February 25, 2010

Melancarkan Perkhidmatan Bas Mini Putera-Mahkota-Nilai

Seri Putera, 11 R. Awwal = 25 Februari (Khamis):

Sejak Bandar Seri Putera dan Bukit Mahkota dihuni mulai 2001, sudah dirasakan perlu adanya perkhidmatan bas di sana, tetapi pada masa itu penduduk belum begitu ramai, maka perkhidmatan bas tidak begitu ekonomik. Usaha kedua dilakukan pada tahun 2008. ADUN mendekati dua syarikat bas mini yang berkhidmat di Kajang, tetapi masih tidak mendapat respon yang baik.


Kini penduduk Seri Putera dan Bukit Mahkota mendekati jumlah 30 ribu, adalah wajar diwujudkan perkhidmatan bas, atas keperluan pihak penduduk melalui ahli MPKj mendekati sebuah syarikat bas mini yang memberi respon yang baik. Syarikat dimaksudkan ialah Syarikat Bas Mawar Merah Sdn. Bhd. yang berpusat di Kelang, iaitu sebuah syarikat bumiputera. Keterlibatan syarikat ini atas dasar jika ianya mempunyai pulangan yang membolehkan syarikat untuk terus beroperasi. Lantaran itu Syarikat ini telah mendapat lesen sejak September 2009 lepas dan membuat percubaan dari segi perkhidmatan hingga ke awal tahun 2010, maka didapati perkhidmatan ada pulangan yang memuaskan.


Maka pada pagi ini secara rasmi diadakan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Mini Putera bertempat di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN di Seri Putera mulai jam 9.00 pagi. Hadir bersama ke Majlis ialah, ADUN Bangi, Sdr. Hj. Mazwan Johar Ahli MPKj, Sdr. Nizam dan Sdr. Zahari dari MPKj, Sdr. Marzuki Ketua Kampung Bangi, Saudara Effendi Abu Bakar dari Syarikat Bas Mawar Merah Sdn. Berhad dan En. Norizan dari Bangi Height, ahli-ahli AJK bagi Ahli MPKj dan JKK Bangi.


Dalam ucapan perasmian bagi pelancaran, ADUN Bangi berterima kasih kepada Syarikat Mawar Merah yang sanggup menjalankan operasi perkhidmatan bas bagi laluan Seri-Putera-Bukit Mahkota-Nilai (termasuk ke Stesen Komuter Pekan Bangi) seterusnya memenuhi hasrat penduduk di sini. Kita difahamkan buat masa ini syarikat menyediakan 3 buah bas mini. Bagi satu tambang perjalanan sehala, sama ada dekat atau jauh dikenakan RM1.00. Perkhidmatan ini banyak digunakan oleh pekerja-pekerja kilang yang banyak terdapat di Bukit Mahkota dan Nilai, anak-anak sekolah dan mereka yang berulang alik membeli keperluan harian dan barangan murah di Nilai Tiga. Bagi memajukan perkhidmatan, ADUN berharap iklan dan publisiti secara lebih agresif perlu dilakukan. Pemimpin-pemimpin masyarakat dapat membantu bagi kemajuan Syarikat.

ADUN berharap imej bas mini selalu dikaitkan dengan kekurangan disiplin, kasar dan gopoh kerana mengejar waktu dan mengambil penumpang seramai mungkin. ADUN berharap keadaan ini tidak berlaku bagi Syarikat Bas Mawar Merah. Sebaliknya hendaklah membina imej bas yang baik, bersih dan bertata tertib. Dengan ini lebih ramai menarik penumpang. ADUN juga berharap Syarikat Bas wajar memilih tempat-tempat hentian utama yang dapat pelanggan menunggu dan juga menepati waktu, supaya pengguna tidak tertunggu tunggu. Mungkin perkhidmatan tidak hanya ke stesen komuter, Nilai dan Bangi Lama, tetapi juga ke Stesyen Komuter UKM dan juga Hentian Kajang di Jalan Reko. ADUN mendoakan syarikat bas mini ini maju jaya dan dapat menambahkan lagi bilangan bas dan perkhidmatan pada masa depan.


Sementara itu Sdr. Haji Mazwan Johar dalam ucapan alu-aluannya, berkata, pada asalnya kita mahu mengadakan majlis perasmian pada Sabtu atau Ahad, tetapi menurut Sdr Hj. Mazwan, Hari Sabtu dan Ahad ialah hari ramai pelanggan menggunakan bas, disebabkan untuk mengelakkan kerugian di pihak syarikat, maka dipilih hari bekerja seperti hari ini. Menurutnya sebelum ada perkhidmatan ahli MPKj ada yang mencadangkan pihak MPKj menyediakan perkhidmatan bas sendiri secara komersil dan pernah dilakukan oleh pihak Majlis perbandaran yang lain, tapi kurang berjaya. Kita juga tidak mahu membebankan pihak MPKj. Kita menyokong kuat perkhimatan oleh Syarikat Mawar Merah dan berharap Syarikat akan berkembang maju.

Bagi merasmikan perkhidmatan, ADUN dengan Hj. Marzuki, beberapa orang AJK Ahli MPKj dan Ahli JKK turut sama menaiki bas bergerak dari Seri Putera ke Bukit Mahkota hingga ke Nilai, termasuk Nilai Tiga dan Nilai Lama dan pulang kembali ke Seri Mahkota. Sambil itu penumpang naik dan turun sepanjang jalan. ADUN bertanya sebahagian dari penumpang yang naik yang duduk sebangku dengan ADUN, kerana bangku ADUN di hadapan, semuanya berpuashati dengan perkhidmatan bas yang diberi. ADUN bersama yang lain mengelilingi Seri Putera- Bukit Mahkota dan Nilai dan pulang kembali memakan masa lebih kurang dua jam. Melihat kepada penumpang yang turun naik dari bas yang kami naik dan bas yang lain dari syarikat ini yang kami bertembung diperjalanan, kami yakin, insya Allah syarikat ini akan maju. Terima kasih.

1 comment:

  1. Nama joe saya tinggal di bdr mahkota bangi baru baru ni di bdr mahkota bangi transport terlalu kurang. pagi kami tunggu di bas stop mahkota bangi pkl 7.30pagi sampai 10.00 pagi pun bas tidak sampai......tolong encik shafie timbang rasala kami pun mengharap bas juga.....kalau diaorang buat macam ni kami macam mana nak pergi kerja..

    ReplyDelete