November 12, 2010

Adun Bangi Cadang Dipulihkan AJK Surau Al-Huda Kajang Sentral

Dewan Negeri Selangor, 4 Zulhijah = 11 November (Khamis):


Ahli Dewan Negeri Selangor Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi pagi ini berpendapat tindakan yang diambil terhadap AJK Surau Al-Huda agak keras, sepatutnya cukup dengan memberi amaran. Adun Bangi mencadangkan di dalam Dewan Negeri Selangor pagi ini agar dipulihkan Jawatankuasa Surau al-Huda yang diketuai saudara Azmi Ahmad yang digantung berikut dari peristiwa kehadiran Ahli Parlimen Serdang Y.B. Teo Nie Ching ke surau itu menyampaikan bantuan cek bernilai RM1,000 dan berucap ringkas berhubung dengan kepentingan pelajaran pada 22 Ogos 2010 pertengahan Ramadhan yang lepas atas alasan:

1. Sdr. Azmi Ahmad dan AJK ini dipilih dengan sah oleh penduduk di Kajang Sentral.
2. AJK ini berusaha dari awal sejak 2003 mendapatkan tapak surau
3. Mereka memungut dana bagi mendirikan surau berkenaan
4. Kini Surau al-Huda berjaya didirikan dan mereka memakmurkannya
5. Sejak digantung surau merosot dari kehadiran jamaah
6. AJK berkenaan masih berusaha mencari dana – termasuk derma dari Ahli Parlimen Serdang dan Adun Bangi bagi melunaskan hutang yang berjumlah dalam lingkungan RM100,000.
7. Saudara Azmi dan AJK adalah mereka yang aktif bukan saja di Surau, tetapi juga di dalam Persatuan Penduduk Kajang Sentral.
8. Buat masa ini tiada kepimpinan seaktif mereka yang dapat membimbing masyarakat di Kajang Sentral
9. Keadaan sekarang merugikan penduduk
10. Terganggu dari kegiatan keilmuan yang selama ini berlangsung dengan baik.

Cadangan di atas berikut dari soalan lisan Adun Bangi dijawab oleh Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Y.B. Dato` Dr. Hasan Mohamed Ali di dalam Dewan Negeri Selangor. Soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun Bangi adalah sebagaimana berikut:

Tajuk: Isu Ahli Parlimen Serdang

Pada pertengahan Ramadhan 1431, Akhir Ogos 2010, tercetus isu Ahli Parlimen Serdang Y.B.Puan Teo Nie Ching masuk ke Surau al-Huda, Taman Sentral, Kajang kerana menyampaikan bantuan. Bertanya kepada Y.A.B. Dato` Menteri Besar:

a) Mengapa perisrtiwa di atas dijadikan isu ?
b) Apakan kedudukan hukum dari kemasukan tersebut ?
c) Akibat tindakan yang diambil surau berkenaan kekurangan dari segi jamaah. Apakah tindakan yang diambil bagi mengimarahkan kembali surau ini ?.

Dalam jawapan oleh Y.B. Dato` Dr. Hasan Ali:

a) Y.B. Dato` Dr Hasan Mohamed mengakui isu tersebut sengaja disensasi oleh pihak media cetak dan letronik bagi kepentingan politik tertentu. Beliau mengakui kehadiran Ahli Parlimen Serdang Y.B.Teo Nie Ching bertujuan baik, iaitu bagi menyampaikan cek bantuan kepada Surau al-Huda. Beliau tidak menyampaikan tazkirah sebagaimana yang dihebohkan. Beliau hanya bercakap tentang kepentingan pelajaran bagi penduduk, khususnya anak-anak penduduk setempat.
b) Dari segi hukum, menurutnya pendapat ulama tidak melarang/haram untuk dihadiri oleh bukan yang Islam, tetapi masjid/surau sebagai tempat suci mempunyai aturan-aturan yang seharusnya dipatuhi. Bagi kebanyakan masjid ada mempunyai dewan dan tempat mesyuarat. Tempat seperti ini boleh digunakan untuk pertemuan. Catatan: Surau al-Huda adalah kecil, tidak mempunyai dewan, kehadiran Ahli Parlimen waktu malam, untuk diadakan diluar adalah gelap.
c) Pihak berkuasa sedang menilai keadaan, jika didapati keadaan sudah pulih seperti biasa, cadangan boleh dipertimbangan. Kita menghormati AJK yang begitu giat dan berusaha sehingga dapat mendirikan surau yang menjadi tempat kegiatan masyarakat Islam setempat, bukan saja untuk ibadat, tetapi kegiatan kemasyarakatan, pendidikan dan sambutan-sambutan. Kita percaya jika diadakan pemilihan pun jawatankuasa ini juga yang akan dipilih.

Sekian.

No comments:

Post a Comment