June 22, 2013

Mewujudkan Galeri Bangi Bandar Ilmu Sempena Lima Tahun Pelancaran


BBB, 13 Sya`ban 1434 = 22 Jun 2013 (Sabtu):


Pada 22 Jun lima tahun lepas (22 Jun 2008) Perisytiharan Bangi Bandar Ilmu dilakukan oleh YAB. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor bertempat di KUIS, Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor. Tarikh 22 Jun ini kemudian dikenali sebagai Hari Ilmu bagi Dun Bangi. Dokumen pelancaran dan bahan-bahan Bangi Bandar Ilmu telah diterbitkan di dalam buku Bangi Bandar Ilmu yang telah dilancarkan oleh YAB Dato` Menteri Besar pada 6 Januari 2013 di Bangi.

Sempena dengan tiga tahun Bangi Bandar Ilmu, maka pada awal tahun 2011 dilancarkan Pertandingan Menulis Esei dan Puisi, tarikh tutup pertandingan ialah pada akhir tahun tersebut. Keputusan Pertandingan diumumkan pada 22 Jun 2012 di Bangi Golf Resort dengan pemenang utama bahagian esei ialah saudara Azman bin Maamor (kini Pensyarah Sains Universiti Malaya) dan bahagian puisi ialah saudara Abdul Hadi Muhamad (Guru di Kelantan). Kumpulan esei dan puisi pemenang-pemenang diterbitkan di dalam buku berjudul `Gagasan Bangi`. Buku ini diterbitkan sempena 35 tahun Bandar Baru Bangi dibuka (1977-2012). Buku Gagasan Bangi ini serentak dilancarkan oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor bersama buku Bangi Bandar Ilmu pada 6 Januari 2013 di atas.


Sempena 5 tahun perisytiharan Bangi Bandar Ilmu, iaitu hari ini – 22 Jun (22 Jun 2008 – 22 Jun 2013) adalah tarikh mewujudkan sebuah Galeri Bangi Bandar Ilmu. Galeri ini bertempat di Pejabat Mantan Adun Bangi beralamat di No. 8, Jalan ¼ , 43650 Bandar Baru Bangi. Keperluan mewujudkan sebuah Galeri di Bangi telah lama disuarakan. Ianya perlu bersama (sebahagian) daripada Dewan Konvensyen Bangi. Ada ura-ura pihak PKNS mau dirikan Dewan Konvensyen ini di tepi Tasik Cempaka, tapi hingga kini masih belum menjadi kenyataan.

Oleh kerana harapan untuk diwujudkan sebuah Galeri di Bandar Baru Bangi oleh pihak PKNS tidak menjadi kenyataan, maka hasrat mewujudkan Galeri Bangi Bandar Ilmu ini, diambil inisiatif oleh Penulis dengan menggunakan bangunan Mantan Adun Bangi di atas. Niat mendirikan Galeri Bangi Bandar Ilmu ini bercambah di dalam hati sejak beberapa tahun lepas itu dan menjadi realiti apabila Pejabat Mantan Adun Bangi tidak lagi menjadi Pejabat Adun dan juga tidak lagi menjadi Pejabat Pas Kawasan Serdang. Pihak Pas Serdang menyerahkan kunci tidak menggunakan lagi pejabat di sini selepas Pilihanraya 2013, iaitu penyerahan pada 1 Jun 2013. Sebagai simbolik persediaan bagi menjadikan Pejabat Mantan Adun Bangi sebagai Galeri Bangi Bandar Ilmu, maka pada 1 Jun 2013 Penulis membeli dua buah almari standard untuk mempamerkan bahan-bahan bagi galeri Bangi Bandar Ilmu

Minat membuka Galeri Bangi Bandar Ilmu ini ada hubungan dengan keterlibatan Penulis  sebagai Ahli Lembaga Muzium Negeri Terengganu dari 1993 – 2004 (Lantikan mulai 1 September 1993) dan Pengerusi Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor sejak 18 Januari 2012 hingga  Februari 2013 dan kini Timbalan Pengerusi.

Mulai 1 Jun 2013 Penulis telah membeli sebanyak 6 almari standard yang setiap satu hitung panjang berharga RM1,000 ditambah dengan almari-almari yang sedia ada. (Walaupun disebut `Bangi Bandar Ilmu` bagi Penulis kawasan mencakupi semua kawasan yang pernah menjadi kawasan Dun Kajang dan Bangi yang pernah Penulis berkhidmat sebagai Adun). Setiap almari mempamerkan aspek-aspek tertentu, iaitu:

  1. Almari yang diisi dengan bahan-bahan `Bangi Bandar Ilmu`.
  2. Almari yang diisi dengan bahan-bahan mengenai Dun Kajang dan Bangi
  3. Almari diisi dengan tokoh-tokoh Pas dan tulisan-tulisan yang berhubung dengan mereka
  4. Almari berhubung dengan masjid dan surau di Dun Kajang dan Bangi
  5. Almari berhubung dengan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor
  6. Almari yang diisi dengan bahan-bahan berhubung dengan UKM
  7. Almari diisi dengan cenderahati yang diterima
  8. Almari yang diisi dengan bahan-bahan penulisan oleh penulis
  9. Himpunan diari-dairi
  10. Rak yang tersusun dengan fail-fail bagi Dun Kajang dan Bangi

Bersama dengan almari di atas terdapat 8 almari dan rak yang dipenuhi berbagai-bagai buku yang diguna sebagai bahan rujukan Penulis bila menulis, di samping bahan-bahan dari tempat lain.

 

Setiap satu daripada bidang di atas masih belum sempurna dan perlu kepada penambahan dan penyempurnaan.

Semua bahan-bahan di atas dipamer pada tingkat bawah. Banyak lagi bidang yang akan ditambah. Pertambahan akan dilakukan sedikit demi sedikit bergantung kepada kewujudan kewangan. Pengisian akan dibuat bagi mengisi ruang-ruang bilik pada tingkat atas. Antara bidang-bidang yang memerlukan kepada bahan-bahan untuk pengisian.

1)      Segala maklumat masjid dan surau (di atas) serta gambar yang akan menggunakan satu ruang khas di tingkat atas kelak.
2)      Maklumat dan land mark serta gambar  bagi semua kampung dan taman di Dun Bangi dan Dun Kajang
3)      Maklumat, gambar dan buku-buku institusi pengajian, Sekolah dan pendidikan di Dun Bangi dan Kajang
4)      Pejabat-pejabat dan pusat pentadbiran di Bangi dan Kajang
5)      Persatuan penduduk dan persatuan-persatuan taman
6)      Bangunan yang bersejarah dan mempunyai ciri budaya dan estetika
7)      Tokoh-tokoh yang berjasa di Bangi dan Kajang
8)      Kegiatan ekonomi di Bangi & Kajang
9)      Infra-struktur dan kemudahan di Bangi & Kajang
10)  Berbagai perkara yang akan ditambah menurut keperluan.

Galeri ini adalah dedikasi kepada penduduk Bangi dan Kajang yang pernah memberi amanah kepada Penulis menjadi Adun bagi kedua-dua tempat.

Pendekatan galeri adalah berorientasikan ilmu, sesuai dengan motto Bangi Bandar Ilmu.
Bahan-bahan yang boleh didapati adalah terhad, sebab itu sesiapa yang ada bahan istimewa untuk disumbang atau untuk dibuat salinan atau diambil gambar dan maklumat untuk diabadikan amatlah dialu-alukan. Nasihat juga diperlukan. Sila buat hubungan dengan Penulis selaku Mantan Adun Bangi dan Kajang.

Galeri ini mungkin slow dari segi perkembangan, kerana ia bergantung kepada tenaga dan kewangan perseorangan, namun atas nama minat akan diteruskan. Insya Allah.

(Catatan: Sempena dengan pengwujudan Galeri  Bangi Bandar Ilmu pada hari ini, maka Blog ini yang menjadi pengantara maklumat termasuk bagi Galeri Bangi Bandar Ilmu, menerima jumlah pembaca hingga hari ini berjumlah 500,000 pengunjung dan terus meningkat – Insya Allah). Terima Kasih.

Sekian.

No comments:

Post a Comment