November 3, 2009

Berceramah di Masjid Putra Perdana, Puchong

Masjid Putra Perdana, Puchong, 12 Zulkaedah = 31 Oktober (Sabtu):

ADUN Bangi dijemput oleh Nazir Masjid di atas, iaitu Ustaz Asni Bin Ghazali melalui Saudara Suhaizil berceramah di Masjid di Masjid Putra Perdana dengan tajuk Mengeratkan Silatul Rahim.


Pendekatan yang disampaikan ialah dengan menghuraikan maksud mengeratkan Silatul Rahim. Ia merupakan seni komunikasi individu dengan individu atau kelompok secara mesra berdasarkan nilai murni sebagaimana yang disaran agama dan budaya. Lantaran itu mereka yang terlibat perlu berilmu, bermaklumat, faham dan beramal dengan kaedah bersilatul Rahim yang mampu membuahkan kasih sayang, hormat menghormati dan menjadikan kehidupan dalam keadaan harmoni.

Olahan seterusnya yang banyak didasarkan kepada ayat-ayat Qur`an dan Hadith bahawa bersilatul Rahim ialah menjaga adab, adat dan peraturan berlaku di antara individu dengan individu, keluarga, kelompok, masyarakat, antara kaum dan meningkat kepada peringkat umat.


Contoh-contoh dibawa dari peringkat individu hinggalah peringkat umat sebagaimana berlaku di dalam amalan ibadat haji yang merupakan perhubungan silatul Rahim dan muktamar terbesar bagi mengikat hubungan antara umat yang tidak membezakan keturunan dan latar belakang. Islam amat menekakan kepentingan silatul rahim. Ia merupakan sebahagian dari nilai adab dan akhlak yang mempertingkatkan kualiti umat. Sesungguhnya peranan Rasulullah dibangkitkan bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak dan Baginda menjadi qudwah terbaik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment