June 16, 2013

Mengenangi Kembali Ke Rahmatullah Ustaz Hassan Shukri - Al-Fatihah

BBB, 06 Sya`ban 1434 = 15 Jun 2013 (Sabtu):

Tarikh 14 Jun 2010 bersamaan 01 Rajab 1431 kembalinya ke Rahmatullah Ustaz Hassan Shukri, maka pada tarikh 14 Jun 2013 genaplah tiga tahun tarikh meninggalnya Ustaz Hassan Shukri seorang yang amat berjasa di dalam pergerakan Islam, khususnya Pas. Seluruh hidupnya diwakafkan bagi perjuangan Pas. Beliau meninggal dunia selepas kembalinya dari Muktamar ke 56 Pas yang dihadirinya di Putik Kota Bharu beberapa hari sebelum daripada itu. Dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, Kelantan dikatakan beliau turut sama memandu. Beliau mengadu sakit dada. Keesokannya beliau dibawa dari rumahnya ke Hospital Selayang dan meninggal. Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un.
Berita meninggal secara mengejut Ustaz Hassan Shukri mengejutkan terutama ahli-ahli Pas seluruh Negara. Penulis turut sama menziarah kematian Ustaz Hassan Shukri bersama saudara Shahrum Abdullah dan saudara Amir Othman pada petangnya dan turut bersolat jenazah di rumahnya diimami Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Orang ramai menziarah bertali arus dan tidak putus-putus. Esoknya disolat jenazah lagi diimami oleh Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat di Surau Haji Hassan, surau Ustaz Hassan dirikan dan mengajar di situ. Nama surau diabadikan dengan namanya. Jenazah dikebumikan pada pagi Selasa 2 Rajab 1431 = 15 Jun 2010 di tanah Perkuburan Taman Selasih, tidak jauh dari Markas Tarbiah Melewar, Gombak yang rumah Ustaz Hassan Shukri juga di situ.


Penulis mempunyai hubungan yang rapat dengan Ustaz Hassan Shukri, pada masa beliau menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor 1995-2003 penulis dipilih bertanding bagi pilihanraya Dun Kajang (1999-2004) dan menang bagi Dun Kajang (29 November 1999) bersama Dato` Dr. Hasasn Ali (Sungai Burung), Dato` Ismail Kamus (Gombak Setia) dan Ustaz Sallehin Muhyi (Sungai Besar). Pada masa beliau juga, maka Penulis sebagai Adun Kajang dilantik menjadi Pesuruhjaya III Pas Selangor (2001-2007) dan berterusan hingga ke sebahagian masa Dato` Dr. Hassan Ali menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor. Jadi Penulis sering menghadiri mesyuarat AJK Pas negeri Selangor dan mesyuarat-mesyuarat yang lain di Markas Tarbiah di Melewar yang dipimpin oleh Ustaz Hassan Shukri.


Sesungguhnya Ustaz Hassan Shukri adalah model kepimpinan Pas dan Islam yang ideal. Ustaz Hassan Shukri dilahirkan di Sabak Bernam pada 10 November 1939 dari suku Banjar. Pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Sabak Bernam, kemudian belajar Madrasah Irshad al-Nas sebelum ke Madrasah Yahyawiyah Padang Rengas, Perak. Beliau menjadi guru di Madrasah Yahyawiyah  mulai 1958 -1964. Dalam masa tersebut beliau mulai bergerak dalam Pas dan sama bergiat di dalam Kesatuan Penuntut Islam Semalaya (KEPAS) di bawah payung Pas. Antara yang bergiat di dalam KEPAS ialah Ustaz Jais Anwar, Ustaz Fadhil Nor dan Ustaz Uthman Hamzah.


Pada tahun 1964 Ustaz Hassan Shukri dan 9 kawannya ditawarkan menyambung pengajian di Universiti Baghdad. Mereka ialah:

Mohammad Daud Iraqi  (Bekas Ketua Dewan Ulama` Pas)
Ustaz Hashim Jasin  (Mantan Adun di Perlis)
Dahlan Muhammad Zain  (Abim Perlis)
Abdul Ghani Kasa
Azman Ahmad
Hasbullah Kasbun
Imaduddin Ahmad
Abdul Halim Yahya
Abdul Rahim  Mohd Zain

Semasa mereka ke Iraq, Negara Iraq di bawah pemerintahan Presiden Muhammad Arif Abdul Salam aktivis yang mendukung perjuangan Ikhwanul Muslimin yang menghadapi tekanan parti Ba`th yang mendokong sosialis. Ustaz Hassan Shukri belajar di dalam bidang Syariah dan Bahasa Arab. Mereka mengikuti gerakan Ikhwan Muslimin secara senyap di Iraq. Ustaz Hassan pulang dari Iraq pada tahun 1968 dan mula berkhidmat di Taiping disamping meneruskan kegiatan dalam Pas. Beliau kembali ke Padang Rengas dan pada 1969 berkahwin dengan isterinya Ustazah Hamidah binti Abu Talib anak muridnya bila berkhidmat semula di Madrasah Yahyawiyah, padang Rengas.


Pada tahun 1970 (masa kerajaan Perpaduan) Ustaz Jaiz Anwar Ketua Pemuda Pas ditawar belajar di London, lantaran itu Ketua Pemuda Pas dipangku oleh Mejer (B) Tengku Zahid (Ahli Parlimen Pasir Mas), lantas Ustaz Hassan Syukri memangku jawatan Timbalan Ketua Pemuda. Pada tahun 1971 semasa Muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Jun 1971 Ustaz Hassan Syukri dilantik menjadi Ketua Pemuda Pas Pusat. Beliau menggerakkan tujuh ribu ahli Pemuda Pas beserta ABIM dan juga Rahmaniyah bagi menegakkan Islam dan Pas.

Berikut dari kejayaan pimpinan beliau pada peringkat pemuda, beliau kemudian dilantik sebagai Setia usaha Agung Pas pada 1973 hingga1979 dengan melepaskan jawatan Ketua Pemuda kepada Tuan Haji Mustapha Ali. Ustaz Hassan Syukri terus diberi kepercayaan dengan dilantik sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat 1979 – 1981 & 1982 – 1999.
Pada tahun 1999 -2003 diangkat menjadi Naib Presiden diikuti dengan Timbalan Presiden 2003 – 2005, iaitu jawatan tertinggi yang pernah diberi kepercayaan kepada Ustaz Hassan Shukri di dalam memimpin Pas.

Selama di Kuala Lumpur beliau pernah tinggal di Keramat berulang-alik ke Pejabat di Jalan Pekeliling berkhimat sebagai kerani, kemudian ke Taman Setapak semasa berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Yadim semasa di dalam Kerajaan Pakatan sebelum Pas ditendang keluar pada 1978 dan kemudian beliau berpindah ke Melewar apabila membeli rumah di sana yang kemudian rumahnya menjadi sebahagian dari Kompleks Tarbiah Pas.

Semasa bergiat dalam Pas beliau pernah bertanding di kawasan Parlimen Sabak dan Dun Sungai Besar (1969) dan 1978 & 1982 di Parlimen Sabak juga Parlimen Batu (1986), tetapi semuanya kalah. Begitulah perjuangan Pas yang dirintis oleh pemimpin-pemimpin Pas termasuk Ustaz Hassan Shukri. Begitu sukar untuk mendapat kepercayaan pada peringkat permulaan dari masyarakat seperti di Selangor. Tetapi kemenangan bukan menjadi tujuan utama, tetapi yang penting ialah bagi menyampaikan dakwah Islamiah. Adalah dikatakan, pada peringkat permulaan di Selangor, jika tidak hilang deposit sudah dianggap baik, tetapi dengan berkat kesungguhan dan ikhlas dalam perjuangan dan berterusan mencari pendekatan yang tidak bercanggah dengan Islam secara tahaluf siyasi seperti `Majlis Perundingan`, `Kerjasama Alternatif`, `Perpaduan Antara Kaum` membawalah kepada Pakatan Rakyat membuka jalan kepada sokongan rakyat yang semakin meningkat dan membuka ruang kepada kemenangan. Ustas Hassan Shukri adalah salah seorang Mujahid Peneroka bagi berbagai pendekatan yang membuka jalan dan ruang untuk dilalui oleh generasi pejunag Pas seterusnya.

Bagi mengenang jasanya Ustaz Hassan Shukri dilantik menjadi senator antara 1999-2005. Beliau juga pernah menjadi Wakil ke Wamy di Riyadh 1971, Misi Pendidikan Islam ke Riyadh (1973) mewakili parti ke Iraq dan menemui Presiden Saddam Hussein (1979) dan juga ke Amerika semasa Krisis Teluk.


Jihad Ustaz Hassan Shukri tidak ada noktah perhentian dari seusia muda 14 tahun (membawa alat untuk ceramah) mulai terlibat dengan perjuangan Pas membawalah ke saat akhir hayatnya masih di dalam harakah Islamiyah Pas.

Kita mendoakan kepada Allah semoga mencucuri rahmat dan barakah ke atas ruh al-Marhum Ustaz Hassan Shukri. Amin.

Sekian.

No comments:

Post a Comment