November 7, 2015

Isra`il Angkuh Terkutuk: Takut Pada Perubahan Bakal Berlaku


BBB,  24 Muharram 1437 = 06 November 2015 (Jumaat):


Dari Surah Al-Isra` berikut dari peristiwa penting Isra` Dan Mi`raj ialah episod yang dialami oleh Bani Isra`il yang angkuh dan terkutuk sepanjang zaman. Ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Dan Kami berikan amaran (yang nyata) kepada orang-orang Bani Isra`il dalam kitab itu, sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan-kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau-lampau dan kamu dihukumkan``. (17.4).
Menurut pentafsir antaranya oleh Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar, maksud dua kali kerosakan ini, iaitu:
1)      Kerosakan dari segi fizikal dan bertempat
2)      Kerosakan yang bersifat aqidah
Kerosakan bersifat fizikal:
Jika Nabi Muhammad telah dipanggil menghadap Tuhan melalui Isra` Dan  Mi`raj, maka Nabi Musa sebelumnya dipanggil menghadap Tuhan di lereng gunung Tursina. Kepada Nabi Musa diturunkan wahyu yang dikenali sebagai Taurat, sebagaimana kepada nabi Muhammad diturunkan Al-Qur`an. Taurat bagi pertunjuk bagi Bani Isra`il sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan Kami telah memberikan kepada Musa Kitab (Taurat), dan Kami jadikan Kitab itu Pertunjuk bagi Bani Isra`il (serta Kami perintahkan mereka), janganlah kamu ambil yang lain daripada Ku sebagai Tuhan untuk (kamu menyerahkan urusan kamu kepadaNya``.) (17.2).
Bani Isra`il mendapat nikmat berganda dari Allah. Mereka berpindah dari tanah sementara di Madyan ke Mesir semasa Nabi Yusuf berkuasa di sana. Keluarga Nabi Ya`kub menururut Ibn Mas`ud yang berpindah sejumlah 93 orang. Ketika Nabi Musa dibangkitkan 400 tahun kemudian mereka berjumlah 670,000 orang . Nabi Musa dibantu saudaranya Nabi Harun. Firaun bimbang dengan kekuatan Bani Isra`il mereka ditekan dan diperbudakkan. Mereka keluar ke Tanah Subur yang dijanjikan, iaitu Tanah Palestin. Pimpinan diteruskan oleh Nabi Yusua hingga mereka bertapak kukuh. Puncak kemajuan mereka ialah pada zaman Nabi Daud dan Sulaiman. Setelah keduanya meninggal Bani Isra`il menjadi lemah, mereka melanggar peraturan Taurat dan  berpecah menjadi dua – Negeri Yahudi dan Afraim. Pada masa itu berleluasa maksiat dan perhambaan. Di atas kelemahan mereka Bani Israil dilanggar dan dijajah:
a)      Semasa Mesir di bawah Firaun Nikho, maka Bani Isra`il diserang dan dijajah oleh Mesir.
b)      Semasa Kerajaan Babil (Babylon) di bawah pemerintahan Raja Nabukadnesar negeri Bani Isra`il di Palestin dimusnahkan oleh tentera Babylon dan Baitul Maqdis yang didirikan oleh Nabi Sulaiman itu dimusnah dan diratakan. Lebih 10,000 mereka yang ditawan dibawa ke Babylon menjadi hamba.
c)       Selepas 100 tahun (sekurun) Raja Parsi yang dikenali dengan Raja Cyrus dengan tenteranya memerangi negeri Babylon hingga Babylon kalah. Seluruh Bani Isra`il yang ditawan oleh Parsi dibenar pulang ke Palestin bagi membina Baitul Maqdis. Mereka di bawah pimpinan Nabi Uzair (5 abad Sebelum Masihi). Mereka tegak kembali, tetapi tidak sepenuhnya merdeka, mereka berada di bawah lindungan kerajaan Parsi.
d)      Dengan kenaikan kerajaan Mercedonia menggugat kekuatan Parsi. Semasa Kerajaan Mercedonia di bawah pemerintahan Iskandar Mercedonia (3 abad Sebelum Masihi), maka Palestin dikuasai oleh Kerajaan Iskandar Mercedonia.
e)      Bila Kerajaan Rum bangkit, maka Bani Isra`il tertakluk di bawah undang-undang Kerajaan Rum. Pada zaman inilah Nabi Isa dibangkitkan di Baitul Maqdis, tetapi tidak diterima baik oleh Bani Isra`il. Mereka menuduh Isa anak luar nikah (ibunya Maryam) dan usaha dilakukan oleh Bani Isra`il membunuhnya sebagaimana mereka telah membunuh beberapa nabi sebelumnya.
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil. 6, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: 4013-4014).
Selepas Zaman Islam
Bila Islam datang Kerajaan Madinah berdepan dengan dua kerajaan besar iaitu Rum yang menguasai Baitul Maqdis dan Parsi yang menguasai Mada`in dan kawasan bersempadan dengan Iraq. Pada zaman Khalifah Umar Ibn al-Khattab (586-644M.) kerajaan Islam Madinah pada masa baginda menguasai kawasan-kawasan Rum Damsyik, termasuklah Baitul Maqdis ditawan. Baginda juga mengalahkan kerajaan parsi. Pendeknya kawasan  Arab kini dan kawasan Parsi dan Mesir telah ditawan pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.  (Abdul Latip Talib, Khalifah-Khalifah Yang Benar, PTS Litera, Gombak, Selangor, 2010: 221-441).
Penguasaan Islam terhadap Palestin berterusan dari Zaman Khalifah Umar al-Khattab hingga jatuhnya Empayar Turki pada 1920M. Isra`il sebenarnya tidak mempunyai negara, bermula dari menumpang di Madyan pada zaman  Nabi Ya`kub dan berpindah ke Mesir, sesat di Padang Pasir Sinai, bertapak di Palestin dan diburu, dikalah dan berpindah-pindah. Mereka bertabur tinggal menumpang di Barat, Rusia, German dan di Amerika. Dalam peperangan Dunia Kedua mereka dibunuh oleh Hitler kerana menjadi tali barut Barat.
Apabila Perang Dunia Kedua tamat, Barat terhutang budi dengan Yahudi yang telah menjanjikan kepada mereka sebuah negara sebagai balasan pertolongan kewangan dari Yahudi di dalam peperangan. Sebagaimana termaklum negara-negara Islam, khususnya di Asia Barat menjadi mangsa peperangan dunia. Akibat penjajahan kawasan di Asia Barat dibahagi-bahagi di kalangan negara Barat seperti terutama British dan Perancis. Melalui Perjanjian Balfor (1948)  pihak Barat telah menyerahkan sebahagian kecil dari tanah Palestin kepada Yahudi sebagai tapak pendudukan mereka. Yahudi dari berbagai negara telah berpindah atau membantu pertapakan Yahudi dan pihak Yahudi menjadikan polisi meluaskan kawasan penempatan dengan membeli tanah-tanah orang Arab Palestin dan meluaskan kawasan dengan secara paksaan seperti melalui peperangan yang peralatan dan bantuan ketenteraan dari Barat dan puncak bagi perluasan kawasan ialah bila berlaku peperangan 1969 yang menyebabkan sebahagian dari kawasan Sinai (Mesir), Jordan dan Syria ditawan Isra`il yang menjadikan Isra`il dengan kawasan yang ditawan seperti hari ini. Negeri-negara Arab bersempadan bukan saja kalah dan kehilangan kawasan, tetapi penduduk asal Palestin – Tebing Barat dan Ghazzah terkurung dalam kawalan Isra`il. Konflik terus berlaku dan peperangan secara tidak rasmi juga terus berlaku.
`Bani Isra`il` yang dimurkai Allah dan terkutuk berkuasa secara haram di Palestin baru 67 tahun, mereka tidak merasa terjamin aman. Mereka tahu nasib sejarah mereka terus berlaku sepanjang zaman. Mereka tahu sebagai satu kelompok yang dimurkai Allah dan terkutuk, maka perubahan terhadap mereka akan berlaku dan inilah yang amat ditakuti oleh Isra`il.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                               

November 6, 2015

Surah Al-Isra`: Catatan Keistimewaannya


BBB, 23 Muharram 1437 = 05 November 2015 (Khamis):


Surah  Makkiyyah: 111 ayat;
Surah ini walaupun mengandungi banyak persolan, tetapi sebagaimana tajuknya, Al-Isra` yang merujuk kepada peristiwa `Isra` Dan Mi`raj`, maka peristiwa ini paling utama dan membawa identiti kepada surah tersebut. Ada beberapa keistimewaan yang dapat dikaitkan dengan tajuk bagi Surah ini atau peristiwa Isra`Dan Mi`raj yang menjadi pembukaan bagi surah tersebut:
1.       Peristiwa menautkan kepada tradisi unggul bagi tempat berlakunya peristiwa Isra` dan Mi`raj
Sebagaimana maklum, bahawa peristiwa ini berlaku  di Makkah - Isra` ialah bertolaknya pada malam Isra` tersebut dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Pembinaan Masjid Al-Haram adalah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya Ismail sejak 4.000 tahun S.M. Masjid al-Haram didoakan oleh Nabi Ibrahim agar Allah menjadikan hati-hati manusia mesra mengunjungi tempat ibadat ini dan menjadikan Makkah sebagai kota yang makmur. Doa Nabi Ibrahim dikabulkan Allah, Makkah menjadi destinasi bagi umat Islam menunaikan haji dan hingga kini kota Makkah dan Madinah dikunjung umat Islam bukan saja di musim haji, tetapi sepanjang tahun termasuk menunaikan Umrah. Sirah perjalanan keluarga Nabi Ibrahim terutama yang dialami oleh saydatina Hajar dan Ismail menjadi sebahagian dari amalan haji.
Lebih penting Kota Makkah adalah tempat kelahiran Rasulullah s.a.w. yang keluarga baginda turun temuran sama turut memakmurkan kota ini. Di sini Baginda dilantikkan menjadi Rasul dan di sini juga Baginda menjalankan dakwah mengembangkan Islam sehingga 13 tahun lamanya. Kota ini juga dibuka oleh Baginda sedekad berikutnya.
Manakala Baitul Maqdis dikenali juga sebagai Kota Kelahiran Nabi-Nabi yang padanya terdiri Masjid al-Aqsa yang bermaksaud `Masjid Paling Jauh` dalam konteks wujudnya masjid pada peringkat awal dan jauh berbanding dengan Masjid Al-Haram. Masjid al-Aqsa di sini yang telah wujud sejak zaman Nabi Ibrahim adalah merujuk kepada tapak Haikal Sulaiman di Palestin yang terletak di atas Bukit Moriah pada atau berhampiran dengan Qubbah al-Sakhrah yang dikenali selepas pembinaan kembali sebagai Masjid Saidina Umar al-Khattab. Masjid al-Aqsa ini diselesaikan pembinaannya oleh Amir Abdul Malik dalam tahun 68H. Baitul Maqdis adalah tempat suci orang Yahudi, Kristian dan juga Islam. Sebelum Islam Masjid al-Aqsa yang berada di Baitul Maqdis itu berada di bawah Empayar Byzantine (Rum) yang melantik seorang Ketua Paderi Tertingginya (Patriach) di Palestin. Haikal Sulaiman ini saempurna pembinaannya  1004 tahun sebelum Masihi. Ianya dimusnahkan oleh pemerintah Babylon pada zaman pemerintahan Raja Nebuchadnezzar lebih kurang tahun 586 S.M. Kemudian dibina kembali pada zaman Nehemiah lebih kurang tahun 515 S.M. Rumah ini ditukar menjadi rumah berhala dan syirik pada zaman selepas Iskandar Agong, iaitu Antiochus Ephiphanes tahun 167 S.M., tetapi dibinakan kembali seperti semula oleh Herod pada tahun 17 S.M. hingga 29M. apabila sekali lagi dibinasakan secara habis-habisan di bawah pemerintah Titan tahun 70M.
(Al-Qur`an al-Karim Terjemahan dan Huraian Maksud, Terjemahan oleh Muhammed Uthman El-Muhammady terhadap Teks Abdullah Yusuf Ali, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 1310-10311).
Latar yang menjadi tempat peristiwa terutamanya `Al-Isra`, ialah tempat penting yang menjadi pusat keislaman di Makkah dan juga pusat bagi negara Nabi-Nabi di Baitul Maqdis, tempat berlakunya kebangkitan nabi-nabi – temasuk Nabi Ibrahim, Ishaq, Ya`kub, Zakariyya, Isa dan lain-lain lagi. Isra` sebagai peristiwa pentung berlaku di tempat yang penting baik dari sejarah, kerasulan dan pemerintahan.
2.       Pentingnya `Solat`.
Berlakunya peristiwa Isra` dan Mi`raj bagi menunjukkan betapa pentingnya solat sebagai  salah satu rukun Islam yang lima. Solat sebenarnya boleh disampaikan menerusi wahyu sebagaimana kewajipan puasa, zakat dan Haji. Tapi bagi menunjukkan  solat suatu ibadat yang disifatkan sebagai `Tiang Agama`, maka sebagai menunjukkan kepentingannya maka solat diterima melalui peristiwa Isra` dan Mi`raj. Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaily. Peristiwa Isra` Dan Mi`raj dan penerimaan solat ini berlaku  pada sebahagian dari malam setahun sebelum Hijrah yang Baginda bertolak secara jasad dan roh dari rumah Ummu Hani` berhampiran dengan Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Dimasyq, Suriah, 1431H.: 283).
3.       Mu`jizat Dan Penghormatan Kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Dengan peristiwa Isra` dan Mi`raj yang tidak berlaku kepada rasul-rasul dan nabi-nabi yang lain, ia merupakan satu mu`jizat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Iaitu peristiwa yang berlaku dalam waktu yang singkat sebahagian dari malam. Peristiwa ini juga merupakan penghormatan kepada nabi Muhammad s.a.w.
4.       Aspek kerohanian Dan keilmuan
Isra` dan Mi`raj membuka dimensi kerohanian. Misalnya solat dilihat sebagai perhubungan rohani dengan Allah dan dilihat jika Rasulullah mi`raj menemui Allah dan menerima solat, maka dilihat bagi hamba, maka dengan solat itulah wasilah bagi hamba bermi`raj dan mendekati diri kepada Allah. Isra` Dan Mi`raj dapat didekati secara tasawuf dan rohani di dalam mendekati kepada Ilahi. Dengan Isra` dan  Mi`raj jua membuka  dari segi keilmuan bagi meneroka ke angkasa lepas bagi mengkaji ciptaan-ciptaan Allah di angkasa lepas. Bidang yang berhubung dengan astronomi, planet-planet dan bintang-bintang begitu banyak penyebutan berkenaannya di dalam Al-Qur`an.
5.       Menyuburkan Imaginasi dan Kreativiti
Dalam peristiwa Israj Dan Mikraj ada berbagai peristiwa yang disaksikan oleh Rasulullah yang menggambarkan kesiksaan dan balasan bagi amalan-amalan yang dilakukan oleh seseorang, misalnya cerita mengenai balasan orang yang mengumpat, yang curang, mereka yang berzina dan sebagainya. Begitu juga Rasulullah turun naik bagi memohon dikurangkan jumlah solat 50 kali sehari semalam, setiap kali mengadap dikurangkan lima kali sehingga selepas sembilan kali tinggal hanya 5 kali. Dan Rasulullah tidak menemui lagi bagi mengurangkan jumlah solat dari lima kali, kerana malu.. Dari segi sastera (adabiyyah) cerita-cerita  yang digambarkan dalam satu peristiwa Isra` Dan Miraj ini, mempengaruhi perkembangan sastera di dalam sastera Islam yang dikenali dengan `Cerita Berbingkai` seperti cerita, Seribu Satu Malam, Kalilah wa Dimnah, Musang Berjanggut, Hikayat Bakhtiar dan sebagai.nya Cerita Berbingkai yang begitu popular yang berkembang di dalam sastera umat Islam turut mempengaruhi sastera di Barat. Menurut Muhammad Uthman El-Muhammady Sarjana Spanyol Miguel Asin, Profesor Bahasa Arab di Universiti Madrid menunjukkan bahawa Persuratan Islam berkenaan dengan Mi`raj telah memberi pengaruh yang besar di Eropah pada zaman pertengahan terutama pengaruh terhadap Puisi Itali yang agung iaitu The Devine Comedy (atau drama) atau Dante yang begitu tinggi dipandang dalam kesusasteraan Eropah pada zaman Pertengahan. (Muhammad `Uthman El-Muhammady, Al-Qur`an al-Karim Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jil. 3: 1308).
Demikian  keistimewaan Isra` Dan Mi`raj yang tidak saja bersifat keagamaan, tetapi juga menjadi bentuk cerita yang dikenali dengan `Cerita Berbingkai` yang turut sama mempengaruhi sastera di Barat pada zaman pertengahan.

Sekian.

November 5, 2015

Rasulullah S.A.W. Berperanan Menyampaikan


BBB,  22 Muharram 1437 = 04 November 2015 (Rabu):


Sebagaimana dari segi aqidah, bahawa umat Islam berpegang secara keyakinan bahawa Rasulullah adalah bersifat menyampaikan (tabligh), di samping bersifat sidiq, amanah dan fatanah, maka demikianlah dengan penyampaian Al-Qur`an, khususnya Surah Al-Nahl yang dibicarakan. Ini sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Nahl bermaksud:
``Sesungguhnya kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkan dia menyeru mereka) , ``Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut``, maka adalah antara yang menerima (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi pertunjuk oleh Allah, dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan, oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasulnya``. (16. 36).
Tamsil ibarat seperti `Madu Lebah` yang menjadi judul bagi Surah al-Nahl ini, bahawa Islam yang ditawar dan didakwah kepada mereka adalah ibarat himpunan madu kebaikan yang menjadi penawar kepada mereka. Firman Allah berhubung dengan `Madu Lebah` ini bermaksud:
``Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, ``Hendaklah engkau membuat sarangmu pada gunung ganang, dan pada pokok-pokok kayu dan juga pada bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda yang membuktikan kemurahan Allah bagi orang-orang yang mahu berfikir``. (16. 68-69).
Sesungguhnya amat indah bandingan Allah bahawa binatang seperti lebah yang patuh kepada arahan Allah, memilih di dalam pencarian sesuatu yang bersih dan murni, menghasilkan hasil yang berkhasiat dan dapat memberi faedah kepada orang lain. Demikianlah bandingan dengan apa yang dibawa Rasulullah yang bersifat sidiq, amanah, tabligh dan fatanah dengan apa yang diutuskan Allah sebenarnya membawa kebenaran, keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Masalahnya, walaupun mereka diberi dakwah dan penerangan dengan lembut dan bahawa hendaklah patuh pada perintah Allah Yang Esa (16. 22), tetapi mereka tidak beriman kepada Allah. Ibarat bandingannya mereka tidak memilih pati madu dari manisan bunga-bunga yang terpilih, mereka memilih dari sesuatu yang kotor dan memudaratkan. Mereka tidak beriman – tidak memilih kebaikan,
 sebagaimana firman Allah bermaksud.
``Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak memberi hidayah pertunjuk kepada mereka, dan mereka pula beroleh azab yang tidak berperi sakitnya``. (16. 104). Mereka yang seperti ini diibaratkan oleh Allah bermaksud:
``Mereka itu orang-orang yang telah dimeterikan oleh Allah Ta`ala hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka, dan merekalah orang-orang yang lalai``. (16.108). Mereka yang sedemikian ini disifatkan oleh Allah Ta`ala, bermaksud:
``Tidak syak lagi bahawa mereka adalah orang-orang yang rugi pada hari akhirat kelak (16.109).
Balasan bagi mereka yang sedemikian sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Oleh itu masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu di dalamnya, maka sesungguhnya (neraka itu) seburuk-buruk tempat bagi orang yang sumbung takabbur``. (16.29). Mereka menerima hukuman sedemikian oleh kerana – maksud firman Allah:
``Lantaran mereka kufur, tidak bersyukur akan nikmat-nikmat yang kami berikan kepada mereka, maka kamu akan mengetahui (keburukan akan menimpa)``. (16. 55).
Inilah akibat mereka yang mendustakan Nabi sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan demi sesungguhnya mereka pula telah didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya, maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka berkeadaan zalim``. (16.113).
Sesungguhnya apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ialah penerusan bagi agama tauhid seperti penerusan agama Hanif (Islam) yang dipegang oleh Nabi Ibrahim a.s. (16.120).
Allah membandingkan antara pengikut yang betul dengan pengikut perjalanan yang salah yang kufur  sebagaimana maksudnya:
``Dan Allah memberikan satu misalan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang didatangi rezekinya yang mewah daripada tiap-tiap tempat. Kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan (16. 112). Tindakan sedemikian sudah tentulah menimbulkan kekesalan. Hukuman kepada mereka yang pernah beriman dan kufur tentulah lebih berat dari mereka yang masih belum beriman.
Pendekatan secara lembut di dalam menyampaikan dakwah kepada yang bukan Islam, bahkan yang Islam tetapi ingkar adalah pendekatan yang baik. Pendekatan sedemikian memerlukan seorang pendakwah, bukan saja mengetahui kaedah-kaedah berdakwah, tetapi seharusnya mempunyai kefahaman  dari segi psikologi, mengetahui latar mereka yang hendak disampaikan dakwah. Menyebut sesuatu yang lebih dekat kepada kefahaman mereka. Lebih bersifat menerangkan dari melarang dan menghukum. Kerja mendakwah hendaklah secara ikhlas dan keikhlasan terpancar dari segi percakapan, cara bermuamalah dan berkomunikasi dengan mereka. Lebih dari itu perlu ada pada diri pendakwah rasa kemanusiaan yang tinggi yang bukan dibuat-buat. Dengan adanya rasa kemanusiaan yang tinggi dan dapat dirasa oleh mereka yang disampaikan dakwah nescaya mendapat respond yang baik, lantaran adanya elemen kasih sayang yang dapat menjalinkan hubungan yang mesra dan membuka ruang bagi hubungan selanjutnya.
``Sesungguhnya kelembutan adalah daya tarik yang merapatkan berbanding dengan kekerasan yang bersifat keras-panas dan merenggangkan.``

Sekian. 

November 4, 2015

Menyedari Nikmat Kurniaan; Melahirkan Kesyukuran


BBB,  21 Muharram 1437 = 03 November 2015 (Selasa):


Dengan kehidupan yang kita alami, misalnya dilahirkan dengan anggota yang sempurna, mendapat kasih sayang ibu bapa dan keluarga, cukup makan dan pakai, beroleh pendidikan yang sempurna, mendapat pekerjaan yang baik, tidak mengalami masalah kesihatan, dapat mendirikan keluarga dan mempunyai tempat kediaman yang selesa, bebas bergerak dan mengeluarkan pendapat di dalam masyarakat yang harmoni di negara yang aman. Tidak ada sekatan dari mengamalkan kepercayaan, nilai budaya dan berpeluang membuat amal kebajikan seharusnya mereka yang sedemikian bersyukur dan menghargai segala nikmat yang diterima. Masalahnya tidak semua yang menerima nikmat-nikmat sedemikian SEDAR dan menghargai nikmat-nikmat yang diterima serta bertindak membalas terhadap Pengurnia nikmat-nikmat yang diterima dengan kebaikan sebagai melahirkan kesyukuran. Tetapi sebalik dari itu mungkin mereka yang menerima nikmat yang sedemikian tidak sedar dengan nikmat-nikmat yang diterima, bahkan menjadikan mereka hilang pertimbangan, angkuh dan bermegah bahawa apa yang dicapai adalah dari usaha dan kemampuan diri yang menjadikan mereka lebih sombong dan tidak sedarkan diri. Dalam hal ini orang yang sedemikian lebih baik dibiarkan dalam kesusahan supaya mereka menjadi orang yang  insaf dan sedar diri.
Ini adalah salah satu situasi individu dan masyarakat yang dihadapi di dalam berdakwah. Antara kaedah yang dihadapi, ialah mendepani situasi sedemikian dengan berlemah lembut sebagaimana pendekatan di dalam Surah Al-Nahl. Allah menyebut bahawa di tengah ciptaanNya – langit dan bumi (16.3) Allah memilih manusia sebagai ciptaanNya yang paling sempurna dan berkelayakan menjadi pentadbir dan khalifah yang memakmurkan bumi dan alam ini. Di samping ada yang tidak berterima kasih dan menjadi penentang seperti firman Allah yang bermaksud:
``Ia menciptakan manusia dari air (benih) kemudian (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah  ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya``. (16.4).
Allah yang bersifat Rahman dan Rahim menyediakan berbagai-bagai kemudahan bagi manusia dengan mewujudkan iklim dan cuaca yang bersesuaian bagi keperluan kehidupan. Firman Allah bermaksud:
``Dan Ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya``. (16.12)

Bagi memudah dan melangsungkan kehidupan Allah menyediakan sebagaimana firmanNya bermaksud:
``Dan Dia mengadakan di bumi gunung ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu dan dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju``. (16.15). Selanjutnya Allah juga menerangkan bermaksud:
``Dialah yang menurunkan air dari langit, sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian daripadanya menyebabkan tumbuh pokok-pokok (tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak makan padanya``. (16.10).
Dari iklim yang bersesuaian dan dengan turunnya hujan Allah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan berbagai-bagai jenis buah-buahan bagi keperluan makanan manusia sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab air itu tanam-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurna) serta anggur dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mau berfikir``. (16.11).
Allah menerangkan lebih lanjut bermaksud:
``Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di bumi yang berlain-lainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya yang demikian adalah tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi kaum yang mau mengingati nikmat-nikmat Allah itu``. (15. 13).
Selain dari menyediakan bahan-bahan keperluan makanan dari buah-buahan, maka Allah juga  menyediakan di dalam laut firmanNya yang bermaksud:
``Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain dari itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya, dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnianya, dan supaya kamu bersyukur``. (16.14).
Selain daripada menyediakan kemudahan bertani Allah juga menyebut Dia juga menyediakan binatang untuk makanan dan juga tunggangan sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Allah jua menciptakan binatang-binatang ternak untuk kamu. Terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh kamu (contoh bulu) dari sejuk dan beberapa faedah yang lain dan daripadanya juga kamu makan``. (16.5). Berhubung dengan binatang ini juga mempunyai daya dan nilai estetik sebagai binatang peliharaan. Firman Allah bermaksud:
``Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berihat (pada waktu petang) dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi).`` (16.6).
Lebih dari itu beberapa jenis binatang boleh digunakan sebagai  tunggangan untuk perdagangan dan komunikasi, sebagaimana zaman moden kini wujudnya berbagai-bagai jenis kederaan. Firman Allah dalam konteks zaman tradisi (Arab) bermaksud:
``Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak sampai kepadanya, melainkan dengan menanggung susah. Dan sesungguhnya Tuhan kamu Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatNya (16.7). Seterusnya berhubung dengan kenderaan dari binatang ini Allah berfirman bermaksud:
``Dan Allah menjadikan kuda, baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya dan menjadi perhiasan dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya``. (16. 8).
Demikianlah Allah sediakan untuk kehidupan dan keselesaan hidup manusia. Segala persediaan yang dikurnikan ini diharapkan mereka tergolong di kalangan orang yang bersyukur (16.14). Dan Allah menyebut bermaksud:
``Dan jika kamu hendak menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak terhitung. Sesugguhnya Allah Amat Pengampun dan lagi Amat Mengasihani (16.18).
Demikianlah approach lembut dari segi dakwah yang diharap manusia insaf serta bersyukur dan mematuhi perintah Allah.

Sekian.

November 3, 2015

Surah Al-Nahl - Rutin Kehidupan: Peringatan Dengan Nada Lembut


BBB, 20 Muharram 1437 = 02 November 2015 (Isnin):


Membaca Surah Al-Nahl (Lebah) Surah ke (16), Makkiyyah mengandungi 128 ayat agak berbeza dari segi mood dan suasana berbanding dengan Surah Al-Hijr (15) sebelumnya. Jika nada dalam Surah Al-Hijr agak keras, yakni tentang ancaman dan balasan terhadap Kaum Hijr, Al-Aykah dan Lut dengan gempa dan kemusnahan alam, tetapi nada dan mood dalam Surah Al-Nahl adalah bersifat lembut, iaitu lebih mengingatkan tentang kurniaan-kurniaan dan nikmat-nikmat Allah yang banyak diterima yang sepatutnya penerima-penerima berkenaan bersyukur dan beriman.
Kelembutan nada di dalam surah ini bersesuaian dengan ayat pada akhir bagi surah ini, iaitu ayat yang bermaksud:
``Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat pertunjuk.`` (15. 125).
Ayat di atas adalah membicarakan kaedah dakwah dan ayat ini selari dengan beberapa ayat yang bersifat dakwah yang lain yang antaranya bermaksud:
``Hendaklah ada dari kalangan kamu ummah yang menyeru kepada kebaikan dan membuat kemakrufan dan mencegah daripada perkara-perkara yang munkar dan mereka itulah orang-orang yang berjaya``. (Aali `Imran: 104). Atau ayat yang bermaksud:
``Siapa yang lebih elok perkataan daripada orang yang mendakwah kepada Allah dan beramal salih dan dia berkata bahawasanya aku dari kalangan orang muslimin``. (Fussilat: 33).
Dan ayat yang bermaksud:
``Katakanlah, ``inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah di atas jalan yang nyata, aku dan siapa yang mengikutiku. Maha suci Allah aku bukan dari kalangan orang musyrikin``. (Yusuf: 108).
Dan ayat bermaksud:
``Perlulah ada dari kalangan  setiap kelompok mereka itu satu jumlah (taifah) yang keluar menuntut ilmu agama agar mereka itu dapat mengingatkan kaumnya apabila mereka itu kembali kepada mereka itu, semoga mereka itu mendapat peringatan``.(Al-Taubah: 122).
Itulah nada-nada lembut ayat-ayat Al-Qur`an yang bersifat dakwah yang ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan ia adalah kaedah yang digunakan oleh Baginda di dalam menyampaikan dakwah terhadap umatnya. Nada lembut di dalam ayat Al-Qur`an ini juga adalah sifat dan amalan Nabi di dalam menyampaikan dakwah. Sifat Baginda ini sesuai dengan sabda-sabda baginda, khususnya berhubung dengan tema-tema dakwah. Contoh Hadith Baginda bermaksud:
Hadith riwayat Muslim daripada Abi Sa`id al-Khudri r.a. berkata. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
``Siapa dari kalangan kamu melihat kemunkaran, maka hendaklah ia mengubahkannya dengan tangannya, maka jika dia tidak berkuasa maka (ubahlah) dengan lisannya, maka jika dia tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan hatinya, maka dia adalah selemah-lemah iman``.
Dan Hadith riwayat dua Shaykh (Bukhari dan Muslim) Daripada Tamim al-Dari daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda, Agama itu nasihat, Baginda mengulangi tiga kali. Katanya; Kami berkata, bagi  siapa ya Rasulallah ? Baginda bersabda, bagi Allah dan bagi Rasulnya dan bagi sekalian orang muslimin dan keseluruhannya.
(Muhammad Abdul Aziz al-Khauli, Islah al-Wa`zi al-Dini, al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1377H./1958M: 9-10).
Apa yang terkandung di dalam Surah Al-Nahl adalah menyebut tentang rutin hidup manusia yang biasa yang hidup di bawah kolon langit, dipermukaan bumi yang dia dari sebahagian ciptaan Allah yang dengan rahmatNya mendapat rezeki dari hasil bumi yang disediakan, dari hasil ternakan yang disegarkan dengan siraman hujan yang bukan saja diminum oleh binatang, tetapi juga manusia. Demikianlah mereka mendapat keperluan-keperluan yang lain seperti pakaian dan alat perhubungan (tunggangan). Apa yang disebutkan oleh Al-Qur`an adalah rutin, tabi`i biasa, tetapi di dalam kebiasaan yang membudayakan hidup masyarakat ini kadang-kadang menjadikan mereka lupa, lalai dan tidak menyedari proses yang dilalui dan dialami mereka.
Pendekatan dakwah di dalam Surah Al-Nahl menyentuh perkara-perkara berkenaan sebagai kejutan yang menyedarkan mereka. Sesungguhnya dalam dakwah tidak semestinya membawa perkara-perkara yang anih dan di luar dari pengalaman mereka yang didakwah, sebaliknya mengupas dan mengingatkan apa yang dialami sebagai kebiasaan biasa dapat menyedar dan mengingatkan mereka. Misalnya apa jadi jika kemarau berterusan, apa jadi jika tanaman tidak dapat mengeluarkan hasil dan apa jadi jika ketiadaan air sebagaimana dialami oleh setengah pihak. Walau semuanya perkara kecil, tetapi besar kesannya kepada kehidupan. Sebab itu nikmat yang diterima seharusnya dihargai, bahkan perlu mensyukuri kepada Pengurnianya. Antara kaedah berdakwah yang disebut di dalam kitab `Islah al-Wa`z al-Dini` tercatat bahawa kesan dakwah yang efektif bahawa:
``Apa yang diucap dan didengar telinga tidak keluar menghilang, apa yang keluar dari hati meresap kelubuk-lubuk hati dan menggerak ke arah islah dan kebaikan dan amalan salih, sesungguhnya hasil yang baik keluar dari jiwa yang baik. Contoh  penyampaian yang baik dan penerimaan yang baik ialah sebagaimana yang yang disampaikan oleh Sayyid al-Mursalin Rasulullah s.a.w. sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu ikutan yang baik siapa yang mengharapkan balasan Allah dan Hari Akhirat dan mengingat Allah dengan banyak (Al-Ahzab: 21).
Sesungguhnya seorang pendakwah adalah seorang mursyid yang menjaga dirinya, mengawal akhlaknya, betul fikirannya, beramal dengan apa yang dikatakan, menjaga hukum syarak, tidak berpihak, jujur hingga ia diyakini khalayak dengan apa yang disampaikan dan mendorong pendengar menerima apa yang disampaikan.
Demikian apa yang dapat dipelajari sebahagian dari roh dakwah sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Nahl.

Sekian.

November 2, 2015

Ilmu Paling Penting Bagi Kefahaman Islam Dan Mendakwah


BBB, 19 Muharram 1437 = 01 November (Ahad):


Boleh dimaksudkan kerja mendakwah hendaklah dilakukan oleh orang berilmu, tahu mengenai keilmuan yang berhubung dengan dakwah serta ilmu-ilmu lain dan menyampaikannya secara ilmu, pendek kata `Segala Keilmuan itu` adalah wadah yang ampuh bagi Islam dan dakwah.  Topik ini sebenarnya sebagai lanjutan bagi topik terbaru yang lepas bahawa, `Dakwah Bertahap Tinggi  - Menggugah Minda`. Ibarat pada tahap ini bahawa insan yang mempunyai indera, hati, roh dan minda itu masih berada  di luar batas sempadan dan memerhati dari luar apa yang dibentang oleh Al-Qur`an dan maksud `Ilmu` di sini ialah masuk ke ruanglingkup sesuatu bidang ilmu itu mengkaji, meneliti, memahami, menghayati, bahkan menemui  (walaupun mungkin tidak mendapati sepenuhnya), tapi dihasilkan sebagai `Sebuah Ilmu` yang dikeluarkan dari jumlah ilmu yang tidak terpermenai banyaknya. Dalam kata yang lain, satu ilmu itu sebagai `Satu Kebenaran` dari berbagai-bagai ilmu sebagai `Kebenaran-Kebenaran` adalah wadah dakwah menerangkan kebenaran-kebenaran, apa lagi jika diguna oleh pendakwah yang mendalam dalam bidang-bidang yang disampaikan dengan menggunakan kaedah yang betul yang meyakinkan khalayak yang menerimanya.
Dengan Ilmu menjadi mekanisme penting di dalam memahami kandungan Al-Qur`an. Dr. Danial Zainal Abdin yang sering menyampaikan ceramah  yang berhubung dengan ulum al-Qur`an dan menghasilkan buku berjudul `The Power of Al-Qur`an` menekankan bahawa `Al-Dirayah` (kefahaman) itu lebih penting dari  `Al-Riwayah` yang menekankan kepada riwayat dan penghafalan semata-mata. Beliau juga memetik pendapat Setiausaha Agung Rabitah al-Alam al-Islami Dr. Abdullah bin Abdul Aziz al-Muslih berkata:
``It is a knowledge that no one can reject, except the foolish.``
(Dr. Danial Zainal Abidin, The Power of Al-Qur`an, Pts Millennia Sdn. Bhd., Batu Caves, Selangor, 2013: 111- VII).
Tetapi tentang keilmuan begitu luas dan banyak sebagaimana firman Allah bermaksud:
 ``Katakanlah (wahai Muhammad), kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku, walaupun Kami tambahkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.`` (Al-Kahfi:109).
Ketidakmampuan kita bukan untuk mengkaji setiap keilmuan, malah untuk menyebut banyaknya jenis keilmuan tidak termampu. Sebagai contoh kita tidak mampu untuk mengira percambahan ilmu yang berlaku di dalam Surah Al-Hijr. Namun dari ayat-ayat dari Surah Al-Hijr ini dapat kita keluarkan sebahagian dari keilmuan yang sudah diketahui setakat ini secara terhad – iaitu mengikuti susunan ayat di dalam Surah Al-Hijr yang diperkatakan, iaitu:
1)      Keilmuan yang berhubung dengan Al-Qur`an (15.1)
2)      Sejarah jatuh bangunya sesuatu ummah (15.5)
3)      Persoalan tentang mala`ikat (15.7-8).
4)      Bidang berhubung dengan astronomi (15.16)
5)      Keilmuan yang berhubung dengan muka bumi (15.19)
6)      Cuaca dan pertanian (15.22)
7)      Hakikat kejadian manusia (15.26-29)
8)      Konsep iblis (15.31-39)
9)      Soal syurga-neraka (15.43-46)
10)   Sirah nabi-nabi (15.51,59
11)   Gempa dan kerosakan muka bumi (15.73-75)
12)   Arkeologi dan tapak purba (15.82)
13)   Langit bumi dan kiamat (15.85)
14)   Sirah Rasulullah s.a.w. mendepani kaum musyrikin (15.94).
15)   Memupuk kekuatan keyakinan terhadap Allah.
Demikianlah sebahagian persoalan nyata yang terkandung di dalam Surah Al-Hijr. Setiap maklumat yang dipaparkan di dalam Surah Al-Hijr berkenaan ialah sumber keilmuan yang dapat dikaji secara mendalam. Maklumat ini kelak dapat berdiri secara ilmu.
Katakanlah ambil dari no. 1, iaitu berhubung dengan Al-Qur`an ia adalah bidang yang amat luas untuk dikaji dan berbagai-bagai ilmu yang berhubung dengan Al-Qur`an. Antara yang kita ketahui seperti ilmu tafsir, tajwid, berbagai jenis qiraat, aqidah, fiqh, akhlak, tasawuf, sains, astronomi dan berbagai-bagai jenis ilmu lagi yang sebahaginnya kita keluarkan dari Surah Al-Hijr di atas.
Ambil pula bidang astronomi (no.4). Bidang ini begitu luas dikajikan sejak dari zaman permulaan Islam yang melahirkan berbagai-bagai tokoh astronomi Islam dan bidang ini terus dikaji hingga ke zaman moden ini yang maklumat berhubung dengan cakerawala, planet dan bintang-bintang diangkasa lepas masih terhad diketahui dan amat banyak lagi tidak diketahui berhubung dengan ciptaan Allah ini. Manakala no. 5 yang berhubung dengan muka bumi sebagai rumah bagi umat manusia menghuninya. Walaupun muka bumi begitu dekat dengan kita dan banyak manusia mengambil manfaat darinya sebagai tempat mencari sumber kehidupan, menggali hasil-hasil bumi, membuka pertempatan bandar, negeri dan negara, mengadakan komunikasi dan interaksi, tetapi begitu banyak yang belum dikuasai, bahkan tidak dapat menghadapi ancaman seperti gempa bumi, taufan, banjir dan sebagainya. Berbagai-bagai bidang yang dikaji dan keilmuan yang lahir bagi faedah manusia dan mengatasi malapetaka, tetapi manusia di dalam mencari keamanan dan keselesaan hidup tidak dapat mengatasi ancaman, bukan saja dari bumi, alam dan cuaca (no.6) bahkan dari manusia itu sendiri.
Satu bidang yang luas dikaji ialah tentang manusia itu sendiri. Ia adalah bidang falsafah, biologi, rohani dan manusia sosial. Kata seorang ahli falsafah Cassirer sebagai intro bagi part 1 bukunya berjudul ``What is man``:
``That self knowledge is the highest aim of philosophical inquiry appears to the generally acknowledged.``
(Cassirer, Ernst, An Essay On Man, Yale University Press, Yale, 1972: 1).
Luasnya kajian tentang manusia, bayangkan bagi mengkaji fizikal manusia, terdapat di dalam sebuah fakulti perubatan beratus-beratus kursus yang dianjurkan kepada pelajar-pelajar di dalam berbagai peringkat. Bayangkan juga bagi bidang rohani, katakan pembicaraan bidang tasawuf yang berkait dengan aspek rohani, maka berbagai-bagai aspek ketasawufan yang dibicarakan berhubung dengan bidang rohani itu sendiri. Bayangkan juga manusia sosial berbagai-bagai keilmuan yang dikaji. Pendek kata begitu luas ilmu yang mengjkaji tentang manusia itu, itupun belum habis-habis diteroka.
Begitulah bidang-bidang yang lain yang kita keluarkan dari Surah Al-Hijr seperti bidang yang berkait dengan syaitan, iblis hari akhirat, syurga, neraka, sirah nabi-nabi, soal bencana alam, soal kepurbaan, langit, bumi, Sirah Rasulullah s.a.w. dan pengukuhan aqidah dan berbagai-bagai bidang yang lain yang sebenarnya dengan mengetahui berbagai-bagai ilmu makin meluaskan maklumat dan memahami hakikat dan rahsia ciptaan Tuhan yang seharusnya membawa diri makin mendekati Ilahi.
Bagi pendakwah dan juga para ilmuan yang mengetahui sesuatu bidang ilmu dan berbagai bidang ilmu sebenarnya dia lebih  berpeluang memberi penerangan tentang Islam dari berbagai aspek keilmuan yang pada hakikatnya semua keilmuan membicarakan tentang kebenaran dari angle masing-masing yang  melengkapkan pandangan dan kefahaman tentang Islam itu secara syumul dan menyeluruh.

Sekian.

November 1, 2015

Dakwah Bertahap Tinggi - Menggugah Minda


BBB, 18 Muharram 1437 = 31 Oktober 2015 (Sabtu):


Selain dari dakwah menggunakan elemen estetik yang menyentuh perasaan khalayak seperti kegerunan sebagai balasan mereka yang ingkar dan melakukan tabiat yang keji seperti yang dilakukan oleh Kaum Hijr, Al-Aykah dan Kaum Lut, juga menggunakan kaedah yang mengkagum, dan mempesonakan pandangan indera mata khalayak seperti gambaran terhadap pandangan angkasa dengan bulan, planet dan bintang-bintang pada waktu malam, maka terdapat kaedah dakwah yang kita namakan `Tahap Tinggi`.
Dakwah pada tahap tinggi ini ialah dakwah yang ditujukan kepada minda khalayak dengan menggunakan contoh-contoh yang menggugah dan mencabar fikiran khalayak yang khalayak berkenaan adalah mereka yang berilmu dan berfikir. Ini adalah bersesuaian dengan tahap-tahap yang ada di dalam masyarakat. Ada yang bertahap biasa, ada yang berjiwa seni dan ada yang bersifat kritis dan gemar berbahas atau melihat sesuatu secara rasional. Fokus kepada khalayak secara berfikir dan bersifat rasional ini, bukan sesuatu yang luar dari skop dan fokus Al-Qur`an, lantaran begitu banyak sekali ayat-ayat Al-Qur`an yang dituju kepada khalayak agar menggunakan akal dan fikiran. Istilah-iatilah yang merujuk kepada akal ini juga banyak, misalnya akal, fikir, milihat (tubsirun), memerhati (tanzurun), mengetahui (ta`lamun) mempunyai lubb dan berbagai lagi. Contoh ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan pada diri kamu sendiri, apakah kamu tidak melihatnya ? (tubsirun)  - (Al-Dhariyat: 21)
Melihat di sini bukan setakat bentuk fizikal luaran, tetapi dari segi komplektisiti kejadian diri yang menjana hidup, wujudnya organ-organ dan lebih kompleks lagi wujudnya elemen, hati, akal, jiwa dan interaksi diri manusia dengan Pencipta, alam, masyarakat dan alam kelilingnya.
Juga ayat yang bermaksud:
``Dia (Allah) menggerakkan angin dan awan hitam yang bergerak antara langit dan bumi adalah tanda-tanda bagi kaum yang berakal (Al-Baqarah: 164).
Iaitu fenomena cuaca yang dialami dari panas dan hujan, siang dan malam yang merupakan proses kehidupan di bumi.
Juga ayat yang bermaksud;
``Allah yang mengambil dan memisahkan sesuatu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya, semasa matinya dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya, kemudian ia menahan jiwa orang yang ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.`` (Al-Zumar: 42).
Sesungguhnya soal nyawa, roh, jiwa, hidup dan mati ialah mistri bagi bagi manusia dan kagum dengan ciptaan Allah.
Demikianlah manusia diberi keistimewaan berakal dan berfikir.  Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya kami muliakan anak Adam, mereka bergerak (dengan kenderaan) di darat dan dilaut, Kami memberikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami memberi kelebihan kepada mereka berbanding dengan  makhluk yang lain yang Kami ciptakan.`` (Al-Isra`: 70).
Di dalam Surah Al-Hijr ada ayat-ayat yang ditujukan kepada kefahaman minda yang menuntut khalayaknya berfikir tentang persoalan yang diutarakan. Sebagaimana disebutkan ada ayat-ayat yang bertindih dari segi penekanan persoalan misalnya ada yang menuntut secara inderawi – contoh menuntut penglihatan seperti ayat yang telah dibicatrakan, misalnya ayat tentang cakerawala. Selain dari dihayati keindahannya secara penglihatan mata contoh (15.16), maka fenomena cakerawala di langit itu juga menuntut khalayak berfikir tentang kejadian Allah itu. Begitu juga ayat tentang bumi terhampar yang dipaksikan dengan gunung ganang dan bukit bukau serta turunnya hujan, mengalirnya sungai dan suburnya tumbuh-tumbuhan yang menjadi rezeki kepada manusia dan hidup-hidupan yang lain,  juga ayat ini menuntut penggunaan fikiran tentang ciptaan Allah yang memberi rahmat kepada manusia dengan mendapat rezeki dari tumbuh-tumbuhan yang subur di permukaan bumi (15.19). Begitu juga proses menurunkan hujan, mendebunga dan soal menghidup dan mematikan, juga tentang kejadian langit dan bumi (15.22, 23, 55) juga menuntut kepada pemikiran tentang semua kejadian Allah tersebut.
Satu dari contoh persoalan yang memerlukan kefahaman minda ialah ayat-ayat Al-Qur`an tentang hakikat ciptaan manusia sebagaimana terdapat di dalam Surah Al-Hijr di samping terdapat pada tempat-tempat yang lain tentang kejadian manusia. Misalnya di dalam Surah Al-`Alaq (Al-`Alaq). Ayat yang bermaksud:
``Allah menciptakan manusia dari sebuku darah (Al-`Alkaq: 2).
dan ayat yang bermaksud:
``Dia (Allah) yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakannya kejadian manusia daripada tanah. Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati (iaitu) dari air ( benih) yang sedikit dipandang orang. Kemudian Ia menyempurnakan kejadian serta meniupkan padanya roh ciptaanNYa. Dan Ia mengurnikan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur tapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.`` (Al-Sajadah: 7-9).
Beberapa ayat lagi mengenai kejadian manusia seperti di dalam Surah (Al-Mu`minun: 12-14), Surah (Al-Hajj:5), Surah (Al-Mursalat: 20-23) dan beberapa tempat yang lain.
Di dalam Surah Al-Hijr ayat membicarakan tentang kejadian manusia ialah sebagai ayat bermaksud:
``Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya``. (15.26-29 ).
Demikian sebagai satu contoh dari banyak ayat menuntut kefahaman secara akli tentang kejadian manusia yang disebut beberapa proses misalnya tahap-tahap perkembangannya setelah benih manusia berada di dalam rahim ibu, konsep kejadiannya dari pati tanah, tanah liat yang kering yang bagi memahaminya perlu kepada penghuraian dari mereka yang pakar. Antaranya dihuraikan secara ilmuiah oleh Dr. Maurice Bucaille dalam, bukunya yang berjudul `What Is The Origin Of Man ? The Answers of Science and the Holy Scriptures dan tulisan-tulisan ilmiah yang lain.

Sekian.