January 31, 2014

Tiada Pilihan Melainkan Bersatu Untuk Kemenangan


BBB, 28 Rabiul Awwal 1435 = 30 Januari 2014 (Khamis):

Kekosongan kerusi Dewan Negeri Kajang Selangor dan pemilihan Dato` Seri Anwar bertanding bagi kerusi berkenaan mengundang kepelbagaian pendapat. Golongan muda di dalam Pas bagai terkejut dan memgeluarkan pendapat mengkritik perletakan jawatan dan pencalonan Dato` Seri Anwar dengan agak keras. Pemuda Pas Selangor ancam mau boikot pilihanraya, Ketua Penerangan Dewan Ulama` Pas yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengecam perletakan jawatan di Dun Kajang dan usaha untuk mengambilalih jawatan Menteri Besar Selangor sebagai menentang kepimpinan tertinggi Pas, kerana pemilihan Tan Sri Khalid atas persetujuan Presiden Pas Tuan Guru Dato` Seri Abdul Hadi Awang, manakala Y.B. Nasruddin AJK Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh menganggap perletakan jawatan tanpa bersebab sebagai khianat dan berdosa.

Pendapat-pendapat yang diluahkan oleh golongan muda Pas ini sebagai kejutan spontan yang memerlukan penjernihan. Pemimpin tertinggi Pas seperti saudara Mat Sabu selaku Timbalan Presiden Pas dan saudara Salahuddin Ayob Naib Presiden Pas dari awal menyatakan pendirian akan turun padang berkempen bagi memenangi calon Dato` Seri Anwar Ibrahim. Pendirian yang bersifat rasional sebagai menyatakan kesepakatan di PR. Sebenarnya tiada pilihan bagi menghadapi pilihanraya kecil Kajang bagi mencapai kemenangan melainakan `Bersatu`. Perkara yang sama berlaku, tatkala pada peringkat permulaan apabila Lee Chin Cheh dipilih menjadi calon bagi Dun Kajang (N 25) pada pilihanraya ke 13 lepas berlaku pemboikotan terhadap beliau, oleh kerana beliau dianggap bukan orang tempatan. Usaha segera dilakukan bagi memulihkan keadaan dan kepercayaan. Pihak yang menarik diri dan menurunkan sepanduk-sepanduk sebagai protes dapat dipujuk dan kembali bersatu menjalankan kempen bagi memenangi Lee Chin Cheh.

Gema awal protes dan penentangan di dalam Pas di atas, harap tidak terus mempengaruhi kalangan pendokong muda tempatan sehingga mengambil sikap sebagaimana yang berlaku pada pilihan raya ke 13 di Kajang yang lepas. Isyarat dari pemimpin tertinggi Pas di atas sudah cukup sebagai peringatan dan pihak yang bercanggah pendapat segera membetulkan diri selari dengan sikap dan pendirian yang diambil oleh pimpinan tertinggi dan parti. Sebarang perselisihan tidak lain dari kerugian bagi parti dan PR. Dalam masa yang singkat kita dapati pihak musuh dan media yang berpihak kepada mereka telah menjadikan isu yang mencerminkan perselisihan sebagai senjata mereka dan mengipasnya agar menjadi lebih hangat yang hasilnya menguntungkan mereka.

Walau bagaimana simpton permulaan yang terjadi kepada Lee Chin Cheh dan terjadi terhadap penerimaan Dato` Seri Anwar dengan cara yang lebih besar – maksud penolakan awal terhadap Lee Chin Cheh bersifat tempatan, tetapi terhadap Dato` Seri Anwar bersifat Negara. Usaha penjernihan terhadap isu-isu yang timbul dan dimainkan hendaklah diberi penjelasan seperti mengapa sebuah kerusi yang dimenangi dilepaskan dengan begitu mudah dan terpaksa struggle untuk memenangi kembali. Apa kaitan kerusi Kajang untuk memperbaiki perpecahan yang berlaku di dalam PKR ? Sejauhmanakah gugatan terhadap kerusi Menteri Besar Selangor tanpa mengganggu terhadap kerusi Kajang yang telah mantap ? Apakah implikasinya jika Menteri Besar dikekalkan dan kerusi Kajang tidak diganggu ? Sejauhmanakan relevennya Kajang dengan Putrajaya ? Untuk menguasai Putrajaya tidak semestinya menguasai Kajang dan tidak semestinya dekat dari segi fizikal. Menguasai Kajang, tetapi tidak menguasai majoriti tidak memberi erti apa-apa, bahkah kalah di Kajang, tetapi menguasai majoriti di Parlimen boleh menguasai Federal !

Perhatian harus diberi kepada sensitiviti rakyat Kajang yang mungkin antara mereka merasa rakyat Kajang menjadi bahan experiment dan tidak menghargai amanah yang diberi oleh mereka. Penarikan sokongan dari mereka boleh menggugat kemenangan. Pengundi Kajang yang terdiri dari 50% Melayu, 42% Cina dan 8% India boleh berubah dengan faktor-faktor terbaru, misalnya diakibatkan oleh undi protes yang undi Melayu terbahagi dua boleh mengurangkan sokongan dan undi solid Cina boleh berkurang dengan beralih kepada MCA yang di bawah kepimpinan baru yang makin mantap. Bagi memelihara maruah usaha perlu digandakan bagi mendapat sokongan rakyat tidak kurang dari majoriti yang didapati oleh Lee Chin Cheh, iaitu 6,824.
Ini tidak akan dapat dicapai tanpa bersatu tenaga dan kuat kerja.

Sekian.

No comments:

Post a Comment