January 7, 2014

Orang Bertiga Mengukuh Aliran Penyajak Kabur

-->
BBB, 04 Rabiul Awwal 1435 = 06 Januari 2014 (Isnin):

Telah diperkatakan bahawa pertengahan tahun-tahun 1950 timbul kelompok penyair menghasilkan `Puisi Kabur`. Tiga orang daripada mereka ialah Noor S.I., A.S. Amin dan M. Ghazali. Oleh kerana keselarian mereka dari segi pengungkapan, konsisten dengan cara mereka dan berada di dalam satu era, mereka dilihat sebagai mempelopori sajak-sajak kaburi dan membentuk aliran khusus pada pertengahan 1950an dan seterusnya secara menyimpang dari pengungkapan tradisional dan biasa sebagaimana selama ini. Dari satu segi mereka bukan setakat menyimpang, tetapi memberontak terhadap pengucapan tradisional dan biasa yang dianggap terlampau klisye dan memerlukan pembaharuan. Kekukuhan kedudukan mereka lantaran diterbitkan puisi-puisi mereka yang beraliran kabur di dalam sebuah antologi yang diusahakan oleh Pyan Husayn dan Suhaimi Haji Muhammad dengan judul `Orang Bertiga` dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1980).


Ketiga-tiga penyair walaupun bersatu dari segi aliran, tapi berlainan latarbelakang. Contoh Noor S.I. bekerja pada penerbitan Pustaka Nasional Singapura, A.S. Amin bekerja antaranya di beberapa penerbitan seperti Penerbitan Franklin dan kemudian Penyunting di Utusan Melayu dan M. Ghazali berpendidikan Arab, bekerja sebagai guru agama, kemudian berkhidmat di berbagai penerbitan seperti Melayu Raya, Utusan Melayu dan Angkatan Baru. Selain dari sajak-sajak tiga penyair kabur diterbitkan secara bersama `Orang Bertiga`, masing-masing menerbitkan kumpulan puisi masing-masing:

Noor S.I. menerbitkan kumpulan puisi  `Setanggi Waja` & `Rakaman Roh`.
A.S. Amin menerbitkan kumpulan puisi `Damai`.
M. Ghazali menerbitkan kumpulan puisi `Bunga Merah`.

Antara bertiga Noor S.I. adalah terkedepan di dalam mempelopori sajak kabur. Sajak kabur permulaannya berjudul:
``Cerita Larut Membawa Kenangan``
(Kepada kejayaan sandiwara dan kawan-kawan)

Ada terselip cerita indah dari lantai mati
Kerdipan mata nak dara bersopan sekali
Dan penjaja taman malam itu membisu hati
Menikmati limpahan mesra sampai dinihari.

Sampai larut seribu cerita lagi berturut
Lantai mati jadi saksi yang tak mati

Ada teruna bermata jernih sebagai kaca
Pada penari kecil tiada berteman
Mesra pandangan pada ``gadis di kuburan`
Lahirlah cerita berturut penuh kenangan

Wahai hati meronta mahu memburu
Nak dara pulang tenang membisu.

(Utusan Zaman, 10 Julai 1955).

(Orang Bertiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1980: 6).

Sajak ini disorot oleh Asraf dengan menunjukkan rangkap tiga sajak itu mengandungi kekaburan dan sukar untuk difahami. Ismail Hussein (1956) mengeluh tentang kesukaran sajak Noor S.I.
(Orang Bertiga, 1980: 1X)).
Penyajak Noor S.I. paling banyak menghasilkan puisi dan konsisten diikuti Penyajak As.Amin dan M.Ghazali. Perkembangan penulisan sajak kabur berterusan hingga 1960an. Contoh sajak A.S.Amin:

Dunia Kosong
Seraklah tengkorak
Dunia kosong dan terpacak di simpang
Merebakkan api membara menyala
Mengalirkan darah menyilau di tanah
Berseraklah tengkorak menyamai sampah.

Tinggallah yang bisu kaku
Gadis-gadis kehilangan kasih hatinya
Ibu-ibu memimpikan anak-anaknya
Isteri-isteri kehilangan suaminya

Kepada siapa sesalan hati
Ataukah takdir dari Ilahi ?

Ada tangan kejam sekali
Bersikap kasar menyalakan api

Singapura
November 1956                Utusan Zaman, 18 November 1956.

(Orang Bertiga, 1980: 95).

Contoh dari M. Ghazali`

Menggelepar

Tumbuh dan berbunga
Kental menyingkap diri
Putih menyerah rela
Merah berumbi di hati

Subur rasa dibakar
Hitam nafas ditadah
Mengelepar ke siang datar
Sekuat hati membedah

Kaku kepunahan darah
Dalam tanah aku menyembah

Singapura,
21 Mei 1957.

(M. Ghazali, Bunga Merah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1977: 12).

Demikian puisi-puisi dari setiap penyair `Orang Bertiga` yang dianggap kabur dan memang kabur.

Kehadiran puisi-puisi kabur mengocak ketenangan alam perpuisian, bahkan menimbulkan penentangan dan tidak kurang pula yang mempertahankan.
Antara yang menentang ialah seperti Kassim Ahmad, Suhaimi Haji Muhammad, bahkan seorang pensyarah bahasa, iaitu Muhammad Yusof bin Mohamed membandingkan sajak kabur sebagai hasil lukisan abstrak yang dilukis oleh monyet !

Manakala yang mempertahankan ialah A.Shukur Harun, Hassan Ahmad, A.Samad Said, Simposia, Darus Usma dan Sahmad Malaya. Yang menentang menganggapnya tidak berfaedah, manakala yang menyokong melihatnya sebagai perkembangan yang sihat dan berubah dari yang bersifat klisye dan jumud kepada kemungkinan-kemungkinan baru. Idrus seorang tokoh Angkatan 45 Indonesia yang kebetulan datang ke Malaya pada ketika hangat diperkatakan tentang sajak kabur menganggap sajak sedemikian sebagai `Hasil Seni yang abstrak`, manakala Abdullah Hussein  berpendapat sajak seperti kesenian lain, kadang-kadang tidak difahami kerana ada di dalamnya `bibit ghaib`. Bagi Masuri S.N. mengaggap ianya satu perkembangan baru dalam kesusateraan Melayu.

(Orang Bertiga, 1980: IX – XVII).

Walaupun timbul kecaman dan yang mempertahankan, ketiga-tiga tokoh terus berkarya hingga ke tahun-tahun 1960an. Kehadiran mereka dengan identiti `Sajak Kabur` diterima sebagai satu aliran yang berkembang di dalam perpuisian tanahair, khususnya sekitar 1955-1960an).

Sekian.

January 6, 2014

Perasmian & Pembukaan Pusat Aktiviti Belia ABIM Bangi Dan Majlis Kesyukuran Khidmat Bantuan Banjir

-->
BBB, 02 Rabiul Awwal 1435 = 04 Januari 2014 (Sabtu):

ABIM selain dari mempunyai beberapa pusat didikan Islam dan pentadbirannya di Bangi, kini memiliki sebuah lagi kedai dua tingkat end lot di Jalan 1/4A berdekatan dengan Medan Usahawan di sini. Premis ini digunakan secara maksimum oleh ABIM pada pertengahan Disember 2013 sebagai Pusat Operasi Menghimpun Bantuan Dan Barangan dan menghantarnya ke lokasi-lokasi banjir di Kuantan, Kemaman dan Johor.


Pagi hari ini saudara Mohd. Nizam bin Shamsuddin Ketua ABIM Bandar Baru Bangi datang ke rumah Penulis yang tidak jauh dari Pusat Aktiviti di atas menjemput Penulis ke Majlis Perasmian Dan Kesyukuran yang diadakan di premis berkenaan pada petangnya. Majlis menurutnya bermula dari solat Maghrib, tetapi secara rasmi adalah selepas solat Isya`. Penulis hadir berjamaah solat Isya` di tingkat bawah bangunan berdekatan khemah-khemah yang didirikan di pekarangan. Jemputan yang hadir pada malam ini Dato` Dr. Muhammad Ali Pengerusi Bank Syariah Koperasi Malaysia, saudara Khairuddin Abbas YDP ABIM Selangor, saudara Mohd. Nizam bin Shamsuddin Ketua ABIM Bangi, Wakil Majlis Belia Malaysia (MBM) saudara Khairul Anwar, Tuan Haji Abdul Rahman Yasin YDP WADAH, saudara Mohd Ariff Setiausaha Persatuan Mahasiswa Selangor, Dr. Saad dari Surau Country Height, saudara Amir Othman, para jemputan dan ahli-ahli ABIM.

Majlis selepas Isyak itu bermula dengan al-Fatihah dan bacaan doa dan terus kepada makan malam. Pengerusi sebelum menjemput pimpinan memaklumkan bahawa majlis pada malam ini ialah bagi merasmikan Bangunan ABIM yang baru sebagai Pusat Aktiviti ABIM, khususnya bagi belia-belia di Bandar Baru Bangi dan kesyukuran kerana misi ABIM di dalam aktiviti membantu mangsa banjir di Pantai Timur pada pertengahan Disember 2013 adalah berjaya.

Saudara Khairuddin Abbas YDP ABIM Selangor ketika dijemput menyampaikan ucapan perasmian, merujuk kepada ayat al-Qur`an bermaksud:


``Kamu adalah sebaik-baik ummah dikeluarkan bagi manusia, kamu menyuruh membuat baik dan mencegah dari melakukan kemungkaran (Ali `Imran: 110) yang menjadi motto dan panduan ummah yang juga menjadi landasan bagi perjuangan ABIM.

Saudara Khairuddin memaklumkan bahawa Presiden ABIM Cikgu Amadi Manan tidak dapat hadir, kerana mempunyai program di tempat lain dan beliau berkirim salam kepada hadirin. Beliau bersyukur kepada Allah, kerana pihak ABIM Bangi mempunyai premis bagi menjalankan berbagai kegiatan belia di sini. Bangi menurutnya adalah tempat subur dengan perkembangan Islam, berbagai gerakan dan persatuan memilih Bangi sebagai pusat gerakan, dikhabarkan menurut saudara Khairuddin PKPIM juga bercadang memindahkan pusat kegiatannya ke Bangi. Beliau menyebut, ``Apa yang dibina oleh Dr. Shafie semasa menjadi Adun Bangi dan menjadikan Bangi Bandar Ilmu adalah tepat dan menjadi katalis bagi kemajuan Bangi sebagai Bandar Ilmu yang kita sama memanfaatnya.`` Saudara Khairuddin mengucap tahniah di atas kegigihan ABIM Bangi yang bertungkus lumus bekerja menghimpun bantuan dan barangan dan menghantarkan ke lokasi-lokasi kritikal seperti di Kuantan, Kemaman dan Johor. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulur bantuan bahkan memberi bantuan tenaga turut sama ke lokasi-lokasi banjir.


Saudara Khairuddin menyebut ABIM mungkin akan menubuhkan koperasinya sendiri. Beliau merujuk kepada Dato` Muhammad Ali Bekas Pengerusi Koperasi Angkasa yang hadir dan boleh dapat nasihat daripadanya. Di bangunan ABIM Bangi ini akan diadakan gymnasium untuk kegiatan sukan belia Bandar Baru Bangi. Beliau juga memaklumkan bagi meneruskan kegiatan kemasyarakatan ABIM bercadang menubuhkan `Squad Perihatin ABIM` sebagai satu pasukan yang terus bersiap siaga menyalurkan bantuan dan pertolongan bila-bila berlaku kecemasan dan bencana alam. Skuad boleh bekerjasama dengan sebarang keperluan setempat, beliau merujuk contoh, ``Jika Dr. Shafie memerlukan tenaga kerjasama di dalam membangunkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi, maka pihak ABIM sedia memberi kerjasama.``

Saudara Khairuddin merasmikan Bangunan Aktiviti Belia ABIM Bangi dengan nama `Adab Youth Carage`dan Majlis Kesyukuran dengan lafaz `Bismillah`.

Di dalam majlis ditayangkan vedio menunjukkan operasi menghimpun bantuan dan barangan dan kegiatan-kegiatan ahli ABIM dilokasi-lokasi bantuan. Anak-anak dari `Ikatan Generasi al-Qur`an ABIM (Iqra`) juga menyampaikan nasyid.

Sebelum daripada itu saudara Mohd. Nizam Shamsuddin Ketua ABIM Bangi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dan taklimat memaklumkan bahawa, bangunan ini mula digunakan ABIM Bangi bagi operasi membantu mangsa banjir yang berlaku di Kuantan, Kemaman dan Johor pada pertengahan Disember 2013 lepas. Kata saudara Nizam,
``Pihak ABIM Bangi berjaya menghimpunkan sebanyak 60 ton barangan. Sambutan amat baik, barangan yang dihantar bukan setakat dari Selangor, tetapi ada yang dipos dari Pulau Pinang dan Melaka. Pekerja-pekerja sukarela bekerja mempakej barangan  sebanyak 50,000 pakej. Pihak Majlis Belia Malaysia (MBM) sponsor 2 buah bas bagi membawa sukarelawan termasuk menghantar 15 tenaga (MBM) ke Kuantan dan sebuah lagi bas disponsor oleh pihak MIROS.
Di pusat-pusat perpindahan sementara  mangsa-mangsa banjir, kata Mohd. Nizam, ``Kami buat bidai yang memisahkan keluarga dengan keluarga yang lain bagi menjaga aurat dan privacy mereka, terutama bagi anak-anak remaja perempuan.``
Pihak ABIM juga mengadakan program `Back to School` di beberapa tempat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17,000.00.


Mengenai program pada masa hadapan, ialah mewujudkan Skuad Prihatin ABIM -menyediakan Bantuan Dan Pertolongan Kecemasan yang dapat digerakkan bila-bila masa ke tempat yang memerlukan bantuan dan pertolongan kecemasan.
Pada Pusat Khidmat ini, disebut pula oleh saudara Nizam, akan diadakan gymnasium untuk aktiviti remaja ABIM dan  setempat.
Kerjasama dengan Fakulti Perubatan UPM akan diadakan  terutama berhubung dengan kegiatan berkaitan dengan perubatan seperti mengadakan `Hari Kesihatan`, Hari Keluarga` dan sebagainya.

Pihak ABIM Bangi di sini juga memerlukan kenderaan bagi pergerakan. Setakat ini ada pihak yang sedia membantu dengan menawarkan kenderaan Toyota Prada yang kini harga pasaran ialah RM35,000 dan beliau menawarkan seharga RM18,000. Kini pihak ABIM di sini sedang mengumpul dana dan berharap ada pihak yang sudi mensponsor bagi membeli kenderaan berkenaan.

Tabung derma juga diedarkan bagi membantu kegiatan ABIM.

Majlis yang bermula dari solat maghrib itu berakhir jam 10.00 malam.

Sekian.

January 5, 2014

Menerima Cek RM1,520,000.00 Dari Dato` Dr. Haron Din Untuk Masjid Al-Umm

-->
Kediaman Dato` Dr. Haron Din, BBB, 02 Rabiul Awwal 1435 = 04 Januari 2014 (Sabtu):

Sebagaimana dijanjikan dalam Majlis Doa Selamat Dan Penentuan Arah Kiblat pada Khamis 30 Safar = 02 Januari 2014 lepas, maka pada hari ini Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Penaung bagi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm memaklumkan kepada AJK bahawa beliau mau menyerahkan cek yang dijanjikan. Penulis selaku Pengerusi AJK menerima maklumat dari Tuan Haji Abdul Rahman Daud AJK menjelang Zohor hari ini bahawa Tuan Guru menjemput ke rumahnya bagi penyerahan cek.


Sebelum ke rumah Tuan Guru Penulis bersama saudara Azizi ke Surau Al-Nur bersolat Asar berjamaah yang diimami oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din sendiri dan kemudian bersama dengannya dan AJK ke rumahnya tidak jauh dari Surau Al-Nur. Hadir ke Majlis Penyerahan Cek secara ringkas.

1)      Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Penaung
2)      Dr. Shafie Abu Bakar  Pengerusi
3)      Cikgu Ma`an- Pengerusi AJK Surau Al-Nur
4)      Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi KPI yang juga AJK Pembinaan Masjid
5)      Tuan Haji Mohd Nor Hj. Yassin Bendahari
6)      Tuan Haji Abdul Rahman Daud AJK
7)      Saudara Hamdi Anak Tuan Guru
8)      Saudara Haji  Azizi – Juru Gambar.

Sebaik tiba pengurusan penyerahan cek dilakukan oleh saudara Hamdi yang ditulis atas tiga helai cek. Kami dapati jumlah penyerahan melebihi dari jumlah yang dijanjikan pada Majlis Doa Selamat dan Penentuan Arah Kiblat (RM1.5 juta), tetapi yang diserahkan pada petang ini ialah sejumlah RM1,520,000.00 bertambah RM20,000.00 daripada jumlah yang dijanjikan. Tapi menurut Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din jumlah cek ini adalah:

1)      Derma dari Puan Sri Hamidah bt. Abdul Rahman  berjumlah  RM1,000,000.00


2)      Dato` Dr. Haron Din                                                                  RM   500,000.00


3)      Tambahan terbaru dari Dato` Dr. Haron Din                             RM     20,000.00



                                 Jumlah semua                                                        RM1,520,000.00

Penyerahan cek dilakukan oleh Dato` Dr. Haron Din dan diterima oleh Penulis sebagai Pengerusi disertai AJK dan semua yang hadir. Sebagai tanda terima kasih Penulis menyerahkan dua buah buku, iaitu Bangi Bandar Ilmu dan Gagasan Bangi. Selepas itu Penulis pula menyerahkan cek-cek berkenaan kepada Tuan Haji Mohd. Nor Yassin selaku Bendahari. Segera resit penerimaan disiapkan oleh Tuan Bendahari dan Penulis menyerahkan resit-resit berkenaan kepada Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Selepas semua penyerahan dan penerimaan dilakukan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din membaca doa selamat.


Sambil minum petang yang dihidangkan Penulis menyebut bahawa Pembangunan Masjid akan diikuti kelak beberapa fasa:

1)      Pembangunan Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan antaranya bercadang mengadakan Pengajian Tahfiz dan Lanjutan bagi penduduk dan pelajar luar belajar di Masjid Al-Umm sebagai induk bagi Wadi Ilmu bersama surau-surau dan Kompleks Pendidikan Islam (KPI) berhampiran. Mungkin juga Perubatan Islam yang Dar Al-Shifa` berada di dalam kawasan ini.
2)      Pembangunan Fizikal dengan memohon dari pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan kompleks di atas kawasan Medan Usahawan bagi asrama, perpustakaan, Dewan-Dewan dan ruang perniagaan termasuk membangunkan bahagian padang (dikekalkan) sebagai sebahagian dari pembangunan Masjid Al-Umm.
3)      Melaksanakan konsep wakaf, termasuk menaja dan membiayai pelajar-pelajar tahfiz terpilih dari Tabung Wakaf Pengajian Masjid Al-Umm dan memiliki harta-harta tetap Masjid Al-Umm sebagai asset jangka panjang bagi pembangunan masjid dan pendidikan.
(Gagasan tersebut di atas antaranya terakam di dalam buku Bangi Bandar Ilmu dan buku Gagasan Bangi yang diserahkan kepada Dato` Dr. Haron Din).

Di dalam hal ini pihak AJK tentulah mengharapkan idea dan cadangan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din bagi kemajuan Masjid Al-Umm dan perkembangan pengajian dan keilmuan dari masjid dan rangkaian pendidikan yang telah sedia berkembang di sekitarnya.

Menyebut tentang pelajar Tahfiz Dato` Dr. Haron membangkitkan,``Setiap tahun kita mendapatkan hafiz-hafiz dari luar untuk menjadi imam pada bulan Ramadhan.`` Tambahnya,
``Adalah memalukan, Bangi sebagai Bandar Ilmu terpaksa mencari hafiz-hafiz dari luar. Sepatutnya kitalah yang menghantar hafiz-hafiz ke luar !``
Beliau mengingatkan kepada Cikgi Ma`an selaku Pengerusi Surau Al-Nur, agar mendapatkan hafiz-hafiz tempatan. Bukan tidak ada hafiz-hafiz tempatan.  Tapi perlu dibuat janji dan tempahan hafiz-hafiz berkelayakan lebih awal.  Di tempat kita ada hafiz-hafiz lulusan Usim, Kuis dan lulusan dari tempat lain.``


Dalam kata lain peranan Tahfiz yang bakal diwujudkan di Masjid Al-Umm kelak antaranya bagi mewujudkan hafiz-hafiz tempatan, di samping mengexport mereka sebagai hafiz dan pendidik ke tempat-tempat yang lain.

Sebelum pertemuan berakhir pihak AJK berbincang dengan Tuan Guru tarikh-tarikh alternative dengan berbagai pihak, terutama bagi mendapat dana bagi Masjid Al-Umm. Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din menunjukkan kesungguhan bahawa beliau bersedia memimpin pertemuan-pertemuan dengan pihak-pihak berkenaan bila dibuat temu janji menurut tarikh-tarikh yang bersesuaian. Insya Allah.

Sekian.

January 4, 2014

Aliran Penyajak Kabur


BBB, 30 Safar 1435 = 03 Januari 2014 (Juma`at):

Selepas Perang Dunia Kedua, kesusasteraan berkembang bebas, termasuk puisi. Bidang puisi menunjukkan perkembangan yang menarik. Berlaku kerencaman pengucapan, bahkan mewujudkan aliran-aliran sebagaimana diperkatakan seperti aliran patriotisme yang tercetus oleh `struggle` maukan kebebasan dan kini perjuangan untuk kemerdekaan. Juga aliran romantisme yang lebih didominasi perasaan, terutama dari jiwa muda. Pusat persuratan pada masa itu masih bertempat di Singapura, maka tidak ada sempadan antara penulis yang tinggal di Singapura atau di Malaya, maka mereka dianggap penulis tanahair yang berjuang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan disamping perkembangan sastera itu sendiri.

Puisi-puisi yang bersifat patriotisme selalunya bersemangat dan bagi menimbulkan rasa semangat dan kecintaan tinggi terhadap tanahair dan perjuangan kerananya penulis selalunya menggunakan istilah-istilah yang menimbulkan kesan yang bombastic dan tidak sangat membawa elemen seni yang tinggi. Contoh:

Berjuang
Hatam

Bangunlah wahai pemuda, pemudi
Dari tidurmu yang lelap lena
Pandanglah kepada yang telah terjadi
Bangsa dan nusa telah terhina.

Rapatkan persatuan, dirikan barisan
Berjuanglah dalam segala pergerakan
Biarpun mati berhabis-habisan
Kemuliaan bangsa jangan dilepaskan.
…

(Abdul Latiff Abu Bakar,Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: 429).

Puisi di atas terlampau bersifat langsung, tidak bersifat estetik, bahkan bombastic. Ungkapan langsung tidak berseni, bahkan jika dikatakan sebagai sebuah puisi adalah gagal. Untuk menghasilkan sebuah puisi bahasanya seharusnya halus, berlapis dan membawa maksud yang konotatif yang mengindahkan makna dan menghasilkan daya estetik, sama ada baersifat tradisional maupun moden. Contoh T. Alias Taib:

Petang Condong

Petang condong tiba di usiaku
Membawa warna lembut ke wajahku
Serta mengubah pandanganku:
Pada gerak dan tindak
Dan jalan yang kupilih,
Pada sikap dan tanggap
Dan fikiran yang kuatur
Petang turun perlahan
Membawa tenang ke dalam langkahku.

Kerana usiaku kian melengkung
Maka hidupku harus sederhana.

1990.

(T. Alias Taib, Petang Condong, dlm. Petang Condong, Pustaka Cipta Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1996: 88).

Puisi di atas mudah tetapi indah. Temanya tentang keinsafan diri orang tua. Lihat ungkapan-ungkapan yang indah, menarik dan kaya dengan daya estetik dan simbolik seperti Petang Condong yang membawa makna usia yang makin lanjut, hidup yang hampir noktah atau makna keinsafan itu sendiri. Begitu juga dengan ungkapan-ungkapan seperti, membawa warna lembut, petang turun perlahan (elemen personafikasi) dan usiaku kian melengkung. Persoalan yang dibawa amat biasa, tetapi diindahkan dengan daya kreatif yang ada pada penyair yang menunjukkan kemampuan di dalam mengetengahkan idea dengan dokongan kata-kata yang kreatif dan estetik.

Pada dekad 50an terlampau lumrah dengan puisi-puisi yang bombastic dan miskin dari daya estetik. Dalam konteks ini lahir penyair yang mau lari dari sifat klisye ini dengan menggunakan kata-kata dan istilah-istilah yang lebih jauh, elastisiti, bercabang dan mendalam maknanya. Penyair juga mengelak diri dari bersifat ungkapan-ungkapan yang romantis sifatnya.

Pada pertengahan 1950an timbul penyair seperti A.S.Amin dengan puisinya antaranya:

Cermin Tua

Ketika pulang cinta pada hatinya
Terasa lapang di dada dan kembali hidupnya
Bahawa apa yang dirasakan itulah hidup gemilang
Nikmat ini menyatakan akan senang dan garang

Bila kesempatan satu-satu pula datang
Siang-siang mendengdangi hati rakyat
Yang tinggal memakan racun hidupnya
Dengan memburu pada sisa yang dapat.

Sekali mata berkaca pecah harapan sendiri
Hati tenggelam benci dan mati.

(Utusan Zaman, 24 Mac 1957).

Kamaruzzaman A. Kadir, Puisi Sepanjang Zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 83).

Gaya pengucapan yang menyimpang juga dihasilkan oleh penyair M. Ghazali antara puisinya:

Puncak Cita

Suatu puncak gagah indah
Dalam liputan awan memutih
Damailah manusia yang tiba ke sana
Titik keadilan dan kemerdekaan.
…

Tahun berlalu dan masih bisu
Lagu yang membosankan telinga
`nampak `dia` enak-enak bercengkerama
Bulan bercahaya dan puputan bayu
Mata memperhatikan bintang di langit biru.
…
Singapura, Januari 1955).
(M. Ghazali, Bunga Merah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1977: 1).

Seorang lagi yang juga membawa penyimpangan dalam pengucap puisi, ialah Noor S.I. Antara puisinya:

Rahsia Sajak Dan Daerahnya

Ada sajak membakar dalam daerah yang terbiar
Lagu dendangan liar cerita mati bayi memijar
Sejuta mata memancar menikam irama lenggang menggetar
Manusia yang tercalar antara pengemis yang terketar.

Ada sajak telanjang dalam daerah neraka panjang
Bonda menangis panjang pada anak derhaka miang
Mati anak petualang terlalu dahaga di tengah padang
Antara suara jalang dalam pertukaran musim memanjang.

Sekarang sajak liar pemeluk cerita daerah liar
Antara tangisan mengelepar di tanah jajahan yang melebar
Seluruh manusia lapar dalam merindu kasih mendampar
…
(Utusan Zaman, 6 November 1955).
(Kamaruzzaman A. Kadir, 1989: 120).

Dari tiga buah sajak dari tiga penyajak berlainan di atas yang menulis sejak sebelum merdeka berlaku penyimpangan dari segi pengucapan, kecuali Noor S.I. masih terikat dengan unsur bunyi, tapi ketara kandungan dan mesej sukar ditangkap. Dalam perkembangan seterusnya ketiga penyair ini membawa gaya pengucapan dan aliran  tersendiri yang kandungan sukar difahami. Dengan identiti mereka ini, mereka dikenali dengan `Penyair Kabur` - Bakal diperkatakan seterusnya.

Sekian.

January 3, 2014

Dato` Dr. Haron Din Menderma Sebanyak RM1.5 Juta Bagi Masjid Al-Umm Di Dalam Majlis Doa Selamat & Penentuan Arah Kiblat

-->
Tapak Masjid Al-Umm BBB, 30 Safar 1435 = 02 Januari 2014 (Khamis):


Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Penaung Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm pagi ini ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Doa Selamat Dan Penentuan Arah Kiblat Masjid Al-Umm mengumumkan yang beliau menderma bagi Masjid al-Umm sebanyak RM1.5 juta. Inilah derma terbesar setakat ini yang diterima dari orang perseorangan. Dengan derma beliau menjadikan jumlah derma dalam kutipan ialah sebanyak RM4 juta. Beliau mencadangkan pihak AJK menemui pihak Wakaf dan Zakat negeri Selangor bagi mendapatkan derma RM2 juta lagi bagi melayakkan pihak AJK menuntut dari pihak Kerajaan Negeri RM6 juta sebagaimana dijanjikan Kerajaan Negeri Selangor. Kos bagi membina Masjid Al-Umm ialah sebanyak RM12 juta. Beliau meminta pihak AJK membuat temujanji dengan pihak Wakaf dan Zakat Negeri Selangor dan Tuan Guru berjanji akan turut sama pergi setelah dibuat temu janji.


Komitmen Tuan Guru dalam membina masjid bukan baru dan bukan setakat Masjid Al-Umm, tetapi sebelum ini beliau juga membantu menyiapkan Masjid Kg. Pering, Kedah. Beliau juga menderma sebanyak RM1 juta bagi membina sebuah masjid di Langkawi yang selepas 3 tahun mencari derma hanya dapat dipungut sebanyak RM12,000 sahaja.
Beliau juga membina sebuah masjid di kampungnya sendiri di Perlis.



Merujuk kepada pembinaan Masjid Al-Umm kata Tuan Guru, `` Ianya merupakan saat yang kita semua tunggu. Tiada kerja yang lebih mulia dari membina Rumah Allah. Masjid yang paling mulia ialah Baitullah al-Haram.`` Beliau merujuk kepada ayat bermaksud:

``Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan pertunjuk hidayat bagi manusia.`` (Ali `Imran: 96).

Dan kedua penting ialah masjid. Firman Allah bermaksud:
``Dan bahawa masjid adalah bagi Allah, maka janganlah engkau menyeru bersama Allah akan sesuatu yang lain (Al-Jinn: 18).
Kata Dato` Dr. Haron Din,
`Hari ini, kita memohon kepada Allah untuk mendirikan rumah Allah, tidak ada sebab Allah tidak menolong, jika kita benar-benar ikhlas. Firman Allah bermaksud:

``Kamu berhajat kepada Allah dan Dia Kaya lagi Maha Terpuji.`` (Muhammad:38).

Beliau berkata, ``Allah menguji kita, selama lebih dari setahun masih belum dapat memungut sejumlah RM2 juta. Tetapi kita seharusnya terus berusaha. Sesungguhnya maksud Hadith:

``Barang siapa membina masjid untuk kepentingan orang ramai, walaupun sumbangannya sekadar segenggam pasir, nescaya Allah membina baginya mahligai di syurga.``

Berdermalah kata Dato` Dr. Haron Din, sebaik-baiknya bermula dari diri kita sendiri, kerana dikatakan, siapa yang menunjukkan kepada kebaikan, ianya seperti melakukan kebaikan.


Sebelum daripada itu, Dr. Shafie Abu Bakar, Pengerusi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dalam ucapan alu-aluannya di hadapan hadirin antaranya selain dari Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din ialah YB Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi, Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi Kompleks Pendidikan Islam Bangi, Wakil dari JAIS, Wakil dari Balai Polis Bandar Baru Bangi, Pengerusi-Pengerusi Surau, Tuan Haji Marzuki bin Che Omar Kontrektor dan penduduk Bandar Baru Bangi yang berjumlah lebih kurang 100 orang.  Dr. Shafie bersyukur selepas Majlis Pelancaran Derma  19 Mei 2012, Khenduri Kampung bersama Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim 6 Januari 2013, diwarta tapak pada September 2010 dan kelulusan pembinaan oleh JAIS pada Jun 2011, maka pada hari ini dapat dilaksanakan Majlis Do`a Selamat dan Penentuan Arah Kiblat. Beliau berterima kasih di atas kesudian Dato` Dr. Haron Din bersama menyempurnakan majlis. Beliau juga berterima kasih kepada orang ramai antaranya melalui masjid dan surau yang menderma secara ikhlas hingga setakat ini berjumlah RM2.5 juta yang insya Allah menjadikan RM4 juta. Usaha bagi menggenapkan RM6 juta akan dilaksanakan.


Dr. Shafie menyebutkan kerja tanah telah bermula sejak 10 Disember 2013 dan kerja pembinaan dalam progress. Beliau menyebut Syarikat Kontrektor dipilih ialah Tekad Nusantara Sdn. Bhd,, Arkitek Urusbina, Juru Ukur Bahan May Consult, Jurutera Safari Ingenieurs dan Elektrik Perunding Azfar. Pembinaan Masjid Al-Umm menurut Dr. Shafie akan dapat menyediakan keperluan tempat berjumaat dan berjamaah yang kini kekurangan ruang terutama bagi hari Jumaat.


Menurutnya Masjid al-Umm terdiri dari tiga tingkat. Tingkat Dua ruang utama bagi jamaah, tingkat tiga bagi jamaah perempuan dan tingkat bawah bagi tujuan multi purpose termasuk dewan kuliah, kelas tahfiz, majlis aqad dan perkahwinan serta jamuan. Menrutnya lagi, ``Adalah diharapkan Masjid Al-Umm apabila siap dijangkan pertengahan 2015 menjadi induk bagi Wadi Ilmu bagi rangkaian surau-surau sekeliling seperti Al-Nur, al-Ihsan, Damai, al-Ittihad dan Kompleks Pendidikan Islam Bandar Baru Bangi. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pembinaan Masjid al-Umm.


Selepas Dato` Dr. Haron Din menyampaikan ucapan, beliau juga membaca doa bagi menjayakan pembinaan Masjid Al-Umm, keselamatan semua pekerja dan kelicinan urusan. Selepas itu Pengerusi Majlis Tuan Haji Ghazali Abbas menjemput  Dato` Dr. Haron Din diiringi Pengerusi, YB Adun Bangi, AJK dan para hadirin ke Majlis Penentuan Arah Kiblat. Kedudukan arah Kiblat ialah pada 292.3658 minit. Dato` Dr. Haron Din memasukkan anak panah pada ruang plug simbolik menandakan arah Kiblat. Beliau meminta tanda arah dibuat di luar tapak agar tidak berganjak, kerana tanda atas tapak akan mengalami kerja tanah yang boleh mengubahkan kedudukan. Pihak Jurutera menunjukkan ruang bagi basement yang sedang digali seluas 42 meter yang mempunyai benteng dinding, tingkat dua seluas  45 meter dan tingkat tiga 47 meter .
Selepas perasmian Penentuan Arah Kiblat para tamu dijemput ke Jamuan makan. Semasa ini Setiausaha Kerja saudara Adham Anuar memohon dari Dato` Dr, Haron Din mentahniq anak sulungnya – Adam. Majlis diakhiri dengan AJK bergambar yang Juru Gambar Resmi dijemput khas ialah saudara Azizi.


Majlis berjalan lancar dan licin. Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua pihak. 

Sekian.

January 2, 2014

Pembinaan Masjid Al-Umm Bermula

-->
BBB, 29 Safar 1435 = 01 Januari 2014 (Rabu):

Pembinaan Masjid Al-Umm bermula. Kerja tapak telah dimulai sejak 10 hb. Disember yang lepas. Esok Khamis 02 Januari 2014 akan diadakah Majlis Doa Selamat dan Penentuan Arah Kiblat. Bagi tujuan ini berbagai pihak yang terlibat bagi menjayakan pembinaan Masjid al-Umm dijemput seperti pihak MAIS-JAIS, PAID, MPKj, Pejabat Daerah, Kerjaraya, Bomba, Polis, Masjid, Surau-surau, Sekolah-sekolah dan orang ramai.


Majlis pada pagi esok diatur secara ringkas mulai jam 9.00 pagi dengan Doa Selamat, Ucapan Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar, Ucapan Penasihat Ybhg. Dato` Dr. Haron Din dan acara Penentuan Arah Kiblat yang dilakukan oleh Jurukur mewakili pihak Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Selangor. Pameran mengenai Masjid al-Umm juga diadakan. Diikuti dengan jamuan ringan.

Kegiatan ke arah pembinaan Masjid Al-Umm bermula dengan pelancaran Tabung Pembinaan Masjid Al-Umm pada 19 Mei 1012 dan Majlis Mesra Kenduri Kampung bersama Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor pada 6 hb. Januari 2013. Pada hari itu pihak Y.A.B. Dato` Menteri Besar berjanji akan memberi bantuan dana berdasarkan ringgit ke ringgit kepada jumlah RM6 juta dari pihak Kerajaan Negeri Selangor. Kini jumlah yang didapati adalah RM2.5 juta dengan Penasihat Ybhg. Dato` Dr. Haron Din berusaha untuk mendapat RM1.5 juta. Mencukupkan insya Allah sebanyak RM4 juta. Ini bermakna pihak AJK perlu mencari sebanyak RM2 juta lagi bagi menjadikan jumlah RM6 juta yang melayakkan pihak AJK membuat tuntutan dari pihak negeri memberi bantuan RM6 juta. Orang ramai dijemput menderma untuk mengisi jumlah yang diperlukan ini.

Pada pagi ini Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm melihat persediaan bagi Majlis Doa Selamat dan Pembetulan Arah Masjid. Khemah-khemah diuruskan pemasangan oleh pihak Kontrektor. Encik Marzuki Kontrektor Tekad Nusantara Sdn. Bhd turut sama hadir mempastikan pemasangan khemah dan peralatan berjalan lancar. Turut hadir ialah Tuan Haji Shuaib Maulud Setiausaha, Tuan Haji Abdul Rahman AJK dan saudara Adham Setiausaha Kerja.


Di samping melihat persediaan bagi Majlis Baca Doa dan Penentuan Arah Kiblat, Penulis selaku Pengerusi bersama En. Marzuki Kontrektor melihat tapak yang dalam progres pembinaan. Menurut En. Marzuki;

``Kerja-kerja yang dilakukan ialah pemindahan tanah bagi Tingkat Bawah Masjid ke bahagian atas berdekatan dengan perumahan dan Dewan Orang Ramai yang agak rendah agar dapat disamakan levelnya.``. Bila ditanya kemungkinan membawa masuk tanah dari luar bagi meratakan tapak sebagaimana dijangka dulu ?`` Beliau menjawab,
``Mungkin tidak perlu, kerana tanah sedia ada dijangka mencukupi,`` kata En. Marzuki.

Adalah dijangka keperluan mengeluar dan menambak kawasan rendah memerlukan lebih kurang 5,000 lori. Kerja-kerja inilah yang dijalankanm oleh pihak kontrektor sekarang. Menurut En. Marzuki,
``Kerja-kerja sekarang lebih lancar, kerana hari sudah tidak hujan, Sebelum ini kerja sering terganggu pada musim hujan.``

Penulis juga melihat kabin sebagai Pejabat Operasi telah diadakan, di samping juga pusat pengawalan.``

Ada kekeliruan berhubung dengan nama Masjid Al-Umm yang dianggap sebagai masjid bagi kariah Surau Al-Umm. Masjid al-Umm adalah merupakan ,masjid bagi penduduk di Bandar Baru Bangi. Ianya merupakan masjid kedua selepas Masjid Al-Hasanah bagi penduduk Bandar Baru Bangi yang kini berjumlah lebih kurang 100,000 penduduk. Nama Masjid Al-Umm memang diambil dari nama Surau Al-Umm, iaitu sebagai surau pertama diwujudkan di Bandar Baru Bangi berasaskan bangunan yang diberi oleh pihak PKNS bagi kegunaan surau sejak tahun 1978. Sebelum ada surau yang lain penduduk seksyen 1, 2, 16 dan Jalan 6 menggunakan surau ini. Kemudian masing-masing tempat mendirikan surau di bahagian dan Seksyen masing-masing hingga kini jumlah surau di Bandar Baru Bangi mencecah 30 buah surau. Penggunaan nama Surau Al-Umm ialah bagi mengekalkan nama surau pertama di Bandar Baru Bangi yang berhampiran surau ini didirikan Masjid Al-Umm. Surau Al-Umm bila siap Masjid Al-Umm akan terus digunakan yang kemungkinan menjadi rumah Imam atau asrama pelajar yang mengikuti pengajian yang dianjurkan oleh Masjid Al-Umm.

Masjid Al-Umm, insya Allah menyediakan ruang yang cukup bagi jamaah dan bagi mereka yang mendalami ilmu-ilmu keislaman. Masjid al-Umm menyediakan ruang fizikal yang boleh memuat secara serentak  seramai 3.000 jamah, di samping menyediakan ruangan solat bagi muslimat pada bahagian atas. Manakala di level bawah ruang multi-purpose seperti tempat ceramah, forum, tahfiz, sambutan, acara aqad nikah dan jamuan perkahwinan. Masjid Al-Umm menyediakan ruang fizikal bagi memudahkan semua orang menunaikan ibadat dan mendalami ilmu pengetahuan, sesuai dengan slogan

`Bangi Bandar Ilmu.``

Sekian.

January 1, 2014

`Berperang` Status Kekhalifahan Tetap Dipersoalkan (Sempena Kehadiran 2014)


Di luar Negara
Ada rakyat berperang
Dengan pencuri demokrasi
Merampas kekuasaan
Menghukum sewenang-wenang
Mereka perlu diadili
Dan memulangkan hak
Kepada yang diberi.

Ada pula
Yang mengambil tindakan
Mengikut amarah kemahuan
Turun di jalanan
Tuntut letak jawatan.

Manakala yang lain
Baru dapat kemerdekaan
Atas perpecahan
Bersengketa merebut kuasa
Rakyat terpanggang
Mengusung derita.

Kita juga di Malaysia `Berperang` !
Berperang dengan kenaikan barang
Ditambah dengan pengumuman
Kenaikan petrol, tol dan tenaga
Semuanya bagai mencurah minyak ke api
Marak menyambar setiap hati
Yang sekian lama terbeban
Dengan segala kenaikan.

Bagi rakyat tersepit
Apa lagi senjata bagi mereka
Selain menggunakan hak
Menembak dengan peluru kata
Agar dipertimbang minda
Dan rasa manusia.

Di luar Negara di mana saja
Politik cara mendapat kuasa
Secara lembut atau kekerasan
Amanah tanggungjawab rasa manusia
Jarang dalam perkiraan
Dan firman itu tetap releven
Manusia dan tindakan
Dipersoal dari segi kekhalifahan !

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
29 Safar 1435
01 Januari 2014.