February 1, 2010

Lawatan Mengejut Presiden Ke Pejabat PAS Serdang/ADUN Bangi

Pejabat PAS Serdang, 16 Safar = 01 Februari (Isnin):

Jam 10.00 pagi, Presiden Pas YB Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Isteri diiringi Setiausaha Politiknya Dr. Haji Samsuri melawat pejabat Pas Serdang. Tuan Guru adalah dalam rangka kunjungan ke rumah Ybhg. Tuan Guru Dato' Dr. Harun Din Timbalan Mursyidul Am di Bangi ini dan singgah di pejabat Pas di sini. Kehadiran Tuan Guru secara mengejut, sempat dimaklumkan dan Puan Zuryati Yassin (Ketua Muslimat Pas Serdang) turut datang bersama Isteri ADUN, Puan Hajjah Mu'minah meraikan Tuan Guru bersama isteri dan Pengiring. Turut meraikan dua tenaga kerja pejabat Cik Qatr Al-Nada dan Cik Nabilah. Turut sama kebetulan hadir kerana berurusan ialah Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir, Ketua Kampong Sungai Ramal Luar dan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan.


Tuan Guru dan Dr. Samsuri kemudian bersama di bilik ADUN. Tuan Guru bertanya berkenaan Pas Serdang dan perjalanan pentadbiran di Pejabat Pas Serdang dan tentang respond masyarakat dan kehadiran mereka. ADUN memaklumkan perjalanan PAS Serdang al-Hamdulillah dalam keadaan baik. Di pejabat memang berterusan dilawati pengunjung-pengunjung berurusan. Hubungan dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah baik. Pas Serdang baru selesai mengadakan retreat di Impian Country Resort, Hulu Langat selama dua hari dari 30 – 31 Januari (Sabtu & Ahad) dalam rangka memperkemas dan menyusun program parti dan kegiatan ADUN. Retreat ini ADUN beritahu dirasmikan oleh YB Dato` Dr. Hassan Ali, Pesuruhjaya Pas Selangor dan Exco negeri Selangor. Kami juga berbincang berkenaan dengan keadaan politik negeri Selangor yang menurut Tuan Guru kita dapat mengawal keadaan. Peranan kita dalam pentadbiran Negeri Selangor, peluang-peluang kita memperkukuhkan kedudukan kita di negeri Selangor, lantaran kita makin dipercayai dari segi kejujuran kita dalam berpolitik. Turut dibincang kemungkinan pilihanraya dan persempadanan, soal pendidikan dan Pusat Pentadbiran parti. Soal royalti minyak, terutama berhubung dengan tuntutan negeri Kelantan. Menurut Tuan Guru, kekuatan hujah adalah berpihak kepada Negeri Kelantan dan pendirian pihak Kerajaan Persekutuan adalah lemah. Mereka tidak boleh mendustakan perjanjian dan rakyat negeri Kelantan.

Dalam masa singkat kami sempat menyediakan makan pagi dan menjemput Tuan Guru dan isteri serta Saudara Shamsuri minum pagi di ruangan tetamu dan terus berbincang mengenai berbagai hal sambil minum. YB Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi berada di pejabat lebih kurang satu jam setengah. Kami sempat bergambar untuk kenangan sebelum Tuan Guru dan isteri bertolak menziarah beberapa tempat lagi sebelum pulang ke Terengganu pada petang ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment