December 29, 2013

Menuju Zaman Kemerdekaan


BBB, 25 Safar 1435 =28 Disember 2013 (Sabtu):

Kekalahan Jepun bersama sekutunya – German di tangan Tentera Berikat berikut dari pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menamatkan kekuasaan Jepun di Asia – termasuk di Indonesia dan Malaya pada tahun 1945. Di dalam Negara yang terlepas dari jajahan Jepun berlaku perjuangan anak watan bagi mendapatkan kemerdekaan. Di Indonesia misalnya tercetus revolusi menentang Belanda yang akhirnya Negara itu mendirikan kerajaan Republik. Di Malaya walaupun ada usaha mencapai kemerdekaan bersama Indonesia, tetapi terbantut. Beberapa masalah timbul misalnya ancaman keselamatan yang ditimbulkan oleh golongan kiri dan radikal menyebabkan berlakunya darurat yang mengukuhkan perkembalian British.

Dalam masa yang sama lahirnya gerakan kemerdekaan seperti tertubuhnya Umno (1946), Pas (1951)’ disamping adanya parti boroh, sosialis dan rakyat, manakala parti Komunis telah diharamkan sejak 1948.

Puisi selepas perang memperlihatkan pengucapan lebih bebas. Sebahagian besar adalah dari kalangan penyair baru. Pusat penerbitan pada masa itu masih lagi di Singapura. Mereka memperkatakan persoalan politik tanahair dengan lebih terbuka dan gerakan politik tanahair mulai rancak. Penyair Anum (Abdul Samad bin Ahmad)  mencatat di dalam puisi – antara terawal (12 Jun 1946) tentang politik tanahair, iaitu Penubuhan `Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu` yang diringkaskan `PEKEMBAR` yang kemudian diubah menjadi UMNO.

Memperingati Semangat Peristiwa
Anum

1 Mac 1946 ialah saat berperistiwa
Saat yang akan tercipta –
Dalam sejarah bangsa kita
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
Mulai menjelma.

Peringatilah dia
Wahai putera-puteri harapan bangsa !
Catatlah dengan tinta emas
Ke dalam buku sejarah
Untuk pujaanmu silang masa.

….
(Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: 407).

Antara pemimpin yang dicatat oleh Ahmady Asmara (18 Jun 1946) dalam puisinya berjudul:

Persembahan Kepada Datuk Onn

Di ketika umat Melayu terbangun
Mendengar seruan Datuk Onn
Umpama tagar mendayu
Menyeru kepada umat Melayu
Kebangunan pemimpin yang perwira
Iaitulah Datuk Onn terketara
Ayuhai pemimpin utama
Umat Melayu ingin saksama.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 410).

Sebagaimana dalam sejarah berlaku penentangan terhadap Malayan Union. Ini dicatat oleh Hashim Gera dalam puisinya.

Malayan Union Jikalau Datang

Demokrasi punya semboyan
Tanah Melayu jadi Malayan
Ghaib Melayu jawa dan boyan
Hilang cupak dilindung tempayan
Malayan Union jikalau datang
Menghambat Melayu dari belakang
Lari Melayu terbalik kuang
Raja dan datuk lintang pukang.

(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 419).

Dari segi sejarah dan politik Negara, Umno bukanlah gerakan politik terawal. Ada yang lebih dahulu, ialah KMM di samping API dan AWAS yang lahir sejak zaman Jepun  antaranya KMM yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Hilmi, tetapi tiada pablisiti mengenainya dan tiada catatan dalam puisi lantaran disekat. Tetapi tentang perjuangan Dr. Burhanuddin Hilmi ada dua buah puisi mengenainya. Abhan mencatat liku-liku perjuangan dan sekatan yang dihadapi oleh Dr. Burhanuddin Hilmi.

Irama Hati
(Kepada bapa Burhanuddin al-Helmi)
Abhan

Darah, hati dan seluruh anggota yang ada
Tidak pernah marak melonjak merasa segirang ini
Bila bapa kembali menjelma lagi
Menjejak tanah pesaka – kesan sisa neraka.

Tanah ini pernah bapa jejak lama dahulu
Dan kami masih kecil tiada tahu suatu
Kemudian bapa tinggalkan, pergi masuk pagar berduri
Kami besar panjang – tiada hala pasti.

Darah, hati dan seluruh anggota ini
Pernah mencair menggelegak panas di suatu hari
Dan kemudian beku semula kerana tiada penguasa
Lantas sejuk kaku seluruh anggota yang ada.

Bapa sendiri pernah berada dijulang menara
Meniup nafiri murni, menyanyi lagu istimewa
Kemudian turun semula kerana dianggap merbahaya
Dan kami sedar bapa tidak pernah menderhaka.

Lagu yang bapa gubah dan nyanyikan
Menyerap ke darat, hati dan tulang kami
Demi atas nama insani kami teruskan
Walau suara serak parau kerana tiada senyuman.

Dan kini bapa kembali semula menemui kami
Kasih kami kepada bapa mengerat lagi
``Tiup, tiuplah kembali nafiri murni baring sekali.``
Dan kami menyanyi bersama dalam rentak irama asli.

Ya – darah, hati dan seluruh anggota yang ada
Tidak pernah marak melonjak merasa segirang ini
Bila bapa kembali menjelma lagi
Menjejak tanah pesaka – kesan sisa neraka.

                           Mingguan Pedoman, 19 Januari 1957.
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 612).

Sebuah lagi puisi yang mengungkapkan perjuangan Dr. Burhanuddin Hilmy ditulis oleh Ariffin Mahmud:

Madah Dari Kecapi Hati Anakanda
(Untuk ayahanda Dr. Burhanuddin)

Dari tanah datar yang kekeringan ini bapa bergerak
Mencari tenaga – perpaduan dan kebulatan dari seluruh lapisan
Dan bergerak pada garisan penentuan – garisan pembebasan
Membela bangsa – membela agama – membela Negara

Pada kami anak-anak yang pernah di dunia neraka
Masih bernyala semangat tetap percaya pada bapa
Pada kami anak-anak yang berdiri di belakang ayahanda
Tetap bergerak pada bertujuan pada tumpuan mencari kebebasan.

Sudah lama bapa dan kami dipisahkan
Dan kini kita bertemu kembali di medan perjuangan
Tiup ! tiuplah lagi bapa api ini sampai membakar
Kami tetap pada ikrar – tabah – setia – rela sampai lebur.
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 624).

 Kedua-dua puisi di atas diterbitkan dalam akhbar radikal – Pedoman yang pernah dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan pernah disekat dari penerbitan. Dari puisi di atas dapat difahami betapa perjuangan Dr, Burhanuddin sejak zaman Jepun dan kembali ke zaman British beliau terus mendepani sekatan dan penjara. Dan kematiannya di zaman kemerdekaan adalah akibat dari keseksaan yang dialaminya keluar masuk penjara.

Selain dari puisi bersifat politik `Zaman Menuju Kemerdekaan` ini banyak membawa puisi-puisi yang bernafaskan semangat dan kesedaran. Contoh puisi Abu Samah:

Kebangkitan Kaum Bangsaku

Oh ! Ketinggalan rupanya kaum bangsaku
Di dalam golongan kemajuan masyarakat
Diayun dengan gelombang mimpi

Silalah bangun saudara-maraku
Carilah jalan untuk muafakat
Kemajuan watan segera dihadapi.
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 412).

Zulkifli Muhammad antara penyair yang banyak membawa puisi-puisi yang bersemangat pada zaman menuju kemerdekaan (5 buah) – Antaranya:

Penderitaan Kita

Berkurun-kurun penjajah memijak nusa
Merampas merebut kekayaan Negara kehormatan bangsa
Kita tertindas jatuh gugur telentang tertiarap
Kucar kacir hina-hina terayap-rayap.
Bangunlah putera-putera serentak memalu tambur
Menyedarkan bangsa melaksanakan cinta murni luhur
Membela agama bangsa nusa kampung halaman
Sedarah daging senasib untung handai dan teman
Bersatu daya berpadu tenaga memutus ikatan
Mengubah nasib `azab penderitaan`

                                            (Medan Masyarakat, Mac, 1947).
(Abdul Latiff Abu Bakar, 1987: 460).

Kesedaran politik pada masa itu dari berbagai aliran sama tujuan bergerak ke arah mencapai kemerdekaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment