berlangsung dari 29 Jun – 09 Julai 2012 mulai dari 10.00 pagi hingga 9.00 malam dan bagi Hari Sabtu dan Ahad hingga jam 10.30 malam.
Sekian.

No comments:

Post a Comment