June 12, 2012

Menemani YB Teo Nie Ching Ke Surau Al-Amin, Flat Seri Kulai, Balakong

Balakong, 17 Rejab 1433 = 07 Jun 2012 (Khamis):

Pihak Lajnah Kebajikan Adun Bangi diketuai Tuan Haji Rushdi mengatur program untuk Adun Bangi, Selaku Pembantu Exco Agama berada sama di Surau Al-Amin, Seri Kulai, Balakong untuk elak dari kontroversi, kerana YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang akan melawat surau berkenaan pada malam ini untuk menyampaikan bantuan yang dipohon oleh surau tersebut yang berada di dalam Parlimen Serdang. Adun Bangi bersetuju untuk hadir sebelum Isya` di surau tersebut. Adun berbincang dengan Lajnah Kebajikan, sempena kehadiran di surau, adalah lebih elok Adun juga membawa sedikit sumbangan sempena kehadiran Adun ke surau itu buat pertama kali.

Kami bertolak dari Pejabat Adun di Bandar Baru Bangi, selepas solat Maghrib ditunggui Tuan Haji Rushdi di sebuah Stesyen Petronas untuk diikut kami ke perumahan Seri Kulai. Kami tiba sebelum Isya` dan berjamaah bersama menunaikan solat Isya`. Surau yang diberi nama Surau Al-Amin adalah surau yang diwujudkan di bawah bangunan Flat – Bangunan B daripada 3 bangunan (A,B & C), agak sempit boleh memuatkan 5 baris jamaah lelaki, di samping jamaah wanita di sebuah partition, bahagian belakang.

Penduduk di tiga buah bloke ini adalah terdiri dari 65 peratus Melayu 30 % India dan 5% India. Dari segi sejarahnya pada akhir 1990an kawasan di sini dan sekitarnya adalah bekas lombong dan kawasan setinggan. Kemudian mereka dikelompokkan ke rumah panjang dan berikutnya rumah pangsa disiapkan dan dijual kepada mereka. Mereka tinggal di sini lebih dari sedekad lepas. Mereka belum habis melunaskan hutang bayaran rumah.

Semasa kami sedang bersolat Isya` YB Teo tiba dengan pengiring-pengiringnya, tetapi YB Teo tidak dapat terus ke surau kerana beliau tersekat oleh kumpulan yang kebanyakannya orang India – pembeli-pembeli rumah yang mahu memprotes tentang bayaran yang dikenakan terhadap mereka - RM1,000 bagi setiap pemilik. Mereka menyampaikan bantahan terhadap YB Teo. Selepas bersolat, majlis yang sepatutnya terus diadakan di anjung Surau terganggu. Adun Bangi turut pergi meninjau, mengapakan berlaku himpunan yang menyekatkan jalan.

YB Teo terpaksa menerangkan, bahawa bayaran yang dikenakan bagi setiap pemilik sebagai premium bagi pemindahan milik strata kepada pemilik yang kelak jika mau dipindah kepada waris atau mau dijual tidak bermasalah. Sebelum pemindahan milik strata, maka tiada peluang untuk pemilikan, walaupun selepas hutang dilangsaikan. Akhirnya mereka faham dan berpuashati dan himpunan bubar.

Selepas itu Majlis Penyerahan Bantuan dijalankan, iaitu bertempat di tepi bawah surau dan bukan di dalam surau. Selain dari Ahli Parlimen dan Adun yang hadir, turut hadir ialah Encik Mohd Ali Ahli MPKj bagi Balakaong, En. Razali bin Mat Dali Imam Surau, para jamaah dan jemputan. YB Teo dalam ucapannya, menyebut kehadirannya bagi menyerahkan cek yang dipohon bagi pembaikan surau, iaitu sebanyak RM2,000. Beliau berharap dengan bantuan itu dapat digunakan bagi kepentingan surau. Beliau juga menyebut bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan Negeri Selangor. Jika tuan-tuan dan puan-puan kekalkan pemerintahan sekarang, banyak lagi kemudahan-kemudahan yang diberi oleh kerajaan Negeri.

Adun walaupun tidak berkenaan dan kedatangan sekadar meraikan, diminta juga bercakap ringkas. Beliau berterima kasih dan bergembira melihat keharmonian masyarakat yang terdiri dari berbagai-bagai kaum.berterusan duduk di dalam keadaan aman. Diharap keharmonian berterusan. Kepada orang-orang Islam Adun berharap menjadikan surau tempat kegiatan ibadat, keilmuan dan kemasyarakatan. Adun berharap surau akan lebih meriah dengan kegiatan Ramadhan yang hampir tiba.

Dalam Majlis ini YB Teo menyampaikan bantuan cek bernilai dua ribu ringgit untuk surau dan barangan kepada 8 orang yang miskin, manakala Adun sampaikan sedikit kewangan bagi setiap orang daripada mereka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment