January 10, 2014

Dasar Pelajaran Sama Diberi Perhatian Dalam Tuntutan Kemerdekaan


BBB, 07 Rabiul Awwal 1435 = 07 Januari 2014 (Khamis):

Dasar Pelajaran sama diberi perhatian dalam tuntutan dan pengisian kemerdekaan. Sebelum kemerdekaan Sekolah rendah yang dikenali dengan Sekolah Melayu hanya wujud setakat darjah enam, Sekolah Inggeris wujud dari peringkat rendah hingga menengah rendah (peperiksaan LCE) Sekolah menengah atas Form Five (MCE) dan tinggi Six Form (HSC). Di samping itu wujud Sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri, sekolah rakyat yang antaranya Sekolah agama, Sekolah Cina dan Tamil.

Menjelang kemerdekaan antara tuntutan yang diberi penekanan ialah mewujudkan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang seharusnya menyatupadukan rakyat di Negara ini, di samping menyediakan peluang pelajaran bagi pelajar-pelajar menyambung pengajian mereka kepada peringkat yang lebih tinggi. Pada masa itu Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu, ialah Dato` Abdul Razak bin Hussein. Pada masa beliau digubalkan Dasar Pelajaran yang dikenali dengan Penyata Razak (1956).

Inti penting dari Dasar Pelajaran Razak ialah mewujudkan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Mulai dari zaman kemerdekaan, maka diwujudkan sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan sepuluh tahun dari tarikh kemerdekaan (1967), bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan mulai dari tarikh itu seharusnya sudah ada pengajian tinggi yang menjadi saluran bagi pelajar-pelajar menengah kebangsaan yang menyambung ke pengajian tinggi menurut dasar pelajaran kebangsaan. Yang terkeluar dari Dasar Pelajaran Kebangsaan, ialah pelajar-pelajar Sekolah agama negeri dan swasta yang mereka tidak terangkum di bawah kurikulum dan Dasar pelajaran, Mereka terputus selepas pengajian peringkat menengah (Thanawi). Manakala Sekolah-sekolah Cina dan India, mereka meneruskan aliran-arliran mereka dengan menerima dasar pelajaran yang menggunakan bahasa mereka kecuali bahasa Melayu dan Inggeris dan agama (jika ada sejumlah murid – 15 orang). Selepas tamat pengajian peringkat rendah, mereka menyambung pengajian pada peringkat menengah menurut aliran kebangsaan. Dapat dikatakan Dasar Pelajaran pada peringkat permulaan ini kurang menyeluruh dan lengkap yang merangkumi seluruh pengajian dan banyak menimbulkan implikasi dan gangguan, termasuk gangguan politik.

Antara masalah yang timbul, menjelang kemerdekaan seharusnya sudah ada Sekolah menengah beraliran kebangsaan. Pelajar-pelajar pilot projek telah dipilih melalui peperiksaan, masalahnya tidak ada Sekolah untuk menempatkan mereka, maka mereka terpaksa diletakkan di beberapa tempat sebagai menumpang sementara seperti di Clifford School, Kuala Lipas Pahang (Ibu negeri Pahang pada masa itu) dan menumpang di SITC, Tanjung Malim hingga Sekolah-sekolah menengah bagi pelajar-pelajar pilihan ini didirikan seperti Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak, Sekolah Dato` Abdul Razak (SDAR) Seremban dan Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur. Masalah pula timbul, apabila pelajar-pelajar ini tamat pengajian menengah, mereka sukar mendapat peluang ke universiti dan mana-mana yang diberi peluang ke Universiti Malaya  (1959 di Kuala Lumpur), sukar dan ramai yang tidak lulus, tetapi bila mereka dihantar ke luar Negara tidak ada masalah.

Menurut Penyata Razak bahawa semua Sekolah rendah dan menengah beraliran Inggeris akan secara bertahap menjadi aliran kebangsaan dan mulai 1964 peperiksaan LCE bertukar kepada SRP dan tahun 1966 MCE bertukar kepada SPM dan dua tahun berikutnya HSC kepada STPM. Jadi mulai 1968 makin ramai pelajar-pelajar yang lulus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia memerlukan tempat pengajian tinggi – Universiti. Ini salah satu faktor mendesak yang perlu didirikan tambahan universiti selain dari Universiti Malaya yang telah berpindah ke Kuala Lumpur (1959) yang dikenali dengan Universiti Malaya. Kekurangan tempat ini juga mendesak agar Universiti Kebangsaan Malaysia perlu segera didirikan. Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dan Sekolah agama juga menghadapi masalah dari segi peluang menyambung pengajian. Sekolah Cina dan Tamil berpeluang menyambung pengajian ke peringkat menengah ke Sekolah-sekolah kebangsaan, tetapi Sekolah agama terputus pada peringkat rendah atau thanawi. Mereka bukan saja tidak dapat menyambung pengajian, tetapi lulusan sekolah-sekolah agama sukar mendapat pekerjaan (tidak diberi nilai ekonomi). Peluang hanya terbuka apabila Sekolah-sekolah berkenaan menyerapkan sistem pelajaran kebangsaan ke sekolah-sekolah agama dengan menyesuaikan kurikulum yang melayakkan pelajar-pelajar mengambil peperiksaan SRP, SPM dan STPM di Sekolah atau sekolah mengadakan dua aliran agama dan juga kebangsaan yang pelajar-pelajar terpaksa mengambil peperiksaan kebangsaan dan agama menurut sistem negeri atau secara swasta.

Selepas kemerdekaan kerajaan menghadapi tekanan dari segi dasar yang tidak dilaksanakan menurut tempoh yang dijanjikan. Dua bidang yang berkaitan (Ini tidak termasuk soal ekonomi yang menjadi isu penting), ialah bahasa dan pelajaran. Janji bahasa rasmi Negara akan dilaksanakan setelah 10 tahun merdeka, iaitu 1967, tetapi ditangguh menyebabkan rakyat – terutama pejuang-pejuang bahasa bangkit menentang dan soal dasar pelajaran yang sepatutnya setelah dilaksanakan peperiksaan menurut aliran kebangsaan universiti beraliran kebangsaan juga diadakan. Kedua-dua isu ini, di samping ekonomi (bumiputera) menghangatkan politik semasa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment