April 29, 2011

YB Dato` Dr. Hassan Ali Rasmi Projek Pembinaan Surau Al-Ukhwah

Seksyen 8, BBB, 20 Jamadil Awal =24 April (Ahad):

Setelah berusaha mendapat Surau Rasmi sejak 5 tahun yang lepas, maka pada pagi ini upacara meletak asas bagi Surau Al-Ukhwah dilakukan oleh YB Dato` Dr. Hassan Bin Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Surau ini terletak di atas sebidang tanah di Seksyen 8/30 yang juga akan digunakan oleh penduduk dari jalan 8/31, 8/32, 8/33 dan 8/34 Seksyen 8, Bandar Baru Bangi. Dato` Dr. Hassan memuji di atas kegigihan AJK yang diketuai oleh Sdr. Abdul Rashid seorang Pengerusi Eksekutif sebuah bank. Beliau tidak ragu-ragu dengan kemampuan ekonomi penduduk yang berada pada kelas menengah atas dan sederhana mampu mengumpul dana yang diperlukan sekitar RM750,000. Bahkan menurut Dr. Hassan adalah memalukan jika pihak AJK masih mengharapkan pertolongan dari pihak Kerajaan atau zakat umpamanya. Beliau mengingatkan pahala membuat kebajikan sebagaimana seorang menanam satu biji benih, tumbuh dan menghasikan buah 100 biji setangkai, bagi 7 tangkai yang bermaksud satu kebajikan yang dilakukan Allah menggandakan 700 kali ganda dan mungkin lebih dari itu. Beliau sukacita sejak Kerajaan Pakatan memerintah, pertambahan masjid-surau berlaku dengan pesat. Menurutnya beliau difahamkan di Bandar Baru Bangi Jumlah surau dan masjid melebihi 100 buah. Bukan setakat pertambahan berlaku dari segi fizikal, bahkan surau dan masjid memainkan peranan penting dimakmurkan untuk beribadat, menjadi pusat pendidikan dan kegiatan sosial.

Sebelum daripada itu Pengerusi AJK Surau Al-Ukhwah Encik Abdul Rashid Ibrahim ketika menyampaikan ucapan alu-aluan memaklumkan kawasan 1/30 dan berhampiran telah dihuni sejak 2005. Buat permulaan penduduk menggunakan surau sementara dengan menggunakan rumah bersambung dua tingkat (2006) terletak di No. 15 Jalan 8/30 kemudian berpindah ke No. 17 Jalan yang sama, mulai dari itu penduduk mengusahakan melalui AJK Surau yang ditubuh untuk mendapat tapak surau tetap dan membangunkan surau rasmi. Kelulusan di dapati pada tahun 2009. Luas tanah yang menjadi tapak bagi surau ialah 4,476.16 kaki persegi. Buat masa ini terdapat 264 buah rumah di kawasan surau berkenaan. 90 % daripada mereka adalah beragama Islam.
Sebelum dari itu, Adun Bangi yang diberi peluang berucap ringkas mengucapkan tahniah kepada AJK yang diketuai oleh Encik Abdul Rashid dan penduduk kerana berjaya mendapat tapak surau tetap. Adun sendiri mengikuti kesungguhan AJK dan penduduk sejak mengadakan surau sementara hinggalah kepada mendapat tapak surau rasmi, kerana Adun sering datang ke Seksyen 8/30 sama ada hadir bagi kegiatan di surau atau menyertai kegiatan kemasyarakatan seperti gotong royong dan sebagainya. Namun Adun Bangi mengingatkan dengan mendapat tapak, bererti perjalanan dan korban yang diminta dari penduduk lebih jauh dan lebih besar. Ia itu usaha mengumpul dana yang diperlukan, RM750 ribu ringgit. Adun menyebut contoh ada sebuah surau yang juga di Bandar Baru Bangi mampu memungut dan mendirikan surau yang dikenali dengan nama Surau Al-Ikhwan yang kosnya juga RM750 ribu ringgit dan dapat disiapkan dalam masa 6 bulan – mulai bulan Mei 2010 dan siap dan dapat digunakan bersolat Idul Adhha pada bulan November 2010. Kita berharap contoh sedemikian menjadi tauladan yang baik bagi penduduk. Adun difahamkan untuk surau itu ada antara penduduk menderma perseorangan secara senyap-senyap sebanyak RM100,000 ringgit. Sesungguhnya Allah tidak lupa membalas ganjaran orang-orang yang membuat kebajikan. Adun berharap surau Al-Ukhwah dapat disiapkan dalam masa yang relatifnya segera. Insya Allah.

Selepas YB Dato` Dr, Hassan Ali berucap, beliau dijemput turun diiringi tamu-tamu terdiri dari Ahli-Ahli MPKj, Wakil dari PAID, Ketua-Ketua Kampung dan pegawai-pegawai Kerajaan ke upacara menentukan arah kiblat yang telah disiapkan oleh kakitangan dari Jabatan Mufti Negeri Selangor. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata berupa Gambaran Surau yang diframe rapi.
Sekian.

No comments:

Post a Comment