BBB, 29 Jamadil Akhir1435 = 29 April 2014 (Selasa):
Sekitar akhir 1980an pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
mewujudkan projek bimbingan `Penulis Anak Angkat`. Melalui projek ini penulis
yang berbakat di dalam satu-satu bidang kreatif dipilih oleh pihak DBP dan
dilantik seorang pembimbing berpengalaman yang bersesuaian dengan bidang
`Penulis Anak Angkat` yang dipilih. Pada pertengahan 1980an perbincangan
mengenai sastera Islam lumrah di dalam perkembangan sastera tanahair. Secara
kebetulan Penulis antara yang turut membicarakan sastera Islam, menulis tentang
sastera Islam, mengajar di Jabatan Persuratan Melayu di dalam bidang Penulisan
Kreatif. Penulis juga menjadi ahli Panel Penilai Hadiah Sastera Malaysia
(1986-1999). Melalui tugas sebagai Panel Hadiah Sastera Malaysia ini
dalam tempoh berkenaan semua hasil penulisan bagi semua bidang kreatif tanahair
sampai ke tangan Penulis (dibekalkan oleh DBP) sebagai salah seorang penilai.
Pendek kata perkembangan tulisan kreatif penulis-penulis baik yang veteran atau
penulis muda dikenali Penulis melalui tulisan-tulisan mereka.
Bila Projek Bimbingan `Penyair Anak Angkat` diwujudkan ada
penyair yang lumrah mengungkapkan puisi-puisi Islam yang berbakat, antara yang
terpilih ialah saudara Arifin Arif dari Sabah .
Pembimbing yang dianggap sesuai bagi Arifin Arif ialah Penulis.
Sebenarnya sebelum Penulis dilantik selaku pembimbing
`Penyair Anak Angkat` ini Penulis telah mengenali Arifin Arif ini melalui
tulisan-tulisannya yang ternyata berbakat. Selain dari mengenali melalui
puisi-puisinya, Penulis mengenalinya secara peribadi, kerana pernah menemuinya
melalui kegiatan-kegiatan sastera di Sabah, sama ada melalui kegiatan persatuan
penulis dan kerjasama DBP Cawangan Sabah dan kegiatan agama yang dianjurkan
oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) seperti sambutan Maulid al-Rasul dan
pembicaraan mengenai sastera Islam dan pembacaan puisi Islam. Saudara Arifin
Arif yang baru pulang dari pengajian di Mesir baru berkhidmat dengan MUIS. Beliau
bergiat menulis sebelum dan sejak di Mesir dan berterusan bergiat sepulangnya
dari pengajian di sana .
Angkatan penulis muda Sabah yang menempa nama
sezaman dengan saudara Arifin Arif ialah seperti Saibil Madun yang terkenal berbakat,
Hasyuda Abadi, Jalidar Abd. Rahim, Jasni Mat Lani, Hussain Kasau, Juri Durabi,
Matlin Dullah, Noorjannah M.A., Saee Dris dan lain-lain. Nama-nama mereka ini
sering kedapatan di dalam antologi-antologi dihasilkan seperti Jalan Ke Hujung
Taman (DBP, Cawangan Sabah, 1991), Al-Kahfi (DBP, Cawangan Sabah, 1992) dan
dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar. Saudara Arifin Arif `Penyair Anak
Angkat` bagi penulis juga menghasilkan puisi-puisi di dalam kedua-dua kumpulan
puisi berkenaan, bahkan nama bagi antologi Al-Kahfi adalah diangkat dari salah
sebuah puisi Arifin Arif yang berjudul al-Kahfi.
Kaedah bimbingan yang dilakukan terhadap puisi-puisi
`Penyair Anak Angkat` - Arifin Arif, ialah dengan beliau diminta menghantar
sejumlah puisi yang dihasilkan kepada Penulis dari masa ke masa. Penulis akan
menilai, memperbaiki dan mencadangkan pembaikan-pembaikan melalui komunikasi surat . Antaranya saudara
Arifin Arif datang sendiri menemui penulis bila beliau datang ke Kuala Lumpur dan ke Bangi
bila ada pertemuan penulis-penulis atau seminar-seminar sastera dan juga atas
urusan kerja beliau.
Melalui beberapa tahun bimbingan dan kegigihan saudara
Arifin Arif puisi yang dibincang dibedah dan dibaiki pada akhirnya puisi-puisi
beliau dapat dihimpun dalam satu kumpulan yang diberi judul:
Api Laut Merah
Judul adalah dari peristiwa sejarah yang berlaku di Makkah
pada zaman pra dan Permulaan Islam. Api Laut Merah mengandungi 81 buah puisi.
Penulis yang membuat kata Pengantar bagi kumpulan puisi Api
Laut Merah antaranya menyatakan:
``Setelah membaca dan meneliti kumpulan puisi berjudul Api
Laut Merah karya Arifin Arif ini, sebagai pembimbing, saya yakin Arifin Arif
mempunyai kekuatan dan keistimewaan sendiri,`` tambah Penulis kekuatan Arifin
Arif ialah pada ungkapan-ungkapan bagi puisi-puisi ringkasnya, Arifin kurang
dapat mengawal idea dan kelancaran kata bila mengungkapkan puisi dalam bentuk
yang lebih panjang. Puisi-puisi Arifin Arif banyak bertemakan keislaman di
samping tema-tema tempatan.
(Arifin Arif, Api Laut Merah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1999: IX-X).
Contoh puisi ringkas Arifin yang mengesankan
Di Makam Syafie
Pada kunjungan ini
Kaukembali dengan setanggi rohmu
Menyantun salamku penuh kasih Izzati
Kembang fikri mewangi sepanjang hari
Nenda, puspa rindu mekarnya jauh
Kutabur kini
Kutabur syahdu di pusaramu.
Kaherah,
1985.
(Api Laut Merah, 1999: 2).
Arifin mengambil kisah dari al-Qur`an (Cerita Nabi Yusuf dan
Ayub) sebagai imej dalam puisinya – Warkah, meluahkan isi hatinya kepada ibunya:
Warkah
(Untuk Ummi)
Tentang Zulaikha
Dan gadis-gadis
Yang menghiris jemari itu
Usahlah dirisaukan
Aku akan selalu
Mencontohi kesabaran
Daripada Yusuf.
Tentang Laila
Dan segala keputusannya
Yang menestapakan itu
Juga, usahlah difikirkan
Aku masih berguru
Menggali ketabahan
Daripada Ayub.
Ummi
Takku pernah
Mendendaminya
Kerana sedari kecil
Kau tak mengasuhku
Mewarisi tabiat Qabil
Kaherah,
1988.
(Api Laut Merah, 1999: 18).
Cerita Nabi Yusuf dan Zulaikha yang menarik memang banyak
memberi ilham kepada penulis termasuk Arifin Arif. Dari cerita Nabi Yusuf juga
beliau mengungkap puisi di bawah yang mendekati bentuk `prose poetry`:
Bunyi Sepatu
Dengarkan baik-baik bunyi sepatu
Yang makin mendekat itu. Jangan-jangan dialah Zulaikha yang
mengetuk tengah malam
Semalam. Ah ! Pintu, sampai subuh baru kita singkirkan
palangnya. Kali ini, bagaimana pula jika Yusuf tidak juga pulang…
Kaherah 1988.
(Api Laut Merah, 1999: 25).
Begitu imaginasi dan kreativiti Arifin Arif, manarik dan
kaya dengan estetik.
Nampaknya puisi-puisi yang dihasilkan semasa di Mesir, di
dalam kumpulan Api Di Laut Merah ini lebih kental dari puisi-puisi yang
dihasilkan di tanahair. Sebagai seorang yang terdidik di dalam bidang Islam
Arifin Arif, memhami aspek-aspek yang berhubung dengan falsafah dan kerohanian,
contoh:
Makrifat
Ilmu mengenal kasih ke dasar batin
Kilau wajah abadi pada cermin peribadi
Selamat menuju hakkul yaqin ….
Papar
(Api Laut Merah, 1999: 70).
Arifin Arif penyair berbakat dan berkecenderungian
menghasilkan puisi-puisi keislaman. Sebagai `Penyair Anak Angkat` Penulis
mempunyai harapan tinggi mau melihat Arifin Arif meneruskan kreativiti
kepuisiannya. Namun selepas selesai menjadi pembimbing Penulia terputus
hubungan. Namun kegiatan sasteranya sekali sekala kedapatan. Mutakhir termaklum
Arifin Arif menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di Sabah dan dimaklumi juga beliau
telah berumah tengga dengan seorang puteri Ketua Menteri Sabah. Namun harapan
masih tak padam, semoga Arifin Arif dengan kesebokan tugas dan kehidupan yang
makin selesa dan bahagia tidak menyebabkan penanya makin longlai dan
puisi-puisinya tersadai.
Sekian.