January 18, 2014

Tambak Tanah Untuk Ruangan Parkir Masjid Al-Umm

-->
BBB, 14 Jamadil Awwal 1435 = 16 Januari 2014 (Khamis):

Salah satu keperluan bagi masjid, ialah tempat parkir yang cukup bagi jamaah, terutama pada hari Jumaat. Perkara ini telah disedari dan diambil perhatian sejak rancangan pembinaan Masjid al-Umm disetujui. Selepas mesyuarat pertama penubuhan Jawatankuasa Penubuhan Masjid al-Umm 4 Februari 2010, maka diambil keputusan bagi menemui pihak PKNS bagi mendapat keizinan bagi menjadikan kawasan kosong hadapan tapak Masjid al-Umm dan juga berhadapan Dewan Orang Ramai bagi menjadikan tapak parkir Masjid al-Umm.


Penulis selaku Adun Bangi pada masa itu beserta dengan Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan beberapa orang AJK telah membuat kunjungan ke PKNS memohon ruang kosong berkenaan untuk dijadikan kawasan parkir. Kita menjangkakan tidak ada projek di situ, khususnya perumahan kerana kedudukannya hampir di bawah talian TNB voltan tinggi yang boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan. Namun beberapa hari selepas itu naik iklan di atas tanah berkenaan projek perumahan bakal didirikan. Walaupun bantahan dibuat, tapi dimaklumkan tanah berkenaan adalah milik sebuah syarikat perumahan yang telah diluluskan oleh PKNS. Difahamkan syarikat berkenaan adalah merupakan anak syarikat PKNS. Kenaikan 6 unit rumah semi-D berhadapan Dewan Orang Ramai dan tapak Masjid al-Umm mengganggu pandangan dan menyempitkan ruang untuk parkir. Alternatif yang lain perlu dicari bagi kawasan parkir. Dalam perbincangan pada mesyuarat-mesyuarat AJK Pembinaan Masjid al-Umm soal ruangan parkir ditimbulkan dan ruangan di bawah talian letrik – dengan mengambil langkah keselamatan, akan dijadikan tapak parkir. Perkara ini telah dibangkitkan oleh Penulis selaku Pengerusi AJK Pembinaan Masjid al-Umm semasa lawatan ke PKNS bersama AJK Tuan Haji Hussain, Tuan Haji Mohd Nor, Tuan Haji Abdul Rahman dan saudara Adham pada 6 Februari 2013 menemui Kontroler PKNS Kawasan Selatan Tuan Haji Lokman bin Abdul Kadir membincang beberapa perkara, termasuklah tempat parkir di bawah talian TNB.

Setelah kerja-kerja tanah bagi pembinaan Masjid al-Umm dimulakan pada 10 Disember 2013, didapati ada lebihan tanah yang dikeluarkan bagi level basement bagi masjid. Maka dicadangkan untuk ditambak kawasan di bawah talian TNB bagi dijadikan kawasan parkir. Tuan Haji Abdul Rahman bagi pihak AJK telah memaklumkan kepada pihak TNB BBB, difahamkan pihak TNB tidak berhalangan, maka kerja-kerja menambak di belakang perumahan berseberang jalan bagi tapak Masjid al-Umm dimulakan pada hari Isnin 11 Rabiul Awwal 1435 brsamaan 13 Januari 2014.


Hari ini Penulis selaku Pengerusi pembangunan Masjid al-Umm pergi ke tapak melihat kerja-kerja memindahkan tanah dari tapak ke kawasan parkir. Penulis menemui Tuan Raja Fuaddin bahagian Architecture turut sama hadir melihat kerja-kerja yang dilakukan.
Kami juga menemui saudara Razak Rahman – Site Agent dan saudara Azhar sebagai kerani (CNS) di situ. Pada masa itu lori-lori sedang mengangkut tanah ke tapak parkir.
Tuan Raja Fuaddin membuat ingatan tentang level tanah yang dipotong pada level 40.9 meter yang sepatut lebih rendah, iaitu 40.5 sebagaimana di dalam plan yang dibawa bersama. Beliau meminta disemak kembali sebelum kerja pembinaan bermula yang akan menyukarkan pembetulan, jika tidak mengikut spesifikasi asal. Dengan level 40.9, kata Tuan Raja Fuaddin terpaksa dibuat benteng yang menghalang kemasukan bomba jika berlaku kecemasan. Manakala 40.5 hampir sama paras dengan jalan bagi level basement.

Kami berbincang dengan saudara Razak dan Azhar kira-kira jumlah tanah yang akan dipindahkan. Kemungkinan lebihkurang 1,000 lori bagi menambak ruang yang luas lebih kurang setengah ekar.


Penulis juga bergerak melihat kawasan tanah yang sedang ditambak. Ada dua pengawal mengawal lori keluar masuk bagi menjamin keselamatan dan sebuah jentolak sedang meratakan tanah yang sedang ditambak. Tanah ini akan diratakan permukaannya dengan batu kasran sebelum mampat bagi ditarkan.

Dengan penambakan tanah dan diratakan kelihatan kawasan bertambah cantik. Namun kaedah-kaedah keselamatan perlu diwujudkan menurut piawayan TNB.

Sekian.

No comments:

Post a Comment