August 26, 2009

Syarahan Alumni UKM & Pelancaran Buletin









UKM, Jumaat, 30 Sya`ban = 21 Ogos:

Sekali lagi pihak pentadbir Alumni UKM (Perhubungan Pelajar) menjemput ADUN Bangi selaku Alumni hadir ke Majlis Syarahan Alumni UKM sebagai penghargaan dua tokoh alumni dibanggakan. Pertama YB Dato` Sri Liow Tiong Lai Menteri Kesihatan Malaysia. Kedua ialah YBhg. Datuk Seri Wong Chun Wai Ketua Pengarang Kumpulan The Star. Turut hadir bersama ADUN ialah YB Dr Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat yang juga adalah Alumni UKM.







Sebelum pelancaran Buletin Alumni yang dinamakan SENADI oleh YB Dato` Sri Liow Tiong Lai, Profesor Tan Sri Dato` Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin Naib Canselor UKM mempekenalkan YB Dato` Sri Liow yang merupakan bekas pelajar Fakulti Sains dan Teknologi UKM. Menurut Dr. Sharifah Dato` Sri Liow adalah merupakan satu-satunya Ulumni UKM yang mencebur diri dalam politik dan dilantik ke peringkat Menteri penuh. Pada masa di UKM beliau seorang yang aktif dalam persatuan dan terlibat di dalam khidmat masyarakat dan mengadakan lawatan sambil belajar di dalam dan luar Negara.

YB Dato` Sri Liow bercakap mengenai pengalamannya semasa berada di UKM dan berbangga dengan pencapaian dan prestasi UKM yang dahulu berada pada ranking agak bawah, tetapi kini berstatus sebagai universiti penyelidikan dan antara universiti terkehadapan di Negara Malaysia dan Asia. Beliau juga bercakap tentang wabak HINI yang sedang mengancam Negara dan dunia dan langkah-langkah yang sedang diambil. Sebarang pertanda dijangkiti, tindakan awal perlu segera diambil dan jangan menunggu peringkat kritikal baru hendak diambil tindakan.

Beliau kemudian melancarkan Buletin 20 halaman Berita Alumni UKM yang diberi nama SENADI seiras dengan nama Buletin Pentadbiran UKM yang bernama SENADA.
SENADI sulung memuatkan tentang penubuhan Alumni UKM luar Negara, iaitu di Indonesia, Editorial berhubung dengan alumni, pelancaran sistem maklumat alumni, gambar-gambar nostalgia dan pencapaian alumni terkenal di dalam kerjaya mereka yang mengharumkan nama UKM .

Tokoh dibanggakan kedua diperkenalkan oleh Prof. Dato` Dr Mohamad Abdul Razak. Menurutnya Datuk Seri Wong Chun Wei dilahirkan di Pulau Pinang pada 25 Mei 1961. Bersekolah rendah dan menengah di St. Xavier dan menyambung pengajian di UKM dalam bidang Sains Politik dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1984. Beliau meminati penulisan dan giat menulis sejak di universiti. Sebaik menamatkan pengajian beliau menjadi wartawan di The Star dan meningkat kepada Ketua Pengarang Kumpulan The Star. Beliau telah dinamakan sebagai Jurnalis terbaik bagi penulisan berita dan features. Beliau dinamakan oleh Asia Inc.antara 50 Movers and Shakers 2004 dan Majalah Men`s Review menempatkan beliau antara 12 jurnalis terkenal di Malaysia..

Datuk Seri Wong Chun Wai yang diberi penghormatan menyampaikan syarahan Alumni memilih tajuk: ``New Malaysia: The Changing Political and Media Landscape``




Beliau memperkatakan tentang angin perubahan yang berlaku di dalam politik Malaysia menjelang pilihanya ke 12. BN berkeyakinan dapat mengekalkan pemerintahan dan pendekatan cara lama diteruskan. Pendukung yang berpegang pada mythology kekuatannya, gagal mengintersepsi tentang gerak nadi generasi, terutama dari kalangan golongan muda yang membawa kegoncangan politik dan sunami perubahan. Pendukung BN sebagaimana biasa mengawal ketat media cetak yang dikuasai mereka. Tetapi generasi baru memanfaatkan komunikasi baru melalui internet, e-mail dan SMS yang jauh lebih kini didalam mendapat dan memberi maklumat. Keinginan pada perubahan dan keluar dari kawalan BN yang berlarutan lebih setengah abad adalah juga rentak kemahuan generasi baru dari kalangan menengah dan urben termasuk dari kaum Cina dan India.

Menurut Datuk Seri Wong, melalui media baru semua orang boleh jadi pemberita, bahkan editor melalui penggunaan blog. Berlaku aliran media secara bebas dan rakyat bebas membuat pilihan dan BN terpukul teruk dengan terlepas kawalan terhadap lima buah negeri.

Beliau juga menyentuh konsep satu Malaysia, rampasan kuasa di Perak, perlembagaan Negara, civil society, press freedom. Di dalam mengutarakan kebebasan dan pembaharuan selaras dengan kehendak masyarakat, beliau sedar beliau terikat dengan pemilik dan boss The Star dari MCA, di dalam hal inilah keadaan menuntut kebijaksanaan antara bergerak dengan perubahan dan kekuasaan.

Pencapaian kedua alumni Y.B. Dato` Sri Liow Tiong Lai Menteri Kesihatan Malaysia dan Y Bhg. Datuk Seri Wong Chun Wai Ketua Pengarang, Kumpulan The Star, bukan atas kelulusan mereka semata-mata yang dibanggakan oleh UKM, kerana ramai yang lulus seperti mereka, tetapi tidak menonjol, tetapi kejayaan bergantung pada kegigihan masing-masing di dalam berpolitik dan kepakaran di dalam pengendalian media hingga membawa kejayaan kepada mereka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment