December 1, 2013

Ziarah Di Madinah & Makkah

BBB, 26 Muharram 1435 = 30 November 2013 (Sabtu):

Di dalam ayat al-Qur`an terdapat galakan menziarah. Firman Allah bermaksud:

``Dan Serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan dengan berkenderakan  berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan dan ceruk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka.`` (al-Hajj: 27 -28).


Menunaikan haji selain dari tujuan utama untuk beribadat sebagai tuntutan rukun Islam yang kelima, ianya disifatkan sebagai `Persidangan Agung Tahunan` bagi umat Islam. Sebagaimana disebut oleh al-Qur`an di atas dengan menunaikan haji memberi peluang bagi jamaah haji menyaksikan berbagai-bagai perkara yang boleh memberi manfaat kepada mereka. Antarnya menyaksikan tempat-tempat penting yang berhubung dengan Islam dan sejarahnya.

Bagi yang menganut Islam, selama ini mereka mendengar tentang Makkah, mendengar tentang ka`bah, Padang `Arafah, Mina, Muzdalifah, mendengar bagaimana Rasulullah menerima wahyu di Gua Hira` di Makkah, mendengar tentang sejarah Hijrah al-Rasul, mendengar tentang Madinah, Masjid al-Nabawi, Masjid Quba`, Badar, Bukit Uhud, Maqam Rasulullah dan sahabat-sahabat dan berbagai-bagai lagi. Dengan menunaikan haji segala yang didengar selama ini, maka tempat-tempat yang disebutkan di atas dapat disaksikan dengan mata kepala sendiri. Dengan penyaksian menambahkan kefahaman, ke yakinan dan keimanan. Pergi ke Makkah dan menziarah adalah  pakej yang dialami, disaksi dan dihayati oleh setiap jamaah. Cuma mereka yang pergi pada peringkat awal dari musim haji, maka jamaah sedemikian akan pergi ke Madinah terlebih dahulu, manakala yang pergi lewat akan terus ke Makkah dan diikuti dengan ziarah ke Madinah sebelum bertolak pulang ke tanahaiar. Pemergian Penulis juga melalui cara yang sama (di bawah ke Madinah terlebih dahulu).


Semasa Penulis menziarah Madinah tumpuan utama dan mencetus ilham kepada Penulis ialah Masjid Nabawi atau Masjid Madinah itu sendiri. Pada pemergian pertama (1985) semasa berjamaah di masjid berkenaan Penulis tertarik kepada guru-guru yang mengajar di Masjid Madinah (di beberapa bahagian masjid), antaranya guru yang mengajar Hadith. Kata Penulis:

Setelah salam
Masing-masing tenggelam
Dalam wirid dan mohonan
Tiba-tiba suara memecah sunyi
Imam menyambung lidah Rasulullah
Dengan pengajaran hadith
Seperti mendengar Junjungan
Tertarik aku ke sampingnya
Bersama di dalam halaqah
Ku dapati kerusi itu
Selama ini tidak diduduki
Dialah sebenar pemiliknya
Dengan keilmuan
Aku di lantai
Menyambut dari mulutnya
Hikmat kata
Dengan keasyikan.

Pada puncak penghayatan
Tiba-tiba berkumandang azan
Suara guru itu terhenti
Tiba-tiba aku merasa dahaga
Dari kata-katanya lagi.

(Puncak Rindu, 2013: 61).

Pemergian kali kedua (1994)  - ke Madinah terlebih dahulu. Masjid Madinah juga menjadi tumpuan dan terbetiknya ilham. Misalnya Penulis amat tertarik dan terkesan  dengan kemerduan Imam Solat Subuh (Abdul Rahman Sudair ?) sehingga menggetar ilham:

Di tengah saff jamaah
Tenggelam diri dalam solat
Pujian dan penyerahan
Khusyuk mesra
Menggetar jiwa
Merdu suara imam itu
Menyentuh rasa
Kudusnya menghiriskan
Hangat kelopak berguguran
Lazatnya mendengar tilawah
Biar berlamaan.

Tuhan
Inikah kurnia
Manisnya ibadat
Bagaimana pula
Bila dengan-Mu berdekat.

Tuhan
Limpahkan madu mesra itu
Ke dalam piala hati
Biar ku menghirupnya seumurku
Tanpa berbelah bahagi

(Puncak Rindu: 2)

Pada pemergian pertama Masjid Nabawi di dalam pembinaan dengan didiikan khemah-khemah tambahan, tetapi pada pemergian kedua, bangunan Masjid Nabawi sudah siap dari pembinaan, kelihatan begitu indah dan luas. Penulis merakamkan dalam puisi panjang tentang keindahan. Fragmen darinya:

Masjid Nabawi
Pertama mendepaninya
Kekaguman menyelinapi diri
Kekudusan meresapi hati
Dindingnya berasaskan seni bina Ka`bah
Bersusun batu batan berlapisan
Bersegi tepian
Membentuk bangunan bertampan
Tegak berbarisan
Bersatu rangkaian.

Menjenguk ke dalam
Ruangnya sesayup lejang pandangan
Berselang ribuan bulat tiang
Menjunjung tunduk lengkungan
Ala seni Masjid Umawi
Segalanya bermarmar
Dari lantai tiang dan dinding
Berhias  Arabis
Berkerawang dan bergeometrik
Dengan tiang berhias logam
Warna keemasan
Di atas bersutuh
Ala Arabis
Dengan kubah-kubah di bawah menara
Selang berselang ruang terbuka
Antaranya tiang-tiang berpayung
Digerak tenaga
Menutup membuka
Lindungan dari cahaya
Panas kesiangan
Ia didasari
Dari seni khemah Badui.

(Puncak Rindu: 3 – 4).

Baik semasa di Makkah atau semasa di Madinah program yang disediakan secara pakej ialah lawatan. Ziarah boleh juga dilakukan bersendirian secara kumpulan. Penulis mencatat antara tempat-tempat melawat (di Madinah dan Makkah) ialah tujuh tempat, iaitu Di Makam Rasulullah, Di Perkuburan Baqi`, Masjid Quba`,  Uhud, Di Bukit Arafah, Gua Hira` dan Hudaibiah. Kesemua tempat dilawat ini dicatat secara ringkas dalam sebuah puisi (hlm. 9 – 11). Catatan Penulis:

Menziarah Makam Rasulullah

Assalamualaikum ya Rasulullah
Aku seorang pengikutmu
Menyahut seruan
Datang menjunjung setia
Mengukuh keimanan
Syukurku mendapat hidayah
Di jalan lempang
Semoga aku seorang umatmu
Sama mendapat syafaat
Di hari kemudian.

Turut lawatan dibuat ke perkuburan Baqi` yang dilihat dari luar pagar:

Merata perkuburan
Tanpa perbezaan
Hingga tidak dikenali
Mana yang istimewa dan biasa
Dari kalangan mereka
Itulah hakikat Islam
Tidak membezakan
Kecuali takwa di sisi Tuhan.

Penulis juga mencatat ketika melawat Masjid Quba`

Harumnya wangi sejarah
Merentas zaman
Segalanya bermula dengan hijrah
Di sini terbina masjid pertama
Diasas Rasulullah
Diisyarat oleh al-Qur`an
Masjid didasarkan pada takwa
Menambat kasih Rasulullah
Mingguan datang berziarah.

Dalam sejarah Islam dua peperangan terkenal, iaitu Badar dan Uhud. Peperangan Uhud banyak memberi ujian dan pengajaran kepada umat Islam:

Bukit yang menyaksi
Peperangan di antara
Kebatilan dan kebenaran
Peristiwa mengingatkan
Jihad dan tujuan
Seharusnya mengatasi kepentingan.

Semasa di Makkah, selepas ke Madinah terlebih dahulu. Sebelum tiba masa menunaikan rukun haji ke Arafah, ziarah terlebih dahulu dibuat bagi memahami tempat dan kedudukannya:

Di Bukit Arafah

Di sini dikatakan
Adam yang terusir dari syurga
Oleh angkara Iblis
Menemui Hawa
Peristiwa mengingatkan turunan
Meneruskan kelangsungan hidup
Awasi dari kegelinciran.

Antara tempat bersejarah berhubung dengan sejarah Islam, ialah Gua Hira` tempat Rasulullah beribadat dan menerima wahyu pertama:

Gua Hira`

Gua yang menyaksi
Uzlah Junjungan
Membawa turunnya wahyu pertama
Dari Al-Qur`an
Ke arah menyebarkan Islam ke seluruh alam.

Antara peristiwa penting yang mencerminkan kebijaksanaan Rasulullah yang membawa kepada pembukaan Makkah ialah termeterainya Perjanjian Hudaibiah sebelumnya:

Pinggiran yang mencetus
Sebuah perjanjian
Diplomasi berpandangan jauh
Meluasnya Islam.

Aspek ziarah, walaupun bukan sebagai rukun atau wajib haji, tetapi meluaskan maklumat dan kefahaman tentang perjuangan Rasulullah dan sahabat-sahabat dan perkembangan Islam itu sendiri.

Sekian.

No comments:

Post a Comment