June 15, 2017

FUTUWWAH KINI WAJAH GENERASI MASA DEPAN


BBB, `19 Ramadhan 1438H. =  14 Jun 2017M. (Rabu):
Futuwwah dapat diertikan sebagai  `Kepemudaan` , mereka prehatin,  beri  perhatian,  cakna  dan bertanggungjawab. Tercermin di dalam aspek futuwwah ini adalah seorang yang berkeperibadian tinggi dan mulia. Dia tidak bersifat mementingkan diri, sedia dan rela memberi pertolongan kepada yang memerlukan dan penuh bertanggungjawab.
Membicarakan topik `Futuwwah` ini Al-Qushairy bertolak dari ayat Al-Qur`an ( berhubung dengan  pemuda yang berwatak ideal) bermaksud:
``Mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan  Tuhan mereka itu dan Kami tambahkan mereka dengan pertunjukan.`` (Al-Kahfi: 13).
Menurut  Al-Ustadz,  asal futuwwah bahawa seorang hamba itu sentiasa melaksanakan tugas untuk orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.  bermaksud:
``Sentiasalah Allah Ta`ala menunaikan hajat hamba, selama hamba itu menunaikan hajat hambanya yang muslim. (Riwayat Abu Hurairah, diterbitkan oleh Al-T*abarani).
Aku mendengar AL-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata,
``Di dalam makhluk ini tidak ada yang sesempurna Rasulullah s.a.w. kerana tiap-tiap seorang dari pimpinan berkata, nafsi !  nafsi ! Dan Dia s.a.w. berkata, uamtku ! Umatku!.``
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdil Rahman r.h.a. berkata, aku mendengar Muhammad bin Al-Husain berkata, aku mendengar Aba Ja`far al-Farghani berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,
``Al-Futuwwah berada di Sham dan Lisan berada di `Iraq dan Kebenaran di Khurasan.``. Ia adalah gambaran masyarakat pada  zamannya.
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar `Abdullah bin Muhammad al-Razi berkata, aku mendengar Muhammad bin Nus*air bin Mans*ur al-S*a`igh berkata, aku mendengar Ibn Mardawayh al-S*a`igh berkata, aku mendengar Al-Fadhl berkata,
``Al-Futuwwah ialah memaaf daripada kesalahan kawan-kawan, dan dikatakan,
``Al-Futuwwah, engkau tidak melihat diri engkau mempunyai kelebihan  berbanding dengan orang lain.``
Dan berkata Abu Bakar al-Warraq, ``Al-Futuwwah, siapa yang tidak ada musuh baginya.``
Dan berkata Muhammad bin `Ali  al-Tirmidzi, ``Al-Futuwwah engkau mengawal diri engkau kerana Tuhan engkau.``
Dan dikatakan, ``Al-Futuwwah, orang yang tidak bermusuh dengan sebarang orang.``
Aku mendengar  Al-Ustadz  Aba `Ali al-Daqqaq berkata,  aku mendengar Al-Nas*r Abadzi berkata,  ``Dinamakan As*hab al-Kahfi `Fityatun` kerana mereka itu beriman dengan Allah Ta`ala. Tanpa wasit*ah.``
Disoal Al-Junayd tentang al-futuwwah, maka katanya, ``Jangan engkau mengabaikan terhadap orang faqir dan jangan engkau menghalang tujuan baik orang muda.``
Berkata Al-Junayd, ``Al-Futuwwah, ialah menahan  perkara yang menyakitkan terhadap seseorang dan berusaha mencegah dari berlaku terhadapnya.``
Berkata Sahl bin `Abdullah, ``Al-Futuwwah ialah mengikut Sunnah.``
Dapat difahami dari berbagai pendapat di atas, bahawa `Al-Futuwwah` nenpunyai kaitan antara pemuda dan sifat-sifat yang baik seperti beriman, berilmu dan tidak mementing dan menonjol diri. Berusaha memberi kesenangan  dan kemudahan kepada orang lain. Mereka ialah orang-orang muda yang insaf dan berkorban  bagi kebaikan masyarakat dan orang ramai.``
Dapat difahamkan mengapa tema yang berhubung dengan orang muda yang menjadi contoh ini ditampil, bahawa   bagi sesuatu masyarakat ada generasi-generasi yang terus bergerak dan berkembang. Dalam perkembangan generasi ini  dari masa ke masa perlu ada generasi pelapis yang bakal mengganti generasi yang bakal pergi. Generasi yang paling penting bagi menggantiakn generasi-generasi yang bakal pergi ialah generasi muda. Generasi ini perlu direncana dan dididik sebagai pelapis terbaik. Keperluan utama generasi ini hendaklah terdidik dengan ilmu pengetahuan, menjadi mereka yang beriman, mempunyai akhlak yang tinggi. Sedar terhadap kepentingan umum, tidak mementingkan diri, tetapi lebih mementingkan masyarakat yang mereka menjadi pelapisnya.
Masyarakat  yang tidak mendidik generasi  muda sebaik mungkin, masyarakat yang tidak mempunyai wawasan bagi masa depan masyarakat dan tidak prehatin terhadap masa depan masyarakat. Lebih malang, jika tidak ada usaha  mendidik kalangan muda sebagai pelapis masa depan. Sekiranya masyarakat mengabaikan generasi  muda, bererti mereka mengabaikan masa depan masyarakat dan tidak mempunyai arah. Kesedaran terhadap masyarakat tidak akan timbul dengan sendiri  dan kebetulan. Bagi masyarakat perlu ada plan strategik bagi masa depan masyarakat dan menjadi panduan. Kalau tidak ada plan dan tindakan, maka masa depan masyarakat tidak terarah dan berfokus.
Paling penting mereka perlu menjadi masyarakat berilmu, beriman dan berjiwa luhur yang dengan secara sedar bekerja bagi kebaikan dan kepentingan masyarakat dan umat. Adalah dikatakan, untuk mengetahui wajah dan masa depan bagi sesuatu masyarakat, lihatlah pada generasi muda kini. Jika mereka adalah berilmu, berakhlak dan dinamik, maka pertanda masyarakat masa depan berada di atas landasan yang betul, tetapi jika sebaliknya, maka masa depan mereka lebih muram dan terkebelakang dari masyarakat yang lain.

Sekian.

June 14, 2017

DZIKIR ILAHI SECARA JAGA DAN INTUISI


BBB, 18 Ramadhan 1438H. = 13 Jun 2017 (Selasa):
Dzikir  dapat diertikan sebagai, sebutan, ingatan dan ulangan yang menandakan yang disebutkan itu sesuatu yang dekat, mesra dan didamba. Ingatan atau sebutan yang diulang-ulang ini ialah kerana kesedaran bahawa kewujudan diri mempunyai kaitan yang rapat dengan yang diingati. Ingatan dan sebutan juga disebabkan memahami sifat Rahman dan RahimNya  terhadap hamba dan diri dan banyak apa yang  dinikmati adalah rahmat dariNya, sebab itu Dianya sewajar dimesrai, dikasihi dan dicintai, lantas  sebutan dan dzikir terhadapNya keluar lancar tanpa dibuat-buat bahkan luahan dalaman yang mengalir keluar bagai larian air dari hulunya  menuju ke kualanya. Dzikir terhadap Ilahi seharusnya timbul dari kefahaman, kesetiaan dan ketaatan yang tidak dibuat-buat bahkan ianya meluncur berlalu dengan penuh mesra.
Dzikir kepada Allah ini adalah manifestasi ketaatan, kemesraan dan kecintaan terhadap Allah. Membicarakan tentang dzikir ini Al-Qushairy memetik ayat Al-Qur`an yang berkaiatan dengannya yang bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman, berdzikirlah kepada Allah dengan dzikir yang banyak.`` (Al-Ahzab: 41).
Dari segi yang lain, dzikir dan ingatan lantaran  gerun dan patuh terhadap keagungan dan kekuasaan Allah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Iaitu mereka yang apabila disebut nama Allah, maka gerun gementarlah hati mereka itu.`` (Al-Hajj: 35).
Dari segi Hadith Al-Qushairy membawa sanad dan Hadith bermaksud.
Mengkhabarkan kami Abu al-Husain bin Muhammad bin `Abdullah bin Bashran di Baghdad, berkata, mengkhabarkan kami Abu `Ali al-Husain bin S*afwan al-Barda`i berkata, bercakap kepada kami Abu Bakar `Abdullah bin Muhammad bin Abi al-Dunya berkata, bercakap kepada kami Harun bin Ma`ruf berkata, bercakap kepada kami Anas bin `Iyadh berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Sa`id bin Abi Hind daripada Ziyad bin Abi Ziyad daripada Abi Bahriyyah daripada  Abi al-Darda`berkata,
Bersabda Rasulullah s.a.w. ``Adakah tidak mau aku memberitahu kamu dengan baiknya amal kamu dan lebih bersih di sisi pemilikan kamu dan lebih tinggi dari harapan kamu dan lebih dari pemberian emas dan perak dan kamu berdepan dengan seteru kamu maka kamu memenggal tengkuk-tengkuk mereka dan mereka memenggal tengkuk-tengkuk kamu. Mereka berkata, apakah itu ya Rasulallah, maka bersabda Baginda, ``Berdzikir kepada Allah Ta`ala.``
Mengkhabarkan kami Abu Nu`aim `Abdul Malik bin al-Hasan berkata, bercakap kepada kami Ya`kub bin Ishaq bin Ibrahim berkata, bercakap kepada kami Al-Diri daripada `Abdul Razak daripada  Mu`ammar daripada al-Zuhri daripada Thabit daripada Anas berkata, bersabda Rasulullah s.a.w.
``Tidak akan berlaku kiamat di atas seorang yang berkata Allah, Allah.`` (Dikeluarkan oleh Muslim daripada Anas bin Malik).
Berkata Al-Ustadz, Dzikir adalah rukun yang kuat pada jalan kebenaran Subhanahu wa Ta`ala, bahkan dia adalah tiang pada jalan ini. Dan tidak sampai seseorang kepada Allah Ta`ala, melainkan dengan berterusan dzikir. Dan dzikir ada dua minuman. Dzkir lisan dan dzikir hati. Maka dengan dzikir lisan menyampaikan hamba kepada berterusan dzikir hati dan kesan bagi dzikir hati. Apabila seorang hamba dalam keadaan dzikir lisan dan hatinya, maka dialah  kamil pada sifat dan hal suluknya.
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdul Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar `Abdullah bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba Muhammad al-Baladzawi berkata, aku mendengar `Abdul Rahman bin Bakar berkata, aku mendengar  Dzu al-Nun al-Mis*ri berkata,
``Siapa yang berdzikir kepada Allah Ta`ala dengan dzikir tertinggi hakikat, maka dia lupa dari keadaan di sampingnya dan Allah menjaganya tentang segala sesuatu dan baginya gantian bagi segala sesuatu.``
Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Hasan `Ali bin Bashran di Baghdad, berkata, bercakap kepada kami Abu `Ali bin S*afwan di Baghdad, berkata, bercakap kepada kami Al-Husain bin Abi al-Dunya, berkata, bercakap kepada kami Al-Haitam bin al-Kharijah, berkata, bercakap kepada kami Isma`il bin `Iyash daripada `Umar bin `Abdullah bahawa Khalid bin `Abdullah bin S*afwan mengkhabarkannya daripada Jabir bin `Abdullah berkata, keluar kepada kami Rasulullah s.a.w., maka Baginda bersabda (bermaksud):
``Wahai manusia, Bermesralah di dalam kebun-kebun syurga. Maka kata kami , ``Ya Rasulallah, Apakah kebun syurga itu ?, Maka bersabda Baginda, ``Majlis-majlis dzikir.
Baginda bersabda, ``Berjalanlah pada pagi dan petang dengan berdzikir. Siapa yang mau tahu kedudukannya di sisi Allah s.n.w. hendaklah dia melihat pada darjat mana kedudukannya di sisi Allah s.n.w. pada dirinya. Darjat yang diberi Allah Ta`ala kepada hambanya sesuai  dengan darjat di mana hamba mendudukkan  dalam dirinya.`` (Riwayat Abu Hurairah – Hadith Al-Tirmidzi).
Dan aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Ahmad al-Qurra` berkata, aku mendengar Al-Shibli berkata, ``Tidakkah Allah Ta`ala berkata, ``Aku duduk bersama dengan siapa yang mendzikiriKu. Apa lagi yang engkau dapat faedah lebih daripada duduk tentang Haqq  Subhanahu wa Ta`ala ?.
Dan katanya, aku mendengar `Abdullah bin Musa al-Sulami berkata, aku mendengar Al-Shibli bernasyid di dalam majlisnya:
Aku mendzikirkan Engkau, tidak kulupakan walau sekejip mata
Lebih mudah apa yang didzikir , ialah dengan lisan jua
Aku tanpa wajdan boleh mati oleh  kekeringan rasa
Meliputi kalbu ku  oleh gerak ingatan padanya
Apabila Dia memperlihatkan hadirNya secara wajdan
Memperingatkan daku kehadirannya pada setiap ruang
Aku berucap tentang kewujudan  tanpa  kalam
Aku melihat tentang kehadiran tanpa kelihatan !

Demikian sebahagian ungkapan tentang kepentingan  dzikir  dan pengungkapan secara sedar, intuitif dan wajdan.

Sekian.

June 13, 2017

MALU TANDA IMAN


BBB, 17 Ramadhan 1438H. = 12 Jun 2017M. (Isnin):
Malu adalah sifat diri yang tidak suka dan selesa melakukan sesuatu yang dianggap tidak `bermoral`. Ini menandakan ada di dalam diri suatu benteng yang mencegah diri daripada melakukan perkara yang tidak sopan, bererti ada batas maruah dijaga diri yang antaranya disempadankan oleh rasa malu. Dari segi ini ia adalah nilai yang baik yang perlu dijaga di dalam diri.
Tentang malu ini Al-Qushairy mengambil firman Allah yang bermaksud:
``Apakah dia tidak tahu, bahawa Allah melihat segala perbuatannya ?`` (Al-`Alaq: 14).
Berhubung dengan Hadith Nabi s.a.w. Al-Qushairy memperturunkan sanad:
Mengkhabarkan kami Abu Bakar Muhammad bin Ahmad bin `Abdus al-Hiri al-Muzakki berkata, mengkhabarkan kami Abu Sahl Ahmad bin Muhammad bin Ziyad al-Qas*wi di Baghdad berkata, bercakap kepada kami Ibrahim bin Muhammad bin  al-Haitham berkata, bercakap kepada kami Musa bin Hayyan berkata, bercakap kepada kami al-Maqdisi dari `Ubaidillah bin `Umar, daripada Nafi`, daripada Ibn `Umar berkata, bersabda Rasulullah s.a.w.
``Al-Haya`u min al-iman` bermaksud, ``Malu adalah dari bukti keimanan.``
Mengkhabarkan kami Abu Sa`id Muhammad bin Ibrahim al-Isma`ili berkata, bercakap kepada kami Abu `Uthman `Amru Ibn `Abdillah al-Bas*ri berkata, bercakap kepada kami Abu Ahmad Muhammad bin `Abdul Wahhab berkata, bercakap kepada kami Ya`la bin `Ubaid berkata bercakap kepada kami Abban bin Ishaq daripada al-Sibah bin Muhammad daripada Murrah al-Hamadani daripada Ibn Mas`ud, bahawa Nabi Allah s.a.w. bersabda pada satu hari kepada sahabat-sahabatnya,
``Malulah kamu daripada Allah sebenar-benar malu.`` Maka berkata mereka itu,
``Sesungguhnya kami malu, wahai Nabi Allah dan al-hamdulillah.``
Baginda bersabda, ``Tidak sedemikian, akan tetapi siapa malu daripada Allah dengan malu sebenarnya, hendaklah dia menjaga fikiran dan bisikan hati, dan hendaklah dia menjaga perut dan apa yang dimakannya dan hendaklah dia ingat akan mati dan fitnah kubur. Siapa yang maukan akhirat dia meninggalkan  hiasan dunia. Siapa yang melakukan sedemikian, maka dia malu daripada Allah sebenar-benar malu.`` (Hadith riwayat Al-Tirmidzi dan al-Hakim).
Di dalam Al-Hadith al-Arba`in al-Nawawiyyah:
Daripada Ibn Mas`ud `Uqbah bin `Amrin al-Ans*ari al-Badri r.a. berkata,
Bersabda Rasulullah s.a.w bermaksud: ``Bahawasanya setengah  yang didapati manusia dari perkataan nabi yang dahulu ialah, ``Apabila  engkau tidak malu, maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.`` (Hadith, Riwayat al-Bukhari).
Aku mendengar  Al-Shaykh Aba `Abdil Rahman al-Sulami berkata, mengkhabarkan kami  Abu Nas*r al-Waziri, berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin `Abdullah bin Muhammad berkata, bercakap kepada kami Al-Fulabi berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Mukhallad daripada bapanya berkata, ``Berkata setengah hukama`,
``Hidupkan rasa malu dengan duduk bersama orang bersifat pemalu.``
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Ibn `At*a` berkata, ``Ilmu yang besar ialah haibat dan malu, apabila hilang haibat dan malu tidak kekal padanya kebaikan.``
Berkata  Dzu al-Nun  Al-Misri, ``Cinta bercakap, manakala malu diam dan takut berdebar.``
Dan berkata Abu `Uthman, ``Siapa bercakap tentang malu, dan dia tidak malu daripada Allah `Azza wa Jalla tentang apa yang dia bercakap, sesungguhnya dia istidraj.``
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba al-`Abbas al-Baghdadi berkata, aku mendengar Ahmad bin Salih berkata, aku mendengar Ahmad bin `Abdun berkata, aku mendengar Aba  al-`Abbas al-Mu`addab berkata, berkata Sari:
``Bahawa malu dan al-uns berada di tepi hati dan wujdan padanya zuhud dan wara`.
Sesungguhnya malu adalah nilai yang ditanam di dalam hati – sebagai malu bersama dengan nilai-nilai akhlak yang lain berasaskan prinsip-prinsip akhlak Islamiah . Dengannya terbina jati diri sebagai orang yang berakhlak dan malu adalah benteng nilai dalaman yang mengawal dan menilai sesuatu yang mau dilakukan, jika sesuatu perbuatan itu dianggap tidak wajar dlakukan kerana bercanggah dengan nilai, maka malu menjadi bentengnya . Sesuatu yang tidak wajar dan malu, maka ditolak oleh malu bagi mempertahankan identiti diri. Malu seharusnya bersebab (menjaga nilai) di sana ada malu yang dinamakan `Tidak bertempat dan bersebab` sehingga tertahan dari melakukan kebaikan, maka malu sedemikian yang mengganggu  tugas seseorang seharusnya tidak berlaku.
Malu biar bertempat dan bersebab dan bernilai dan tidak sebaliknya, ianya membawa nilai negatif dan menghambat nilai  kehidupan yang wajar.

Sekian.

June 12, 2017

BENAR PAKSI KEILMUAN


BBB,  16 Ramadhan 1438H. = 11 Jun 2017M. (Ahad):
Bab seterusnya yang dibicarakan oleh Al-Qushairy di dalam Al-Risalat al-Qushairiyyah dari segi konsep tasawuf ialah `Benar`  (Al-S*idq).
Menyebut benar, bahawa dari segi akidah, dia adalah salah satu sifat yang wajib bagi Rasul s.a.w. Konsep benar ini juga menjadi  asas ilmu. Benar adalah sesuatu yang betul dan tidak salah dari segi hakikat dari segi zahir dan batin. Benar adalah sesuatu yang boleh diyakini dan dipercayai. Benar adalah mengukuhkan ilmu.
Di dalam membicarakan tentang benar ini Al-Qushairi bertolak dari ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman, takutlah kamu kepada Allah dan jadikanlah kamu bersama dengan orang-orang yang benar.`` (Al-Taubah: 119).
Dari segi hujah Hadith:
Mengkhabarkan kami Al-Imam Abu Bakar Muhammad bin Furik r.h.a. berkata, mengkhabarkan kami `Abdullah bin Ja`far bin Ahmad al-As*bahani berkata, bercakap kepada kami Abu Bishr Yunus Ibn Habib berkata, bercakap kepada kami Abu Da`wud al-T*ayalisi berkata, bercakap kepada kami Shu`bah daripada Mansur daripada Abi Wa`il  daripada `Abdullah bin Mas`ud daripada Nabi s.a.w. bahawasanya Baginda bersabda (bermaksud):
``Sentiasalah hamba itu bercakap benar, dan berteguh akan kebenaran sehingga dia ditulis di sisi Allah Ta`ala sebagai orang yang benar. Dan sentiasalah yang berdusta dan mengukuh dengan kedustaan, sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang dusta.`` (Riwayat Abu Da`wud dan Al-Tirmidzi).
Dan berkata Al-Ustadz, ``Kebenaran adalah tiang perkara, dengannya  menyempurnakan dan berperaturan dan dia mengiringi darjat kenabian sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Maka  mereka itu bersama orang-orang yang diberi ni`mat oleh Allah ke atas mereka itu daripada para nabi dan s*iddiqin. `` (Al-Nisa`: 69).
Menurut Al-Qushairy, benar adalah nama yang lazim daripada kebenaran. Dan orang yang benar (al-siddiq) nama mubalaghah (melebih-lebih)  bermaksud banyaknya benar. Benar melibatkan pada segala perkataannya, perbuatannya dan segala halnya.
Dan berkata Ahmad bin Khadhrawaih, siapa yang mau Allah Subhanahu wa Ta`ala bersamanya, maka hendaklah dia melazimkan benar. Lantaran sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang benar.
Dan dikatakan, benar ialah kata yang haqq, walaupun berada pada tempat yang membahayakan.
Aku mendengar Ahmad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba al-`Abbas al-Baghdadi berkata, aku mendengar  Ja`far bin Nusair berkata, aku mendengar Al-Jariri berkata, aku mendengar Sahl bin `Abdullah berkata,
``Tidak mencium bau kebenaran pada hamba yang melebih-lebih dari kebenaran dan  meyelewengkan.``
Dan berkata Abu Sa`id al-Qurashiyy, ``Orang yang benar bersedia menghadapi maut dan tidak malu dari sirrnya atau kashaf tentangnya. Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Maka bercita-citalah untuk kematian, jika sekiranya kamu orang-orang yang benar.`` (Al-Baqarah: 94).
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Mansur Ibn `Abdillah berkata, aku mendengar Ja`far ibn al-Khawass berkata, aku mendengar Ibrahim al-Khawass berkata,
``Orang yang benar tidak melihat melainkan kepada kefardhuan yang patut ditunaikannya, atau kelebihan amalan kepada Tuhannya.
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar Aba al-Husain bin Muqassam berkata,, aku mendengar Ja`far al-Khawass berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,,
``Haqiqat benar bahawa adalah pada perkara-perkara yang diperkatakan yang tidak memberikan engkau sebarang kepentingan. Benar adalah bercanggah dengan dusta.
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata, ``Benar ialah sebagaimana engkau lihat tentang kebenarannya.``
Berkata Al-Harith al-Muhasibi, ``Benar adalah   seperti hakikat sesuatu yang benar dan tidak mampu dipengaruhi yang lain bagi mengubah kebenaran berkenaan.
Benar adalah inti dan tempat bertolak segala persoalan dan ialah tapak keyakinan. Jika tempat bertolak adalah dusta, maka dari awal lagi tidak dapat diterima dan tertolak.
Benar ialah fakta bagi ilmu. Apa yang dicari dan dipelajari ialah benar. Jika sesuatu yang dipelajari itu tidak benar, maka dia adalah bukan ilmu.
Benar  adalah realiti yang dapat disaksi, tetapi benar juga melibatkan perkara yang bukan benda – ghaib dan terbukti dengan bukti dan dalil yang membenarkannya. Benar juga melibatkan perkara konsepsi yang dapat dibuktikan misalnya dengan logik akli.
Kebenaran adalah yang dicari manusia. Berasaskan kebenaran mereka membina ilmu dan kebenaran berasaskan ilmu ini dikembangkan yang tegaknya nilai tamadun dan peradaban.
Benar adalah cahaya yang terang yang menyuluh perjalanan.

Sekian.

June 11, 2017

TENTANG IKHLAS : BEGITU HALUS MAKNANYA


BBB,  15 Ramadhan 1438H. =  10 Jun 2017 (Sabtu):
Ikhlas ialah perkataan yang berasal dari akar kata `khalasa` yang bererti bersih dan tidak bercampur dengan unsur yang lain. Dari segi istilah  ialah merujuk hal hati yang murni dan tidak bercampur dengan tujuan yang lain. Misalnya ikhlas dari segi ibadat kepada Allah, tidak bertujuan menunjuk-nunjuk. Ikhlas di dalam memberi pertolongan, misalnya bersadaqah membantu faqir miskin tidak mengharapkan pujian dan balasan. Ikhlas adalah sifat hati yang murni dan bersifat dalaman yang mudah disebut, tetapi tidak mudah mencapai hakikat ikhlas yang sebenarnya. Ianya mencerminkan ketinggian peribadi dan sifat yang amat terpuji.
Di dalam membicarakan tentang ikhlas Al-Qushairy membawa ayat Al-Qur`an dengan firman Allah : ``Ala li Allahi  al-Dinu al-khalis`` (Al-Zumar: 3).
Bermaksud: ``Ingatlah bagi Allah agama yang bersih (dari syirik) – (Al-Zumar: 3).
Dan ayat  yang lain Al-Qur`an bermaksud:
``Dan mereka tidak disuruh melainkan menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya.`` (Al-Bayyinah: 5).
Dari segi Hadith pula:
``Mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad al-Ahwazi berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid al-Basri berkata, bercakapkan kami Ja`far bin Muhmmad al-Qurbani berkata, bercakap kepada kami Abu T*alut berkata, bercakap kepada kami Hani` bin `Abdil Rahman bin Abi  `Aylah al-`Uqaili daripada Ibrahim bin Abi `Aylah, berkata bercakap kepada kami `It*iyyah bin Rashah daripada Anas bin Malik berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Tiga yang tidak masuk ke dalam hati seorang muslim, ikhlas `amal kepada Allah Ta`ala, memberi nasihat yang tulus kepada penguasa dan melazimi jama``ah orang Islam.`` (Dikeluarkan Ahmad daripada Abi Bakrah).
Berkata Al-Ustadz:  Ikhlas ialah menunggalkan haqq Allah Subhanahu wa Ta`ala dari segi ketaatan dengan secara qasad. Dan dikehendaki taat ialah bagi mendekati Allah subhanahu wa Ta`ala tanpa yang lain darinya. Siapa yang pura-pura atau mencari pujian daripada manusia atau kasih puji dari makhluk atau apa jua maksud selain dari taqarrub kepada Allah Ta`ala.
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdul Rahman al-Sulami berkata, ``Sesungguhnya aku telah menyoal daripada ikhlas, apakah dia ? Maka katanya, ``Aku mendengar `Ali  Bin Abi Sa`id dan Ahmad bin Muhammad bin Zakariyya dan aku menyoal keduanya tentang ikhlas,, maka keduanya berkata, ``Kami telah mendengar `Ali bin Ibrahim al-Shaqiqi, sesungguhnya kami berdua telah bertanya tentang ikhlas, maka katanya kami mendengar  Muhammad bin Ja`far al-Khasafi, dan aku bertanya tentang ikhlas, maka katanya, aku telah menyoal Ahmad bin Bashshar tentang ikhlas, apa dia ? Katanya aku bertanya Aba Ya`kub al-Sharit*i daripada ikhlas, apa dia, katanya, katanya aku bertanya Ahmads bin Ghassan tentang ikhlas, apa dia. Katanya aku bertanya kepada `Abdul Wahid bin Zaid tentang ikhlas, apa dia, maka katanya, aku bertanya al-Hasan tentang ikhlas, tentang apa dia, katanya aku bertanya kepada Al-Hudzaifah tentang ikhlas, apa dia, maka katanya , ``Aku bertanya Nabi s.a.w. tentang ikhlas, apa dia, maka Sabda Baginda, ``Aku bertanya Jibril a.s. tentang ikhlas, apa dia ? Katanya, aku bertanya Rabb al-`Izzah tentang ikhlas, apa dia. FirmanNya, Dia adalah rahsia dari rahsiaKu yang aku simpan di dalam hati siapa yang aku kasihnya daripada hambaku`. (Dikeluarkan oleh Al-Qazwini daripada al-Hudzaifah).
(Catatan, sanad yang agak berlainan dari sanad dan riwayat biasa).
Aku mendengar Al-Ustadz Aba  `Ali al-Daqqaq berkata,
Ikhlas ialah menjaga diri dari campur tangan makhluk dan benar ialah menjaga diri dari nafsu. Dengan mengawal diri dari nafsu riya` dan yang bersifat benar tidak bersifat `ujub.``.
Berkata Dzu al-Nun al-Mis*ri, ``Ikhlas tidak sempurna melainkan dengan klebenaran padanya dan sabar padanya. Dan benar juga tidak sempurna, melainkan dengan ikhlas padanya secara berterusan.
Dan berkata Abu Ya`qub al-Susi, ``Apabila engkau saksikan ikhlas pada keikhlasan mereka, maka ikhlas sebenarnya tidak bertujuan melainkan ialah ikhlas.
Berkata Dzu al-Nun al-Misri, tiga alamat ikhlas:
Yang ikhlas tidak berpihak kepada puji dan keji.
Lupa dari melihat amal dan menilainya (ikhlas atau sebaliknya)
Lupa dari melihatnya dari segi balasan amal di akhirat.
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdul Rahman al-Sulami berkata, dia mendengar Aba `Uthman al-Maghribi berkata, ``Ikhlas ada tahap:
Tahap awam, sesuatu yang tidak ada kepentingan diri.
Tahap khas; Ikhlas memancarkan ketaatan yang tidak dipersoalkan  dari ganjaran.
Tahap khusus – Tidak melihat pada perbuatannya, tapi adalah penyerahan.
Dan berkata  Abu Bakar al-Daqqaq, kekurangan dari segi ikhlas, apabila seorang itu menilai tentang keikhlasan dirinya.
Apabila Allah  Ta`ala, mau keikhlasan hamba, dia tidak melihat tentang keikhlasan diri.
Demikian betapa halusnya maksud ikhlas. Apa yang dilakukan kerana Allah dan keikhlasannya bukan dikerana oleh sebarang kerana.
Keikhlasan adalah dari kesucian rohani. Allah jua yang mengetahui sejauh mana ikhlasnya seseorang atau sebaliknya..

Sekian.

June 10, 2017

AL-ISTIQAMAH - FAHAM DENGAN BIDANG DAN MESRA DENGAN KETERLIBATAN


BBB,  14 Ramadhan 1438H. =  09 Jun 2017 (Juma`at):
Istiqamah berasal dari perkatan `qama` yang bermaksud berdiri – secara betul. Istiqamah bermaksud menuntut pendirian dengan betul. Ianya dirujuk kepada amalan, pegangan, bahkan perjuangan yang tetap dan konsisten, tidak berubah dari prinsip perjuangan asal dan tidak melakukan penyelewengan.
Bagfi bab `Istiqamah` ini Al-Qushairy mengambil firman Allah yang mengandungi maksud `Al-Istiqamah`.  Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya  mereka yang berkata, Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka beristiqamah, nescaya turun ke atas mereka malaikat, bahawa mereka tidak takut dan tidak dukacita, Berilah kepada mereka khabar gembira dengan syurga yang kamu dijanjikan  dengannya (Fussilat:  30).
Dan dari segi Hadith, mengkhabarkan kami Al-Imam Abu Bakar Muhammad bin al-Husain Ibn Furik r. h.a. berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Ja`far bin Ahmad al-As*bahani berkata, mengkhabarkan kami Abu Bashar Yunus bin Habib berkata,, bercakap kepada kami Abu Da`wud al-T*ayalisi berkata, bercakap kepada kami Shu`bah dari al-A`mash daripada Salim daripada Abi  al-Ja`d daripada Thauban maula bagi Nabi  s.a.w. bersabda bermaksud:
``Beristiqamahlah kamu semampu kamu (walaupun tidak sepenuhnya), ketahuilah bahawa sebaik-baik agama kamu ialah solat dan tidak menjaga wudhu` melainkan mu`min.``.(Hadith riwayat Ahmad,, Ibnu Majah, Hakim dan Baihaqi).
Berkata Al-Ustadz, Al-Istiqamah ialah darajah yang menyempurnakan pekerjaan, dan tamamnya dengan  terhasilnya kebaikan dan peraturan, siapa yang tidak istiqamah hilang usahanya dan sia-sia..
Berhubung dengan perkara ini Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman bermaksud:
``Dan janganlah kamu menjadi sebagai seorang wanita yang menguruskan benang secara kuat kemudian menjadi cerai berai kembali.`` (Al-Nahl: 92).
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata, Istiqamah ada tiga tahap: bermula dengan penegakan (taqwim) diikuti dengan pendirian (al-iqamah) dan Al-Istiqamah.
Peringkat taqwim ialah peringkat menta`dib diri  dan Al-Iqamah ialah dari sekira-kira menta`dibkan hati dan Istiqamah ialah mendekati perkara asrar.
Berkata Ibn `At*a` - Istaqamah bermaksud, penumpuan hati hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Dan berkata Abu `Ali al-Jurjani, ``Jadikanlah kamu sahabat yang beristiqamah dan jangan tuntut al-karamah, kerana dengan tuntutan  sebagai  kurang adab terhadap Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Aku mendengar Al-Ustadz Al-Imam  Aba Bakr Muhammad bin al-Husain Ibn Furik berkata, ``Beristiqamah ialah perjalanan  engkau di dalam kebenaran menegakkan tauhid.``
Dan kata Al-Ustadz, Al-Istiqamah mebawa kepada karamah, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan jika mereka beristiqamah di atas jalan lurus, necaya kami memberi minum mereka dengan air yang melimpah.`` (Al-Jinn: 16).
Pentingnya istiqamah. Ianya dapat dilihat di dalam bidang keilmuan, kerjaya dan kehidupan kemasyarakatan.
Untuk sampai dan berada di dalam istiqamah, seorang perlu memahami misalnya bidang keilmuan yang dipelajari.  Dengan kefahaman dan keilmuan berkenaan dia dapat istiqamah dengan bidang diceburi. Contoh paling dekat ialah bagi murid di dalam bidang kerohanian. Sebelum memasukinya dia perlu memahami nature keilmuan berkenaan dan komitmen diri dengan keilmuan yang dipelajari, sehingga dia tiba pada peringkat yang menjadikannya mesra dengan bidang yang diceburi dan dengan kemesraan atau kemanisan yang dicapai dia istiqamah di dalam bidang yang dipilih.
Istiqamah juga dapat dilihat  dari segi kerjaya yang dipilih. Katakan memilih profesyen perguruan di dalam bidang keagamaan.
Untuk dirinya istiqamah sebenarnya dari awal sebelum memilih kerjaya di dalam bidang perguruan, seorang itu mempunyai kelayakan dan memahami kerjaya yang mau dilibatkan. Ianya bukan saja sekadar menjadi guru, tetapi mempunyai visi dan misi yang menjadikannya istiqamah. Dia mempunyai visi dan misi bagi dirinya untuk mempelajari keilmuan agama yang dilibat dan berusaha mempelajari kepada peringkat tertinggi yang mungkin dan dengan keilmuan yang dicapai dia mempunyai komitmen dengan keilmuan yang dipelajari dan melihat masyarakat sebagai wadah baginya bagi memperluaskan keilmuan yang diceburi dan memperkembangkannya. Tugasnya dirasa bukan saja mencabar, tetapi ujian kemampuannya yang dengannya dia bekerja secara mesra dan beristiqamah di dalam kerjaya yang diceburi.
Adapun  mereka yang berminat dengan kerja-kerja kebajikan dan khidmat kemasyarakatan, kerana melihat kerja-kerja sosial dan kebajikan suatu bidang bagi membuat kebajikan dan menolong mereka yang bermasalah. Dalam kata lain dia juga satu cara bagi menegakkan  kebenaran dan kebajikan kepada masyarakat. Dengan mengenali bidang  kemasyarakatan dengan baik menolong bagi seseorang melakukan tugas dengan baik dan dia istiqamah dengan kerja-kerja kebajikan yang biasanya disanjung, terutama oleh mereka yang terbela nasib mereka.
Istiqamah di dalam sebarang bidang adalah penting, sebelum daripada perlu memahami bidang berkenaan. Dengan demikian dapat dimengerti bidang dan dapat istiqamah bidang yang dilibatkan.
Istiqamah penting di dalam bidang-bidang yang diceburkan, syaratnya perlu kefahaman mendalam terhadap bidang yang diceburi yang menjadikannya mesra dilibati.

Sekian.

June 9, 2017

AL- IRADAH - KEPERLUAN DALAM PEMBELAJARAN


BBB, 13 Ramadhan 1438H. = 08 Jun 2017M. (Khamis):
Bab seterusnya  dibicarakan oleh Al-Qushairy ialah `Al-Iradah` yang kita terjemahkan sebagai `Kemahuan`. Menyebut al-iradah mengingatkan kita kepada salah satu sifat yang wajib bagi Allah Ta`ala  ialah al-iradah yang termasuk di bawah kelompok sifat ma`ani.
Di dalam membicarakan tentang al-iradah ini Al-Qushairy memetik firman Allah yang bermaksud:
``Dan janganlah kamu mengusir mereka yang mendoakan  Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, sedang mereka menghendaki wajahNya.`` (Al-An`am: 52).
Dari segi Hadith, mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad bin `Abdan berkata,, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid, berkata, mengkhabarkan kami Hisham bin `Ali berkata, bercakap kepada kami Al-Hakam bin Aslam berkata, mengkhabarkan kami Isma`il bin Ja`far  daripada Hamid dari Anas, bahawa Nabi s.a. w. bersabda bermaksud:
``Apabila Allah menghendaki bagi seorang hamba kebaikan, maka digunakannya. Maka dikatakan kepada Baginda, ``Bagaimana menggunakannya wahai Rasulullah. Bersabda Baginda, ``Ditaufiqkannya dengan amalan salih sebelum mati.``
Dan iradah dikaitkan dengan jalan salikin, iaitu apa yang  bagi awal manzilah bagi mereka yang qasidin kepada Allah Ta`ala. Adapun dinamakan dengan sifat iradah ini, kerana iradah seawal dan muqaddimah segala perkara. Siapa yang tidak berkemahuan oleh hamba atau melakukannya, maka tatkala inilah awal perkara bagi siapa yang mencari jalan kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, maka dinamakan iradah sebagai tashbih dengan qasab sebagai perkara yang mula sebagai yang memulakan iradah. Siapa yang kosong dari kemahuan, maka kosong dari harapan.``
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata secara intuitif,  bahawa,
``Iradah  ialah pesona  di dalam hati, rindu dalam hati kecil, kegoncangan dari segi batin sebagai percikaan nyalaan dari hati.``
Aku  mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Muhammad bin `Abdullah berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Shubbak berkata, aku mendengar Yusuf bin al-Husain berkata,, adalah antara bapaku Sulaiman dan Ahmad bin Abi al-Hawari `aqad yang tidak menyalahi seseorang tidak menyalahi apa yang dijanjikan sebagai tanda amanah dan tidak menyalahi kehendak awal.
Al-Iradah dinisbahkan kepada ilmu ialah kaitan antara murid, iradah dan murad.
Murid ialah seorang belajar. Untuk belajar dia hendaklah mempunyai kemahuan yang tinggi untuk belajar, tujuan ialah tidak lain daripada  untuk mengatasi kejahilan. Apa yang mau dipelajari oleh murid, ialah `murad` iaitu bahan yang dipelajari dengan guru. Murid hendaklah mempunyai persediaan mental dan rohani di dalam menghadap guru bagi mempelajari keilmuan dan dia seharsnya patuh kepada guru. Dia mesti menjaga adab-adab murid  dan guru.. Bagi mencapai murad, tidak semudah yang dijangka, banyak latihan dan perjalanan kerohanian di bawah bimbingan guru.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Al-Kattani berkata,
``Dari hukum murid ada tiga perkara, jangan dikuasai tidur, lebih makan dan bercakap yang tidak berfaedah.
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar Al-Husain bin Ahmad bin Ja`far berkata, aku mendengar Ja`far bin Nus*ar berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,
``Apabila Allah Ta`ala menghendaki seorang murid kebaikan dia terlibat di dalam kesufian dan menegahnya dari bersahabat dengan  pencerita yang melalaikan.
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar `Abdullah bin`Ali berkata,, aku mendengar Al-Duqqi berkata, aku mendengar Al-Daqqaq berkata,
`Puncak iradah ialah mengarah kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala.``
Dan berkata Abu `Uthman, ``Seorang murid apabila mendengar sesuatu daripada ilmu mereka itu dan dia beramal dengannya dia memberi kesan bagi dirinya dalam panduan.
Ada yang berpendapat bahawa murid ialah tahap permulaan dan murad ialah tahap pengakhiran.
Dan berkata Al-Ustaz Abu `Ali al-Daqqad, ``Murid ialah yang menanggung, sedangkan  murad ialah yang kena tanggung..
Bagi setiap murid seharusnya mendoakan agar diberi penerangan dadanya `` Qala Rabbi ishrah li s*adri`  (T*aha: 25).dan juga ayat ``Alam nashrah laka s*adrak. (Al-Inshirah: 1).
Tajuk yang ditampilkan oleh Al-Qushairi ini tidaklah begitu significant dan tidak dibicarakan sebagai tajuk atau bab yang penting. Pendapat-pendapat yang ditampilkan tidaklah begitu bernas.
Persoalan iradah adalah dikaitkan dengan seorang murid yang mau belajar, perlu kepada kemahuan, Konsep iradah inilah yang dibicarakan.
Dalam apa jua pembelajaran perlu ada iradah an kemahuan yang tinggi, tanpa ada iradah, ikhtiar dan kesungguhan, maka tidak ada kemajuan pelajar berkenaan.

Sekian.