January 6, 2014

Perasmian & Pembukaan Pusat Aktiviti Belia ABIM Bangi Dan Majlis Kesyukuran Khidmat Bantuan Banjir

-->
BBB, 02 Rabiul Awwal 1435 = 04 Januari 2014 (Sabtu):

ABIM selain dari mempunyai beberapa pusat didikan Islam dan pentadbirannya di Bangi, kini memiliki sebuah lagi kedai dua tingkat end lot di Jalan 1/4A berdekatan dengan Medan Usahawan di sini. Premis ini digunakan secara maksimum oleh ABIM pada pertengahan Disember 2013 sebagai Pusat Operasi Menghimpun Bantuan Dan Barangan dan menghantarnya ke lokasi-lokasi banjir di Kuantan, Kemaman dan Johor.


Pagi hari ini saudara Mohd. Nizam bin Shamsuddin Ketua ABIM Bandar Baru Bangi datang ke rumah Penulis yang tidak jauh dari Pusat Aktiviti di atas menjemput Penulis ke Majlis Perasmian Dan Kesyukuran yang diadakan di premis berkenaan pada petangnya. Majlis menurutnya bermula dari solat Maghrib, tetapi secara rasmi adalah selepas solat Isya`. Penulis hadir berjamaah solat Isya` di tingkat bawah bangunan berdekatan khemah-khemah yang didirikan di pekarangan. Jemputan yang hadir pada malam ini Dato` Dr. Muhammad Ali Pengerusi Bank Syariah Koperasi Malaysia, saudara Khairuddin Abbas YDP ABIM Selangor, saudara Mohd. Nizam bin Shamsuddin Ketua ABIM Bangi, Wakil Majlis Belia Malaysia (MBM) saudara Khairul Anwar, Tuan Haji Abdul Rahman Yasin YDP WADAH, saudara Mohd Ariff Setiausaha Persatuan Mahasiswa Selangor, Dr. Saad dari Surau Country Height, saudara Amir Othman, para jemputan dan ahli-ahli ABIM.

Majlis selepas Isyak itu bermula dengan al-Fatihah dan bacaan doa dan terus kepada makan malam. Pengerusi sebelum menjemput pimpinan memaklumkan bahawa majlis pada malam ini ialah bagi merasmikan Bangunan ABIM yang baru sebagai Pusat Aktiviti ABIM, khususnya bagi belia-belia di Bandar Baru Bangi dan kesyukuran kerana misi ABIM di dalam aktiviti membantu mangsa banjir di Pantai Timur pada pertengahan Disember 2013 adalah berjaya.

Saudara Khairuddin Abbas YDP ABIM Selangor ketika dijemput menyampaikan ucapan perasmian, merujuk kepada ayat al-Qur`an bermaksud:


``Kamu adalah sebaik-baik ummah dikeluarkan bagi manusia, kamu menyuruh membuat baik dan mencegah dari melakukan kemungkaran (Ali `Imran: 110) yang menjadi motto dan panduan ummah yang juga menjadi landasan bagi perjuangan ABIM.

Saudara Khairuddin memaklumkan bahawa Presiden ABIM Cikgu Amadi Manan tidak dapat hadir, kerana mempunyai program di tempat lain dan beliau berkirim salam kepada hadirin. Beliau bersyukur kepada Allah, kerana pihak ABIM Bangi mempunyai premis bagi menjalankan berbagai kegiatan belia di sini. Bangi menurutnya adalah tempat subur dengan perkembangan Islam, berbagai gerakan dan persatuan memilih Bangi sebagai pusat gerakan, dikhabarkan menurut saudara Khairuddin PKPIM juga bercadang memindahkan pusat kegiatannya ke Bangi. Beliau menyebut, ``Apa yang dibina oleh Dr. Shafie semasa menjadi Adun Bangi dan menjadikan Bangi Bandar Ilmu adalah tepat dan menjadi katalis bagi kemajuan Bangi sebagai Bandar Ilmu yang kita sama memanfaatnya.`` Saudara Khairuddin mengucap tahniah di atas kegigihan ABIM Bangi yang bertungkus lumus bekerja menghimpun bantuan dan barangan dan menghantarkan ke lokasi-lokasi kritikal seperti di Kuantan, Kemaman dan Johor. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulur bantuan bahkan memberi bantuan tenaga turut sama ke lokasi-lokasi banjir.


Saudara Khairuddin menyebut ABIM mungkin akan menubuhkan koperasinya sendiri. Beliau merujuk kepada Dato` Muhammad Ali Bekas Pengerusi Koperasi Angkasa yang hadir dan boleh dapat nasihat daripadanya. Di bangunan ABIM Bangi ini akan diadakan gymnasium untuk kegiatan sukan belia Bandar Baru Bangi. Beliau juga memaklumkan bagi meneruskan kegiatan kemasyarakatan ABIM bercadang menubuhkan `Squad Perihatin ABIM` sebagai satu pasukan yang terus bersiap siaga menyalurkan bantuan dan pertolongan bila-bila berlaku kecemasan dan bencana alam. Skuad boleh bekerjasama dengan sebarang keperluan setempat, beliau merujuk contoh, ``Jika Dr. Shafie memerlukan tenaga kerjasama di dalam membangunkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi, maka pihak ABIM sedia memberi kerjasama.``

Saudara Khairuddin merasmikan Bangunan Aktiviti Belia ABIM Bangi dengan nama `Adab Youth Carage`dan Majlis Kesyukuran dengan lafaz `Bismillah`.

Di dalam majlis ditayangkan vedio menunjukkan operasi menghimpun bantuan dan barangan dan kegiatan-kegiatan ahli ABIM dilokasi-lokasi bantuan. Anak-anak dari `Ikatan Generasi al-Qur`an ABIM (Iqra`) juga menyampaikan nasyid.

Sebelum daripada itu saudara Mohd. Nizam Shamsuddin Ketua ABIM Bangi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dan taklimat memaklumkan bahawa, bangunan ini mula digunakan ABIM Bangi bagi operasi membantu mangsa banjir yang berlaku di Kuantan, Kemaman dan Johor pada pertengahan Disember 2013 lepas. Kata saudara Nizam,
``Pihak ABIM Bangi berjaya menghimpunkan sebanyak 60 ton barangan. Sambutan amat baik, barangan yang dihantar bukan setakat dari Selangor, tetapi ada yang dipos dari Pulau Pinang dan Melaka. Pekerja-pekerja sukarela bekerja mempakej barangan  sebanyak 50,000 pakej. Pihak Majlis Belia Malaysia (MBM) sponsor 2 buah bas bagi membawa sukarelawan termasuk menghantar 15 tenaga (MBM) ke Kuantan dan sebuah lagi bas disponsor oleh pihak MIROS.
Di pusat-pusat perpindahan sementara  mangsa-mangsa banjir, kata Mohd. Nizam, ``Kami buat bidai yang memisahkan keluarga dengan keluarga yang lain bagi menjaga aurat dan privacy mereka, terutama bagi anak-anak remaja perempuan.``
Pihak ABIM juga mengadakan program `Back to School` di beberapa tempat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17,000.00.


Mengenai program pada masa hadapan, ialah mewujudkan Skuad Prihatin ABIM -menyediakan Bantuan Dan Pertolongan Kecemasan yang dapat digerakkan bila-bila masa ke tempat yang memerlukan bantuan dan pertolongan kecemasan.
Pada Pusat Khidmat ini, disebut pula oleh saudara Nizam, akan diadakan gymnasium untuk aktiviti remaja ABIM dan  setempat.
Kerjasama dengan Fakulti Perubatan UPM akan diadakan  terutama berhubung dengan kegiatan berkaitan dengan perubatan seperti mengadakan `Hari Kesihatan`, Hari Keluarga` dan sebagainya.

Pihak ABIM Bangi di sini juga memerlukan kenderaan bagi pergerakan. Setakat ini ada pihak yang sedia membantu dengan menawarkan kenderaan Toyota Prada yang kini harga pasaran ialah RM35,000 dan beliau menawarkan seharga RM18,000. Kini pihak ABIM di sini sedang mengumpul dana dan berharap ada pihak yang sudi mensponsor bagi membeli kenderaan berkenaan.

Tabung derma juga diedarkan bagi membantu kegiatan ABIM.

Majlis yang bermula dari solat maghrib itu berakhir jam 10.00 malam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment