BBB, 29 Muharram 1435 = 03 Disember 2013 (Selasa):
Hidup adalah kembara yang di dalam perjalanan banyak
pengalaman yang ditemui. Pepatah mengatakan, ``Lama hidup banyak dirasa, jauh
perjalanan banyak pengalaman.``
Bagi seseorang penulis pengalaman amat berharga, khususnya
pahit maung hidup dan ujian kepayahan yang mencabar dan mematangkan seseorang.
Bagi seorang penulis pengalaman tidak seharusnya bersifat ditunggu, apa lagi
jika ianya bersifat rutin yang monotonous dan biasa dan tidak berbeza. Lantaran
itu pengalaman sengaja dicari sama ada melalui pembacaan dan sering pula para
penulis, pelukis dan seniman sengaja kembara dan rela menempuh kesusahan dan
ujian demi mencari pengalaman. Sememangnya suasana baharu dan kelainan dari
biasa sering mencetuskan pengalaman, ilham yang baharu dan segar. Puisi: ``
Seorang Tua Di Jendela Usia`` adalah
terilham semasa Penulis menghadiri Penyelarasan Peperiksaan Kertas Sastera
Melayu STPM di Hotel Merlin (kini sudah ditukar nama baru), Pulau Pinang selama
seminggu (9 -15 Jun 1993) dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Peperiksaan STPM
pada masa itu, iaitu Dato` Abu Bakar Barakbah. Catatan dibuat pada senja 09 Jun
1993 – petang hari pertama tiba bila menguak jendela dari bilik bangunan di atas
bukit mendepani laut di Pulau Pinang, ketika lembayung senja dengan laut teduh
dan mentahari bersinar merah keemasan dengan kapal bergerak perlahan, waktu itu
tercetus ilham keinsafan menyedari usia diri yang makin lanjut (Sebenarnya pada
masa itu usia belumlah begitu lanjut, tetapi al-hamdulillah sudah menyedari
ketuaan diri).
Seorang Tua Di Jendela Usia
Lembutnya hari
Ketika senja merapatkan diri
Ke teluknya
Seorang tua
Menjenguhkan dirinya
Di jendela usia
Yang makin luntur
Rindu menggoris kalbu
Ingatan pada yang dikasihi
Inginnya menangguh hidup ini
Tetapi mentari usianya
Tidak mungkin terbit kembali
Di pagi hari
Segalanya hanyut dalam kenangan
Berlarian
Perlahan tangan tuanya
Merapatkan daun jendela
Dan merah di kaki senja
Makin kelabu
Menenggelamkan
Sebuah perjalanan.
Pulau Pinang,
9 Jun 1993.
Terdapat makna berlapis dalam puisi di atas. Antara
maksudnya keinginan penulisnya mau kembali muda. Sesuatu yang bercanggah dengan
tabii dan tidak mungkin terjadi dan
hari-hari terus berganti, tak mungkin diputar kembali.
Keseluruhan puisi membawa tamsil perjalanan hidup. Terdapat ungkapan-ungkapan
berdaya estetik yang bersifat alegori dan tasybih. Contoh: Jendela usia, senja
merapatkan diri, ke teluknya, mentari usia, hanyut dalam kenangan, berlarian,
tangan tua, kaki senja dan menenggelamkan sebuah perjalanan. Semuanya membawa
makna bercabang dan berlapisan yang mengindahkan ungkapan sebagai sebuah seni
dan puisi.
Dari sejumlah puisi yang bertemakan keinsafan Penulis sendiri
menyukai ungkapan `prose poetry` bagi kandungan puisi yang berjudul `Korban`.
Puisi ini tidak membicarakan secara direct tentang Korban. Fokus secara halus
kepada niat dan keikhlasan yang seharusnya diinsafi yang berkorban dengan cara
menolak jauh sifat bakhil dari diri. Allah memerhati niat di hati dan Allah jua
menggandakan bakti.
Korban
Begitu berat seberat gunung kemampuan ingin direbahkan ke
hamparan keikhlasan.
Memutuskan kesayangan dari khazanah diri itu amat liat dan
kehilangan itu menggerunkan segerun kilat tajam memancar dari pisau Ibrahim,
tatkala merebahkan Ismail putera kesayangannya di bumi kepatuhan.
Korban itu ialah ketabahan melihat sembilu pisau
merentangkan ngilunya ke leher
kebakhilan lalu terasa bunyi luka terkelar menampak keputihan lalu diiringi
gelegak-buak darah ketamakan memerah dari luka yang parah.
Korban mematikan hayat milik kepentingan diri dengan
menumpahbasahkan ehsan pada bumi yang menyuburkan.
Mata kasar itu tidak peka pada malaikat yang diutus
memerhati keikhlasan hati.
Bila-bula masa ia menghulurkan kibasy gantian dengan gandaan
tanpa disangka-sangka.
Bandar Baru Bangi,
Selangor,
9 Julai 1989.
Terdapat banyak ungkapan berdaya estetik antaranya ialah:
gunung kemampuan, hamparan keikhlasan, bumi kepatuhan, merentangkan ngilunya,
leher kebakhilan, darah ketamakan, dan menumpah basahkan ehsan, Sesungguhnya
ungkapan-ungkapan berkenaan mengukuh dan memperkayakan daya estetika puisi
`Korban`.
Menulis puisi kadang-kadang tidak memerlukan tema yang
besar-besar, sesuatu peristiwa atau perkara kecil boleh menjadi sesuatu yang
menarik dengan kebijaksanaan penyair memilih angle persoalan dan
mempersembahkannya secara seni dan menarik. Penyair T. Alias Taib adalah
penyair yang sering menampilkan sesuatu yang kecil dan biasa tetapi dapat
mengemukakannya dengan menarik seperti terdapat di dalam kumpulan puisinya
Seberkas Kunci (1985) dan Petang Condong (1996). Isu-isu kecil dan biasa
kadang-kadang dapat ditanggapi dari berita-berita kecil di dalam akhbar-akhbar.
Darinya dapat diangkat kepada yang bersifat estetik dan rasa kemanusiaan.
Misalnya puisi:
Tiba-Tiba Kefanaan Menjelmakan Wajahnya
1
Berkilau muara berbulan di angkasa
Tawa anak-anak berderai bersama ombak di pantai
Tiba-tiba angin November melanda muara
Bergelimpangan bangkai rumahan
Ibu tua di pasir
menggali sisa alatan
Dikelilingi anak-anak kesayuan.
(Berita banjir dan ombak memusnahkan rumah-rumah di tepi
pantai, Pantai Timur – sering terjadi).
II
Malam di kota
bulan tak bermaya
Dipersenda neon pelbagai warna
Tiba-tiba api menggila memusnah sederet kedai
Sementara bulan ke peredaran
Anak-anak mangsa mengenal pucatnya maya.
(Kebakaran sering terjadi, terutama perumahan di Bandar)
III
Di pinggir kota
Anak-anak kerdilan kepingin kolam renang
Tanpa memikirkan bahaya mendatang
Terdorong mereka ke tasik tinggalan lombong
Tiba-tiba antara mereka terkapai kelemasan
Lalu berenang di atas usungan diiringi tangisan.
(Anak-anak dimusim cuti Sekolah, kurang pengawasan,
akibatnya terjadi tragedi sedemikian).
IV
Wajah bumi dihuni merubah asli
Sesekali anak-anak ingin menikmati hutan rekreasi
Sedang asyik mereka berkhemah dilereng bukit
Tiba-tiba angin garang meruntuh dahan
Lalu takdir dan ajal mengusungi mangsa pulang.
(Mirip peristiwa di atas. Tragedi berlaku semasa keluar ke
hutan rekreasi).
V
Jalan raya kemudahan berhubungtara
Suatu hari sekeluarga berkenderaan ziarah keluarga
Tiba-tiba terhumban ke tepian menemui kematian
Kasih sayang menghimpun mereka di satu liang.
(Peristiwa kemalangan jalan, sebagai sesuatu yang biasa).
Kesimpulan bagi semua di atas:
Kefanaan
Wajah alam
Tiap saat menyusup setiap wujud
Apabila tiba pengakhiran
Ia memakaikan mangsa pakaian fana
Kemudian menyerahkannya kepada Yang Maha Esa.
Jabatan Persutan Melayu,
UKM, Bangi.
8.1.88.
(Puncak Rindu, 1999: 43-44).
Puisi terakhir yang bertemakan keinsafan ialah `Suatu
Pengertian` (hlm. 99). Puisi ini sebenarnya adalah merupakan puisi pertama
Penulis memenangi Hadiah Sastera Malaysia bahagian puisi (1975).
Mutunya mungkin tidak perlu dipersoalkan. Memada diperturunkan antara pendapat
Panel Hadiah Sastera Malaysia ,
bahawa ianya sebuah puisi yang `unik`.
Sekian.
No comments:
Post a Comment