November 30, 2009

PENGORBANAN WARGA KAJANG UTAMA


Hujan lebat yang melanda Bangi terutama pada lewat petang mengakibatkan aliran deras air menolak longgokan batu berhampiran Surau Muhajirin Taman Kajang Utama. Kesannya batu-batu kecil berselerakkan di atas jalan. Keadaan ini membahayakan pengguna jalan tersebut terutama pada motosikal.

Hendak ‘respon’ pihak-pihak yang terbabit membersihkannya perlu ‘TUNGGU’ apatah lagi pada hari cuti Aidil Adha. Dalam penantian berbagai perkara boleh berlaku.

Bagi menghindari pekara sedemikian Sdr. Abu Bakar bersama Hj. Azizi ‘berkorban’ masa dan tenaga membersihkan jalan dari serpihan batu agar pengguna jalan tersebut terasa selamat. Falsafah korban menyaluti diri mereka wajar kita contohi. Ramai antara kita cakna terhadap beberapa pekara seperti ini namun tidak bertindak. Kita lebih suka menunding jari menyalahkan pihak-pihak lain. Apa kesudahannya?

Semoga ‘korban’ yang dilakukan mendapat balasan dari Allah.

KORBAN DI BANGI




Sejumlah 14 ekor lembu dikorbankan dalam program ibadah korban di Bangi. Program tersebut dijalankan serentak di dua tempat berasingan. Di Pejabat khidmat Masyarakat ADUN Bangi kerja gotong royong lebih mudah kerana lembu telah disembelih ditempat lain (Bangi Lama). Kira-kira 20 orang AJK terlibat memotong daging seterusnya diasingkan untuk diagihkan dibeberapa tempat terutama di Council Home dan Perumahan Flat Seksyen 16.
Seterusnya ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar bersama AJK yang lain turun padang pergi dari rumah ke rumah mengagihkan daging korban. Kesempatan bertemu dengan rakyat turut digunakan untuk mendengar segala permasalahan dan maklum balas program-program yang telah dilaksanakan.
Masjid Al-Hasanah turut menjadi tumpuan kerana agihan daging korban dilakukan disana. Hadir sama ialah nazir masjid, Tn. Hj. Hanapiah.

Sa`i


Perjalanan dan larian yang gusar
Antara Safa dan Marwah
Mengulangi peristiwa sejarah
Tangismu ya Ismail
Membuat bonda Hajar
Di tengah kepanasan
Berulang larian
Mencari air
Bagi putera kedahagaan
Dalam kebimbangan
Air mata duka berhamburan di perjalanan
Ke mana perginya bapamu Ibrahim
Meninggalkan kita berduaan
Dalam kesusahan ?

Ibu tanpa kecewa
Anak tanpa dosa
Memanjatkan doa pada Rahman
Putera kecil menendang-nendang
Tiba-tiba !!!
Terpancut air di kaki Ismail
Allah mengirimkan rahmatNya
Mengalirkan Zam-Zam
Bagi putera kesayangan
Dan mereka yang datang
Tanpa putusan.

Aku yang mengulangi peristiwa
Membendung duka mengombak di dada
Sekian lama mengulangi penghidupan
Masih goyah dari ujian
Sesalan berulang
Berhamburan duka di perjalanan.

Di penghujungan
Ya Rahman
Kumohon keampunan
Potongilah dariku kemungkaran
Seperti kupotongi rambutku
Pada tahallul ini
Dan basahilah imanku di dada
Dari dahaga kehidupan
Seperti kuteguk Zam-Zam ini
Dari dahaga perjalanan.
Shafie Abu Bakar,

Masjid al-Haram,

23.12.1405
08.09.1985.

November 29, 2009

Apa Itu Golongan BAGAMIS ?

Anekdot:
Apa Itu Golongan 'BAGAMIS' ?

Menurut teori ekonomi, setiap manusia perlu pada tiga perkara asas, iaitu perlindungan, makanan dan pakaian. Berhubung dengan perlindungan manusia memerlukan rumah sebagai tempat perlindungan. Untuk mendapat perumahan pula bergantung pada kemampuan kewangan seseorang. Yang kaya dari golongan atasan bukan saja mampu memiliki rumah banglo, tetapi juga kawasan taman yang luas. Golongan kelas menengah atasan memiliki banglo dengan kawasan terhad, manakala golongan menengah bawah mungkin mampu memiliki rumah berkembar. Rakyat biasa yang berkemampuan sederhana memiliki rumah teres dua tingkat dan rakyat biasa mampu memiliki rumah teres setingkat dan golongan miskin memiliki apa yang diistilahkan 'rumah murah'. Rumah murah ini sebenarnya tidaklah murah. Kalau dulu dalam lingkungan RM15,000 kemudian naik kepada 25,000 dan kini RM45,000! Harga itupun bergantung pada lokasi, kalau di Bandar lebih tinggi dari luar Bandar.

Dua hari sebelum bersidangnya DUN Selangor, tatkala diadakan Mesyuarat Pre-Cauncil pada 6hb. November, jam 2.30 petang di Bilik Gerakan, Tingkat Dua, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, tatkala ADUN masuk ke Bilik lebih awal dari masa Taklimat dan Mesyuarat, saudara YB. Iskandar Bin A. Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan yang seiring masuk dengan ADUN Bangi memberitahu,

"Ada berita baik untuk ADUN Bangi !"
"Berita apa ?", tanya ADUN Bangi.
"Ada projek perumahan baru untuk rakyat di Bangi !", beritahunya dengan wajah ceria.
"Oh! Perumahan rakyat bertaraf dunia itu ?", kata ADUN Bangi.

Maklumat berkenaan perumahan rakyat bertaraf dunia ini pernah diberitahu kepada ADUN sebelum dari ini. Cuma dalam fikiran ADUN tertanya-tanya,
"Kalau perumahan rakyat bertaraf dunia, bagaimana ya? Mampukah rakyat memilikinya?" Demikian bermain di kepala pemikiran ADUN.
"Sesuatu yang bertaraf dunia logiknya tentulah canggih! Kalau canggih tentulah mahal!"

Itulah persoalan yang ADUN memerlukan jawapan.
Jawapan bertaraf dunia dari ADUN tidak dijawab, sebaliknya katanya,

"Rumah mampu milik!", katanya. ADUN merasakan jawapan yang diberikan tidak sebagaimana dijangka dan diharapkan. Sebaliknya ADUN menghujahkan,
"Semua jenis rumah mampu dimilik bergantung pada kemampuan kewangan seseorang. Rumah banglo mampu milik oleh orang kaya, demikian rumah pangsa mampu milik oleh golongan berpendapatan rendah !" kata ADUN sambil bertanya,
"Berapa jangkaan harganya ?"
"Antara RM60,000 hingga RM70,000", katanya.
"Lebih mahal dari rumah murah!", kata ADUN.
"Itulah rumah mampu milik. Yang berkelayakan lebih dari rumah murah, tapi masih dikategorikan di Bawah Garis Miskin", tambahnya.
"Kalau begitu, mengapa tidak dinamakan saja rumah golongan BAGAMIS bagi mengelak dari kekeliruan ?", cadang ADUN.
"Rumah BAGAMIS ?", Tanya YB Iskandar.
"Ya", kata ADUN. "Rumah BAGAMIS maksudnya rumah bagi golongan Bawah Garis Miskin``, kata ADUN.
"Macam-macam", katanya. "Nanti kita fikirkan", tambahnya.
"Tapi adakah BAGAMIS ini layak dipanggil bertaraf dunia ?", hujah ADUN.
"Tentulah". Katanya, "Semua rumah yang ada didunia, sama ada yang murah atau mahal bertaraf dunia", jawabnya secara bergurau seolah memerli ADUN yang mengatakan semua rumah mampu milik berdasarkan kelayakan seseorang!

Perbualan kami terhenti, kerana YAB Dato Menteri Besar masuk diiringi Tuan Speaker dan pengiring-pengiring yang lain. Kami semua berdiri hormat, seterusnya berdiam diri mengikuti program majlis sebagaimana diatur.

Sekian.

November 28, 2009

QURBAN


Begitu berat seberat gunung kemampuan
ingin direbahkan di hamparan keikhlasan.

Memutuskan kesayangan dari khazanah diri itu
amat liat dan kehilangan itu menggerunkan,
segerun kilat tajam memancar dari pisau Ibrahim,

tatkala merebahkan Ismail putera kesayangannya di bumi kepatuhan.
Qurban itu adalah ketabahan
melihat sembilu pisau merentangkan ngilunya
ke leher kebakhilan lalu terasa bunyi luka `sass`
terkelar menampakkan keputihan lalu diiringi
gelegak-buak darah ketamakan memerah dari luka
maha parah.

Qurban mematikan hayat milik
kepentingan diri dengan menumpahbasahkan ehsan pada
bumi yang menyuburkan.
Mata kasar itu tidak peka
pada Malaikat yang diutus memerhati keikhlasan hati.

Bila-bila masa Dia menghulurkan kibasy gantian
dengan gandaan kurnia tanpa disangka-sangka.

Allahu Akbar ! ! !

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,

11 Zulhijjah 1430
28 November 2009.

Tindakan Selangor Hentikan Program BTN Tepat

Bangi, 10 Zulhijjah = 27 November (Jumaat):

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor mengambil keputusan mengharamkan pegawai-pegawai, kakitangan dan pelajar-pelajar pengajian tinggi di negeri itu menghadiri program BTN anjuran Kerajaan Persekutuan adalah tepat dan mengejutkan Kerajaan Pusat. Ini terbukti dari komen-komen dari pihak Timbalan Perdana Menteri (Perdana Menteri berada di luar Negara) Tan Sri Muhyiddin Yasin, Menteri Pertahanan Tan Sri Zahid Hamidi dan pegawai-pegawai atasan menunjukkan mereka tergamam, lantaran ianya di luar dugaan.

Tindakan adalah tepat kerana BTN adalah mekanisme doktrinasi yang sudah pasti digunakan bagi melemahkan musuh politik Kerajaan dari Kerajaan Pakatan Rakyat.. Antaranya tentulah merendahkan kemampuan PR memerintah dan kepimpinan’ Jika pegawai, kakitangan dan pelajar dari Selangor mengikuti program, mereka akan menjadi duri dan racun bagi Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri sudah bersedia dengan model Bina Insan yang dikenali dengan SPISE yang dapat menggantikan Program BTN. Model SPISE seharusnya ditingkat dan diangkatkan sesuai sebagai program yang dapat diikuti semua peringkat dari negeri-negeri PR,.

Sebagai lanjutan, tindakan mengharamkan BTN harus dilakukan oleh negeri-negeri Pakatan yang lain. Usaha ke arah menyatukan kurikulum dan Latihan hendaklah dilakukan oleh neger-negeri PR. Tindakan selanjutnya hendaklah diharamkan pula pusat-pusat BTN yang berada di negeri-negeri PR supaya tidak berlaku pertindihan dan pertembungan.. Kita berpendapat tindakan yang diambil, bukan merupakan membalas dendam, tetapi lebih kepada tindakan menyelamatkan. Tindakan ini seharusnya dibuat lama dahulu, tetapi apa yang dibuat masih belum terlambat.

November 27, 2009

Di Baitullah



Di tengah panas membahang
Kuusahakan diri ke hadapan
Sujud salat di kaki Ka`bah
Menyembah Allah
Dalam jamaah.

Di hujung salam
Kupanjatkan mohonan
Ya Rahman !
Ku pasti di tapak ku berdiri
Di bumi ku mencecah dahi
Sejak bermula ibadat ini
Tidak terkira yang berdiri
Dan mencecah dahi di sini
Dengan jiwa redah
Dengan bibir rekah
Dengan mata basah
Memohon keampunan
Berapa sudah dalam penerimaanMu
Janganlah jadikan penyerahanku
Di luar pertimbanganMu.

Di laman Ka`bahMu
Dalam gelombang tak berputusan
Dengan berihram kusertai tawaf
Menyempurnakan umrah
Ya Rahman !
Dalam berkitaran
Kupasti di jalur yang kulalui
Sejak seruanMu ke sini
Tak terhingga percik peluh dosa
Bercampur air mata
Tumpah di sini
Berapa dari mereka
Telah Kaukabulkan mohonan
Ya Rahman !
Janganlah jadikan ibadatku
Di luar penerimaanMu.

Ya Rahman !
Kusujud rapat di Ka`bah
Kukelilinginya bertawaf
Kukucup Hajar al-Aswad
Di Multazam kupohon
Di depan Maqam Ibrahim kusalat
Di Hijir Ismail kuberdoa
Semuanya ini tidak bererti
Tanpa penerimaanMu
Ya Rabbi.

Shafie Abu Bakar,

Makkah,
26 Zulhijjah 1405
11 September 1985.

Bimbang Dengan Projek Perumahan Baru Ganggu Jalan Di Taman Perumahan Lama

Bimbang Dengan Projek Perumahan Baru Ganggu Jalan Di Taman Perumahan Lama

Seksyen 4, Bandar Baru Bangi – 09 Zulhijjah = 26 November:

Berikutan dari aduan penduduk di kawasan di atas, ADUN turun bersama pengiring ke lokasi di atas, iaitu bersebelahan Surau Al-Amirin. Di sini kedapatan sebuah projek perumahan joint venture antara pihak PKNS dan Syarikat Swasta membangunkan projek perumahan yang dijangka berjumlah lebih tiga ratus buah rumah teres dua tingkat. Turut hadir ke lokasi – dijemput, ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, pihak Pemaju Tuan Haji Ariffin, Wakil PKNS bahagian Jurutera, penduduk.dan jurutera pemaju.

Punca aduan. ialah kebimbangan penduduk jalan keluar masuk dari projek ini akan menggunakan jalan keluar-masuk di kedua belah Surau Al-Amirin. Menurut penduduk ini akan mengganggu lalulintas di taman yang menyebabkan kesesakan dan mengundang bahaya dan tiada keselamatan bagi penduduk di kawasan berkenaan. Penduduk menunjukkan sebuah jalan cuba dibuka melalaui sebelah surau, tetapi percubaan ini dihalang penduduk dan hingga kini jalan ini tidak jadi dibaiki untuk dilalui.Sebaliknya pihak pemaju menggunakan jalan keluar masuk melalui seksyen 3, menyusuri jalan tepi perumahan kawasan banglo di situ. Setakat ini tiada bantahan ketara dari penduduk di situ.

Sesudah mendapat taklimat dari pegawai-pegawai dan meneliti plan dan peta pembangunan bahawa bagi perumahan di sini akan dibina sebuah jambatan merentasi sungai dan jalan ini akan ke luar ke Seksyen Lima, jalan Reko. Jalan ini akan diguna oleh penduduk yang bimbang terancamnya ketenteraman di tempat mereka. Tetapi penduduk berhujah, walaupun jambatan akan siap, penduduk dari perumahan baru akan menggunakan jalan-jalan di kawasan perumahan mereka. Walau bagaimana adalah tidak wajar penduduk setempat menghalang penduduk perumahan baru melalui perumahan mereka. Apa yang diharap mereka akan menjadi jiran yang baik dan akan turut sama memakmurkan surau.

Pada akhir pertemuan, selain dari jalan berjambatan, adalah disetujui bahawa pihak pemaju menghubungi Syabas bagi membuka satu laluan keluar jauh dari taman berkenaan. Adalah diharapkan jika keizinan diberi Syabas laluan asal paip air di situ akan digunakan sebagai jalan keluar masuk utama bagi penduduk di taman baru berkenaan.

Kesimpulannya dengan adanya laluan jambatan ke Seksyen lima dan laluan baru dibuka dijangka tidak akan mengganggu jalan-jalan kawasan taman penduduk, sebaliknya penduduk boleh mengambil manfaat dari dua jalan baru dibuka dengan membuka dua laluan ke jalan di taman yang baru, jika mereka mau. Sekian.

November 26, 2009

Kafa Integrasi Jalan 6 Mempunyai Bangunan Lebih Selesa

Jalan, Seksyan 16, Bandar Baru Bangi, 04 Zulhijjah = 21 November (Sabtu):

Jika pada tahun 1992, permulaan sekolah ini dibuka dengan hanya menggunakan kelas pada bangunan rumah teres satu tingkat berhampiran Surau Al-Falah dengan hanya 42 orang murid, maka pada hari ini pihak pentadbir Sekolah Kafa Integrasi, Jalan 6, yang diketuai Pengerusi PIBG Tuan Haji Mat Ali Bin Mohamed dan AJK dan Ketua Guru Ustazah Baenah Bt. Omar dan guru-guru serta seluruh murid dan ibu bapa bersyukur, kerana kini sekolah ini mempunyai bangunan baru 2 tingkat yang baru siap dengan peruntukan sebanyak RM450,000, iaitu dari peruntukan zakat negeri Selangor.

Kini sekolah ini mempunyai sebanyak 13 bilik kelas dicampur dengan kelas-kelas di bangunan lama. Ini bermakna sekolah ini lebih mampu menerima pertambahan murid-murid.

Sekolah ini kini mempunyai 380 murid dengan 10 orang guru JAIS dan 3 orang guru dari elaun sekolah. Sekolah Kafa Integrasi ini mempunyai perbezaan dari sekolah Kafa biasa. Murid-murid darjah 5 mengambil peperiksaan anjuran JAKIM yang dikenali dengan peperiksaan UPKK dan pada tahun 6 murid-murid mengambil peperiksaan PSRA biasa. Ini bermakna mereka yang lulus dengan baik boleh menyambung ke sekolah Menengah Kebangsaan Agama atau Sekolah Menengah Agama Negeri yang diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan di samping sekolah-sekolah yang lain.

Pada hari ini pihak sekolah mengadakan Majlis Hari Kecemerlangan Tahun 2009 yang dihadiri pihak PIBG, ibu bapa dan guru-guru bagi meraikan kejayaan murid-murid. Pada tahun ini murid yang berjaya di dalam PSRA, iaitu seorang mencapai keputusan mumtaz, iaitu Nur Insyirah bt. Farid dan 8 orang mencapai jayyid jiddan, manakala bagi peperiksaan UPKK, dua orang mencapai 8 A, iaitu Aishah Al-Humairo Bt. Adnan dan Aqilah Syahirah Bt.Ahmad Adzhar dan 11 orang mencapai 7A. ADUN Bangi diberi penghormatan merasmikan Majlis Hari Kecemerlangan 2009 Kafa Integrasi Jalan 6.

Tahniah kepada semua dan selamat maju jaya.

November 25, 2009

Projek-Projek Pembangunan di DUN Bangi

Bandar Baru Bangi, 06 Zulkaedah = 25 November (Rabu)

Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat yang berlangsung pagi ini memaklumkan beberapa projek pembangunan yang berlangsung di DUN Bangi, iaitu:

1) Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi yang masih tidak mempunyai longkang saluran air akan dibina longkang yang boleh melayakkannya mendapat CF.

2) Bangunan Pusat Komuniti di Seksyen Empat Bandar Baru Bangi yang rosak diminta pihak MPKj mengambil tanggungjawab membaikpulih bangunan, pihak PKNS dari segi tapak dan pihak Pejabat Daerah menguruskan mengenai tanah.

3) Sebuah Sekolah Menengah akan didirikan di Jalan 6 di atas tapak yang telah diperuntukkan bagi sekolah tersebut. Peruntukan bagi projek ini dimasukkan ke dalam Projek Pembangunan Rancangan Malaysia ke 10. Adalah diharapkan sekolah ini menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Bandar Baru Bangi.

4) Cadangan untuk membina sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Sungai Ramal di atas tapak klinik kesihatan kini dalam perhatian.

5) Perhentian Teksi di hadapan Stesen Shell Seksyen 16 Bandar Baru Bangi diluluskan. Pembinaan tapak sudah dilakukan seminggu yang lepas. Hari ini kerangka bangunan mulai dibina dan dinaikkan.

6) Meningkat dan membesarkan jalan Sungai Ramal Luar dari jalan Kajang – ke Toll Kajang melalui hadapan Masjid Sungai Ramal Dalam ke Seksyen 8 akan dipertimbangkan oleh JKR di bawah projek RMK ke- 10.

7) Penghulu, pegawai dan kakitangan yang tinggal di Kuarters Kakitangan Kerajaan, Seksyen 14, Bandar Baru Bangi diminta menguruskan dan memanfaatkan Dewan Orang Ramai bagi kawasan kuaters di situ.

8) Pihak berkuasa diminta memberi perhatian dan tindakan terhadap siber café haram dan memastikan anak-anak sekolah tidak berkeliaran di tempat-tempat berkenaan.

9) Menyiapkan Blok Gantian (Bilik Darjah), Sekolah Kebangsaan Jalan 2, Bandar Baru Bangi.

10) Menyiapkan Blok Gantian (Bilik Darjah), Sekolah Kebangsaan Jalan 8, Bandar Baru Bangi.

11) Menyiapkan bangunan tambahan Sekolah Rendah Agama Integrasi Bandar Baru Bangi.

12) Menyiapkan Masjid Sungai Ramal Luar.

13)Projek tebatan banjir Sungai Bangi dan menaiktaraf Sungai Bangi dan Sungai
Reko.

14)Menaiktaraf Sungai Ramal Fasa I dan II.

15) Berusaha menurunkan kadar kes penagihan dadah di Hulu Langat yang
meningkat sebanyak 30%, iaitu sejumlah 1,100 dalam tempoh enam bulan mutakhir.

(Pejabat Daerah Hulu Langat)

(Dalam pembinaan ; Hentian Teksi Seksyen 16, BBB)

Sekian makluman. Terima kasih.

Kafa Al-Hidayah, Kajang Utama Perlu Bangunan Sendiri

KAJANG Utama, 3 Zulhijjah = 20 November 2009 (Jumaat)



Sekolah Rendah Agama Kafa al-Hidayah adalah merupakan salah sebuah SRA rakyat yang termaju di Hulu Langat. Sekolah ini mempunyai lebih dari 700 orang murid dengan 23 guru bantuan JAIS, di samping guru-guru dibayar elaun oleh sekolah. Melalui Majlis Khatam Al-Qur`an Dan Hari Kecemerlangan yang diadakan pada hari ini, Majlis diberitahu 5 orang murid lulus pada peringkat mumtaz. Sekolah yang dibuka sejak 1991 ini tidak mempunyai kawasan sekolah tersendiri dan terpaksa menyewa unit-unit kedai di sini.

Oleh kerana sekolah tidak mempunyai ruang dan kawasan lapang, pembelajaran kurang selesa. Pihak sekolah yang PIBGnya dipengerusikan oleh Tuan Haji Othman Suboh telah berusaha mendapatkan kawasan tetap bagi sekolah. Tiada tapak sekolah agama yang disediakan oleh Pemaju Perumahan di sini. Permohonan telah dibuat kepada pihak Kerajaan Negeri dan JAIS bagi mendirikan sekolah agama di bawah JAIS di tanah lapang di tepi Masjid Kajang Utama, sebuah tanah lapang lagi seluas 2 ½ ekar yang dianggap paling sesuai juga dimohon untuk dijadikan tapak sekolah, tetapi jawapan bagi tanah kedua ini, ia adalah tanah lapang dan tidak dibenar untuk didirikan bangunan. Kita berharap kepada Kerajaan Negeri dan JAIS, jika tanah lapang ini tidak dapat diluluskan sebagai tapak sekolah, maka tanah berhampiran Masjid Kajang Utama wajar dibenarkan, walaupun keluasannya lebih seekar sahaja.

Sementara itu semasa ADUN menghadiri Majlis Khatam Al-Qur`an Dan Hari Kecemerlangan, ADUN berharap pihak sekolah tidak kecewa, sementara ikhtiar dan permohonan terus dibuat kepada pihak Kerajaan dan JAIS, pihak sekolah, PIBG dan Guru-Guru yang Ketua Gurunya Ustazah Tumijah terus melengkap keperluan sekolah, terutama dari segi keselamatan bangunan bagi kepentingan murid-murid. Prestasi sekolah, walaupun sudah dianggap baik, perlu ditingkatkan lagi, agar sekolah ini benar-benar menjadi sekolah terbaik dan menjadi pilihan anak-anak dan ibu bapa. Dari pemerhatian didapati kerjasama ibu bapa sangat baik. ADUN menyampaikan hadiah-hadiah kecemerlangan di dalam majlis yang diadakan pada malam hari itu dan mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berjaya.

November 24, 2009

Jamaah


Di bumi Makkah Mubarakah
Kesesakan makin nyata
Di musim haji yang tiba
Rombongan demi rombongan datang
Dari ceruk rantau benua
Menyahut seruan
Memenuhi segala penginapan
Dan tanpa mengira masa
Gelombang demi gelombang
Surut pasang

Keluar masuk Masjid al-Haram
Dan kesesakan dipuncaki
Setiap masuk waktu salat
Bila setiap jamaah memasti diri
Dengan segala kepayahan
Untuk mendapat sedikit ruang
Patuh setia pada Tuhan.

Dan aku
Satu di tengah ratus ribuan
Kecil diri di tengah gelombang
Kecil lagi di sisiMu Tuhan
Dengan kekecilan kudatang
Membawa besarnya mohonan
Moga di tengah arus ini
Tidak ku terkeluar dari jalan lempang

Shafie Abu Bakar,

Makkah,
Zulkaedah, 1414
Mei, 1994.

Anekdot: Cahaya Permata Menggerhanakan Cahaya Jiwa




Mak Jah seorang peniaga permata dan barang-barang kemas memang dikenali ramai, terutama di kalangan wanita yang agak berada di Pekan Kecil tempat tinggal Mak Jah. Perniagaan dilakukan secara mengunjungi dari rumah ke rumah pelanggannya. Permata dan barang-barang kemas didapati dari pembekal dari Singapura dan juga Kuala Lumpur. Setiap kali bekalan baru permata dan barang kemas sampai dia kembali mengelilingi kunjungan. Pelanggan-pelanggan tetapnya memang menunggu kehadirannya. Kalau tidak membeli `barang baru sampai` dengan tunai dan kebanyakannya membayar secara ansur dan terus berhutang dengan pembelian berulang, sekurang-kurang dapat meneliti dan berseronok dengan gemerlap cahaya permata dan barang-barang kemas yang dipamir.

Adalah menjadi satu keasyikan tiada taranya bagi Mak Jah dan pelanggan-pelanggan menayang dan menikmati gemerlap cahaya permata. Inilah menjadi daya tarikan kepada pelanggan bilamana ada `barang baru` sampai yang menarik.

Setelah berdekad berniaga permata dan barang kemas, Mak Jah mengalami keuzuran, Matanya rabun dan sukar melihat. Di dalam renungan hidupnya, kuat sangkaannya, rabun matanya diakibatkan oleh ketajaman cahaya permata yang kerap ditatap yang selama ini menjadi keseronokan tiada tara baginya itu. Akibat dari keuzurannya ia mewariskan kepada anaknya meneruskan perniagaan secara teratur dengan membuka kedai Emas Permata di pasaraya.

Mak Jah berundur dari berniaga dan mau menghabiskan sisa hidupnya dengan memberi tumpuan kepada ibadat, tetapi di dalam zikir dan wiridnya setiap kali membilang tasbih, yang terlintas difikiran dan perasaannya, dia sedang membilang biji-biji permata kesukaannya dahulu. Ini amat mengganggu konsentrasinya di dalam ibadat dan berzikir. Hati kecilnya gundah berduka dan merungut:

``Cahaya Permata itu sesungguhnya bukan saja merabun mataku, tetapi menyerang ingatan dan jiwaku hingga menyukarkan membetiknya cahaya dari jiwa.``

Sumbangan Sempena Idul Adhha

Shah Alam, 6 Zulhijjah = 23 November (Isnin):

Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Abdul Khalid bin Ibrahim pada petang ini menyerahkan skrol kepada semua Pegawai Tadbir Agama Islam dari Daerah-Daerah di Negeri Selangor sebagai simbolik penyerahan lembu-lembu untuk dikorbankan pada Hariraya Idul Adhha nanti. Lembu-lembu yang dihantar akan diagih-agihkan kepada masjid-masjid di daerah-daerah.

Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu-Lembu Korban Sempena Hariraya Idul Adhha Peringkat Negeri Selangor 1430/12009 diadakan di Dewan Orang Ramai, Seksyen 19, Shah Alam adalah anjuran Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB). Turut hadir ialah Y.Bhg Tuan Haji Ahmad bin Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif, PNB dan Y.B. Dato` Dr. Hasan Ali, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, beberapa Exco dan ADUN-ADUN. Nazir-Nazir dan Imam-Imam turut dijemput.

Selamat Menyambut Hariraya Idul Adhha dan Selamat Berkorban.


Penyerahan Wang Skim Warga Mas Peringkat Kedua:

Dusun Tua, 4 Zulhijjah = 21 November (Sabtu)

Penyerahan Wang Skim Warga Mas peringkat kedua dilakukan pagi ini bertempat di Dewan Orang Ramai Sri Nanding, Dusun Tua. Lebihkurang 50 orang pewaris bagi skim berkenaan dar Bangi, Kajang dan Dusun Tua hadir. YB Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi, YB En. Lee Kim Sin ADUN Kajang dan Sdr. Sani dari Dusun Tua hadir menyampaikan Wang Skim Warga Mas kawasan masing-masing.

November 23, 2009

Khatan Anak Orang Asli Beramai-ramai

Pangsun Hulu Langat, 5 Zulhijjah = 22 November (Ahad):

Bagi hari kedua berturut-turut ADUN ke tempat yang hampir sama di Pangsun, Hulu Langat bagi tujuan berlainan. Kali ini bagi tugas yang amat menarik dan kudus sifatnya. Iaitu bersama meraikan upacara berkhatan (bersunat) beramai-ramai yang melibatkan seramai 40 orang anak-anak saudara kita Orang Asli.

Menurut Tuan Haji Mohd Amin bin Haji Hussin Pegawai Tadbir Agama Islam (Tuan Kadhi) Hulu Langat,

``Program berkhatan beramai-ramai adalah kerjasama antara Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat bersama dengan Kajang Plaza Medical Centre dan Jabatan Orang Asli Daerah.Hulu Langat.``

Manakala En. Abdul Aziz bin Amman Pengarah Orang Asli Daerah Hulu Langat yang turut hadir memberitahu,

``Anak-anak Orang Asli dari Pangsun dan 9 kawasan yang lain seperti Sungai Lalang, Broga, Kg. Kacau, Tanjung Rambai, Sungai Lui, dibawa ke klinik di sini yang kesemuanya berjumlah 40 orang disunatkan.``

Menurut Dr. Jamil bin Mohd Sharif Ketua Dr. Sukarelawan,

`` Doktor sukarelawan yang datang berjumlah 5 orang, lebih dari 20 jururawat dan pembantu hadir.``

(bersama Tok batin-tok batin)

Sementara itu pihak Pejabat Agama Islam daerah Hulu Langat juga disertai berpuluh tenaga. Seramai 5 orang Tok Batin turut hadir, iaitu Tok Andak A/L Pandak dari Pangsun, Tok Batin Ilau dari Broga, Tok Batin Zainal Kg. Kacau, Tok Batin Halih bin Abdullah Sungai Lalang dan Tok Batin Umpo Tanjung Rambai, Sungai Lui. Turut hadir keluarga dan saudara mara yang berkhatan dan orang ramai. Mereka yang berkhatan ditempatkan di bawah khemah hadapan klinik. Mereka dipanggil ke dalam mengikut giliran. Tiga katil berkhatan disediakan dan dijalankan secara serentak.

Pihak Kajang Plaza Hospital pada hari ini juga menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma dan satu larian basikal di Jalan Hulu Langat di bawah tajaan sebuah syarikat di sini diadakan bagi memeriahkan hari perkhatanan.

ADUN Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Adat-Adat Melayu yang hadir dengan buah tangan sejumlah 40 helai kain pelikat diberi penghormatan bersama Tuan Kadhi menyampaikan kain berkenaan beserta sampul wang dan hamper kepada setiap yang berkhatan. ADUN kemudian melawat mereka yang sedang dikhatankan. ADUN juga turut melawat tempat pemeriksaan percuma dan turut diperiksa dan mengucapkan terima kasih kepada semua.

Urusan berkhatan berjalan dari pagi hingga ke petang. Antara yang turut berkhatan tiga anak yang ibu bapa mereka belum Islam. Mereka seronok mengikuti kawan-kawan yang telah Islam. Manakala 5 orang yang turut berkhatan adalah dari kalangan dewasa.

Semasa berbual dengan Tok-Tok Batin, ADUN bertanya Tok Batin Andak A/L Pandak (Tok Batin Pangsun, tempat diadakan upacara khatan),

``Apa pendapat Tok Batin mengenai anak buah yang masuk Agama Islam.``

Menurutnya, ``Tak ada masalah, kita tak sekat, atas pilihan dan keputusan masing-masing.``, katanya.

Bila ditanya, ``Ada kemungkinan Tok Batin sendiri satu masa menerima Islam ?`` Menurutnya, ``Kemungkinan, jika terbuka hati.``

Bila ditanya, ``Berapa ramai Orang Asli di Pangsun ?``

``Ada 450 keluarga semua,`` katanya. Seterusnya bila ditanya,

`` Berapa yang menerima Islam ?``

``Lapan keluarga``, katanya.

Dalam perbualan ADUN dengan En. Abdul Aziz bin Amman Pengarah Orang Asli Hulu Langat, menurut beliau jumlah keluarga orang asli dari sembilan buah kampong adalah sebanyak 1,896 keluarga yang dijangka semuanya berjumlah sekitar 5,000 hingga 6,000 0rang Asli di Hulu Langat.

Bila ditanya,
``Adakah di antara anak Orang Asli belajar di universiti ?``

Tok Batin Andak A/L Pandak yang mencelah menyatakan
``Di Pangsun saja ada tiga orang``.

Bila ditanya,
``Adakah di Pangsun yang bekerja dan berjawatan dengan kerajaan ?``

Menurutnya
``Ada , seperti yang bekerja sebagai Pegawai di TNB di Damansara dan bergaji tinggi.``.

Bila ditanya,
`` Apakah pekerjaan utama penduduk Orang Asli di Pangsun ?``

``Kebanyakannya bertani``, kata Tok Batin Andak.

`Adakah mereka memiliki tanah ?`` Tanya ADUN.

``Tidak``, jawabnya. ``Kawasan mereka cuma digezet sebagai tanah rezab kawasan Orang Asli ``. Bila ditanya,``Adakah mereka berpuashati ?``

``Tidak !, Kami juga mau memiliki tanah untuk mewariskan kepada turunan !``, jawabnya
Kata ADUN,
``Sepatutnya orang Asli diberi hak pemilikan tanah.seperti rakyat lain.``

``Itulah kami harap Tok Wakil tolong perjuangkan !`` katanya.

Acara perkhatanan pada hari ini amat menarik dan bersejarah. Kejayaan majlis bergantung pada kerjasama semua pihak. ADUN berpendapat majlis-majlis seperti ini dan majlis-majlis kemasyarakatan perlu kerap diadakan bersama dengan Orang Asli bagi merapatkan hubungan dengan mereka agar mereka pula tidak terasa terasing.(memberi sumbangan dengan diiringi Tuan Qadhi*Kanan)