BBB, 16 Safar 1435 = 19 Disember 2013 (Khamis):
Termasuk puisi di bawah kesufian ialah puisi berjudul,
``Mengerti Sekelumit Makna Abadi`. Tema puisi ini membicarakan soal `Yang Abadi`, iaitu Allah Subhanahu wa Ta`ala
yang pada-Nya segala sifat `kesempurnaan` dan `hamba` yang padanya sifat
`kefanaan` yang sifat kesempurnaan pada Allah begitu banyak, demikian pada
hamba yang sifat kefanaan padanya begitu banyak pula, antaranya `lemah`. Lantas
apa yang dingini dalam pelayaran hidup ini ? Kata puisi pendek itu:
Mengerti Sekelumit Makna Abadi
Seumur diri
Ke titik itu
Sukar mencari.
(Puncak Rindu, 2013: 53).
Apa yang dicari dan ditujui seumur hayatnya, agar tiba pada peringkat dicari – yang
diungkapkan `Ke titik itu` sebagai nilai abadi, tetapi dikatakan pelabuhan
dituju itu `sukar mencari`.
Di dalam kehidupan terlalu banyak perkara yang lumrah dicari
seperti kekuasaan, kekayaan, kemasyhuran, pangkat dan berbagai-bagai lagi.
Tetapi isyarat dari ungkapan berikutnya boleh merapatkan dengan apa yang
dimaksud dicari. Kata puisi:
Kelana yang menyendiri
Di gurun fikir
Belum tentu menemui
(Puncak Rindu, 2013: 53).
Persoalan yang berkait dengan fikir dan pencarian,
terutamanya ialah ilmu. Ilmu adalah sifat Allah. Keilmuan adalah miliknya. Manusia
memang dituntut mencari ilmu. Banyak ayat Qur`an dan Hadith yang menggalak
manusia menuntut dan mencari ilmu. Apa yang dicapai manusia adalah sekelumit
atau setitis dari ilmu Tuhan yang tidak terpermenai banyaknya. Pun begitu bagi
individu banyak kekangan bagi menguasai ilmu, misalnya kemampuan akal pada
dirinya, batas waktu kehidupan dan keilmuan yang begitu banyak untuk dikuasai
baik oleh individu, bahkan manusia keseluruhan. Bagi individu lumrahnya
berakhir hayat sebelum matang, bagi masyarakat masih dan terus menghadapi
cabaran bagi membina peradaban dan tamadun. Dengan ilmu membantu individu
berfikir menjadi pemikir, ilmuan, filosof dan pujangga, tetapi sekelumit dari
mereka yang mencapai dan diterima serta diiktiraf sebagai pemikir dan ilmuan,
tetapi jarang dan sukar sebagai filosof dan pujangga.
Pengkelanaan juga merupakan watas yang dijalani oleh ahli
rohani membersih diri dalam mencari keheningan dan ketenangan menghadapi Rabbul
Jalil yang boleh membuka rahsia-rahsia kerohanian, tetapi sebagaimana jalan
keilmuan begitu juga kerohanian, bahkan lebih banyak cabaran. Hakikat
sebenarnya pencarian amat sukar tiba pada peringkat kematangan dan jadilah
mereka terus berada di dalam pengkelanaan.
Sesungguhnya bidang keilmuan dan kerohanian adalah keindahan
tertinggi yang membahagiakan. Tetapi ianya adalah peringkat tertinggi. Apa yang
dihadapi oleh masyarakat banyak keinginan memerdekakan dan membahagiakan pada
tahap fizikal dari ancaman kelaparan, tiada tempat lindungan dan tiadanya
keselamatan. Ancaman ini lebih banyak diakibatkan oleh kekerasan hati oleh
pihak maukan kuasa, dengan itu terjadilah rampasan kuasa di luar etika
kemanusiaan, peperangan, pembunuhan dan ancaman keselamatan. Lantaran itu
dilihat individu manusia mangsa keadaan dan ketamakan kekuasaan dan keseluruhan
manusia sebagai dalam kapal yang terkapai di dalam gelombang yang sukar menuju
pelabuhan lantaran pengemudi kapal dunia juga terus bercakaran. Para ilmuan, pemikir dan rohaniawan tenggelam di dalam
kekecohan, bahkan tidak dipedulikan lantaran kekuasaan. Tidak ada kesatuan
penujuan – sudah tentu bukan saja sukar, tetapi tiada penemuan.
Puisi pendek diakhiri dengan ungkapan:
Ia bukan pencarian
Tapi pemberian
Maha Tinggi.
Bandar Baru Bangi,
1.3.1986.
Apa yang sepatutnya bagi pelayaran hidup manusia menyedari
tentang kefanaan dan kelemahan dan berpandukan kepada kesatuan Nilai Abadi dari
pihak Tertinggi sebagai pemberian – antaranya penemuan ilmuan dan rohaniawan
yang sesuai dengan kemanusiaan, nilai peradaban dan ketamadunan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment