August 12, 2011

Anekdot Ramadhan !

Bukit Mewah, 10 Ramadhan = 10 Ogos (Rabu):

1. Jamuan Durian Di Surau An-Naim Bukit Mewah

Selepas bertarawih dan Adun bertazkirah berkenaan Madrasah Ramadhan, Adun dan pengiring-pengiring dijemput membasah tekak di bawah anjung di hadapan surau berkenaan. Kebiasaan selepas tarawih biasanya para jamaah dijamu dengan air teh atau mineral dan beberapa kuih seperti karipap, mee dan sebagainya. Tapi di Surau An-Naim, Bukit Mewah malam ini lain dan berbeza jamuannya. Di samping minuman dan makanan biasa Adun dan para jamaah dijamu dengan durian. Bila berdepan dengan durian ini Adun berkata,

``Sejak bulan Ramadhan ini saya belum makan durian lagi. Al-hamdulillah datang ke surau ini dijamu dengan durian !`` Sambut seorang sahabat,

``Ini mencerminkan bahawa kawasan Bukit Mewah ini memang mewah !`` Tambah seorang sahabat yang lain.`

`Untuk menyambut YB datang !`` Dengan sedikit tersentak kata Adun , ``Ya Ka ? Terima kasih.`

``Tapi, Di Bukit Mewah ini banyak ke pokok durian hingga melempah gugur menggolek ke Surau An-Naim ?` Tanya seorang pengiring Adun yang kurang tahu dengan keadaan setempat.

Jawab seorang yang lain, ``Banyak pokoknya hingga buah-buahnya gugur melempah ke tepi-tepi jalan !``

Sedia duit saja boleh diangkut berapa banyak yang dikehendaki, sebagaimana pada malam ini. Kata seorang jamaah yang lain.

`Oh ! Begitu` sambil ahli jamaah ketawa.

2) Mengedar Bubuk Lambuk Kepada Pengunjung Pasar Ramadhan Pekan Bangi!

Petang Khamis ini (11 Ogos) jam 5.45 Adun bertolak berseorangan ke Pasar Petang, Pekan Bangi dengan tujuan untuk membahagi-bahagikan Bubur Lambuk yang ditaja Adun melalui Cawangan dan JKK di sini. Pengiring-pengiring datang sendiri lebih awal. Ini merupakan pengedaran Bubur Lambuk Kedua bagi Adun pada bulan Ramadhan selepas mengedarnya pada petang Ahad lepas (07 Ogos) di Teras Jernang. Bezanya edaran di Teras Jernang secara rumah ke rumah memakan masa dari jam 5.00 hingga 7.00 petang bagi menghabiskan 150 kotak plastik Bubur Lambuk. Lenguh kaki dibuatnya, kerana berjalan jauh, walaupun sekali sekala membonceng motorsikal ahli yang turut sama mengedar.

Setibanya Adun di Pasar Pekan Bangi, lori yang membawa basin-basin yang terisi dengan kotak-kotak plastik Bubur Lambuk sampai. Belum sempat meja plastik dibuka dan basin-basin semua diturunkan dan belum sempat lori keluar dari jalan keluar masuk pengunjung orang ramai menyerbu bagi mendapat bubur lambuk. Ada yang adun sempat berikan dan ada yang mengambil sendiri dan ada yang mengambilnya lebih dari satu.

Dalam masa tak sampai 15 minit semua kotak-kotak plastik berisi Bubur Lambuk berjumlah 300 kotak itu habis diedar!

Secara bergurau Adun bertanya kepada Haji Zakaria Ketua Kampung dan Haji Sukaimi Ketua Cawangan,

`Resipi apa Bubur Lambuk Pekan Bangi begitu laris dan habis dalam masa sekejap saja ni ?

Tuan Haji Sukaimi menjawab, ``Resipi kami lebih hebat dan lebih sedap dari resipi Kampung Baru.` katanya. Tambah Haji Sukaimi, `Ramuan kami lebih banyak dari Bubur Lambuk Kampung Baru.

`Apa resipinya Tuan Haji Zakaria, mungkin orang ramai bila rasa sedap Bubur Lambuk yang diedar hari ini, mereka boleh cuba masak sendiri.` Kata Haji Zakaria Tok Ketua Kampong resipinya ialah - ukuran berdasarkan masakan hari ini:

Resipi Bubur Lambuk Pekan Bangi:

1) Tiga beg beras 3 x 10 kilo

2) Lima kilo daging

3) Lima ekor ayam

4) Satu kilo udang

5) Rempah kurma (powder)

6) Santan enam kilo

7) Chicken Stoke

8) Rempah-rempah – Jintan, bawang putih, bawang merah, ketumbar, kulit kayu manis, cengkeh, bunga lawang dan garam sesedap rasa.

Masakan di atas melibatkan beberapa kawah. – terpulang kepada besar kecil kawah atau periuk besar dan bila masak boleh dimasukkan ke dalam 600 kotak plastik untuk diedar. Kos perbelanjaan bagi semua bahan di atas, tak termasuk tenaga, transportation ialah RM180.00. Ini bermakna harga sekotak amat murah iaitu 30 sen saja berbanding dengan harga di pasar ialah antara RM2.00 hingga RM3.00 sekotak. Bolehlah untuk cuba berniaga di pasar Ramadhan atau di pinggir jalan !

Sebenarnya apa juga resipi, bila diedar free, walaupun 1,000 kotak pun tak cukup !

Selepas tamat pengagihan dalam masa tak sampai 15 minit itu, Adun pulang. Kalau tadi datang melalui jalan UKM ke Pekan Bangi berliku-liku memakan masa 20 minit. Untuk pulang Adun melalui jalan Pekan Bangi ke Seri Putera dan ambil jalan Plus Seremban Kl secara lancar dan agak laju kerana mahu mengejar masa berbuka bersama isteri tercinta!

Bila sampai di rumah isteri bertanya,

`Mana Bubur lambuk Pekan Bangi ?``

``La habis dalam sekelip mata ! Tak ada yang tinggal. Mereka pun tak asingkan dulu untuk petugas. Jadi tak adalah !` kata Adun dengan nada keciwa. Sebaliknya Adun bertanya,

`Bukankah tadi Surau Umm bagi, kita bawa balik 2 kotak !`

`Yalah sikit tu, kita tiga beranak. Sekurang-kurang bawa balik sekotak, cukup satu seorang !`

Kata isteri Adun.

`Cukuplah tu, sekotak dua orang, insya Allah lebih pun.` Tanya Adun. `Tak Ada kuih lain ?`.`Adalah sikit,` jawab isteri Adun.

``Cukuplah tu,` ulang Adun - sekadar untuk berbuka. Bukankah awak yang sering berpesan berbuka cukup dengan beberapa biji tamar sebelum menunaikan solat Maghrib.` kata Adun seolah-olah mengajar.

Walau macam mana Adun tak dapat merasa dan menilai betapa sedap dan enaknya Bubur Lambuk Pekan Bangi yang didakwa oleh Wak Sukaimi tu!

Tapi tak apa mereka telah bekalkan resipi. Kita boleh masak sendiri. Ramai-ramailah kita mencuba!

Sekian.

No comments:

Post a Comment