Begitu kontradiknya tajuk di atas. Apa hubungannya masalah obesiti (gemuk) dengan Masjid Terbengkalai? Tapi itulah realitinya. Penduduk Rimbawan, Seksyen 2, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan mendapat geran RM50,000 daripada pihak Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (My Sihat) bagi menjalankan berbagai-bagai aktiviti yang berhubung dengan kesihatan. Program berlangsung dari 3 Disember 2011 hingga 10 Jun 2012. Sebanyak 54 aktiviti telah dijalankan pada setiap hujung minggu selama 6 bulan. Program sebagai kajian berfokus kepada 170 orang dari segi menurunkan berat badan sekurang-kurangnya 15%. Program ini disokong oleh urusetia yang terdiri dari 20 tenaga.
Pada hari ini adalah Hari Penutup. Persatuan Penduduk Taman Pinggiran Putra mengharapkan YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim dapat turun bersama YB Tuan YB Dr. Xavier Jayakumar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prehatin. Namun YAB Dato` Menteri Besar tidak dapat hadir, lantas mewakilinya kepada YB Dr. Abd. Rani bin Osman Selaku Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor. Namun beliau juga tidak dapat hadir dan mewakili kepada Adun Bangi, selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam.
Adun Bangi selaku Pembantu Exco Agama, berterima kasih di atas jemputan hadir dan dapat berkenalan dengan penduduk setempat dan memahami masalah yang dihadapi penduduk yang memerlukan tempat kegiatan bagi masyarakat setempat. Sebuah masjid yang diidamkan oleh penduduk wajar segera disiapkan. Kepentingan masjid amat dirasakan, khususnya apabila tiba bulan Ramadhan nanti. Saya difahamkan kata Adun, ``Ada sedikit masalah yang dihadapi penduduk. Adalah difahamkan pembangunan masjid sudah dilakukan sebagai projek usahasama antara Persatuan Pesara dan Kakitangan Jabatan Perhutanan Selangor dan Pelangi Home di atas tanah berkeluasan 1.255 ekar beralamat Plot B, Jalan PP 19, Seksyen 2, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dan mendapat kelulusan Pejabat Tanah dan JAIS.
Perjanjian telah ditandatangani antara pihak Pemaju serta PPKJPS dengan pihak Pemaju bersetuju menyumbang kos pembinaan masjid RM1,200,000.00, sebuah surau RM100,000.00 dan sebuah Dewan Orang Ramai RM300,000.00. Sejak Mac 2008 tender pembinaan masjid dikeluarkan. Pada Jun 2008 pihak kontrektor memberhentikan kerja-kerja disebabkan lambat mendapat tuntutan bayaran dari pihak PPKJPS. Kos sebanyak RM341,285.00 telah dibayar untuk kerja-kerja awal dan kerja pembinaan terbengkalai.
Perbincangan pernah diadakan antara Persatuan Penduduk, PPKJPS dan Pelangi Home SB. Pihak Pemaju setuju memasukkan baki sumbangan sebanyak RM1,158,715.50 kepada pihak PPKJPS dengan bayaran berkala RM200,000.00 sebulan mulai Januari 2011 dan dimasukkan terus ke dalam akaun Tabung JK Pembinaan Masjid, Taman Pinggiran Putra dan membuat permohonan pungutan derma dari JAIS dan mendapat kelulusan. Namun menurut Persatuan Penduduk pungutan derma berkenaan tidak pernah dimaklumkan kepada umum. Pihak Persatuan mengharapkan mereka diberi ruang untuk sama berusaha menyiapkan masjid. Namun Adun difahamkan tidak ada sekata antara Persatuan Pesara, AJK Pembinaan Masjid (juga Ahli dari Persatuan Pesara) dan Persatuan Penduduk.
Adun berpendapat ketiga-tiga pihak perlu duduk berunding dengan ikhlas hati bagi tujuan membina masjid yang tapaknya sudah dibina. Duit yang ada hendaklah digunakan bagi pembinaan. Jika ada kesepakatan, kita percaya penduduk dan orang ramai tentulah berminat untuk menambahkan derma, tetapi dalam keadaan sekarang menimbulkan keraguan bukan saja di kalangan penduduk, tetapi juga pihak pentadbir dan pemerintah.
No comments:
Post a Comment