December 23, 2013

Bentuk-Bentuk Puisi


BBB, 20 Safar 1435 = 23 Disember 2013 (Isnin):

Bila hendak menulis penulis seharusnya tahu bentuk tulisan apakah yang mau ditulis sesuai dengan bahan yang mau ditulisnya. Apakah yang mau ditulis dalam bentuk karangan prosa atau puisi. Jika prosa apakah ianya dalam bentuk esei, laporan atau penulisan kreatif (cerpen, novel, drama dan sebagainya). Tiap-tiap satu mempunyai kaedahnya yang tersendiri. Jika mau menulis esei akademik, maka ianya seharusnya bersifat ilmu. Ada bahan-bahan rujukan dan seharusnya mendalam. Jika bersifat laporan atau berita, maka cara menulisnya menurut kaedah tertentu. Misalnya kaedah wartawan. Jika penulisan prosa kreatif juga ada kaedah menulis cerpen, novel, drama dan sebagainya. Untuk menguasai bidang-bidang penulisan prosa, maka perlu diikuti pengajian atau kursus di dalam bidang-bidang berkenaan.

Puisi juga ada jenis, bentuk dan kaedah penulisan. Puisi adalah bidang penulisan kreatif yang lain dari prosa. Di bawah puisi banyak pula jenis puisi yang dikenali sebagai tradisi dan moden. Puisi-puisi tradisi antaranya ialah pantun, syair, gurindam, teromba, mantera, bahasa berirama, bayt, nazam, rubai, kit`ah, masnawi dan ghazal. Tiap-tiap satu daripadanya mempunyai kaedah dan aturan menulisnya (Mohd. Yusof Md. Nor & Dr. Abd. Rahman Kaeh, Puisi Melayu Tradisi, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1991: XXV).

Puisi moden adalah bentuk dan jenis puisi baru dan moden yang berkembang sejak 1913 hingga kini. Puisi moden ini lebih dikenali dengan sajak. Antara pelopor-pelopor awal menulis puisi moden (sajak) ialah seperti Omar Mustaffa dengan tajuk puisinya:

`Angan-angan dengan Gurindam`

Yang terbit dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913.

Mahmud Ahmad dengan judul puisinya – `Sedarlah`. Terbit dalam Ikhwan 16 Jun 1929.
Harun Aminurrashid dengan judul puisinya, `Semenanjung`  yang terbit dalam Jasa, 11 September 1929.

Ibrahim Haji Ya`kob (Ibhy) dengan judul puisi, `Ingatkan Semenanjung Tanahairku` yang terbit dalam Warta Negara pada 3 Februari 1930.

(Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913 – 1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1987: V – 27).

Kumpulan puisi Puncak Rindu pada dasarnya adalah kumpulan puisi moden. Tetapi Penulis menulis bukanlah dengan pemikiran menghadkan kepada menulis puisi moden sahaja dengan bentuk yang dikenali dengan sajak, sebaliknya terdapat di dalam kumpulan puisi ini yang membawa bentuk-bentuk puisi yang dikategorikan sebagai bentuk puisi tradisional, tetapi kandungannya adalah persoalan semasa. Dalam pengelompokan  dikategorikan kepada pecahan `Bentuk Puisi`.

Di bawah - terdapat bentu-bentuk:

1)      Bentuk biasa (Bebas)
2)      Prose Poetry
3)      Quatrin
4)      Masnawi
5)      Qit`ah
6)      Nazam
7)      Gurindam
8)      Rubai

Ada beberapa tujuan Penulis membawa berbagai bentuk puisi di dalam kumpulan puisi `Puncak Rindu.`

a)      Mempelbagaikan pengucapan puisi di dalam Puncak Rindu
b)      Tidak mau menyempitkan puisi moden Melayu hanya terhad kepada sajak sahaja.
c)      Mau mengaburkan sempadan antara tradisi dan moden. Penulis atau penyair bebas memilih atau menampilkan bentuk menurut kesesuaian dan keinginannya.
d)     Kumpulan puisi `Puncak Rindu adalah bernafaskan keislaman, maka ditampilkan sama bentuk-bentuk yang diwarisi dari Islam bagi memperkayakan bentuk puisi yang bernafaskan keislaman.
e)      Membantu pelajar dan pencinta puisi berkenalan dengan bentuk-bentuk puisi di dalam perbendaharaan Melayu-Islam dan memperkembangkannya, terutama bentuk-bentuk yang jarang digunakan kini seperti rubai, nazam, masnawi dan Gurindam.
f)       Ada bentuk puisi yang sesuai dibawa dengan tema tertentu. Misalnya Nazam untuk sirah, gurindam untuk nasihat, masnawi untuk tokoh dan rubai untuk falsafah dan kerohanian.
g)      Mempopular dan memperkayakan cara dan bentuk pengucapan puisi Melayu.

Sekian.

December 22, 2013

Kewujudan Menurut Pandangan Jami


BBB, 18 Safar 1435 = 21 Disember 2013 (Sabtu):

Secara nyata tidak dapat dinafikan bahawa kita adalah wujud dan berdepan dengan kewujudan, tetapi apakah sebenarnya hakikat kewujudan itu ? Menurut pandangan akidah seperti Asha`ari dan Maturidi yang tergolong sebagai pandangan Sunnah (Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah), bahawa kewujudan adalah dua, iaitu Yang Qadim dan Yang Baharu. Yang Qadim mengadakan Yang Baharu yang fana` sifatnya.  Pandangan ini  dikenali juga dengan `Ithnainiyat al-Wujud`. Dua wujud, Yang Qadim dan Yang Baharu` yang fana sifatnya.

Ada yang berpandangan bahawa hakikat wujud secara mutlaq ialah Allah jua, manakala yang lain adalah nisbi dan tiada mutlaq. Secara filosofikal, ada yang berkata, bahawa `Bukti Tuhan Yang Esa dan mutlak ada adalah di mana-mana , tetapi tidak di mana`. – Ibn `Arabi dengan wahdat al-wujudnya. Manakala aliran bermazhab Cinta, ``Kita adalah dari perdu cinta yang terpisah dan ingin kembali kepada perdu asal`. Namun untuk kembali tidak mudah dan perlu kepada pembersihan diri dan persiapan yang diperlui. Berhubung dengan pandangan tentang kewujudan ayat Qur`an menyatakan:

``Dia bersama dengan kamu di mana kamu berada (al-Hadid: 4 )
Atau ayat bermaksud: ``Ke mana sahaja kamu menghalakan pandangan, maka disitulah arah Wajah Allah.  (al-Baqarah: 115).

Daripada pandangan Sunni dapat ditafsirkan bahawa dalil dan burhan kewujudan, kebesaran, kekuatan, keindahan dan keperkasaan Allah adalah di mana-mana. Pandangan ini diungkapkan oleh Abdul Rahman Jami (1444-1452) seorang penyair sufi. Beliau menciptakan puisi berbagai-bagai tema seperti tentang cinta kasih,, kejujuran, persahabatan dan juga cerita-cerita dari al-Qur`an dan al-Hadith. Saudara Hashim Musa menterjemahkan salah sebuah dari puisinya tentang teman.

Temanku

Temanku seharusnya bak cermin pembayang,
Memantulkan kelemahanku hanya dari hadapan,
Tanpa menyembunyikan rasa yang terpendam,
Bukan sebuah penyisir yang bergigi ratusan,
Menyelip, menyikat ke sini ke sana,
Mendedah, menyatakan kelemahanku dari belakang
Di sebalik selindung mencemuhku satu demi satu.

(Hashim Musa, Islam Dalam Pengucapan Seni, dlm. Kesusasteraan Melayu Dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala Lumpur, 1980: 221).

Berhubung dengan pandangan bahawa bukti kewujudan Allah dapat dibuktikan melalui dalil dan burhan, keagungan cipta-Nya dapat dilihat dengan tegaknya gunung, meluasnya gurun dan tenteramnya di dusun, menghijau lembah dan luasnya pamah dengan pohon dan daun menghijau semuanya membuktikan kewujudan dan keagungan Allah. Penulis menggubah pandangan Jami ini:

Ia Jua

(Dengan Apologi kepada Jami)

Di mata lahir di mata dhamir di mata fikir
Ia jua
Di gunung di gurun di dusun
Ia jua
Di tanah di lembah di pamah
Ia jua
Di rumpun di pohon di daun
Ia jua.

(Puncak Rindu, 2013: 75).

Sesungguhnya bukti kewujudan Allah dibahaskan dalam ilmu usuluddin secara akli dan naqli. Bukti juga dapat dilihat pada ciptaan Allah di bumi dari tumbuhan dan tanaman menghijau padanya. Juga dapat dilihat kebesaran, keagungan dan keperkasaan-Nya pada anasir alam baik dari segi keindahan dan kemusnahan yang berlaku padanya:

Di kolam tenang di angin kencang di ombak garang
Ia jua
Di paksi alam di langit terbentang di cakerawala berlegaran
Ia jua
Pada segala-galanya
Ia jua
Demi Allah
Ia jua.

Bangi,
7.3.81.
(Puncak Rindu, 2013: 75).

Sesungguhnya tunduk kita mengkagumi pada kebesaran kejadian-Nya, menghayati pada keindahan ciptaan-Nya dan menggeruni pada keperkasaan-Nya yang memusnahkan.

Sekian.

December 21, 2013

Aktiviti Mahasiswa UKM Dulu Dan Sekarang

-->
UKM, Bangi, 17 Safar 1435 = 20 Disember 2013 (Jumaat):

Penulis telah dijemput oleh Majlis Perwakilan Pelajar UKM pada malam ini bercakap berhubung dengan tajuk di atas yang digandingkan bersama YDP Majlis Perwakilan Pelajar UKM saudara Mustapha Kamil Husen bin Abdul Kadir. Penulis hadir bersama saudara Azizi. Majlis semacam forum atau mirip kepada Perkesahan itu dipengerusikan oleh saudara Amal Azlan bertempat di Dewan 3B 301 Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan. Turut hadir saudari Afifah Naib YDP dan pelajar-pelajar. Sebenarnya menghadiri jemputan ini bagi Penulis adalah sebagai kembali ke tempat asal, kerana di sinilah Penulis bertugas sejak kampus Bangi bermula dari 1977-1999 (sebagai pensyarah).


Penulis memaklumkan kepada mahasiswa/I yang hadir lebih kurang 100 orang itu, bahawa memang ada perbezaan kegiatan mahasiswa UKM dulu dan sekarang. Kampus UKM peringkat awal bukan di Bangi, tetapi di pinjam dari kampus Maktab Perguruan di Lembah Pantai, dekat Universiti Malaya, Kuala Lumpur. UKM lahir dari desakan rakyat. Walaupun perjuangan telah begitu lama bagi mewujudkan UKM, tapi persediaan tidak dibuat. Selepas 13 Mei 1969 desakan memuncak. Pada masa Menteri Pelajaran Dato` Abdul Rahman Ya`kob keputusan membuka UKM diambil dan Kampus Jalan Pantai dijadikan Kampus sementara, manakala Kolej Islam di Petaling Jaya sebagai Fakulti Islam. Bilangan mahasiswa sulung bagi tiga fakulti sains, sastera dan Islam ialah 197 orang.


UKM dibuka dengan rasmi pada 18 Mei 1970, tetapi mahasiswa telah datang mendaftar sejak 14 Mei lagi. Sebelum perasmian mereka telah memilih kursus dan mendaftar di kolej kediaman.  Sebelum penubuhan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) terlebih dahulu ditubuhkan Jawatankuasa Dewan Rendah Kolej (JKDRK), iaitu pada 17 Mei, 1970 sehari sebelum pembukaan rasmi UKM. Pengetua Kolej ialah Encik Ariffin Suhaimi dengan YDP Kolej En. Uda En. Nik. Penubuhan PMUKM ialah pada 13 September 1970 berikutan dengan adanya Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi meminda undang-undang (JKDRK), maka dalam mensyuarat itu juga ditubuhkan Protem Committee PMUKM yang dipengerusikan (Presiden) oleh saudara Ramli Ibrahim. Penulis sebagai mahasiswa sulung turut dilantik sebagai Bendahari. Motto perjuangan PMUKM ialah `Kebumiputraan Dan Keislaman`. Keperluan ditubuhkan PMUKM amat dirasai, kerana sebelumnya, iaitu pada 10 Julai 1970 mahasiswa UKM telah mengadakan protes secara spontan terhadap pengunduran Dato` Andul Rahman Ya`kob dari Menteri Pelajaran kerana menjadi Ketua Menteri Sarawak. Mahasiswa UKM menyayangi beliau kerana pada masa beliaulah UKM ditubuhkan. Kehadiran beliau pada masa protes itu beliau mengumumkan bahawa Tun Razak Perdana Menteri pada masa itu menjadi Canselor UKM.


Penubuihan PMUKM adalah dari inisiatif mahasiswa sendiri tidak digerak oleh mana-mana pihak. Model terdekat pada masa itu ialah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang merupakan persatuan Rapat dengan PMUKM. PMUKM juga berhubung rapat dan mendukung sama hasrat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang sedia tertubuh sebelumnya yang Presidennya saudara Anwar Ibrahim yang sesudah keluar dari Universiti Malaya menubuhkan ABIM yang juga mempunyai hubungan rapat dengan PMUKM.


Sebagai persatuan mahasiswa, PMUKM adalah membela kepentingan mahasiswa UKM dan juga masyarakat dengan mengadakan berbagai-bagai kegiatan. Antara peranan yang diambil ialah menghantar telegraph pada 24.9.1970 kepada Tun Razak mengucapkan tahniah di atas perlantikan beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Pada awal tahun 1971 berlaku banjir besar terutama di negeri-negeri di Pantai Timur, maka pada 6.1.1971 PMUKM yang diwakili Penulis dan saudara Muhamad bin Kassim Setiausaha PMUKM dan beberapa yang lain menghantar bahan-bahan bantuan banjir ke Parlimen yang diterima oleh Ketua Gerakan Bencana Negara pada masa itu Tan Sri Raja Mohar Badiuzzaman. Bahan yang dihantar ialah 2 kotak pakaian dan wang sebanyak RM151.05 yang keesokannya diberi pablisiti dalam tv dan akhbar.


Selepas 13 Mei, warung-warung didirikan di tepi rel keretapi di Bungsar bagi menolong peniaga-peniaga bumiputera yang tempat itu dinamakan Taman Ghazali Shafie – Tan Sri Ghazali Perunding utama Penubuhan Malaysia dan tenaga utama dalam kerajaan Mageran dan kemudian menjadi Menteri Penerangan. Taman Ghazali Shafie kemudiannya begitu kotor. PMUKM mengambil inisiatif mengadakan gotong royong membersihkan lokasi perniagaan bumiputera itu pada 30.5.1971.


PMUKM diberi kepercayaan sepenuhnya oleh pentadbir UKM. Misalnya PMUKM adalah pengatur program menyambut pelajar baru dan orientasi dan memandu mereka dalam pendaftaran baik di universiti dan kolej. PMUKM juga bertugas menjalankan aktiviti di kampus sempena hari konvolesyen.  Bagi kepentingan mahasiswa PMUKM menubuhkan Kedai Koperasi PMUKM. Kedai ditubuhkan sejak Jun 1971. Kedai menyediakan barang-barang keperluan mahasiswa. Pengendalinya AJK PMUKM saudara Jamaluddin Jahi.


PMUKM juga bersama PMUM mengadakan demonstrasi membantah kehadiran Perdana Menteri Thailand ke Malaysia Thanom Kitikachon kerana tekanan kerajaan Thailand terhadap pejuang-pejuang Islam di Selatan Thailand, termasuk kehilangan pejuang/ulama Haji Sulung. Demonstrasi berlaku  dari 14 – 17 Jun 1971. 19 orang ditangkap pihak berkuasa termasuk 4 orang dari UKM. PMUKM juga berdemonstrasi tidak berpuashati perlantikan Naib Canselor baru selepas Dr. Rushdan Baba kembali ke UPM. Desakan mahasiswa berjaya. PMUKM juga menghantar pembahas-pembahas ke pertandingan perbahasan peringkat Asean dan penyokong sama pergi ke pertandinga peringkat akhir di Singapura dalam mana peserta dari UKM memenangi pertandingan pada 29.8.1971 sebagai Johan – Tokoh ialah saudari Sharifah Mastura dan saudari Rahimah Aziz. PMUKM juga menerima lawatan mahasiswa Universiti Thamsat Thailand pada awal penubuhannya dan juga lawatan Persatuan Mahasiswa USM pada 13.9.1971. PMUKM juga menghantar perwakilan ke Persidangan anjuran  PKPIM di Johor Bharu dari 5 – 10 April 1971 dan ke Seminar Keciciran yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan dari 28-29 April 1972 yang dirasmikan oleh En. Ghafar Baba Menteri Pembangunan Luar Bandar. Selain daripada itu PMUKM giat mengadakan seminar dan forum dari semasa ke semasa dengan menjemput berbagai tokoh berwibawa.


PMUKM yang mendukung perjungan bahasa Melayu turut bergiat dengan aktiviti bahasa. Misalnya PMUKM dan ahlinya sama terlibat di dalam menubuhkan Studi Kelab Sastera UKM pada 22.7.1970 yang mana kelab ini bergiat di dalam bidang penulisan dan kegiatan sastera. Kelab ini pada permulaan diketuai saudara Chamhuri Siwar dengan penasihat Muhammad Haji Salleh. PMUKM menghantar ahli menyertai Hari Puisi di Melaka, iaitu pada 16.7. 1971. Antara yang pergi ialah saudari Asiah Sarji dan Penulis..

Pada 9 – 17 April 1972 PMUKM menghantar wakil menyertai Kursus Wartawan yang dianjurkan oleh PMUM dengan kerjasama New Straits Times dan Bernama dirasmi oleh Naib Canselor UM Profesor Ungku Aziz. Wakil PMUKM ialah Penulis dan saudari Mariah. Berikut dari itu PMUKM telah menerbitkan akhbar PMUKM yang dikenali dengan Gema Siswa yang penerbitan awal mulai 22 Mei 1972 secara bulanan sebagaimana PMUM juga menerbitkan akhbarnya Mahasiswa Negara. Melalui Gema Siswa melahirkan ramai penulis.

Hubungan PMUKM dengan pihak pentadbir UKM adalah baik, bahkan mahasiswa UKM peringkat awal dianggap sebagai anak emas, banyak keistimewaan dan layanan baik terhadap mereka. Misalnya pada bulan Ramadhan AJK PMUKM dijemput berbuka di rumah Naib Canselor UKM  Dr. Rushdan Baba pada 21.11.1970. Pada 20.12.1970 berkunjung ke rumah Menteri Pelajaran Malaysia Tun Hussein Onn di Petaling Jaya berbincang mengenai Kementerian Pelajaran yang baru disandangnya dan juga mengenai kegiatan PMUKM. AJK PMUKM berada 2 jam dirumahnya pada 20.12.1970. Semasa menghadiri Seminar anjuran PKPIM di Johor Bharu berpeluang menemui Timbalan Perdana Menteri Tun Dr. Ismail yang merasmikan seminar pada 5.4.1971 dan ditutup oleh Tan Sri Othman Saat Menteri Besar Johor pada 10.4.1971. Mengunjungi rumah Naib Canselor baru yang menggantikan Dr. Rushdan Baba, iaitu  Dr. Ariffin Ngah Marzuki pada 5.6.1971. Pada 27.8.1971 berkunjung ke rumah Tan Sri Ghazali Shafie yang menjadi Menteri Penerangan pada masa itu dan Pada 2 Ogos 1972 ke rumah Menteri Belia dan Sukan Dato` Hamzah Abu Samah kerana meraikan pimpinan PKPIM yang bedialog di Bangunan Belia dan Sukan di Kg. Pandan pada tarikh tersebut.


Penulis bercakap hanya pada masa Penulis terlibat dalam kepimpinan PMUKM selama 2 penggal - penggal 1970/71 selaku Bendahari PMUKM dan bagi sesi 1971/72 terlibat sebagai Setiausaha Perhubungan PMUKM. Penulis dan ramai AJK PMUKM 1971/72 tidak lagi bertanding pada Mesyuarat Agung ketiga  pada 10 September 1972 dengan pemilihan AJK baharu dan dalam Mesyuarat Dewan Mahasiswa pada 24 September di ODT UKM berlaku upacara penyerahan tugas kepada AJK baru.

Sementara itu saudara Mustapha Kamil Husen bin Abdul Kadir YDP Majlis Perwakilan Pelajar setelah mendengar ucapan Penulis mengaku bahawa perjalanan Mahasiwa UKM amat berbeza dengan PMUKM yang menjadi peneroka persatuan Mahasiswa. Kami dikawal dari segi kegiatan oleh Hal Ehwal Pelajar dan tidak ada kebebasan sebagaimana dinikmati oleh pihak PMUKM. Pihak pentadbir UKM yang tidak begitu faham dengan sejarah kegiatan mahasiswa UKM dan sejarah UKM sendiri bagai tidak menyedari peranan PMUKM, bahkan nama PMUKM sendiri telah ditiadakan dengan menggantikannya dengan Majlis Perwakilan Pelajar. Struktur dulu terdiri dari Dewan Mahasiswa sebagai Kerajaan, PMUKM sebagai persatuan yang memerintah yang dipilih pelajar, manakala Dewan Mahasiswa adalah sebagai parlimen. Kini Majlis Perwakilan Pelajar mempunyai kuasa terhad. Kami tidak berperanan mengendalikan sebahagian dari kegiatan pelajar seperti mengendalikan kehadiran pelajar baru dan sambutan konvokesyen sebagaimana dikendalikan oleh PMUKM. Kami tidak bebas mengadakan hubungan dengan persatuan pelajar di luar kampus dan menghadiri seminar dan persidangan di luar dari kampus. Kami jauh dari peluang untuk berdemonstrasi sebagaimana dilakukan oleh PMUKM. Kami sebenarnya dalam keadaan sepi dan tidak mempunyai hubungan rapat dengan pentadbir universiti apa lagi dengan menteri-menteri sebagaimana dinikmati oleh PMUKM dahulu. Kami tidak mempunyai akhbar sendiri sebagaimana PMUKM menerbitkan Gemasiswa, namun kami masih meneruskan Aspirasi, lanjutan dari majalah yang diterbitkan oleh PMUKM dahulu.

Kami masih meneruskan penentangan terhadap AUKU sebagai penerusan dari penentangan yang dilakukan oleh PMUKM dulu.

Kami berharap melalui Suara Kampus 1 ini (dimaksudkan dengan forum ini) menyedarkan mahasiswa bahawa hak mereka begitu banyak diambil alih oleh pihak UKM.

Saudara Mustapha Kamil berpendapat mahasiswa tidak seharusnya menjauhi diri dari kegiatan mahasiswa dan kegiatan kemasyarakatan, jika tidak mereka akan menjadi pelajar yang pasif. Pimpinan Negara yang ada adalah bekas aktivis pelajar, jika tidak ada pelajar yang seumpama ini kita kehilangan watak-watak kepimpinan yang diperlu oleh Negara pada masa akan datang.


Dalam masa soal jawab ada mahasiswi yang membangkitkan soal mahasiswa/i yang tak berminat terhadap kegiatan mahasiswa dan bagaimana mengatasinya. Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan mahasiswa `bisu`. Antaranya pihak pemerintah yang mengikat mahasiswa dengan akta universiti, pihak pentadbir yang bersifat terlampau mengawal dan mahasiswa sendiri yang pasif. Halangan-halangan ini patut dihapuskan dan mahasiswa seharusnya diberi kebebasan bergerak bagi memupuk watak kepimpinan mereka secara lebih bebas .

Sekian.

December 20, 2013

Yang Fana Dan Abadi

-->
BBB, 16 Safar 1435 = 19 Disember 2013 (Khamis):

Termasuk puisi di bawah kesufian ialah puisi berjudul, ``Mengerti Sekelumit Makna Abadi`. Tema puisi ini membicarakan soal  `Yang Abadi`, iaitu Allah Subhanahu wa Ta`ala yang pada-Nya segala sifat `kesempurnaan` dan `hamba` yang padanya sifat `kefanaan` yang sifat kesempurnaan pada Allah begitu banyak, demikian pada hamba yang sifat kefanaan padanya begitu banyak pula, antaranya `lemah`. Lantas apa yang dingini dalam pelayaran hidup ini ? Kata puisi pendek itu:

Mengerti Sekelumit Makna Abadi

Seumur diri
Ke titik itu
Sukar mencari.

(Puncak Rindu, 2013: 53).

Apa yang dicari dan ditujui seumur hayatnya,  agar tiba pada peringkat dicari – yang diungkapkan `Ke titik itu` sebagai nilai abadi, tetapi dikatakan pelabuhan dituju itu `sukar mencari`.

Di dalam kehidupan terlalu banyak perkara yang lumrah dicari seperti kekuasaan, kekayaan, kemasyhuran, pangkat dan berbagai-bagai lagi. Tetapi isyarat dari ungkapan berikutnya boleh merapatkan dengan apa yang dimaksud dicari. Kata puisi:

Kelana yang menyendiri
Di gurun fikir
Belum tentu menemui

(Puncak Rindu, 2013: 53).

Persoalan yang berkait dengan fikir dan pencarian, terutamanya ialah ilmu. Ilmu adalah sifat Allah. Keilmuan adalah miliknya. Manusia memang dituntut mencari ilmu. Banyak ayat Qur`an dan Hadith yang menggalak manusia menuntut dan mencari ilmu. Apa yang dicapai manusia adalah sekelumit atau setitis dari ilmu Tuhan yang tidak terpermenai banyaknya. Pun begitu bagi individu banyak kekangan bagi menguasai ilmu, misalnya kemampuan akal pada dirinya, batas waktu kehidupan dan keilmuan yang begitu banyak untuk dikuasai baik oleh individu, bahkan manusia keseluruhan. Bagi individu lumrahnya berakhir hayat sebelum matang, bagi masyarakat masih dan terus menghadapi cabaran bagi membina peradaban dan tamadun. Dengan ilmu membantu individu berfikir menjadi pemikir, ilmuan, filosof dan pujangga, tetapi sekelumit dari mereka yang mencapai dan diterima serta diiktiraf sebagai pemikir dan ilmuan, tetapi jarang dan sukar sebagai filosof dan pujangga.

Pengkelanaan juga merupakan watas yang dijalani oleh ahli rohani membersih diri dalam mencari keheningan dan ketenangan menghadapi Rabbul Jalil yang boleh membuka rahsia-rahsia kerohanian, tetapi sebagaimana jalan keilmuan begitu juga kerohanian, bahkan lebih banyak cabaran. Hakikat sebenarnya pencarian amat sukar tiba pada peringkat kematangan dan jadilah mereka terus berada di dalam pengkelanaan.

Sesungguhnya bidang keilmuan dan kerohanian adalah keindahan tertinggi yang membahagiakan. Tetapi ianya adalah peringkat tertinggi. Apa yang dihadapi oleh masyarakat banyak keinginan memerdekakan dan membahagiakan pada tahap fizikal dari ancaman kelaparan, tiada tempat lindungan dan tiadanya keselamatan. Ancaman ini lebih banyak diakibatkan oleh kekerasan hati oleh pihak maukan kuasa, dengan itu terjadilah rampasan kuasa di luar etika kemanusiaan, peperangan, pembunuhan dan ancaman keselamatan. Lantaran itu dilihat individu manusia mangsa keadaan dan ketamakan kekuasaan dan keseluruhan manusia sebagai dalam kapal yang terkapai di dalam gelombang yang sukar menuju pelabuhan lantaran pengemudi kapal dunia juga terus bercakaran. Para ilmuan, pemikir dan rohaniawan tenggelam di dalam kekecohan, bahkan tidak dipedulikan lantaran kekuasaan. Tidak ada kesatuan penujuan – sudah tentu bukan saja sukar, tetapi tiada penemuan.

Puisi pendek diakhiri dengan ungkapan:

Ia bukan pencarian
Tapi pemberian
Maha Tinggi.

Bandar Baru Bangi,
1.3.1986.

Apa yang sepatutnya bagi pelayaran hidup manusia menyedari tentang kefanaan dan kelemahan dan berpandukan kepada kesatuan Nilai Abadi dari pihak Tertinggi sebagai pemberian – antaranya penemuan ilmuan dan rohaniawan yang sesuai dengan kemanusiaan, nilai peradaban dan ketamadunan.

Sekian.

December 19, 2013

Tasbih Alam

-->
BBB, 15 Safar 1435 = 18 Disember 2013 (Rabu):

Mengasosiasi dan mengpersonafikasikan alam atau apa jua elemen sebagai expresi diri adalah salah satu teknik dalam berpuisi. Kaedah ini adalah wajar bukan semata adanya poetic licence di dalam berexpresi puisi, tetapi di dalam Islam bahawa segala kejadian dan benda-benda seperti air laut dan sebagainya adalah merupakan `Kalimat Tuhan`, `Kalimat Allah` (al-Kahfi, 9, Luqman, 27). Jadi dari segi pendekatan berpuisi, bahawa benda atau kalimat ini diexpresikan sebagai bercakap atau benda langsung bercakap melalui bahasanya.

Di dalam hal ini expresi lahir melalui tiga lapisan, iaitu:

1)      Expresi lahir secara mempersonafikasi elemen atau benda
2)      Expresi adalah lahir dari elemen atau benda itu sendiri melalui bahasanya yang diimaginasi oleh penulis atau penyair.
3)      Expresi penulis/penyair sendiri yang meleburkan diri kepada sesuatu yang dipersonafikasikan.

Ketiga perlapisan dapat digunakan bagi puisi berikut:

Tasbih Alam

Di syahdu malam
Di atas sejadah alam
Hening turun menyelubungi
Ruang menakjubkan ini
Lalu dalam asyik
Tunduk bukit khusyuk meratib
Bergerak jari-jari membilang
Pasir di pantai ombak lafaz terungkai
Kemudian tafakur memanjang
Mendalam laut renungan
Meninggi langit kerohanian
Terpusat diri pada Ilahi
Fana alam dalam lintasan
Abadi Tuhan dalam kewujudan
Halusnya bayu mengharu kalbu
Mengarak awan menipis
Sayu menghiris
Hangat menitis.

Puisi di atas digubah semasa Penulis di Port Dickson pada Rabu 24 Mei 1989. Selepas anak bungsu kami pulang dari Sekolah kami bertolak tiga beranak bermalam di rumah kondo Stodio kami d Pasir Panjang di Port Dickson (Bangi tidak jauh dari Port Dickson). Pada sebelah petang Penulis berlari exercise disepanjang pantai dan menghayati keindahan, laut, bukit dan pantai yang putih memanjang. Pada malam hari panaroma alam dengan pantai, laut, bukit dan cahaya yang terang mencetuskan ilham sebagaimana diungkapkan dalam puisi di atas.

Puisi di atas dapat dilihat dengan perlapisan pertama. Bahawa elemen-elemen alamiah itu sendiri secara personafikasi mengexpresikan ungkapan puitis seperti `hening turun, bukit tunduk khusyuk meratib, jari-jari membilangi, ombak lafaz, tafakur memanjang, laut renungan dan langit kerohanian. Bahawa dapat dilihat juga expresi di atas adalah merupakan langsung dari elemen di atas. Ini dapat dilihat dan diperkukuhkan oleh dua baris terakhir puisi tersebut:

`demikian mesra alam dengan bahasanya
Selamanya bertasbih pada yang Esa.``

Port Dickson,
24 Mei 1989.

dan perlapisan yang lain ia adalah dari ungkapan watak manusia – Penulis yang seolah dijelmakan kepada elemen-elemen di atas.

Puisi di atas dikuatkan dengan elemen-elemen kerohanian dengan adanya penggunaan kata-kata seperti:
Syahdu malam, sejadah alam, bukit khusyuk meratib, jari-jari membilangi (tasbih), pasir di pantai, ombak lafaz terungkai, tafakur memanjang, mendalam laut renungan, langit kerohanian, berpusat diri pada ilahi, fana alam, abadi Tuhan, bertasbih pada yang Esa. Penggunaan kata-kata atau ungkapan-ungkapan di atas menimbulkan suasana kudus dan mistis yang meningkatkan elemen rasa kerohanian. Dari satu segi puisi Tasbih Alam ada unsur persamaan dengan puisi Zikir Ombak yang diciptakan kemudian daripada itu (14 Februari 1993) di Hotel Primula, Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu

Dari satu segi elemen-elemen di atas menebalkan rasa estetik kerohanian yang meningkatkan kekesanan. Sebagaimana telah dikatakan bahawa seni puisi akan lebih tinggi daya estetika yang dicernakan dengan elemen kerohanian. Sebenarnya bukan saja pada puisi, tetapi juga bagi medium-medium seni yang lain. Misalnya seni rohani yang bergabung dengan seni bina sebagai contoh seni bina masjid menjadi unggul dan kudus, misalnya seni bina Masjid Cordova di Spanyol, Masjid Umawi di Syria, Masjid Salahuddin di Selangor bahkan Taj Mahal di India. Contoh penyatuan seni rohani dengan khat sama ada pada khat nasakh, raq`ah, thuluth, raihani dan sebagainya yang memancarkan elemen estetika dan kudus

Ini bukan bererti puisi atau bahan seni yang lain tidak berdaya estetika, tetapi ianya merupakan keindahan selapis yang kering dan profane dari roh yang menjadi jiwa kepadanya.

Selain daripada cara pemilihan kata yang bersifat rohani, pemilihan kata juga memberi impak dan kesan estetika pendengaran dan juga perasaan. Di dalam puisi Tasbih Alam sama ada sengaja atau tidak banyak terdapat dua-dua baris yang sama bunyi hujungnya seperti baris berhujung dengan m, I, k &b (berdekatan bunyi), g & n (juga berdekatan bunyi ) dan sebagainya, ianya memberi kesan dari sebutan secara berangkap, tetapi tidak sedemikian seterusnya.

Impak dari segi perasaan yang menghalus ke hujung yang memberi kesan menggores perasaan. Ini seperti ungkapan-ungkapan, awan menipis, sayu menghiris dan hangat menitis. Dalam kata lain pemilihan dan penggunaan kata salah satu cara yang dapat menyumbang kepada kesan estetika. Puisi Tasbih Alam sebenarnya telah diterbitkan di dalam majalah Pelita Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, terbitan Oktober 1989, hlm. (kulit dalam permulaan).

Walau bagaimana puisi – terutama puisi bebas sesuatu yang terbuka bagi kreativiti, tiada kaedah dan formula khusus bagi meningkat daya estetika. Kejayaan menampilkan sesebuah karya yang menarik dan berdaya estetika kembali kepada daya kreativiti seseorang penyair.

Sekian.

December 18, 2013

Rabi`ah Al-`Adawiyah Pencetus Cinta Ilahi Kesufian

-->
BBB, 14 Safar 1435 = 17 Disember 2013 (Selasa):

Rabi`ah al-`Adawiyah dianggap tokoh sufi (muslimah) terawal mencetuskan `Cinta Ilahi` yang tendensi Cinta Ilahi memang menjadi arah kesufian. Pada peringkat awal `Cinta Ilahi` sebagaimana yang dicetus Rabi`ah al-`Adawiyyah tidak dikukuhkan dengan sebarang doktrin. Cintanya kerana Allah semata-mata. Konsep Cinta Ilahi ini kemudian diolah oleh tokoh-tokoh sufi yang hadir kemudian dengan pendekatan, bahkan dengan doktrin masing-masing.

Pensejarahan tentang Rabi`ah agak kabur, watak beliau lebih bersifat dilegendakan dengan cerita-cerita berbagai yang memperkukuhkan watak kesufiannya. Di dalam perkembangan tasawuf dan kelahiran tokoh-tokoh, maka kita dapati Rabi`ah sebagai tokoh sufi wanita sufi terawal menonjol, sedang tokoh-tokoh sufi umumnya dari kalangan lelaki.

Rabi`ah al-`Adawiyah binti Ismail anak keempat (semua perempuan) dari satu keluarga miskin di pinggir kota Basrah. Digambarkan pada masa kelahirannya tiada peralatan sempurna hatta untuk membalut sianak melainkan dengan kain buruk ! (Nama Rabi`ah sempena dia anak keempat). Ada mimpi-mimpi yang dialami oleh orang Tua Rabi`h yang menandakan kemungkinan masa depan Rabi`ah. Dia terdidik dalam suasana keislaman yang kuat beribadah dan mendalami al-Qur`an dan ilmu-ilmu keislaman.

Dugaan yang dihadapi Rabi`ah dan adik beradiknya ialah kematian ayah dan berlakunya kemarau panjang yang menyempitkan hidup mereka. Banyak berlaku jenayah. Rabi`ah yang terpaksa keluar mencari rezeki jadi mangsa penculikan dan dijual dengan harga enam dirham dan menjadi hamba. Sebagai hamba beliau dilayan secara buruk oleh tuannya. Dalam kehidupan tertekan dan terseksa setiap masa terluang dia tidak lepas dari ibadat dan zikir. Di antara malam-malam yang dilalui pada satu malam tatkala Rabi`ah dalam zikir-munajat, solat dan hajat, rintih dan damba, maka suara zikir dan tabhil Rabi`ah didengar tuannya yang menariknya mengintai apa yang dilakukan Rabi`ah. Si Tuan terkejut, tergamam dan terpegun melihat perempuan kurus yang tenggelam dalam ibadat, zikir dan tabhil itu dilingkungi pergerakan cahaya. Suasana menyedarkan tuannya yang selama ini melakukan kekasaran dan layanan secara hamba sahaya.

Keesokan hari Tuan Rabi`ah memanggil bagi menemuinya dan memberi tawaran untuk pergi secara merdeka, atau merdeka dan terus tinggal bersama sebagai satu keluarga bersama keluarga tuannya. Setelah terdiam panjang, Rabiah mengucap terima kasih dan memilih untuk merdeka dan keluar dari kediaman tuan itu. Rabi`ah kemudiannya bergerak dalam kumpulan kalangan nussak dan ahli ibadat, bertasbih dan bertahmid dengan ungkapan-ungkapan kerohanian yang halus dan dalam yang menarik khalayak mengkagumi dan berguru dengannya. Akhirnya Rabi`ah al-Adawiyyah yang berketurunan dari Bani `Adiyy yang dinisbahkan kepada namanya menjadi terkenal dengan pengucapan dan pengajaran tasawuf, lantas rumah Rabi`ah menjadi tumpuan pengajian para ulama, terutama kalangan sufi.

Rabi`ah mengajar khalayak aspek kerohanian bersama dengan teladan dibawanya sendiri. Jiwanya tepu dengan cinta Ilahi sehingga tidak ada ruang untuk diisi dengan yang lain. Sebagai seorang wanita, bukan tidak ada pihak pembesar dan pemuka yang meminang beliau, tetapi ditolak dengan baik. Kecintaannya semata terhadap Ilahi

Tidak banyak ungkapan-ungkapan Rabi`ah al-Adawiyyah yang dirakam untuk panduan dan renungan. Antara yang dikaitkan dengannya beliau mengucapkan:

Alangkah sedihnya perasaan yang dilamun cinta
Hatinya mengelepar menahan dahaga rindu
Cinta digenggam walau apa pun yang berlaku
Kalau terputus, ia sambung dan pertautkan
Liku-liku cinta terkadang bertemu syurga
Menikmati pertemuan indah dan abadi
Tapi tidak jarang bertembung neraka
Dalam pertarungan yang tiada berpantai.

(Abdul Mun`im Qindil, Rabi`atul Adawiyah Dan Cinta, (Alihbahasa Mohd. Sofyan Amrullah & Mhd. Royhan Hasbullah, Pustaka Syuhada, Sentul Ulu, Kuala Lumpur, 1991: 158).

Rabi`ah pernah ditanya tentang pembawaan dirinya bersama teman dan khalayak dengan cinta Ilahinya. Dia menjawab:

Gelas khamar dan kawan-kawan berjumlah tiga
Aku yang tergila-gila dengan cinta adalah keempat
Gelas keseronokan dan kesenangan dibahagi-bahagi
Orang yang menuang khamar berterusan sepanjang zaman
Aku melihat tapi hanya sekadar melihat
Dalam kebersamaan aku tidak hadir
Wahai orang yang mencerca dan mengejekku !
Aku cinta kebaikan-Nya
Sudah sekian lama aku berkorban
Menambah ketergantunganku pada-Nya
Tidak terhingga berapa banyak air mataku tumpah
Tapi air mata tidak menjanjikan darjat mulia
Pertemuan yang berkesinambungan belum lestari
Aku menangis dan tidak tidur-tidur
Mataku bengkak dan jasadku lemah
Demi Allah, hai pengejek, aku tak mendengarmu.

(`Abdul Mun`im Qandil, Rabi`atul Adawiyah Dan Cinta, 1991: 159-160).

Rabi`ah walaupun sebok melayan tamu yang mendatangi rumahnya kerana belajar, lahir dia bersama mereka, tapi hatinya adalah dengan `Cinta Ilahinya. Kata puisi dalam Puncak Rindu:

Rabi`ah Dan Cinta Ilahinya

Di rumah cinta
Dia bersama maksyuknya di dalam
Setia sepanjang
Sedang pintu kemungkinan
Terbuka luas
Untuk sesiapa bertandang.

(Puncak Rindu, 2013: 24).

Cinta Rabi`ah adalah cinta Ilahi semata-mata. Baginya sebarang kebaikan dan amalan bukan untuk ganjaran. Ibadat kita seharusnya bukan kerana untuk mendapat pahala dan ganjaran, tetapi seharusnya kerana cinta semata-mata. Dalam satu legenda mengenainya dikatakan dia menempelak orang yang berbakti kepada Allah kerana mau mendapat ganjaran dari-Nya – bukan kerana ikhlas dan cinta Ilahi, demikian menjauhi larangan juga kerana mendapat balasan diselamat dari neraka – seharusnya tidak mengharap balasan dari perbuatan dilakukan. Ianya seharusnya kerana cinta kepada Allah semata-mata. Dia menempelak amalan kerana mendapat balasan yang diungkapan dalam puisi sebagaimana berikut:

Kelmarin siangnya
Dia keluar ke ruang terbuka
Dengan setimba air sebuah pelita
Sedang mereka kehairanan
Disiramnya neraka padam
Dicucuhnya syurga menjulang
Ia sekadar mengingatkan
Dengan cinta
Janganlah mengharapkan ganjaran.

Bangi,
Oktober 1991.

(Puncak Rindu, 2013: 24).

Sekian.

December 17, 2013

Karnival Surau Saujana Impian Kajang

-->
Kajang, 12 Safar 1435 = 15 Disember 2013 (Ahad):

Surau Saujana Impian, Kajang dapat dikatakan antara surau yang aktif dan mempunyai sejarah perkembangan yang menarik. Surau bermula pada tahun 1995 dari sebuah rumah teres di Jalan Impian Jaya 4. Untuk mendapat bangunan surau lebih sempurna sebuah tapak seluas 1.045 hektar  diusahakan pada tahun 1997 dari pihak Pemaju di tapak sekarang. Surau dibangunkan dengan menggunakan bahan-bahan terpakai dari sisa pembangunan oleh pihak Pemaju (Pejabat Jualan). Surau mendapat sambutan jamaah dan bangunan surau berkali-kali dibesarkan yang kapasiti maksimum seramai 400 jamaah. Lepas itu surau tak dapat diperbesarkan lagi. Pada masa Penulis menjadi Adun Kajang (1999-2004), kawasan ini termasuk di bawah Dun Kajang dan selaku Adun Penulis sering datang ke surau ini, terutama bila ada function dan kegiatan-kegiatan. Penulis selaku Adun turut diberitahu perancangan untuk mendirikan surau baru. Jawatankuasa pembinaan bagi binaan baru di lantik pada 2005 dan mencari dana. Kos pada masa itu yang diperlukan ialah RM1.2 juta. Setelah mendapat kelulusan JAIS dan MPKJ kerja membina dimulakan  pada Ogos 2005 dengan kewangan yang ada pada masa itu hanya RM250,000. Bangunan siap pada Disember 2006 dan mula digunakan pada Januari 2007.


Adapun bangunan lama dikekalkan dan dijadikan Sekolah Rendah Agama di bawah tadbiran surau yang dapat menampung 150 pelajar. Namun bangunan lama yang agak uzur yang digunakan sejak 2007 terpaksa dirobohkan pada April 2013 untuk elak dari kemalangan dan digantikan dengan bangunan baru yang mula digunakan 2007 berikut dari perobohan bangunan lama. Jadi dibawah pimpinan dinamik Tuan Haji Ibrahim dan AJK Surau Saujana Impian lengkap dengan Surau dan Sekolah. Pihak surau selain dari menjalankan kegiatan ibadat, mengadakan Pengajian Ala Pondok sejak awal Januari 2011 dan pihak surau juga mengendalikan Sekolah.

Pada pertengahan Disember 2013 pihak AJK mengadakan kegiatan secara berturut, iaitu Karnival Surau Saujana Impian mulai dari 13 – 15 Disember 2013 dan diikuti dengan Majlis Graduasi Pertama Pengajian Ala Pondok Surau Saujana Impian pada 16 Disember sebagaimana telah diperkatakan. Karnival melibatkan pelajar Sekolah dan masyarakat. Gerai-gerai perniagaan disediakan bagi mereka yang berminat berniaga dan berbagai kegiatan di adakan. Menurut maklumat bahawa tujuan mengadakan Karnival Surau ialah:


Bagi merapatkan silaturrahim di antara penduduk-penduduk ahli kariah Surau Saujana Impian.
Menawarkan program pengisian untuk anak-anak remaja kariah dan kawasan berdekatan.
Menarik minat anak-anak remaja kariah untuk lebih aktif dalam setiap program Surau Saujana Impian. Antara program diadakan selama tiga hari ialah:

Pembukaan gerai jualan, pertandingan azan dan khutbah, forum perdana, kuliah subuh dan doha, motivasi pelajar, pertandingan mewarna, sukan street soccer,  pingpong, pemeriksaan kesihatan dan darah percuma, menunggang kuda, main belon air, permainan karem dan congkok, persembahan nasyid dan qiyamullail.

Pada masa kehadiran Penulis untuk  Majlis Graduasi Pertama Pengajian Ala Pondok pada 16 Disember 2013 dalam mana Penulis tiba sedikit awal. Penulis berkesempatan hadir majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup karnival yang dilakukan oleh Y.B. Ustaz Solehen Muhyi Exco Hal Ehwal Islam Dan Pembangunan Desa yang turut dihadiri sama oleh Y.B. Tuan Haji Razali Hassan Adun Dusun Tua.

Penulis sempat mengikuti ucapan Y.B. Ustaz Solehen yang memaklumkan kepada hadirin termasuk ibu bapa, bahawa bajet bagi negeri Selangor bagi tahun 2014 adalah tertinggi, iaitu sebanyak RM2.3 bilion. Daripadanya portfolio yang beliau menerima peruntukan tertinggi, iaitu untuk Hal Ehwal Agama Islam ialah sebanyak RM400 juta dan Pembangunan Desa RM300 juta. Jumlahnya lebih satu perempat dari bajet tahun tersebut.

Y.B. Ustaz Sallehen menyebut rancangan membina tiga kompleks Islam di Selangor. Kerajaan juga akan mengadakan Ma`had Tahfiz Sains sebuah bagi setiap daerah. Menurutnya, Selangor kini adalah negeri paling banyak dengan ma`had tahfiz swasta yang jumlahnya kini lebih 100 buah. Projek bagi mendirikan Ma`had Tahfiz Sains Kerajaan memerlukan tanah antara 8 hingga 15 ekar. Tempat dan tapak sesuai sedang dikenalpasti. Pelajar-pelajar dari Ma`had Tahfiz akan diusahakan bagi mereka menyambung pengajian di dalam dan luar Negara.

Y.B. Ustaz Sallehen menyampaikan hadiah dan cenderamata bagi yang berjaya.

Dengan berbagai kegiatan yang dijalankan di surau Saujana Impian, jelaslah bahawa ianya surau yang aktif yang dipimpin oleh pemimpin yang dinamik. Kita berharap Surau Saujana Impian terus maju dan menjadi surau contoh bagi surau-surau yang lain sebagai surau yang aktif dan dinamik.

Sekian.