February 24, 2012

Dari Anjung Muzium Shah Alam Ku Kagum

Kulemparkan pandangan
Ke hijau pohon kelilingan
Bayangannya turun bersatu
Di permukaan tasik tenang
Memantulkan murni ilham
Mengalir dari kolam hati
Abjad keindahan.
Dari tempat kuberdiri
Kuhayati wajah indah Shah Alam
Pertama begitu berdekatan
Kubah biru Masjid Negeri tersergam
Antara terbesar seluruh alam
Empat menara mengacah bintang
Tengadah tiang gerbang menyelamat datang
Di kejauhan tiga serangkai bangunan
Melengkap sempurnanya imej Islam
Bersama Yayasan Restu berdekatan
Sesungguhnya zon di sini
Kaya berseni estetika Islam
Kudus halus mengkagumkan.

Di Kejauhan
Menara kompleks Pentadbiran Kerajaan
Bersama Dewan Undangan Negeri
Membawa imej senibina Roman
Mengungguli bangunan MBSA, Perangsang
Diikuti Bangunan SUK 2 dan kehakiman
Membawa imej seni bina moden
Manakala PKNS, Convention Centre
Pejabat-pejabat pusat-pusat perniagaan
Di kejauhan institusi-institusi pendidikan
Ketara menyempurnakan imej Shah Alam
Namun di sini sukar mendapati
Seni bina tradisi kecuali Istana Sultan
Dan Muzium khazanah warisan.

Dari anjung Muzium
Kuhayati wajah Shah Alam
Ibu Negeri Selangor Darul Ehsan
Berimej Islamik Bandar Islam
Lambang sebuah negeri maju
Terkedepan ekonomi dan pentadbiran
Berkembang industri dan pendidikan
Namun tetap kekalkan keaslian
Bandar maju di tengah kehijauan
Sama mengutamakan kerohanian.

Berdiri di anjung Muzium
Merenung harapan masa depan
Shah Alam Ibu negeri Selangor
Makin gemerlap kemajuan
Makin meningkat keilmuan
Makin tergilat kerohanian
Menarik para pengunjung datang.


Shafie Abu Bakar,
Muzium, Shah Alam,
01 Rabiul Akhir 1433
23 Februari 2012.

No comments:

Post a Comment