January 14, 2014

Ke Shah Alam Urusan Masjid Al-Umm

-->
Shah Alam, 11 Rabiul Awwal 1435 = 13 Januari 2014 (Isnin):

Sebagaimana disebutkan bahawa kerja-kerja pembinaan Masjid Al-Umm telah bermula sejak 10 Disember 2013. Dengan penerusan kerja pihak AJK Pembinaan akan terus menmgeluarkan kewangan menurut progres kemajuan. Pihak AJK ada sedikit kebimbangan kiranya dengan jumlah wang yang ada di tangan setakat ini RM4.2 juta tidak dapat menampung bayaran progres pembinaan. Kami terpaksa berusaha mendapatkan kewangan bagi persediaan. Salah satu cara ialah menggenapkan jumlah RM6 juta bagi melayakkan kami memohon dari pihak kerajaan negeri Selangor peruntukan sejumlah RM6 juta lagi. Ini bererti kami perlu berusaha bagi mendapatkan jumlah RM1.8 juta lagi.


Salah satu cara sebagaimana dicadangkan oleh pihak Penaung Pembinaan Masjid Al-Umm, iaitu Dato` Dr. Haron Din ialah mengunjungi pihak Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor kiranya ada ruang dan peluang mendapat peruntukan dari sama ada zakat atau wakaf negeri Selangor. Pertemuan juga dicadangkan dengan pihak MAIS. Di atas nasihat pihak AJK telah membuat temu janji bagi menemui pihak-pihak berkenaan pada hari ini.

Jam 9.30 pagi AJK diketuai oleh Penaung Masjid Al-Umm Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din, Pengerusi Dr. Shafie Abu Bakar, Bendahari Tuan Haji Mohd Nor Hj. Yassin, Setiausaha Haji Suib Maulud, AJK Tuan Haji Abdul Rahman Daud dan saudara Adham bin Anuar Setiausaha Kerja mengunjungi Y.B. Ustaz Sallehen bin Mukhyi Exco Hal Ehwal Islam, Permodanan Pertanian dan Pembangunan Desa di pejabat beliau di Bangunan SSAAS, Shah Alam.


Peretmuan dimulai dengan ucapan alu-aluan Pengerusi dan terima kasih di atas kesudian Y.B. Ustaz Sallehen menerima rombongan. Juga terima kasih di atas kesudian Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din hadir bersama memimpin pertemuan. Pengerusi bercakap tentang latar pembinaan dan persoalan kewangan dengan menekankan janji Y. A.B. Dato` Menteri Besar untuk menampung kekurangan peruntukan. Surat rasmi janji berkenaan dikemukakan.

Yang Berbahagia Tuan Guru menyebut tentang kerja membina masjid adalah kerja baik dan mulia, Allah tidak akan mengecewakan kerja-kerja baik, jika semua pihak bekerja dengan penuh ikhlas dan sebarang tugas, hatta perkara yang baik pun tidak berjaya tanpa ada masalah dan halangan. Untuk menyempurnakan pembinaan masjid kita kena berusaha dan berikhtiar. Kita berterima kasih kepada pihak Exco, kata Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din kerana sudi menerima kehadiran kita. Tuan Guru menimbulkan tentang jumlah kutipan zakat negeri Selangor dan kemungkinan dapat disalurkan kekurangan sejumlah RM1.8 juta bagi mencukupkan RM6 juta. Beliau juga menimbulkan kemungkinan mendapat dana dari pihak Wakaf Negeri Selangor.


Menurut Y.B. Ustaz Sallehen, beliau akan mencuba mendapatkan kepastian dari pihak Lembaga Zakat Negeri Selangor dan juga dari pihak Wakaf. Walau bagaimana Y.B. meminta AJK menulis surat secara rasmi kepada beliau dengan menyertkan salinan surat `Pengakuan`  yang telah dibuat oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar. Setiausaha kepada Y.B. saudara Fitri juga diminta buat salinan surat `Pengakuan` dari Y.A.B. dari fail yang dibawa oleh Pengerusi. Perkara berkenaan juga akan dibawa kepada Mesyuarat Exco.

Di dalam pertemuan itu Tuan Haji Abdul Rahman memberi penerangan kepada Y.B. Ustaz Sallehen tentang pembinaan Masjid Al-Umm berdasarkan kepada power point yang disediakan. Pengerusi juga menghadiahkan dua buah buku – `Bangi Bandar Ilmu` dan `Gagasan Bangi` yang maklumat berhubung dengan Masjid Al-Umm terdapat dalam buku `Bangi Bandar Ilmu`.


Mulai jam 11.00 pagi ialah pertemuan dengan Setiausaha MAIS Dato` Bakhtiar, walau bagaimana Dato` Dr. Haron Din tidak dapat menyertai bersama kerana mempunyai urusan. Salam Tuan Guru kepada Dato` Bakhtiar. Dato` Bakhtiar disertai Setiausahanya. Penerangan ringkas disampaikan oleh Pengerusi dengan tambahan-tambahan dari pihak AJK.
Persoalan kewangan ditimbulkan sebagaimana pertemuan dengan Y.B. Ustaz Sallehen.
Walau bagaimana dimaklumkan pihak Wakaf sedang mengumpul kewangan bagi keperluan operasi berjumlah RM600 juta. Sebelum daripada itu dibeku kewangan dari digunakan. Dari segi zakat diberitahu, pemberian atas menampung keperluan terutama peralatan seperti carpet dan sebagainya. Juga diberitahu berdasarkan procedure, sebarang pembinaan adalah melalui JKR dan kewangan hendaklah diperturunkan melalui JAIS. Kami memaklumkan bahawa AJK kami adalah dari kalangan professional, antaranya dari JKR, IKRAM, Pentadbir dan Tenaga Pengajar berhubung dengan bidang pembinaan dan arkitektur. Pembinaan sedang berjalan.

Kami menekankan, tujuan kami berusaha mendapat jumlah yang diperlukan. Kami akan berusaha bagi menjayakannya – Insya Allah.

Pertemuan berakhir dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak.

Sekian.

No comments:

Post a Comment