December 6, 2013

Menghadiri Kursus Pemantapan Akidah Ahlu Al-Sunnah

-->
BBB, 02 Safar 1435 = 05 Disember 2013 (Khamis):

Bertempat di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat kursus di atas dilangsungkan mulai jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Peserta-peserta adalah terdiri dari Pengerusi dan AJK masjid dan surau Daerah Hulu Langat, termasuk ketua-ketua kampong yang jumlah mereka melebihi 100 orang peserta.


Menurut Pegawai Tadbir PAID Hulu Langat Ybhg. Tuan Haji Mohd. Arif bin Abdul Samad di dalam ucapan ringkasnya semasa menutup kursus bahawa, ``Kursus Pemantapan Akidah adalah kursus yang diadakan secara bersiri di seluruh negeri Selangor. Kursus pada hari ini adalah merupakan siri terakhir diadakan. Kursus diadakan bagi memantapkan akidah dan amalan syariat dan mengelak dari kecelaruan akibat dari pertentangan pendapat yang boleh melemahkan umat.`` Beliau mengucapkan terima kasih terutama kepada penceramah-penceramah yang dengan gigih telah menjelajah bagi menyampaikan kursus ke seluruh negeri Selangor. Tambahnya, ``Kita bersyukur kursus ini berjaya diadakan di Daerah Hulu Langat sebagai pelengkap bagi kejayaan kursus yang diadakan di seluruh negeri Selangor.`` Tuan Haji Arif berharap dengan kursus ini memperkukuhkan pegangan Ahlu al-Sunnah yang menjadi pegangan penduduk di Negara ini, khususnya di Selangor. Melaluinya harap dapat difahami pegangan Islam sebenar dan dijauhi pengajaran songsang, penyelewengan, khurafat dan dakwaan-dakwaan yang bertentang dengan pegangan Islam yang sebenar. Tuan Haji Arif berharap pengerusi-pengerusi, imam-imam dan AJK masjid dan surau yang menghadiri kursus pada hari ini dapat meluaskan maklumat yang didapati dari kursus hari ini kepada anak-anak kariah dan kalau perlu boleh menggunakan buku modul yang diedarkan kepada setiap peserta kursus. Tuan Haji Arif juga menyampaikan cenderamata penghargaan kepada pembentang-pembentang.

Dari jam 9.00 pagitiga kertas kerja dibentangkan. Kertas pertama berjudul:

Simptom-simptom Penyelewengan Terhadap Akidah, Syariat dan Akhlak disampaikan oleh Ustaz Jamali Mohd. Adnan Ketua Penolong Penyelidik di JAIS. Menurutnya antara gejalanya disebabkan amalan kerohanian songsang, penghinaan terhadap Islam seperti terhadap al-Qur`an – Kalimah Allah, terhadap nabi dan hukum hakam Islam. Campur aduk amalan Islam  dengan adat, khurafat, ajaran batiniah, Syiah dan penyelewengan seperti Qadyani, Nabi Melayu dan sebagainya.

Di Hulu Langat terdapat ajaran-ajaran sesat seperti Aurad Ismailiah di Sungai Long, Zikir Kuat di Lubuk Kelubi,, Islam Jamaah Global Ikhwan, Tariqat Naqsyabandi Qadiriyyah Khalidiyyah dan Nabi Melayu. 

Ajaran sesat merosakkan akidah yang boleh membawa terkeluarnya seseorang dari Islam (murtad). Penyelewengan di dalam Islam menyebabkan berlaku permusuhan sesama umat Islam dan membawa kepada perpecahan dan kelemahan dan boleh mengancam keselamatan dan kedamaian Negara.

Lantaran itu Penceramah menganjurkan  agar setiap umat Islam mestilah sentiasa berpegang kepada al-Qur`an, al-Sunnah dan Ijmak Ulama`.
Sentiasa mempelajari agama dan sentiasa merujuk kepada guru-guru yang muktabar dan pihak yang berwibawa dan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat keraguan  terhadap pengajaran, amalan dan perbuatan bertentang dengan Islam kepada pihak berkuasa.


Penceramah kedua disampaikan oleh Dr. Abdul Rahman bin Mahmud Pengarah Pusat Islam, UKM. Beliau bercakap tentang Prinsip-Prinsip Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
Berpegang kepada ajaran al-Qur`an
Rasulullah menjadi qudwah bagi segala amalan
Mengamalkan tuntutan Islam melalui Rukun Islam dan Iman.
Menurut tafsiran terhadap Islam oleh ulama seperti pendekatan oleh tokoh mazhab yang empat, pegangan akidah Asy`ari-Maturidi dan tasawuf dan akhlak murni.
Tidak berpegang kepada ajaran menyeleweng seperti Syiah, Khawarij, Mu`tazilah, Murjiah, Najariah, Jabariyah, Qadariyyah, Musyabbihah dan Jahmiyyah.
Aliran-aliran moden yang merosakkan seperti Liberalisme, Pluralisme dan Ethies.

Manakala penceramah ketiga, iaitu Dr. Fauzi dari Akademi Islam, Universiti Malaya yang bercakap tentang bid`ah yang bertujuan bagi menjelaskan kepada masyarakat tentang konsep ikhtilaf dan menilai amalan lazim yang tiada sunnahnya. Antara perkara yang dibicarakan ialah konsep bid`ah.

Panduan:

Hadith Nabi yang bermaksud:

`Sesuatu perbuatan yang baharu bid`ah dan setiap bid`ah adalah sesat dan setiap sesat itu masuk neraka.`` (Sunan al-Nasa`i)

Ulama` memperakui, bukan tiap bid`ah salah. Bid`ah ada yang baik dan ada yang buruk.
Maksud Hadith yang disandarkan bermaksud:

``Barang siapa yang memperkenalkan (sanna) satu sunnah kebaikan, maka dia akan memperolehi pahalanya dan juga pahala mereka yang beramal dengannya tanpa dikurangi sesuatu pun daripada pahala-pahala mereka, dan barang siapa yang mengemukakan satu sunnah kejahatan, maka dia akan menanggung dosanya dan juga dosa-dosa mereka yang beramal dengannya tanpa dikurangi sesuatu pun daripada dosa-dosa mereka.`` (Hadith riwayat Bukhari)

Jadi ada bid`ah baik dan tercela.
Amalan-amalan para sahabat dan salaf al-salihin juga menjadi panduan.
Contoh solat tarawih yang dilakukan oleh Umar al-Khattab.

Amalan yang baik, tapi ada pihak pertikaikan.

  • Wirid mengiringi solat fardu
  • Solat qabliyyah bagi solat Jumaat
  • Qunut Subuh secara individu dan jamaah
  • Bacaan Yasin pada malam Jumaat
  • Lafaz niat bagi solat
  • Azan pertama waktu zohor Jumaat
  • Bilangan rakat solat tarawih selain dari lapan rakaat.

Perkara baik di atas menjadi amalan di kalangan masyarakat Islam di alam Melayu, namun oleh kerana adanya unsur luar ada pihak yang mempertikaikan amalan baik berkenaan yang tidak dipersalahkan.

Perkara yang tercela (bid`ah sayyi`ah)

  • Amalan nikah batin
  • Niat sudah memadai bagi amalan-amalan
  • Mengaku Nabi bagi satu kaum
  • Tinggal solat Jumaat kerana bersuluk
  • Solat dengan batu di hadapan (Syiah)
  • Tebus dosa dengan mencederakan badan
  • Penebusan dosa dengan duit.

Seorang Islam hendaklah berpandukan al-Qur`an dan Sunnah juga pendapat ulama dan fatwa pihak berkuasa. Jangan membuat hukuman bersendirian terhadap perkara yang baik dan tidak mendukung perkara yang tercela yang jelas kecelaannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment