Jemputan ke majlis di atas bagiku tidak begitu jelas, adakah bersifat sukan atau bagaimana, lantaran itu aku berpakaian santai gaya bersukan dan berkasut kain, lagi pula selepas program berkenaan aku ada acara merasmikan futsal di Kompleks Sukan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi.
Majlis berlangsung di Pejabat Daerah bagi melepaskan konvoi ini dihadiri Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat, Tuan Haji Zainal Abidin Aala, Y.B. Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, Y.B En Lee Kim Sin Adun Kajang, Y.B.Tuan Haji Khasim bin Abdul Aziz Adun Lembah Jaya. Turut hadir Puan Nurfaezah Ketua Timbalan Pegawai Daerah, Tuan Haji Zulkefli Timbalan Pegawai Daerah (Tanah), En. Mazlizan Bukhari Setiausaha Koporat, Wakil-wakil Adun, Wakil MPKj dan Penghulu. Kami menunggu sehinggalah tiba VIP yang diraikan, iaitu Y.B. Dr Halimah Binti Ali Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan yang akan merasmikan majlis.
Tuan Pegawai Daerah berucap mengalu-ngalukan kehadiran Y.B. Dr. Halimah di Ruang Legar Pejabat Daerah yang agak selesa dan berhawa dingin. Turut dialu-alukan Wakil-Wakil Rakyat dan semua yang hadir. Beliau memaklumkan bahawa program hari ini adalah siri yang ketujuh di Selangor, tapi kami Wakil-Wakil Rakyat tidak mengetahui - hanyalah pada hari ini. Tujuannya menurutnya, untuk mewar-warkan maklumat berhubung dengan negeri Selangor ke seluruh kawasan di Hulu Langat – termasuk kawasan Ampang. Selama ini maklumat-maklumat berhubung dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan tidak begitu sampai kepada rakyat. Puncak dari Konvoi Jelajah Jom Kerja ini, ialah perhimpunan yang akan di adakan di Batu 14 Dusun Tua, Hulu Langat pada 14 November nanti.
Pendek kata Konvoi Jelajah Jom Kerja sebagai konsep pemimpin dan peserta turun padang untuk menyampai dan mendapat maklumat dari rakyat. Konvoi dilepaskan oleh Y.B. Dr Halimah jam 10.00 pagi yang disertai peserta-peserta yang menaiki lebih kurang sepuluh buah kereta.
Sekian.
No comments:
Post a Comment