February 23, 2012

Menyampaikan Sumbangan Kepada Surau Al-Ittihadiyyah Seksyen 7 BBB & Al-Hidayah Green Villa, Sungai Tangkas

Kajang Impian, Bangi, 25-26 Rabiul Awal 1433 = 18-19 Februari 2012 (Sabtu-Ahad):

Kajang Impian adalah taman perumahan baru bersempadan dengan Seksyen 7 dan bersebelahan dengan tol SILK dan juga bersempadan dengan Kajang Mewah. Sejak dihuni beberapa tahun lalu penduduk merasa perlu kepada sebuah surau yang bukan saja menjadi pusat kegiatan ibadat, tetapi juga bagi kegiatan pendidikan dan juga kemasyarakatan. Walaupun belum ada surau penduduk mendirikan khemah misalnya bagi sembahyang tarawih, sambutan perayaan dan sebagainya. Hampir tiap kegiatan yang dilakukan Adun dijemput menyertai dan akan pergi jika ada masa.

Bagi pelancaran menentukan tapak dan membina surau, Adun turut bersama. Pada malam ini Adun dijemput oleh Pengerusi Persatuan Penduduk dan Pengerusi Pembangunan Surau Encik Azli Yusof untuk turut sama menyertai Sambutan Maulidur-Rasul yang diadakan di bawah khemah yang didirikan atas tapak court badminton tidak jauh dari surau yang dinamakan dengan Surau Al-Ittifaqiyyah. Adun hadir bersama saudara Azizi mulai dari maghrib dan mengikuti ceramah Maulidur-Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Ibarhim bin Harun dari IPG. Sejak pagi difahamkan oleh saudara Azli penduduk bergotong royong menyediakan tempat dan memasak makanan untuk jamuan sempena sambutan Maulidur-Rasul.

Sempena kehadiran Adun menyampaikan peruntukan Adun bagi membina surau sebanyak RM5,000. Adun berkesempatan mengikuti Ceramah Maulidur-Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim sebahagian, tetapi memohon diri selepas itu, kerana terpaksa menghadiri Maulidur-Rasul yang lain di Seri Putra. Sayang tidak berkesempatan menikmati jamuan yang diadakan selepas ceramah dan solat Isyak. Pada malam ini Adun berhasrat untuk melihat progres bangunan surau yang telah mempunyai tiang dan lantai pada tingkat atas. Tetapi oleh kerana gelap dan keadaan becak, kerana hujan pada petangnya, maka Adun sengaja datang pada tengahari (Ahad 19 Februari) bersma saudara Azizi bagi merakam gambar surau Al-Ittifaqiyyah berkenaan.

Sementara itu pada malam hari Ahad 19 Februari Adun hadir ke Majlis Maulidur-Rasul Surau Al-Hidayah Green Villa, Sungai Tangkas. Adun juga diminta merasmikan Pemakmuran surau berkenaan. Meraikan kedatangan Adun ialah Encik Rashidi Pengerusi Surau, Encik Sham Pengerusi Persatuan Penduduk bagi dua blok apartment yang dihuni hampir seribu penduduk. Mereka tinggal di sini sejak 2009. Majlis pada malam ini bermula dengan pembacaan Al-Qur`an, ucapan dari Adun yang berterima kasih kerana dijemput dan sukacita melihat penduduk berkerja sama menjayakan berbagai kegiatan termasuk mengadakan perayaan Maulidur-Rasul. Pada majlis ini juga Adun merasmikan Majlis Memakmurkan Surau dan menyampaikan cek berjumlah RM2,500 bagi membeli keperluan surau. Berikut dari itu solawat dan marhaban diadakan.

Kemudian Ceramah Maulidur-Rasul disampaikan oleh Penceramah Khas, iaitu Ustaz Sabil. Selepas Isya` diadakan jamuan dan bersurai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment