January 24, 2014

Ke Lembaga Zakat Selangor, Memahami Perjalanan Dan Ruang Mendapat Dana

-->
Shah Alam, 21 Rabiul Awwal 1435 = 23 Januari 2014 (Khamis):

Petang ini jam 3.00  kami AJK Pembinaan Masjid Al-Umm tiba di Bangunan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di bawah MAIS sebagaimana temujanji yang telah dibuat sebelumnya bertujuan kemungkinan melengkapkan dana bagi pembinaan Masjid Al-Umm. AJK pada petang ini sepatutnya dipimpin oleh Penaung bagi AJK Pembinaan Ybhg. Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din, tapi beliau berkeuzuran di saat akhir. Kunjungan diketuai oleh Penulis selaku Pengerusi AJK, Tuan Haji Mohd. Nor Yassin, Tuan Haji Abdul Rahman, Tuan Haji Suib Maulud, saudara Adham yang merupakan AJK dan Tuan Haji Azizi bahagian dokumentasi.


Kami disambut oleh pihak LZS diketuai oleh Tuan Haji Mohamed Izam Mohamed Yusof Ketua Pegawai Eksekutif  LZS, En. Abdul Basith Hamid Ketua Bahagian Pengagihan dan En. Huzairi selaku Setiausaha pertemuan.

Tuan Haji Izam mengalu-ngalukan kami ke LZS dan bersedia mendengar tujuan kunjungan kami. Dalam ucapan ringkas Penulis mengucapkan terima kasih di atas kesudian Tuan Haji Izam selaku CEO LZS menerima kunjungan kami sambil Penulis memperkenalkan seorang demi seorang AJK yang hadir. Secara ringkas juga Penulis menerangkan tujuan kehadiran dan menyebut tentang usaha yang telah dilakukan tentang Pembinaan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Pembinaan sedang berjalan dan kini pada peringkat penanaman cerocok. Penulis memaklumkan jumlah keperluan kewangan yang diharap pihak LZS dapat membantu mencukupkan keperluan.


Sebelum Tuan Haji Izam memberi ucapan balas, Tuan Haji Abdul Rahman Daud Selaku AJK dan juga Pengarah Projek menyampaikan salam Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Beliau memberi penerangan secara menggunakan power point tentang perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm yang disifatkan oleh Tuan Haji Izam sebagai `Besar dan Menarik`. Tuan Haji Abdul Rahman menekankan pihak AJK telah berjaya memungut setakat ini berjumlah RM4.16 juta dan memerlukan lagi sebanyak RM1.84 juta bagi menggenapkan jumlah RM6 juta yang melayakkan AJK menuntut janji dari Kerajaan Negeri Selangor menambahkan sejumlah yang sama.


Tuan Haji Izam memaklumkan, bahawa pihak LZS bersyukur tentang pertambahan pengeluaran zakat di Selangor dari setahun ke setahun dari tahun 2011 sebanyak RM330 juta, 2012 RM450 juta dan 2013 RM517. Polisi LZS menurut fatwa bahawa zakat yang dipungut mesti dihabiskan pengeluaran setiap tahun itu kepada asnaf yang ditentukan syarak. Berhubung dengan masjid, ``Kita tidak boleh menggunakan zakat bagi pembinaan masjid, tetapi dapat menggunakannya bagi tujuan mengimarahkannya seperti menyediakan peralatan dan jumlah maksimumnya tidak melebihi RM50,000/=. Satu cara bagi membantu masjid, ialah dengan menawarkan kepada pengeluar zakat – terutama dari koporat – jika mereka berhasrat dan berminat untuk menderma bagi pembinaan masjid. Ini merupakan satu alternatif bagi mendapat dana masjid. Ini dilakukan oleh pihak LZS yang mempunyai bahagian khas bagi menguruskan derma sedemikian. Tuan Haji Izam menyebut Bangi salah satu cawangan LZS yang banyak menerima pengeluaran zakat. Ini bermakna ramai kalangan pengeluar dan korporat yang mengeluar zakat dan mereka ini wajar didekati yang kemungkinan mereka berhasrat untuk menderma kepada masjid, khususnya bagi kawasan mereka sendiri. Tuan Haji Mohd. Nor Yassin selaku Bendahari menyebut, ``Memang ada dari kalangan mereka menyalurkan derma kepada Tabung Masjid al-Umm dan antaranya ada yang menyalurkannya melalui LZS – MAIS, kita mengucapkan terima kasih,`` tambahnya, ``Kita berharap ramai lagi dari kalangan mereka akan berbuat demikian.``


Sambil minum Tuan Haji Izam menyebut selain dari peruntukan besar bagi asnaf  termasuk pendidikan antara yang terbesar  bahawa LZS terlibat menyediakan keperluan kebajikan seperti penyampaian Bantuan Keperluan Hariraya` yang disalurkan kepada setiap daerah secara tahunan. Pihak LZS juga mendaftar jumlah faqir-miskin di Selangor, iaitu sejumlah 30,000 yang mereka diberi bantuan. Dijangka 2014 jumlah mereka akan bertambah kepada 38,000 orang . Bantuan juga diberi kepada ibu tunggal dan ibu tinggal menurut had kifayah. Antara bantuan ialah dengan menyediakan pusat dylisis. Tuan Haji Izam menyebut antara pusat dylisis disediakan di Hulu Langat berjumlah 5 tempat, Petaling 7, Gombak 4 dan di daerah-daerah yang lain. Jumlah mereka yang dirawat dari segi dylisis ialah 16,000 orang. Juga dibantu pesakit jantung yang peruntukan bagi mereka kadang-kadang agak tinggi.


Pihak LZS juga meluluskan sebanyak RM2 juta peruntukan kecil bagi mereka yang benar-benar menghadapi kecemasan. Bantuan seperti ini biasanya antara RM50/= hingga RM500/=. Pendek kata LZS dan cawangan-cawangan dari satu segi sebagai institusi kebajikan yang banyak pihak yang berkelayakan menggantung harap kepadanya.

Pertemuan mesra itu berakhir dengan janji akan membuat urusan susulan antara AJK dengan pihak LZS.

Sekian.

No comments:

Post a Comment