February 16, 2012

Ke Sijangkang Menjejaki Ulama Silam

Sijangkang, Kuala Langat, 18 Rabiul Awal 1433 = 11 Februari (Sabtu):

Selepas sembahyang Asar bersama jamaah di sebuah masjid selepas Kuala Langat, akhirnya kami sampai di Sijangkang, kawasan Dewan Negeri Y.B. Dr. Ahmad Yunus Khairi Exco Adat Melayu Selangor, Belia dan Sukan. Adun ke sini bersama saudara Azizi bertujuan untuk menjejaki ulama` silam bagi mendapat maklumat dalam rangka memprojekkan Selangor sebagai Hub Ilmu sebagai pendekatan bahkan priority yang akan ditekankan dalam PADAT. Maklumat awal Adun dapati dari Kertas Prosiding Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008. Sehari sebelum datang ke sini Adun menghubungi Y.B. Dr. Ahmad Yunus, walau bagaimana pada masa ketibaan kami Y.B. Dr. Ahmad Yunus tiada di kawasan, kerana beliau mempunyai urusan luar, namun beliau menghubungi beberapa orang pembantunya untuk memberi bantuan kepada kami.

Ketibaan kami terus masuk ke kawasan sebuah surau sebagaimana diberitahu orang, kami tanya di sebuah kedai. Surau dimaksudkan ialah surau bagi Pondok Hj. Husin bin Abbas, iaitu bekas Pondok yang terletak di Batu Satu, Sijangkang. Kami bertemu dengan En. Mohd. Ridhuan menantu kepada Hj. Husin yang mempunyai 8 orang anak. Menurut En. Mohd. Ridhuan, ``Surau yang ada adalah bekas Pengajian Pondok Haji Husin. Pada masa piuncak kemajuan pondok ini, ramai pelajar-pelajar yang datang belajar di sini. Terdapat berpuluh-puluh pondok mengelilingi surau yang menjadi pusat pengajian. Termasuk golongan warga emas yang datang di sini memondok untuk belajar, jumlahnya mencapai ratusan orang, termasuk ibu-ibu tua yang datang tinggal dan belajar di sini.

Tetapi menurut Hj. Mohd. Ridhuan, oleh kerana perubahan masa dan belajar di sini tidak diiktiraf secara pengeluaran sijil dan sukar mendapat pekerjaan, sebab itu pengajian merosot, akhirnya pelajar-pelajar perempuan yang tinggal dipondok tidak dibenar tinggal di pondok, mereka datang belajar dihantar oleh anak-anak. Akhirnya pada tahun 1979 pengajian di sini berakhir. Di atas tapak-tapak pondok terdiri rumah-rumah kediaman anak menantu keluarga Tuan Haji Husin dan surau hanya digunakan sebagai tempat solat berjamaah penduduk setempat, khususnya bagi keluarga Haji Husin di sini. Menurut Tuan Haji Ridhuan bekas pekerja perkapalan itu, ``Terdapat tinggalan kitab-kitab yang digunakan dalam pengajaran di Pondok di sini. Kata Haji Ridhuan, ``Terdapat ramai keluaran Pondok Haji Husin seperti Kiyai Ehsan, Ustaz Mohd Mahrol dan ramai lagi.`

Dalam masa kami bercakap dengan En. Mohd. Ridhuan, beberapa orang kuat Y.B. Dr. Ahmad Yunus datang menemui Adun untuk membawa ke sebuah pondok lagi, iaitu Pondok Haji Ali Qaribun, adik beradik bagi Haji Abbas bapa kepada Haji Husin Guru Pondok di atas. Haji Ali belajar di Jawa, Indonesia sekitar 1868-1878 dan juga di Makkah sekitar 1880an berpuluh tahun di sana. Pondok Haji Ali ini adalah lebih tua dari Pondok Haji Husin. Letaknya lebih kurang 5km. masuk ke dalam. Kami ditunjukkan tapak pondok. Kiyai Haji Ali dijangka menetap dan mengajar di Sijangkang selepas di Singapura dan Johor sekitar 1335H/1917M. Beliau bersama penduduk setempat mendirikan masjid bagi pusat pengajaran. Masjid itu dikenali dengan Masjid Kiai Haji Muhammad Ali Umar Sijangkang. Masjid lama ini kemudian diroboh dan didirikan dengan bangunan kini yang dikenali dengan Masjid Kiai Haji Muhammad Ali yang dirasmikan oleh Sultan Hishamuddin pada tahun 1921. Masjid ini sekali lagi dibina baru pada tahun 1995 dengan nama Masjid Al-Ihsaniyah.

Menurut En. Mahror Setiausaha Masjid Jami` Al-Ihsaniyah yang bersama kami, pengajian pondok di sini pernah mencapai 200 orang, termasuk pelajar warga emas perempuan. Bekas-bekas pelajar di sini adalah datangnya dari Johor, Perak, Melaka, Kelantan dan dari Selangor seperti dari Kelang, Sabak Bernam dan Sungai Air Tawar.

Kitab-kitab yang digunakan oleh Tuan Guru Haji Ali antaranya Safinatun-Naja, Fathul Mu`in, Matan Al-Jurumiyah, Ihya` Ulum ad-Din, Khazinah al-Asrar, Tafsir al-Munir dan Tafsir Al-Jalalayn. Antara murid-murid Haji Muhammad Ali yang terkenal ialah Kiai Basri Sijangkang, Kiai Yunus dan Kiai Parjo. Kiai Haji Ali berkhidmat di Selangor 40 tahun dan berumur lanjut. Beliau meninggal pada hari Jumaat 28 Januari 1955 bersamaan 05 Jamadil Akhir 1374H. Makam Haji Ali disemadikan berhampiran masjid di sini. Turut sama dikebumikan di sini ialah isterinya. Semua pondok di sini sudah tiada. Kami ditunjukkan makam Tuan Haji Ali dan isterinya. Satu kesan yang masih ditinggalkan dari zaman pondok ialah `Perigi` yang dilarang ditimbus. Sebab itu perigi ini masih kekal dipeliharakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment