November 10, 2009

Merasmikan Karnival Keluarga Masjid

Taman Subang Perdana, 19 Zulkaedah = 7 November (Sabtu):


ADUN Bangi atas kapasiti Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu dijemput ke ekspo di atas bertempat di Medan Masjid Taman Subang Perdana Subang. Bagi melancarkan Expo Keluarga Masjid Taman Subang Perdana. Pihak penganjur yang diketuai Pengarahnya Encik Sharif dengan kerjasama Nazir Masjid Encik Ahmad Suriadi Abdul Aziz berjaya menjemput pihak Pejabat Kesihatan Daerah Petaling memberi khidmat kesihatan percuma, turut dijemput Pusat Darah Negara yang memberi peluang kepada yang mahu menderma darah, pihak Keselamatan Jalan Raya bagi memberi penerangan dan demonstrasi kaedah-kaedah memandu di jalan raya secara selamat, pihak Bomba, Agensi Dadah dan pihak MAIS.


Dalam expo ini peluang dibuka kepada mana-mana keluarga menempah gerai perniagaan untuk berniaga, lantaran itu kedapatan berbagai gerai makanan, minuman, pakaian, skim takaful. Pertandingan dan cabutan bertuah juga diadakan. Hadirin berjumlah ribuan itu kebanyakannya terdiri dari kalangan anak-anak, ibu-ibu dan kurang dari kaum bapa.


ADUN Bangi ketika diminta berucap dan merasmikan karnival mengucapkan terima kasih di atas jemputan. Beliau berasa gembira sejak pentadbiran baru masjid berbagai-bagai kegiatan dilakukan di masjid. Masjid menurutnya bukan saja sebagai tempat ibadat, tetapi juga tempat pentadbiran, pendidikan, permuafakatan dan sosial. Beliau memuji inisiatif jawatankuasa yang berusaha merapatkan hubungan masyarakat setempat melalui masjid. Beliau optimis generasi muda yang ramai hadir adalah pelapis masyarakat yang akan memakmurkan masjid dan masyarakat setempat.



Beliau menyeru penduduk kariah masjid mengukuhkan ukhuwwah dan persaudaraan dan mengukuhkan ikatan kejiranan. Beliau menyeru semua pihak menyokong kegiatan yang dilakukan oleh masjid dan memberi pandangan dan cadangan bagi lebih memajukan masjid.



Selepas perasmian ADUN melawat kaunter-kaunter yang dibuka oleh agensi-agensi dan warung-warung dan mengucapkan terima kasih kerana mengambil bahagian.

No comments:

Post a Comment