November 14, 2015

Mesej Dari Surah Al-Kahfi


BBB, 01 Safar 1437 = 13 November 2015 (Jumaat):


Sesudah membaca sebuah kisah atau cerita – Sesudah memahami tema yang mungkin sengaja tidak diserlahkan, mengkagumi keunikan cerita dengan teknik canggih, bahasa indah memukau, wujudnya konflik antara watak dan perwatakan bertentangan mendebarkan dengan cerita berestetika tinggi dan penyelesaian (katarsis) yang mengharu atau menginsafkan, lantas apakah hasil puncak dari sesebuah kisah yang diharapkan ?
Sesebuah cerita tidak cukup dengan ungkapan `sedap dan indah`, tetapi inti yang dapat ditarik ialah apakah mesej yang mau disampaikan dan apakah pengajaran yang dapat dimanfaatkan. Harapan ini melibatkan semua jenis cerita, termasuk juga cerita-cerita dari Al-Qur`an, tetapi tidak semua cerita mengandungi semua elemen dan infra penceritaan secara lengkap. Ianya bergantung kepada jenis penceritaan dan keutamaan yang disengaja atau tidak disengajakan yang menjadi ciri dan identiti cerita berkenaan.
Surah Al-Kahfi adalah sebuah cerita lengkap, walaupun tidak sepanjang Surah Yusuf, teknik penceritaannya bersifat laporan dari `Pihak Pertama (Allah)` kepada `Orang Kedua (Rasulullah)` -  (Allah sengaja tidak disebut `Orang Pertama`, sebagai terminogi bahasa dan sastera, diganti `Pihak`), tentang cerita `Orang Ketiga (Ashab al-Kahfi). Cerita adalah bersifat laporan direct. Watak yang dilaporkan tidak dihidupkan dengan dialog – kecuali dialog kecil antara Ashab al-Kahfi selepas mereka sedar dar tidur yang panjang.
Ada mesej-mesej utama yang dapat ditarik kesimpulan.
Mesej utama dari cerita Ashab al-Kahfi (18. 1-59), bahawa `Pentingnya Aqidah Tauhid` dipertahankan. Jika  pegangan ini terdedah kepada ancaman kerosakan, maka jika perlu menjauhi dan mengasingkan diri, maka perlu mengasingkan diri sebagaimana dilakukan oleh Ashab al-Kahfi dan mendoakan keselamatan diri dan aqidah  sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``(Ingatlah peristiwa) Tatkala rombongan orang muda (Ashab al-Kahfi) pergi ke gua  lalu mereka berdoa, ``Wahai Tuhan kami kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami``. (18.10).
Pegangan agama mereka digambarkan oleh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), tatkala mereka bangun (menegakkan tauhid) lalu berkata, ``Tuhan kami ialah Tuhan Yang Mencipta dan Mentadbirkan langit dan bumi. Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya. Jika kami menyembah yang lainNya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran``. (18.14).
Dapat difahami era di mana peristiwa ini berlaku, iaitu pada zaman era sebelum Kristian (menyembah berhala) dan kerajaan Rum yang menerima konsep Triniti sebagai pegangan akidah pegangan negara. Ini dapat difahami dari ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan juga Al-Qur`an itu memberi amaran kepada orang-orang berkata ``Allah mempunyai anak```. (18.4).
Mesej yang dapat difahami dari Surah al-Kahfi ialah tentang konsep `Hijrah Kecil` dilakukan oleh Ashab al-Kahfi bagi menyelamatkan aqidah mereka. Namun dibandingkan dengan Hijrah al-Rasul s.a.w. dari Makkah ke Madinah adalah tindakan pro-aktif, ianya sebagai strategi bagi meluaskan aqidah Islam, bahkan membuka Negara Islam pertama yang lebih meluaskan aqidah Islam secara luas ke seluruh dunia dan terus berkembang hingga kini, tetapi bagi Ashab al-Kahfi, ialah bagi menyelamatkan aqidah tauhid mereka. Tindakan mereka adalah  sesuai menurut kemampuan mereka, lagi pula mereka bukanlah para nabi atau rasul yang membawa amanah kerasulan dan kenabian (18.16).
Daripada Surah al-Kahfi, ialah gesaan agar suka berdamping dengan orang yang beribadat yang bererti orang yang beramal dengan ilmu sebagaimana firman Allah bermaksu:
``Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata.``. (18.28).
Sikap orang yang baik ialah mencari kebenaran, bererti juga orang suka mencari ilmu dan mempraktikkan keilmuannya melalui amal ibadat. Gesaan ini dapat difahami dari firman Allah yang bermaksud:
``Dan katakanlah (wahai Muhammad), kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu``. (18.29).
Seperti mana juga antara nilai kebaikan yang ditekankan oleh Islam yang banyak terdapat di dalam Al-Qur`an, termasuk di dalam Surah al-Kahfi ialah menggesa umat Islam dan sebenarnya sesiapa sahaja agar melakukan kebaikan yang merupakan nilai universal dan disanjung oleh semua pihak. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya Kami tidak mensia-siakan pahala sesiapa yang melakukan amalan yang elok``. (18.30). Dan sudah tentulah balasan mereka yang melakukan kebaikan ini ialah ganjaran syurga (18.31).
Antara nilai akhlak yang baik yang merupakan adab dan budaya Islam  yang mempunyai pertalian dengan `Pandangan Wujud` yang berkait rapat dengan aqidah ialah apabila bercakap mengenai perkara yang tidak pasti kemungkinan berlaku atau sebaliknya, ialah selalu menyebut `Insya Allah`. Ingatan kepada Allah juga hendaklah disebut, jika berlaku kelupaan. Ini diajarkan oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan), ``Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti``. Tetapi hendaklah disertkan dengan berkata `Insya Allah`` . Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu, jika engkau lupa dan katakanlah, ``Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini``. (18.23-24).
Mesej terakhir yang juga sebagai kesimpulan bahawa hendaklah tersimpul kukuh di dalam minda dan jiwa pegangan aqidah tauhid, bahawa segala kejadian dari alam fizikal, membawa kepada yang ghaib dan tidak kelihatan mata, bahawa kesegalaan di bawah kekuasaan Allah yang kita hendaklah sentiasa memohon hidayah dan pertunjukNya ke jalan yang benar (18.14).
Allah mengingatkan tentang sikap manusia yang zalim bermaksud:
``Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya. Sesungguhnya, kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka dari memahaminya dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak), dan jika engkau menyeru mereka kepada pertunjuk, maka dengan keadaan demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh pertunjuk hidayah selama-lamanya``. (18. 57).
Sesungguhnya Ashab al-Kahfi lambang mereka yang mendapat Hidayah yang kita mohon semoga kita juga sama turut mendapat hidayah – Insya Allah.

Sekian. 

November 13, 2015

Tema Dan Persoalan Dalam Surah Al-Kahfi


BBB, 30 Muharram 1437 = 12 November 2015 (Khamis):


Sebuah cerita bukan sekadar cerita yang tidak mempunyai arah dan tujuan, yang dinamakan cerita ada mempunyai tema, persoalan dan penting adalah mesej dan juga mungkin dapat dilihat dari segi kesan baik dari segi estetik dan pengajaran.
Tema ialah perkara pokok yang menjadi dasar bagi penceritaan. Apakah perkara pokok yang menjadi dasar bagi penceritaan di dalam Surah al-Kahfi ? Mungkin dapat disenaraikan beberapa perkara pokok di dalam cerita Ashab al-Kahfi:
1)      Memelihara aqidah adalah perkara yang menjadi keutamaan.
2)      Panjangnya usia Ashab al-Kahfi sehingga mampu bertahan selama 309 tahun  di dalam Gua al-Kahfi
3)      Al-Kahfi membuktikan salah satu kekuasaan Allah.
Ketiga-tiga perkara di atas mempunyai kewajaran sebagai tema bagi Surah al-Kahfi, bahkan ketiga-tiganya mempunyai pertalian dan pengukuhan dari segi significantnya cerita. Sememangnya dalam suatu cerita seharusnya ada perkara-perkara yang menjadi significant dari segi penceritaan yang menjadi daya tarikan dan rasa ingin tahu khalayak terhadap cerita. Misalnya cerita Nabi Yusuf yang menjadi tali sutera yang menghubungkan episod-episod dalam penceritaan ialah anugerah Allah kemampuan `Mentakwilkan Mimpi` sama ada kepada Nabi Ya`kub dan juga Nabi Yusuf. Significant bagi cerita Nabi Nuh ialah `Bala Banjir Besar` yang ditimpakan kepada umat Nabi Nuh yang degil dan tidak menurut seruan Nabi Nuh dan begitulah dengan cerita-cerita yang lain.
Adakah keanihan cerita panjangnya usia Ashab al-Kahfi sebagai tema utama ?. Namun di dalam hal ini Allah mengingatkan melalui firmanNya dalam Surah Al-Kahfi berkenaan bermaksud:
``Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah `Ashab al-Kahfi` dan `Al-Raqim` itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami ?`` (18.9).
Dalam kata lain untuk dikatakan bahawa kisah `Ashab al-Kahfi` suatu significant yang menakjubkan, sebenarnya, ianya bukanlah sesuatu yang besar dan benar-benar menakjubkan, lantaran di sana berbagai-bagai ketakjuban kekuasaan Allah. Misalnya bagiamana langit dan bumi serta kandungan-kandunganya dijadikan, bagaimana diri manusia yang berjisim, berakal dan berjiwa dijadikan, bahkan usia kehidupan dan penerusan serta pemusnahannya sebagai permulaan bagi akhirat juga adalah signicant dan menjadi pertanyaan.
Tema bagi kisah Ashab al-Kahfi yang utama ialah kisah sekumpulan pemuda yang tidak senang dengan perlakuan syirik pemerintah dan pengikutnya-pengikutnya menyembah berhala, mereka cuba menentang, tetapi di luar kemampuan, sebab itu bagi menyelamatkan akidah yang bererti kebenaran yang mereka pegang, mereka sepakat mengasingkan diri agar terselamat dari pengaruh syirik generasi orang tua mereka.
Berhubung dengan tempat terjadinya cerita Ashab al-Kahfi ini, ada beberapa pendapat. Ada yang mengatakan berlaku pada zaman pemerintahan kerajaan Rum yang tempatnya ialah kawasan Asia Kecil (Asia Minor) yang kini dalam kawasan Turki. Raja dan pembesar-pembesar dan pengikut-pengikut beragama syirik – menyembah berhala. Sekelompok pemuda anak-anak pembesar negeri yang berpendidikan tidak menyenangi dengan perlakuan syirik. Mereka menyatakan ketidaksenangan mereka. Mereka tidak diambil tindakan oleh pihak pemerintah, sebaliknya mengambil sikap berlembut dan menasihati agar tidak menentang kepercayaan mereka. Pemuda-pemuda berkenaan yang disebut di dalam al-Qur`an antara 3 hingga lapan orang itu (18.22) mengambil sikap mengasingkan diri mereka, ke gua Al-Kahfi yang jauh dan tersembunyi agar mereka tidak dicemari amalan syirik oleh pemerintah dan keluarga mereka. Ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Dan kami kuatkan hati mereka dengan kesabaran dan keberanian tatkala mereka bangun (menegaskan tauhid).`` (18. 14).
Pemuda yang berlindung di Gua Al-Kahfi menurut sumber yang dipetik Hamka ialah: Yamlikha, Marthumus, Kasatumus, Benrumus, Damimus, Yathubunus dan Kalius bersama seekor anjing menemani mereka – (tambahan seorang lagi ialah Maxalamina dengan nama anjing ialah  Hamran) di samping pendapat-pendapat lain.
(Hamka,  Tafsir Al-Azhar Jil. 6, Pustaka Nasional Pte Ltd. Singapura, 2001: 4,178).
Mereka tidur di dalam Gua Al-Kahfi selama tiga ratus dan sembilan tahun (18.25) dalam mana Al-Qur`an menggambarkan keadaan mereka:
``Dan engkau sangka mereka sedar, pada hal mereka tidur, dan kami balik-balikkan mereka (dalam tidurnya) ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri, sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua, jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau merasa dengan sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka``. (18.18)
Demikian hidupnya gambaran ayat Al-Qur`an terhadap situasi mereka di dalam Gua Al-Kahfi itu. Juga gambaran sehingga mereka terjaga selepas tidur begitu lama yang dijangka mereka hanya baharu sehari atau setengah. Gambaran lebih hidup apabila antara mereka dihantar untuk membeli makanan dari wang perak dalam simpanan mereka, penjual makanan terkejut dengan penggunaan  wang sejak tiga abad yang lampau, sedang pada masa itu segalanya telah berubah. Kata ayat Al-Qur`an menyebut maksud:
``Dan demikianlah pula kami bangkitkan mereka (dari tidur), supaya mereka tertanya-tanya sesama sendiri, salah seorang daripadanya bertanya, ``Berapa lama kamu tidur ?``(Sebahagian dari mereka menjawab), ``Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari hari. (Sebahagian lagi dari mereka berkata), ``Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur. Sekarang utuslah salah seorang dari kamu,, membawa wang perak kamu ini ke bandar. Kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang baik lagi halal (yang dijual di situ). Kemudian hendaklah ia membawa  untuk kamu sedikit habuan daripadanya, dan hendaklah ia berlemah lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar), dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan siapa pun menyedari akan hal kamu``. (18.19).
Namun keadaan mereka dari zaman yang berlainan itu disedari. Pemuda-pemuda Al-Kahfi ini juga dimaklumkan, bahawa mereka kini bukan saja berada zaman lebih tiga abad dari zaman mereka dahulu yang negara berkenaan di dalam keadaan syirik, tapi kini negara mereka  adalah negara yang mengesakan Allah sebagaimana yang diharapkan oleh pemuda-pemuda berkenaan.
Di atas keanihan situasi yang terjadi, maka bagi mengingati peristiwa itu ada dicadangkan dibuat bangunan peringatan, bahkan ada cadangan mendirikan masjid (rumah ibadat) berdekatan dengan gua berkenaan (18.21). Bagi peringatan juga diabadikan tulisan pada batu `Al-Raqim bagi mengingati peristiwa kebesaran Allah di atas peristiwa yang berlaku. Adalah dijangka peristiwa berlaku pada zaman kerajaan Rum dan pemuda-pemuda Al-Kahfi adalah pendukung dakwah Nabi Isa al-Masih a.s. Berkat harapan dan doa mereka negara mereka berikutnya turut sama mendukung agama Tauhid.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 

November 12, 2015

Al-Kahfi - Format Dan Bahasa


BBB,  29 Muharram 1437 – 11 November 2015 (Rabu):



Surah al-Kahfi bersifat cerita dan cerita di dalam surah ini mengandungi lebih dari satu cerita. Cerita utama ialah mengenai `Ashab al-Kahfi` dan satu cerita lagi ialah cerita mengenai `Nabi Musa Dan Nabi Khaidir`.
Dari segi format cerita bahawa cerita bermula dengan basmalah dan kesyukuran kepada Allah yang menurunkan `Kitab Panduan Al-Qur`an` yang benar yang menjadi panduan bagi orang mukminin dan juga ingatan bagi mereka yang tidak menurut panduan berkenaan. Rasulullah s.a.w. diingatkan tidak terpengaruh dengan sebarang penyelewengan dan tidak berdukacita dengan sebarang tuduhan yang tidak benar (18.1-6).
Selepas dari pada itu barulah Surah masuk kepada kejadian alam ini pada satu pihak, kejadian pada permukaan muka bumi adalah hiasan dan keindahan yang dapat diambil manfaat dan kebajikan darinya, manakala pada satu pihak lain, ianya dilihat sebagai ketandusan yang tidak diambil tamsilan bagi kehidupan dan kerohanian (18.7-8). Dari tamsilan fizikal lahiriah, juga dapat diambil manfaat dari segi peristiwa dan pengalaman rohaniah. Bahawa peristiwa, pengalaman dan cerita-cerita yang berlaku baik yang bersifat gembira dan tragidi yang menyayat hati, bahkan kisah-kisah peristiwa silam dapat membantu memupuk rasa simpati, kasihan dan mendorong membantu dari segi kemanusiaan. Antara cerita-cerita menarik dikenang, diabadi dan diwarisi oleh generasi ke generasi.
Di atas adalah merupakan `intro` dalaman` bagi Surah al-Kahfi. Namun sebagaimana telah disebut ada `intro` luaran yang membawa kepada diturunkan Surah al-Kahfi kepada Rasulullah s.a.w., iaitu 2 perwakilan dari kalangan Quraisy Makkah telah pergi ke Madinah dan berjumpa dengan pendeta Yahudi yang memang mahir berhubung dengan kitab Al-Taurat bagi mendapat panduan yang membuktikan kebenaran Muhammad s.a.w. adalah benar-benar seorang Rasul atau sebaliknya. Mereka dicadangkan menanyakan Nabi Muhammad tentang tiga perkara (Al-Kahfi, Pengambara timur Barat dan tentang Roh), yang jika dapat dijawab dengan betul, menandakan kebenaran perutusan Nabi Muhammad s.a.w.
Rasulullah s.a.w. memang dikemukakan kepadanya tiga persoalan di atas dan baginda menjanjikan untuk menjawab pada keesokannya, tetapi keesokannya tidak dapat diberikan jawapan berkenaan.
Di dalam hal ini Allah menegur sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Jangan berkata sesuatu (janji), `Aku akan lakukan esok`, melainkan hendaklah disertai, `Jika dikehendaki Allah` - Insya Allah``. (18.23-24).
Tekanan bagi mendapatkan jawapan dalam tempoh singkat dan melewati tempoh yang dijanjikan mendukacitan Rasulullah s.a.w. sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Maka adalah diharapkan semoga engkau (ya Muhammad) tidak dibinasakan dirimu dengan sebab menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur`an ini``. (18.6).
Lantas berikut dari intro, baru masuk kepada persoalan cerita yang ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah `Ashab al-Kahfi` dan `Al-Raqim` itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami ? (18.9).
Permulaan cerita adalah dengan cara bertanya, tetapi dijawab oleh firman Allah. Berbanding dengan Surah Yusuf yang membawa konsep cerita yang utama, bermula (selepas Alif, lam ra`) dengan Allah menurunkan Kitab (Al-Qur`an) yang nyata, bahawa Al-Qur`an yang dengan perantaraan bahasa Arab (Yusuf: 1-2), maka diikuti dengan kisah Nabi Yusuf yang disifatkan sebagai seindah-indah cerita.
Bagi surah Al-Kahfi bermula dengan pertanyaan, maka diteruskan cerita sebagai pernyataan maklumat bahan (cerita) sebagai `orang ketiga` disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.  sebagai `orang kedua`.
Pendek kata penceritaan bersifat kenyataan secara langsung dan tiada ungkapan yang bersifat dialog (18.1-25). Ini berlainan dari cerita Nabi Yusuf yang mempunyai beberapa episod cerita dan terdapat di dalamnya menggunakan elemen dialog antara watak-watak. Contoh dialog antara Nabi Yusuf dengan penghuni penjara dan dialog Nabi Yusuf dengan adiknya Bunyamin dan banyak tempat lagi.
Melihat dari segi bahasa adalah penggunaan bahasa yang bersifat prosa, sebagaimana bahasa penceritaan tentang Nabi Yusuf di dalam Surah Yusuf. Bahasa bagi Surah Al-Kahfi adalah bahasa nathar atau prosa. Tiada kesengajaan menggunakan rentak dan rima akhir yang bersamaan seperti kebanyakan surah-surah dalam beberapa juz` akhir dari Al-Qur`an. Dengan bahasa nathar biasa, maka pemahaman makna atau terjemahan yang dilakukan licin dan mudah difahami dari segi bahasa berbanding dengan bahasa yang berima dan beritma.
Dari segi khitab kandungan kita dapati ada pertukaran dari orang pertama, kedua dan ketiga. Misalnya pada permulaan Surah al-Kahfi dari ayat pertama hingga empat, gaya bahasanya menggunakan rujukan kepada `orang ketiga` - Dia, mereka. Contoh bermaksud:
``Segala puji tertentu bagi Allah yang menurunkan kepada hambanya (Muhammad0 kitab Suci Al-Qur`an (18.1) (Dia – orang ketiga).
Tetapi mulai ayat keenam bertukar khitab ditujukan kepada `Orang Kedua`, contoh ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Maka semoga engkau (Muhammad), jangan membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur`an ini``, (18.6) - ( Engkau = Orang Kedua).
Kemudian bertukar kepada khitab `Orang Pertama` sebagai contoh ayat yang bermaksud:
``Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah diantaranya yang lebih baik amalnya``. (18.7) (Kami = Orang pertama).
Begitu juga dengan kedudukan no. (18.8) adalah kedudukan `Orang Pertama`.
Sebaliknya dari orang pertama kepada orang kedua. Sebagai contoh ayat bermaksud:
``Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah `Ashab al-Kahfi`  dan `Al-Raqim` itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami ? (Engkau = Kedua).
Demikianlah seterusnya dengan bertukar khitab percakapan menjadikan gambaran dan bahasa hidup. Walaupun tidak ada dialog secara langsung seperti yang banyak terdapat di dalam Surah Yusuf yang menghidupkan cerita berkenaan. Tetapi antara keduanya menggunakan kaedah bahasa dan ungkapan yang sesuai dengan cerita masing-masing.
Dari segi istilah, dilihat istilah `Al-Raqim` menimbulkan beberapa pendapat.
Ada yang berpendapat ianya adalah nama lembah bagi tempat Gua al-Kahfi, ada yang memaksudkan nama bagi negeri,, ada yang mengatakan ia adalah nama gunung bagi al-Kahfi dan ada yang berpendapat ia adalah kepingan batu yang dirakam tulisan tentang `Ashab al-Kahfi` dan kepingan ini diletak pada permukaan pintu gua berkenaan.
(Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Jil. 5, Pustaka Ibn Kathir, Bogor, Indonesia, 2006: 492).
Demikian antara aspek format dan bahasa yang sedikit dapat membantu menjelaskan kandungan Surah Al-Kahfi.

Sekian.

November 11, 2015

Ashab Al-Kahfi Dalam Konsep Cerita


BBB, 28 Muharram 1437 = 10 November 2015 (Selasa):


Surah al-Kahfi, Makkiyyah (18.110 ayat).
Telah dibicarakan bahawa dua pertiga kandungan Al-Qur`an adalah bersifat cerita (Namun Al-Qur`an tidak boleh disifatkan sebagai Kitab Cerita dan tidak boleh disifatkan sebagai Kitab Sastera, walaupun elemen-elemen berkenaan terdapat di dalam Al-Qur`an). Berbagai format cerita yang dapat dilihat di dalam Al-Qur`an. Antaranya:
1)      Sepenuh kandungannya adalah berfokus kepada satu cerita berasaskan watak utama. Contoh `Kisah Nabi Yusuf`.
2)      Walaupun mempunyai tajuk cerita yang berhubung dengan satu watak atau tokoh, tetapi mempunyai lebih dari satu cerita, seolah surah berkenaan bersifat antologi cerita seperti Surah Al-Kahfi.
3)      Persoalan mengenai tokoh atau watak yang dicerita dibina maklumatnya dari berbagai-bagai surah. Contoh Kisah mengenai Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Adam dan banyak lagi (Tiada tajuk surah khusus bagi Nabi Musa dan Adam).
Surah Al-Kahfi  (Gua).
Surah ini termasuk di bawah kategori dua di atas, lantaran walaupun judul utama bagi surah ini ialah Al-Kahfi, tetapi mengandungi lebih dari satu cerita, iaitu `Ashab al-Kahfi` {Penghuni Gua) dan kisah `Nabi Musa Dengan Nabi Khaidir`  . Sesungguhnya semua kandungan Al-Qur`an diwahyukan dan ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi disampaikan kepada ummah sebagai panduan..
Surah Al-Kahfi sebagaimana Surah Yusuf dimaklumkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.  tentang kisah-kisah berkenaan. Contoh ayat dari Surah Yusuf bermaksud:
`Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), seindah-indah cerita dengan apa yang kami wahyukan kepadamu Al-Qur`an ini, pada hal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya` (Yusuf: 3).
Demikian dengan Surah Al-Kahfi juga bersifat makluman kepada Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud ayat:
``Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah pertunjuk``. (18.13).
Jika Surah Yusuf lebih menampilkan konsep cerita yang menarik dan indah sebagai cabaran kepada para sasterawan Jahiliyyah sejauh mana kemampuan mereka dapat menampilkan seindah cerita berbentuk prosa sebagaimana bentuk puisi yang banyak terdapat di dalam Al-Qur`an - Sesungguhnya mereka tidak dapat menghasilkan sebarang hasil yang dapat menandingi bahasa Al-Qur`an baik dalam bentuk prosa dan puisi sebagaimana cabaran Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan jika kamu ragu dengan apa yang telah kami turunkan (Al-Qur`an) ke atas hamba kami (Nabi Muhammad), maka bawa datanglah satu surah seumpamanya dan panggillah orang-orang  yang kamu percaya boleh menolong kamu, selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar``. (Al-Baqarah: 23).
Rasulullah Sebahagian Dari Episod Cerita:
Jika cerita-cerita di dalam Al-Qur`an bersifat informatif kepada Rasulullah bagi disampaikan kepada umatnya, tetapi bagi Surah Al-Kahfi Rasulullah menjadi `Intro luaran yang mendebarkan, bahkan sebagai ujian yang memberi kesan kepada dakwah Rasulullah s.a.w. di Makkah.
Menurut Muhammad bin Ishaq,  seorang Shaykh (berasal dari Mesir) datang sejak empat puluh tahun lebih memberitahu bahawa dari `Ikramah dari Ibn `Abbas r.a. mengatakan bahawa kaum Quraisy pada zaman Nabi s.a.w. telah mengutus dua orang iaitu Al-Nadr bin al-Harith dan `Utbah bin Abi Mu`ith ke Madinah untuk menemui para pendeta Yahudi menanyakan tentang `Muhammad` lantaran mereka membaca Taurat dan mempunyai tradisi kenabian. Ibn `Abbas menambah, Pendita kaum Yahudi itu mencadang untuk menanyakan tentang tiga perkara kepada Nabi Muhammad s.a.w. Menurut Pendeta Yahudi itu, ``Jika dia dapat menjawabnya menandakan ia seorang Rasul. Persoalan yang disuruh tanya ialah mengenai `Ashab al-Kahfi`, Pengembara yang berkeliling menjangkau arah timur dan barat dan ketiga ialah tentang roh.Kedua utusan itu kembali ke Makkah dan memberitahu kaum Quraisy. Tiga persoalan itu dihadapkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. minta dijawab. Pertanyaan mereka tentang tiga persoalan itu dijanji oleh Nabi Muhammad untuk menjawabnya `Esok` tanpa menyertai kata `Insya Allah`. Dengan harapan menerima wahyu segera mengenainya. Di dalam hal ini Baginda ditegur sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan janganlah engkau berkata mengenai suatu (yang hendak dikerjakan), bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti``. Melainkan hendaklah disertakan dengan berkata `Insya Allah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu, jika engkau lupa,`` dan katakanlah mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini``. (18.23-24).
Namun wahyu tidak diterima sehingga melewati janji sampai 15 hari, Baginda merasa sedih, sedang isu ini dipermainkan oleh kaum Quraisy. Isu ini membebankan Rasulullah s.a.w. Namun berikutnya Rasulullah s.a.w. didatangi Jibril a.s. membawa wahyu berhubung dengan tiga perkara berkenaan, iaitu:
1)      Tentang Ashab al-Kahfi
2)      Tentang pengembara ke sempadan barat-timur
3)      Tentang roh.
Mengenai persoalan satu dan dua disampaikan secara cerita, tetapi mengenai roh, ayat Al-Qur`an menerangkan bermaksud:
``Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh, katakanlah roh itu termasuk urusan Rabb-ku,, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit``. (Al-Isra`: 85).
(Ibn Kathir, Sahih Tafsir Ibn Kathir, Jil 5, Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, 1433H./2012M:  485-486).
Pertanyaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. berkenaan tiga persoalan di atas dari segi ilmu tafsir adalah sebagai`Asbab al-Nuzul`, tetapi dilihat dari segi penceritaan episod soalan yang berhubung dengan Nabis.a,w. adalah bersifat `Intro Luaran` yang mempunyai kaitan rapat dengan dakwah Rasulullah s.a.w. Dengan jawapan terhadap tiga soalan itu membenarkan tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. yang sepatutnya diakui oleh kaum Quraisy dan penduduk Makkah pada masa itu.

Sekian.

November 10, 2015

Aspek-Aspek Akhlak Yang Lain Dalam Surah Al-Isra`


BBB,  27 Muharram 1437 = 09 November 2015 (Isnin):


Nilai keakhlakan dalam Islam adalah pancaran dari aturan-aturan yang terdapat di dalam Islam. Dari segi syarak, bahawa  tidak ada amalan seseorang yang terkeluar dari hukum dan mengikut pendapat jumhur al-`ulama` hukum syara` terbahagi kepada lima. Iaitu wajib, mandub (disunatkan), haram, makruh dan harus.
Wajib ialah apa yang dituntut terhadap mukallaf melakukannya sebagai tuntutan pasti, dengan memberi pahala bagi yang melakukannya dan berdosa bagi yang meninggalkannya. Contoh menunaikan solat fardu pada waktunya.
Mandub (sunat) ialah apa yang dituntut syara` terhadap mukallaf melakukannya sebagai tuntutan yang tidak jazam (tidak putus). Siapa yang melakukannya diberi pahala dan siapa tidak melakukannya tidak berdosa seperti memberi derma bagi mendirikan sekolah agama.
Haram pula ialah apa yang dituntut syara` terhadap orang mukallaf meninggalkannya dengan tuntutan yang putus (pasti). Tuntutan tersebut diberi pahala jika meninggalkannya dan berdosa jika melakukannya seperti minum arak,  berjudi dan mencuri.
Makruh ialah apa yang dituntut syara` dari mukallaf meninggalkannya tuntutan yang tidak jazam (putus). Yang  tidak melakukannya diberi pahala dan yang melakukannya tidak berdosa. Sebagai contoh memakan makanan yang mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan seperti petai, jeruk bawang putih dan sebagainya.
Manakala Harus, ialah perkara yang syara` memberi pilihan kepada mukallaf antara melakukannya atau meninggalkannya seperti memilih makanan yang halal dan sesuai sebagai sarapan pagi.
Jika dilihat dari kelima-lima hukum di atas jika diikut baik dari segi suruhan, larangan, galakan dan bebas melakukannya melahirkan nilai yang nilai dari semua baik melakukan, meninggalkan atau bebas dari segi pemilihan adalah menghasilkan nilai-nilai yang baik yang dari segi akhlak adalah merupakan akhlak yang baik. Seorang yang menunaikan solat menurut waktu, tidak mencuri, memilih makanan menurut kesukaan adalah merupakan nilai-nilai akhlak yang baik.
Hukum yang melibatkan wajib dan sunat biasanya menggunakan aspek suruh, yang haram dan makruh melibatkan larang dan harus adalah bersifat terbuka.
(Haji Hassan bin Haji Ahmad, Usul al-Fiqh (separuh permulaan) dan Haji Mohd. Saleh bin Haji Ahmad, Al-Qawa`id al-Fiqhiyyah (separuh terakhir), Pustaka Haji Abdul Majid, Taman Ehsan. Kepong, Kuala Lumpur, 1998: 48-76).
Berdasarkan pada kerangka definisi dan ruanglingkup hukum-hukum di atas kita dapat melihat kepada surah dan larangan serta kebebasan pilihan maka ayat dari (17-23) hingga ayat (17.39) merangkumi hukum-hukum dan aturan-aturan yang melibatkan nilai keakhlakan. Secara seturut hukum dari ayat-ayat dapat dilihat sebagaimana berikut:
a)      Wajib
1)      Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah, melainkan kepadaNya semata-mata (17.23).
2)      Hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa, jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu (17.23).
3)      Sempurkanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia). Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (17.34).
4)      Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil, yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak) (17.35).
b)      Haram
1)      Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan membazir (burus) secara melampau-lampau. (17. 26).
2)      Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. (17.31).
3)      Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (17.32).
4)      Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya, kecuali dengan alasan yang benar. (17.33).
5)      Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim, melainkan dengan cara-cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya) sehingga ia baligh (dewasa, serta layak menguruskan hartanya dengan sendiri). (17.34).
6)      Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya (17.36).
7)      Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. (17.37).
8)      Dan janganlah engkau jadikan bersama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka jahannam dalam keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah) (17.39).
c)       Mandub (Sunat)
1)      Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang yang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing (17.26).
2)      Katakanlah kepada mereka (bermuasyarah) kata-kata yang menyenangkan hati (17. 28).
d)      Harus
1)   Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya (17.30)
       e)  Makruh
              1)  Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (kedekut –tangkai jering)          dan janganlah  pula engkau menghulurkan dengan sehabis-habisnya. Kerana akibatnya akan tinggallah  engkau dalam keadaan tercela dan duka. (17.29).
Terdapat banyak lagi ayat-ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith yang dapat ditambah bagi hukum-hukum di atas.
Dari hukum-hukum di atas mengawal tindak tanduk umat yang dengan cara itu terbina nilai-nilai dalam masyarakat umat dan nilai-nilai hidup di tengah masyarakat umat yang menyelaras dan mengharmonikan masyarakat umat dengan nilai-nilai tersebut. Dari satu pihak ianya memupuk dan membina akhlak masyarakat umat yang menjadikan hidup mereka teratur, terkawal, harmoni dan bahagia. Dalam kehidupan harian nilai ini sudah menjadi sebati dalam masyarakat dan perlakuan nilai ini tidak perlu kepada berfikir, kerana ianya menjadi nilai budaya masyarakat umat yang sebati dan spontan di dalam kehidupan mereka.

Sekian.

November 9, 2015

Akhlak Persoalan Penting Dalam Surah Al-Isra`


BBB, 26 Muharram 1437 = 08 November 2015 (Ahad):
Selepas dari membicarakan tentang `Isra` Dan Mi`raj` dan mengenai `Bani Isra`il, maka persoalan yang penting yang terdapat di dalam Surah Al-Isra` ialah mengenai akhlak. Terdapat 17 ayat mengenai akhlak secara berturut-turut di dalam surah ini, iaitu bermula dari ayat 23 (17.23) sehingga ayat 39 (17.39). Ayat permulaan (17.23) berkenaan bermaksud:
``Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu tidak menyembah, melainkan kepadaNya semata-mata. Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua  dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata secara kasar, walaupun dengan perkataan ``uhh`. Dan janganlah engkau menengking herdik mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun)``.
Di dalam kandungan ayat di atas terdapat dua prinsip utama yang  membina akhlak keislaman, iaitu `Menyembah Allah` dan `Berbuat baik kepada kedua ibu bapa`.  Menyembah Allah adalah berkait dengan rukun iman yang enam. Menyembah Allah bererti berkait sama dengan rukun-rukun iman yang lain yang menghasilkan nilai-nilai akhlak keislaman. Begitu juga `Berbuat baik dengan kedua ibu bapa` adalah hasil dari pegangan akidah keislaman dan nilai kepatuhan ibadat yang menghasilkan nilai akhlak – menghormati ibu bapa.

Add caption

Akhlak keislaman tidak terhasil secara terasing, tetapi adalah pancaran dari pegangan akidah, amalan syariat yang menghasilkan nilai budaya keislaman termasuklah `Akhlak`.
Bagi memudahkan perbincangan diperturunkan rangka yang menghasilkan akhlak keislaman sebagaimana di bawah:
Rajah:  Akhlak Keislaman.
Rajah  bertolak dari Islam membawa kepada Al-Qur`an yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. yang terpancar darinya `Akhlak Keislaman`. Akhlak keislaman ialah termanifestasi dari pegangan akidah, amalan syariat yang menghasilkan budaya keislaman dan nilai yang dapat dilihat di dalam berbagai-bagai aspek. Di dalam rajah diperturunkan sebanyak lapan aspek dan boleh ditambah menurut kesesuaian.
Di dalam membicarakan tentang akhlak, banyak pihak terutama dari kalangan orientalis selalu bertolak dan merujuk pendapat tentang akhlak keislaman kepada tokoh-tokoh klasik Yunani seperti Socrates, Plato dan Aristotle dan digalurkan pendapat-pendapat tokoh falsafah Islam seperti Al-Kindi, Al-Farabi dan sebagainya. Sebenarnya prinsip, dasar dan sumber akhlak keislaman lebih dari cukup berdasarkan sumber keislaman itu sendiri, iaitu dari Al-Qur`an, Al-Hadith dan peribadi Rasulullah s.a.w.
Akhlak sebenarnya merupakan manifestasi `Pandangan Wujud` dan `Nilai` yang terjelma di dalam perlakuan yang diselaraskan.
Banyak definisi yang berhubung dengan akhlak. Al-Tabari seorang tokoh pentafsir mendefinisikan:
``Akhlak ialah tata krama yang tinggi, iaitu tata krama Al-Qur`an yang telah Allah tanamkan di dalam jiwa Rasulnya. Tata krama ini tercermin melalui Islam dan ajarannya. Makna ini diriwayatkan oleh Ibn `Abbas yang ketika itu menjabarkan makna dari ayat bermaksud:
``Dan sesungguhnya engkau benar-benar, berbudi pekerti yang luhur``. (Al-Qalam, 68: 4).
Definisi akhlak juga dapat difahami dari riwayat, bahawa ketika `Aisyah r.a. ditanya Qatadah mengenai akhlak Nabi Muhammad s.a.w. ia menjawab:
``Akhlak Rasulullah ialah Al-Qur`an``.
(Hadith riwayat Ahmad).

Ada yang mengasaskan definisi akhlak kepada Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia``.
(Hadith riwayat Bukhari dan Ahmad).
Menurut Ibn Taimiah, bahawa akhlak berkaitan erat dengan iman.
(Mahmud al-Mishri, Ensiklopedia Akhlak Muhammad S.A.W., Pena Pundi Aksara, Jakarta Pusat, 2009: 5-6).
Kembali kepada rajah yang dipaparkan di atas adalah bermaksud, bahawa akhlak adalah manifestasi nilai bagi penganut yang perpegang kepada Islam. Di dalam Islam falsafah yang paling utama dan utuh ialah berpegang pada prinsip tauhid Allah Subhanahu wa Ta`ala yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Dialah puncak piawayan keislaman tertinggi, sumber segala nilai dan kepadaNyalah neraca nilai tertinggi. Pembalas segala perbuatan baik dan jahat. Tidak terlepas dariNya segala maklumat apa yang dilakukan oleh seorang hamba. Dialah Pembalas segala perlakuan baik dari segi baik dan buruk. Akhlak dan nilai dirujuk kepadaNya.
Al-Qur`an adalah Perlembagaan dan nilai keisalaman yang di dalamnya terkandung  wahyu Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam Al-Qur`an terdapat hukum hakam, contoh tauladan dan nilai yang menjadi panduan bagi orang Islam. Hukum hakam dan nilai ini diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang dipraktikkan oleh Baginda sendiri ditambah dengan Hadith-Hadith Baginda yang melengkapkan peraturan, nilai-nilai dan akhlak keislaman. Ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-Hadith Baginda menjadi rujukan dan panduan bagi hukum-hukum dan nilai-nilai yang membentuk budaya, nilai dan akhlak keislaman..


Pembinaan budaya, nilai dan akhlak keislaman diperkukuhkan dengan ilmu-ilmu yang memperkukuhkan keimanan melalui ilmu aqidah yang mempunyai prinsip dan huraian tentang `Pandangan Wujud` tentang Allah yang mempunyai sifat kesempurnaan yang kepadaNya segala pergantungan nilai dan balasan baik dan buruk. Aqidah juga melibatkan `Pandangan Wujud` berhubung dengan Rasulullah s.a.w. Rasul dan Manusia Sempurna yang menjadi contoh tauladan bagi umat Islam. Manakala syariat dan ibadat adalah manifestasi kepatuhan hamba terhadap kewajipan yang dikenakan terhadap hamba. Ianya merupakan peraturan dan kepatuhan yang melahirkan nilai dan amalan akhlak keislaman.  Nilai budaya dan akhlak keislaman dapat dilihat di dalam berbagai aspek. Di dalam rajah diperturunkan sebanyak 8 aspek dan dapat ditambah lagi. Setiap satu dapat dihurai dan diolah berdasarkan sumber-sumber prinsip keislaman berdasarkan ayat-ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith sebagaimana ayat tentang membuat baik kepada dua ibu bapa itu (17.23).

Sekian.

November 8, 2015

Kesalahan Dan Kerosakan Besar Dilakukan Bani Isra`il


BBB,  25 Muharram 1437 = 07 November 2015 (Sabtu):


Sebagaimana telah disebut Nabi Ibrahim a.s. adalah bapa bukan saja  bagi keturunan biologi bagi nabi-nabi, tetapi Bagindalah yang menegakkan agama Hanif (Islam) yang mengesakan Allah, tetapi beberapa turunan nabi-nabi melalui Nabi Ishaq ke bawah dari kalangan Bani Isra`il telah melakukan penderhakaan yang besar dari segi aqidah ditambah dengan keangkuhan mereka menjadikan mereka dikutuk dan ditimpa berbagai-bagai musibah.
Sebagaimana disebutkan Bani Israil banyak menerima nikmat dari Allah dan keistimewaan-keistimewaan, termasuklah ramai dari keturunan rasul-rasul selepas dari Nabi Ibrahim ialah dari keturunan Bani Isra`il. Kebangkitan mereka ini antaranya bagi mendidik mereka yang bersifat angkuh, namun keangkuhan mereka tidak berkurang sepanjang zaman.
Selepas Nabi Musa menyelamatkan kaumnya – Bani Isra`il,  dari kezaliman Fir`aun yang Firaun dan tenteranya tenggelam dalam Laut Merah dan kaumnya berada di Padang Pasir Sinai. Semasa Nabi Musa ke Bukit Tursina menerima wahyu (Kitab Taurat), maka sebahagian besar dari umat Yahudi murtad. Mereka menyembah patung anak lembu yang dimanipulasi oleh seorang dari kalangan mereka yang dikenali dengan Samiri yang kononnya patung lembu itu mempunyai keramat. Tindakan mengembalikan mereka kepada kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa turut dilakukan oleh Nabi Harun saudara Nabi Musa, tapi mereka tidak berubah sikap. Semasa berada di Padang Pasir Sinai mereka meminta berbagai-bagai hidangan. Mereka dikurniai makanan `al-mann dan al-salwa` yang menyelamatkan mereka di padang pasir dari kelaparan, namun mereka masih tidak bersyukur, mereka memohon tambahan makanan dari sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan dari bahan laut. Mereka ingkar dan bekerja pada hari Sabtu sebagai hari larangan. Apa yang lebih angkuh dan serius mereka membuat syarat bagi keimanan mereka untuk melihat Tuhan, sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kamu berkata, ``Wahai Musa kami tidak akan beriman sehingga kami melihat Allah secara terang-terangan``, maka halilintar menyambar kamu sedang kamu melihatnya``. (Al-Baqarah: 55)
Ini adalah sebagai balasan di atas permintaan angkuh dan sombong pengikut-pengikut Nabi Musa bersama saudaranya Harun.
Mereka juga mengingkari perintah Allah supaya menyembelih lembu bagi dipukul kepada mayat terbunuh bagi mengetahui siapa pembunuhnya. Pendeknya walaupun Nabi Musa banyak memberi pertolongan kepada kaumnya, tetapi Baginda tidak diterima dengan baik. Banyak perkara yang disuruh dipersoal dan diingkari, bahkan mereka melakukan perbuatan syirik.
(N.Y.H.Hadiyah Salim, Qishashul Anbiya` - Sejarah 25 Rasul, PT Al-Ma`arif, Bandung, 1988: 115-150)..
Ketika Baitul Maqdis berada di bawah kekuasaan Rum (tiga abad Sebelum Masihi) Nabi Isa al-Masih dibangkitkan menjadi Rasul. Kebangkitan Nabi Isa menjadi Rasul ditentang keras oleh kaum Bani Isra`il. Mereka cuba membunuhnya sebagaimana mereka membunuh Nabi Zakariyya dan Yahya. Mereka menolak Nabi Isa dan menganggapnya sebagai anak di luar nikah (ibunya Maryam). Mereka menyangka mereka benar-benar membunuh Nabi Isa, tetapi yang dibunuh adalah orang yang dikelirukan sebagai Isa, iaitu murid Isa yang mengkhianatinya iaitu Judas Eskhariut . Sedang Isa diselamatkan Allah ke sisinya. Atas usul mereka kepada Penguasa Rumawi  (Plitius) yang menguasai Palestin, maka orang dijangkakan Isa al-Masih itu disalibkan.
Ini adalah dimaksudkan dengan `Kemusnahan Besar` bagi Bani Isra`il, pada hakikatnya bukan kepada Bani Isra`il sahaja, tetapi kepada penganut-penganut agama samawi, lantaran ianya membawa fitnah dan perpecahan hebat di kalangan penganut-penganut agama samawi berkenaan. Pada satu pihak di dalam kalangan Bani Isra`il yang begitu benci terhadap Nabi Isa, lantaran itu mereka dengan sangkaan mereka begitu hina terhadap Nabi Isa sehingga Baginda disalibkan. Dari satu pihak mereka yang begitu kasih dan mencintai Nabi Isa sehingga meletakkannya sebagai `Anak Allah` kedudukan yang tidak sepatutnya, kerana ini merupakan penyelewengan dari segi aqidah. Bagi mewajarkan pendirian mereka meletakkan Maryam sebagai Ibu merupakan satu dari tiga ketuhanan, Isa dan Maryam sebagai satu dari tiga (bersama Allah) bersifat ketuhanan.
Manakala ada yang lain yang mengambil kesempatan tampillah seorang Yahudi yang selama ini menganiaya pengikut-pengikut Nabi Isa mengaku dirinya sebagai Rasul menggantikan Nabi Isa, iaitu individu bernama,  `Paulus`. Dia membawa ajaran yang sama sekali bersalahan dari pengajaran Nabi Isa, bahkan menyesatkan. Dalam ungkapannya iaitu:
``Tuhan adalah Satu, tetapi tiga dan tiga tetapi Satu``.
Yang sama kedudukannya, Yang Sang Bapa itulah Allah sendiri. Sang Putera, ialah Isa al-Masih dan Ruhul Qudus.
Inilah kerosakan kedua kali yang begitu hebat gara-gara dari tindakan  Banu Isra`il.
Beberapa puluh tahun selepas `kewafatan Nabi Isa`, kerajaan Rumawi yang menguasai Baitul Maqdis merasmikan agama Kristian yang beraliran Paulus sebagai agama rasmi Rumawi. Sejak itu Palestin secara rasmi pula sebagai dibawah pemerintah Rumawi-Nasrani.
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil. 6, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: 4014-4016).
Bebarapa keanihan bahkan kekeliruan berlaku:
1)      Bani Isra`il menentang Nabi mereka – Nabi Musa sehingga berlaku perlakuan syirik. Mereka tidak mesra dengan Nabi Mereka, tapi dari satu pihak mereka mengiktirafnya sebagai Nabi mereka yang utama. Ibarat dikatakan sebagai `Derhaka, tapi mengakuinya`.
2)      Kaum Bani Isra`il hingga kini seolah-olah terus menolak Nabi Isa. Ia seolah-olah adalah bukan Nabi mereka, tetapi Nabi bagi mereka yang beragama Kristian.
3)      Mereka adalah bersependapat bahawa Nabi Isa adalah `Dibunuh dan Disalib`. Ironinya yang membunuh (cuba membunuh) adalah dari kalangan Bani Isra`il. Ini membenarkan ayat Al-Qur`an yang menyebut ``Mereka membunuh nabi-nabi mereka - termasuk cuba membunuh ( Aali `Imran: 112).
4)      Bagi golongan mencintai Nabi Isa bersifat melampau hingga meletakkan Nabi Isa dan ibunya Maryam pada tahap Tuhan. Ironinya juga mereka diseleweng dan menerima Nabi palsu (di Rum), iaitu Paulus dan menerimanya sebagai agama Paulus sebagai agama rasmi negara.
5)      Di atas kecelaruan di atas, lantaran itu memerlukan kepada perutusan Nabi Muhammad s.a.w. bagi membersihkan aqidah sebagaimana telah dirosakkan oleh kaum Yahudi dan Kerajaan Rumawi. Nabi Muhammad membawa `Agama Tauhid` sebagai pengukuhan apa yang dibawa dan diasaskan oleh Nabi Ibrahim a.s.
Sesungguhnya kerosakan-kerosakan yang dibawa Bani Isra`il, baik dari segi kekuasaan, lebih-lebih lagi dari segi aqidah perlu diperbetulkan bagi keamanan dunia dan kebenaran dari segi aqidah keyakinan.

Sekian.