April 6, 2011

Wisma Pahlawan Leftenan Adnan Wajar Didirikan Di Sungai Ramal ?

Bandar Baru Bangi, 29 Rabiul Akhir = 03 April (Ahad):


Bertempat di Balai Pahlawan, berhampiran Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Seksyen Satu BBB Adun menghadiri acara ringkas bagi menyerahkan sebuah Mesen Fax kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Cawangan Hulu Langat yang bangunan sementaranya bertempat di pinggir padang bola di sini.


Hadir ke Majlis ini ialah Mej. (B) Hisham bin Haji Abdul Rahim selaku Ketua Cawangan, Tuan Haji Mohamad Pengerusi Tetap, Puan Zaiton Ketua Bahagian Serikandi dan ahli-ahli jawatankuasa yang lain, manakala Adun diiringi oleh beberapa ahli yang kebetulan mempunyai tugas penculaan di Jalan 1/3, Seksyen I, yang bergerak dari Pejabat Adun pada pagi ini.


Dalam pertemuan ringkas ini Mej.(B) Hisham menyampaikan luahan hati bagi pihak Persatuan, bahawa mereka selama ini tidak mempunyai bangunan Persatuan yang tetap dan terpaksa menumpang, termasuklah di Balai Pahlawan sekarang yang terletak di pinggir tanah padang permainan Awam, seksyen Satu Bandar Baru Bangi. Bahkan menurut Mej.(B) Hisham, baru-baru ini pihak persatuan telah menerima notis tunjuk sebab dari pihak MPKj, mengapa bangunan sementara sekarang tidak boleh dirobohkan.

Mej.(B) Hisham memaklumkan, bahawa Persatuan dan ahli adalah miskin dan tidak mempunyai kewangan untuk mencari tapak tetap bagi didirikan Pejabat bagi PBTM. Oleh itu beliau melahirkan harapan agar pihak Adun dapat kiranya menolong bagi mendapat tapak bagi bangunan PBTM.

Dari segi sejarahnya PBTM adalah sebuah badan NGO yang telah ditubuhkan sejak 20 Mei 1922 yang nama dalam bahasa Inggerisnya ialah Ex-Services Association of Military Malaya ditubuh oleh Bekas Tentera British yang berkhidmat di Malaya /Singapura selepas tamatnya Perang Dunia Pertama. Persatuan disertai kemudian oleh Askar Melayu Diraja selepas ditubuhkan pada tahun 1933 yang antaranya terkenal dengan division Forces 136. Termasuk bersama menyertai PBTM ialah Pasukan Federation of Malaya Volunteer Force (FMVF), Area Security Unit (ASU), Jungle Squad dan Pasukan Pengawal Kampong (Home Guard) ketika darurat (1942-1948).

Kini Ibu Pejabat PBTM Pusat ialah di Wisma Pahlawan di Kuala Lumpur. Keahlian PBTM hingga kini berjumlah 125,819 orang yang berdaftar melalui 225 Cawangan di selurh Malaysia. Selangor adalah salah sebuah cawangan peringkat negeri yang setakat ini mempunyai 10 Cawangan, termasuklah Hulu Langat dan mempunyai keahlian pada peringkat negeri berjumlah lebih kurang 15,000 orang.

Tujuan PBTM adalah menghimpun semua ahli PBTM dalam persatuan bagi memudahkan perhubungan dan menjaga kepentingan Bekas tentera. Mengiktiraf peranan ahli PBTM dalam khidmat mereka terhadap Negara dan berterusan memberi sumbangan terhadap Negara.

Pejabat PBTM awal di Hulu Langat ialah di alamat No. 22/1, Jalan Timur, Seksyen 5, Bandar Kajang (berhadapan Masjid Kajang). Apabila tanah itu hendak dimajukan, maka terpaksa dipindah ke tapak sementara sekarang pada tahun 1990 iaitu di Jalan 2/1 Seksyen 2 Bandar Baru Bangi.

Dalam ucapan ringkas sebelum menyerahkan mesen fax kepada Ketua Cawangan Hulu Langat Adun berterima kasih di atas jemputan. Kata Adun, ``Inilah pertama kali Adun dijemput ke majlis bersama dengan Bekas-Bekas Perajurit anjuran PBTM. Bangunan PBTM adalah dekat dengan Pejabat Adun, tetapi selama ini belum terbuka ruang pertemuan. Adun amat simpati mendengar rayuan dari pihak PBTM yang amat berjasa kepada Negara. Dari lampiran surat yang Adun baca, bahawa permohonan untuk mendapat tapak tetap ini telah lama dibuat sejak bulan September 1997 antaranya minta dikekalkan di atas tapak bangunan PBTM pada masa itu iaitu di alamat No. 22/1, Jalan Timur, 43000 Kajang, tetapi tapak ini adalah milik MAIS. Lantaran itu bangunan berkenaan telah diroboh bagi memberi laluan kepada bangunan tetap MAIS dan berpindah ke Seksyen 2, Bandar Baru Bangi. Persatuan juga memohon juga agar tapak di sini dikekalkan, tetapi tapak ini adalah digezet sebagai padang awam, sebab itu PBTM menerima notis tunjuk sebab.

Adun berpendapat tempat yang paling sesuai Wisma Pahlawan bagi Daerah Hulu Langat didirikan di Sungai Ramal Luar, lantaran tempat ini mempunyai keistimewaan sejarah kepahlawanan tersendiri. Di sini tempat kelahiran Leftenan Adnan wira Perang Dunia Kedua Terkenal yang mempertahankan Negara dari serangan musuh (Jepun). Penghormatan baginya diberi dengan mengabadikan namanya di Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal `Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan` tempat kelahiran dan tempat pengajiannya sebelum mencebur diri dalam kerjaya tentera. Beliau antara wira terkenal di samping General Ibrahim Muhammad yang memimpin Pasukan 136 Forces dalam Perang Dunia Kedua. Bangga dengan semangat kewiraan Leftenan Adnan, Adun yang sering turun padang ke Sungai Ramal Luar dan Dalam Adun dapati ramai dari veteran penduduk di Sungai Ramal adalah bekas-bekas tentera. Adun menjangka keterlibatan mereka dalam tentera digerak oleh semangat ketenteraan Leftenan Adnan. Sebab itu salah satu dari kawasan/tapak di sini perlu dikurnia oleh pihak kerajaan Negeri Selangor bagi didirikan `Wisma Pahlawan Leftenan Adnan. Wisma ini bukan sekadar pejabat, tetapi mempunyai Muzium Kepahlawanan, pusat kegiatan dan ruang komersil.

Kritikan Adun terhadap PBTM baik dari peringkat Nasional, membawalah kepada peringkat negeri dan daerah, bahawa PBTM tidak dikenali selain diketahui adanya sebuah Ibu Pejabat PBTM – Wisma Pahlawan Kuala Lumpur yang antaranya mengendalikan perjalanan koperasi. Selain dari itu kita tidak mendengar kegiatan-kegiatan yang lain, termasuk di Hulu Langat. Kepimpinan PBTM dari semua peringkat perlu bangkit mengadakan berbagai kegiatan, bukan saja disedari kehadiran PBTM, tetapi menabur bakti kepada ahli-ahli dan masyarakat.


Kepada pimpinan PBTM Cawangan Hulu Langat perlu mengadakan kegiatan-kegiatan seperti Pertemuan Tahunan Ahli-Ahli, mengadaka Hari Keluarga PBTM Daerah Hulu Langat, mengadakan kursus bimbingan kerjaya kepada ahli dan anak-anak Ahli, Mengadakan Tabung Pendidikan anak-anak Ahli, Gotong Royong kemasyarakatan, lawatan-lawatan, menganjur sambutan hari-hari kebesaran, memiliki asset kepada PBTM Cawangan Hulu Langat, kegiatan-kegiatan kesihatan, kegiatan keagamaan, mengadakan amal-amal membantu ahli dan mereka yang sakit, miskin dan anak yatim. Bila persatuan PBTM dilihat cergas insya Allah usaha untuk mendapat tapak bangunan PBTM mendapat sokongan dari berbagai pihak. PBTM janganlah berhasrat untuk mendapat tapak semata-mata, tetapi juga mendapat asset bagi PBTM agar dapat berdikari dan dihormati. Majlis berakhir selepas Adun menyampaikan mesen fax kepada En. Hisham Ketua Cawangan PBTM, Hulu Langat.


Sekian.

1 comment:

  1. Kenapa perlu dibangga-banggakan dengan leftenan adnan tu ?

    Benarkah beliau seorang pejuang ? Pejuang kepada siapa ? Bangsa ? Assobiayah sungguh beliau. Adakah darah mat saleh yang beliau tumpaskan. Beliau membunuh askar jepun pon hanya kerana mahu melindungi tuan mat salehnya.

    Apakah ada askar melayu yang membunuh mat saleh ? Henry Gurney pon ditembak oleh komunis. Siapa komunis itu ?

    Kenapa kita dengan mudah menerima sejarah yang sudah diputar belitkan ?

    Tak perlulah nak letak nama wisma pahlawan leftenan adnan. Tak ada apa jasa dia pon. Letak la nama lain.

    ReplyDelete