November 25, 2009

Kafa Al-Hidayah, Kajang Utama Perlu Bangunan Sendiri

KAJANG Utama, 3 Zulhijjah = 20 November 2009 (Jumaat)



Sekolah Rendah Agama Kafa al-Hidayah adalah merupakan salah sebuah SRA rakyat yang termaju di Hulu Langat. Sekolah ini mempunyai lebih dari 700 orang murid dengan 23 guru bantuan JAIS, di samping guru-guru dibayar elaun oleh sekolah. Melalui Majlis Khatam Al-Qur`an Dan Hari Kecemerlangan yang diadakan pada hari ini, Majlis diberitahu 5 orang murid lulus pada peringkat mumtaz. Sekolah yang dibuka sejak 1991 ini tidak mempunyai kawasan sekolah tersendiri dan terpaksa menyewa unit-unit kedai di sini.

Oleh kerana sekolah tidak mempunyai ruang dan kawasan lapang, pembelajaran kurang selesa. Pihak sekolah yang PIBGnya dipengerusikan oleh Tuan Haji Othman Suboh telah berusaha mendapatkan kawasan tetap bagi sekolah. Tiada tapak sekolah agama yang disediakan oleh Pemaju Perumahan di sini. Permohonan telah dibuat kepada pihak Kerajaan Negeri dan JAIS bagi mendirikan sekolah agama di bawah JAIS di tanah lapang di tepi Masjid Kajang Utama, sebuah tanah lapang lagi seluas 2 ½ ekar yang dianggap paling sesuai juga dimohon untuk dijadikan tapak sekolah, tetapi jawapan bagi tanah kedua ini, ia adalah tanah lapang dan tidak dibenar untuk didirikan bangunan. Kita berharap kepada Kerajaan Negeri dan JAIS, jika tanah lapang ini tidak dapat diluluskan sebagai tapak sekolah, maka tanah berhampiran Masjid Kajang Utama wajar dibenarkan, walaupun keluasannya lebih seekar sahaja.

Sementara itu semasa ADUN menghadiri Majlis Khatam Al-Qur`an Dan Hari Kecemerlangan, ADUN berharap pihak sekolah tidak kecewa, sementara ikhtiar dan permohonan terus dibuat kepada pihak Kerajaan dan JAIS, pihak sekolah, PIBG dan Guru-Guru yang Ketua Gurunya Ustazah Tumijah terus melengkap keperluan sekolah, terutama dari segi keselamatan bangunan bagi kepentingan murid-murid. Prestasi sekolah, walaupun sudah dianggap baik, perlu ditingkatkan lagi, agar sekolah ini benar-benar menjadi sekolah terbaik dan menjadi pilihan anak-anak dan ibu bapa. Dari pemerhatian didapati kerjasama ibu bapa sangat baik. ADUN menyampaikan hadiah-hadiah kecemerlangan di dalam majlis yang diadakan pada malam hari itu dan mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berjaya.

No comments:

Post a Comment