April 27, 2011

Sukan Pasti Peringkat Kawasan Serdang 2011

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 19 Jamadil Awal = 23 April (Sabtu):

Seluruh Pasti kawasan Serdang pagi ini berhimpun di Kompleks Sukan, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi bagi mengadakan himpunan tahunan Pasti dan mengadakan pertandingan bola sepak dan bola jaring bagi memilih wakil ke peringkat negeri. Jumlah pasti di Serdang setakat ini ialah sebanyak 23 buah dengan murid-murid seramai 1,784 orang. Hadir pada hari ini, selain dari Adun, ialah Tuan Haji Shahrunnizam bin Nordin sebagai Pengerusi Pasti peringkat kawasan Serdang, Cikgu Norlela Ketua Majlis Guru-Guru Pasti, guru-guru dan murid-murid. Adun Bangi dijemput ialah bagi merasmikan Sukan Pasti berkenaan. Pagi ini ruang kawasan yang begitu luas dipenuhi anak-anak Pasti dengan guru dan ibu bapa dengan agak selesa.
Sebelum acara perasmian diadakan murid-murid beratur dan bergerak ke hadapan majlis memenuhi ruang yang disediakan. Selepas pembacaan doa seorang murid ke hadapan memimpin bacaan ikrar. Saudara Shahronnizam menyampaikan ucapan. Beliau bersyukur dan sukacita Sukan Kawasan Serdang dapat diadakan. Ini ialah kerana wujudnya kerjasama terutama antara ibu bapa, guru-guru dan pihak Sekolah. Beliau juga berterima kasih kepada pihak MPKj kerana memberi kebenaran menggunakan ruang.

Menurut Tuan Haji Shahronnizam pertandingan bola sepak (lelaki) disertai 20 pasti, manakala pertandingan bola jaring (perempuan) disertai 14 pasukan. Menurut saudara Shahronnizam johan bagi bola sepak dan bola jaring akan terpilih mewakili kawasan ke peringkat negeri. Menurutnya kita berharap pasukan dari kawasan Serdang akan mewakili pada peringkat negeri.
Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya, bersyukur kepada Allah kerana Pesta Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring dapat diadakan pada tempat yang lebih selesa, iaitu pada Kompleks Sukan peringkat Daerah di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi beliau berharap setiap pasukan mempunyai semangat sukan yang tinggi. Beliau mengingatkan pasukam Bola Sepak dan Bola Jarng Serdang seharusnya lebih aktif dan maju, bahkan Pasukan dari Serdang lebih menerima cabaran bagi mempertahankan kedudukan pasukan, kerana pada tahun lepas berjaya menjadi johan bagi bola sepak pada peringkat kebangsaan dan tempat ketiga bagi pasukan bola jaring. Diharap prestasi terutama bola jaring akan lebih baik.

Adun Bangi tidak sempat menunggu pertandingan-pertandingan dijalankan, oleh kerana mempunyai program di tempat lain. Beliau berjanji akan memberi perhatian, terutama bantuan bagi kegiatan diadakan. Adun memaklumkan baru-baru ini dalam mesyuarat bantuan kepada Sekolah-sekolah agama, beliau membangkitkan sewajarnya pasti dikategorikan sebagai layak sama mendapat bantuan dari bahagian pendidikan. Selama ini Pasti mendapat tekanan dari kerajaan BN, tetapi memberi komitmen yang tinggi kepada Pas dan dalam perjuangan memenangkan Kerajaan Pakatan. Adalah tidak adil hingga kini Pasti tidak mendapat sebarang bantuan sebagai salah satu institusi pendidikan pra-sekolah yang amat berjasa. Sebelum berangkat ke program yang lain Adun berkesempatan memilih beberapa nombor bertuah dan menyampaikan hadiah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment