September 11, 2009

Menyambut Tuan Guru Presiden ke Surau Al-Amin

Bandar Tun Hussein Onn, 17 Ramadhan = 7 September (Isnin)

Allah mengatur rapi pergerakan kami dengan jadual yang tidak ada cacat celanya. Sebaik tiba ke Surau Al-Amin, sembahyang tarawih baru hendak bermula. YB Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS dijangka tiba bertazkirah selepas tarawih. Kami seolah-olah menyambung sembahyang isyak (di Batu 10, Cheras) dengan tarawih di BTHO berterusan.

Sebaik tarawih dan doa selesai, Tuan Guru tiba dan kami bergegas menyambutnya dengan dikerumuni oleh para jamaah untuk bersalam. Tuan Guru terus bertazkirah tentang 'Keistimewaan Ramadhan dan penurunan al-Qur`an yang diarak para malaikat dari Baitul Izzah. Diturunkan wahyu kepada Rasulullah s.a.w'. berlaku dalam tempoh 23 tahun. Puasa Ramadhan istimewa memupuk taqwa. Ramadhan bulan istimewa yang menawarkan kepada umat mengamal berbagai-bagai ibadat. Ibadat di dalam bulan Ramadhan menurut Tuan Guru berbeza dari bulan-bulan lain. Pahala beribadat di dalam bulan tersebut berganda, lebih dari 10 dan kemungkinan meningkat kepada 700 kali ganda atau lebih dari itu yang diberi oleh Allah kepada mereka yang dikehendakinya. Ramadhan menuntut amanah dan azam. Tuan guru berharap ibadat Ramadhan memperkukuhkan jiwa dalam berjihad menegakkan Islam.Selepas membasah tekak jam 11.00 malam Tuan Guru dihantar kembali ke tempat penginapan oleh yang menjemputnya Dr. Zaki dan kawan-kawannya.

No comments:

Post a Comment