Bengkel selama 2 hari bermula dari 19 – 20 Jun 2012 bertempat di Dewan Raja Lumu Muzium Sultan Alam Shah, Selangor adalah dirasmikan pembukaannya oleh YB Dr. Ahmad Yunus Exco Perbadanan Adat Melayu dan Warisan, Belia dan Sukan. Beliau mengharapkan bengkel berjaya dan bertaraf akademik. Dengan bengkel dan kajian bukan saja dapat menemui bahan, tetapi menyelamatkan naskhah dari luput. Beliau berharap bahan bengkel menjadi rujukan pada masa akan datang. Bengkel ini anjuran bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dengan Bahagian Penyelidikan Sastera DBP dengan kerjasama Yayasan Karyawan dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Bengkel berhasrat kalau boleh mahu membicarakan apa jua aspek yang berhubung dengan negeri Selangor. Bagi mendapat maklumat bagi negeri Selangor, antara sumber yang penting ialah arkib.Sebab itu dalam penyusunan pembentangan persoalan sumber ini diawalkan seperti kertaskerja Sumber-sumber Bahan Di Arkib Negara Malaysia Berkenaan Negeri Selangor dibentangkan oleh Encik Azmi Abdul Aziz. Menurutnya, Antara maklumat terawal di arkib mengenai Selangor ialah mngenai Sekretariat Kerajaan Negeri Selangor (1875-1898). Puan Effah Imtiaz Zainol membicarakan Khazanah Kesultanan Melayu Selangor di Perpustakaan Negara Malaysia. Kesultanan Selangor dari Keturunan Bugis bermula dari pertengahan abad ke 18, apabila Raja Lumu, putera kepada Daeng Chelak dan abang kepada Raja Haji menjadi Sultan Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Salehuddun dan memerintah selama 22 tahun (1756-1778), Daripadanya dan dari keturunannya berterusan jurai keturunan Kesultanan Negeri Selangor hingga kini.


Namun naskhah-naskhah yang langsung dihasilkan di Selangor atau tokoh-tokoh berada di Selangor lebih langsung menampilkan maklumat atau bahan-bahan di Selangor, termasuk mengenai tokh-tokoh (tidak semestinya bahan sejarah sahaja). Kertas-kertas seperti inilah yang paling banyak dibentang dan selayaknya dibentang, kerana topik pembicaraan mengenai Selangor. Kertas-kertas dimaksudkan ialah:
1) Surat-Surat Sultan Abdul Samad Menjejaki Beberapa Aspek Sejarah Selangor Dari Tahun 1857 Hingga 1898 oleh Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali.
2) Kesinambungan Sistem Kerajaan Melayu: Kajian Perlembagaan Selangor oleh Prof. Datuk Zainal Kling.
3) Adat Dan Budaya Dalam Kenang-Kenangan Selangor oleh Datuk Zainal Abidin Borhan
4) Salasilah Dato` Ungku Kelang oleh Puan Halimah Hassan
5) Riwayat Tengku Musauddin – Hubungan Dua Teks, Hikayat Dan Sejarah.
6) Adat Segala Hamba Orang Lari Di Dalam Selangor Berasaskan Salinan Manuskrip Oleh Edouard Dulaurier 1840 oleh Prof. Madya Dr. Jelani Harun
7) Mata Wang Kesultanan Melayu Selangor: Interpretasi Jumpaan Terkini Di Kampung Lubuk Jaya oleh Dr. Mohd. Supian Sabtu.
8) Kitab Tazkiyat Al-Anzar Wa Tasfiyat Al-Afkar Karangan Tengku Mahmud Zuhdi Bin Tengku `Abd Al-Rahman Al-Fatani – Shaykh Al-Islam Selangor: Melibas Fatwa Salah oleh Dr. Mohd Taufik Arridzo Bin Mohd. Balwi.

Dalam Ucapan Penutup Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim mewakili DBP memaklumkan Kajian Manuskrip Kesultanan Negeri Selangor makin melengkapkan kajian yang telah dibuat -Kajian Naskhah Terangganu, Kelantan dan Kedah. Kajian akan datang mengenai Negeri Sembilan, Melaka dan lain-lain lagi. Beliau berharap pemakalah-pemakalah memperbaiki makalah-makalah masing-masing dan kembalikan kepada DBP dalam kadar segera bagi tujuan penerbitan.
Manakala Dato` Paduka Raja Dato` Haji Wan Mahmood Pa` Wan Teh Orang Besar Daerah Gombak dalam Ucapan Penutupnya mewakili PADAT menyatakan pentingnya pengajian sejarah. Dengan sejarah dapat membetulkan fakta dan persepsi yang salah. Misalnya British menganggap penentang-penentang mereka seperti Bugis sebagai lanun. Pada hakikatnya Bugis adalah pahlawan-pahlawan yang menentang penjajahan seperti British dan Belanda, sebaliknya British dan Belandalah lanun maha besar yang menjajah Negara ini dan Negara-negara yang lain !
Beliau berpendapat bengkel ini amat berguna. Bengkel-bengkel sedemikian harus diteruskan pada masa hadapan, termasuk bengkel-bengkel kecil melibatkan pakar-pakar bagi mengkaji aspek-aspek yang lebih halus yang memerlukan penelitian yang lebih mendalam. Menurutnya, ``Apa yang dihasilkan dalam bengkel ini akan menjadi warisan yang akan ditatap oleh anak cucu dan warisan akan datang.`` Beliau berharap hasil dari bengkel akan diterbitkan.
Adun Bangi sebagai Pengerusi PADAT bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan bengkel. Beliau berpendapat Bengkel Bertaraf Ilmiah dan Berkualiti. Insya Allah kegiatan ilmiah sedemikian akan diteruskan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment